1 Mac 2016




SEMEJA TETAPI TIADA KOMUNIKASI

 

Kita pernah ke kedai makan atau restoran. Pernahkah kita perhatikan gelagat keluarga atau mereka yang ke restoran atau kedai makan untuk menikmati makanan. Mereka duduk. Si suami, si isteri dan anak-anak pun duduk di sebuah meja. Kemudian, masing-masing membelek-belek telefon pintar. Nampaknya masing-masing sibuk membaca facebook (fb), whatsapp, Instagram (IG) dan sebagainya. Membaca dan membalas. Jari telunjuk tidak berhenti-henti menyentuh skrin telefon. Sibuk betul mereka. Ramai sungguh kawan-kawan. Banyak pula yang perlu dibaca. Dijawab. Semuanya penting. Sibuk sungguh manusia sekarang; manusia era teknologi siber. Kalau tak dijawab, nanti ditanya dan ditanya lagi oleh si pengirim. Banyak yang perlu dinyatakan like. Entah apa like, kita pun tak tahu. Saja-saja like sebab kawan-kawan lain like juga. Seronoklah yang kirim bahan itu kerana ramai yang like. Kalau ramai yang tak like atau tiada yang like, yang kirim bahan itu, rasa tak syok. Barangkali like bermaksud tak like. Boleh jadi tension. Boleh jadi penyakit jiwa baharu iaitu gilalike. Hairan betul, masing-masing terus sibuk dengan telefon pintar. Sambil makan pun mulut mengunyah, mata memandang ke skrin. Jari telunjuk kiri sibuk menyentuh skrin dan menaip sesuatu di skrin. Habis makan, mereka beredar pulang. Sambung pula di dalam kereta dan di rumah, sampailah tidur nanti. Apabila bangkit tidur, kerja pertama semak fb dan whatsapp. Banyaklah yang perlu dibaca dan dijawab. Kalau difikir-fikir, perlu sangat atau tidak membaca bahan kiriman dalam fb atau whatsapp itu? Bahan itu bukanlah asli karya si pengirim. Bahan itu hanya kiriman yang diforwardkan atau diambil daripada sumber lain. Itu kerja mudah. Kerja yang tidak perlu seseorang itu berfikir. Kerja sebarkan maklumat yang entah ada nilai ilmu atau maklumat kosong. Kalau dibaca membuang masa.  Ada ketikanya kita membaca bahan-bahan lucah atau berunsur fitnah, kita tumpang mengumpul dosa.  Bertambahlah dosa kita. Menyebarkan fitnah dan bahan-bahan yang tiada faedah membacanya bukan lagi suatu kesalahan atau dianggap tidak bermoral apatah lagi tidak perlu dikaitkan dengan agama. Perbuatan itu dianggap biasa seperti makanan harian yang enak dimakan. Begitu juga tidak dianggap tiada adab ketika berguru atau belajar, anak-anak murid atau pelajar membelek-belek telefon pintarnya; membaca fb atau whatsapp. Dalam hal ini, pernah pelajar saya, telinga saja mendengar tetapi matanya tertumpu pada skrin telefonnya. Apabila ditanya kepada pelajar itu, dia tidak dapat menjawab. Perbuatan sebegini sudah lumrah atau menjadi budaya tidak sopan atau tidak beradab dalam kalangan pelajar, pendidik, keluarga, pentadbir dan anak-anak buah di pejabat. Kita dapati manusia kini terlalu sibuk dengan pelbagai hal yang tidak penting tetapi hendaklah dilayan like. Bayangkan suatu ketika, Internet terhenti dan manusia sudah tidak dapat berkomunikasi melalui media baharu, misalnya telefon pintar dan komputer. Pastinya manusia panik dan huru hara jadinya. Pernah suatu ketika di suatu kawasan, banjir melanda – manusia jadi huru hara. Bekalan elektrik terputus. Perhubungan jalan darat terputus. Kad prabayar kehabisan. Kredit telefon pun habis. Duit di ATM tidak dapat dikeluarkan kerana mesin ditenggelami air banjir. Bekalan makanan di rumah dan di kedai habis. Harga makanan pula mahal. Situasi itu berlaku hanya tiga hari. Bayangkan … dan bersyukurlah kita kepada Allah SWT atas segala nikmat-Nya yang kita terima dan rasai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan