14 Mac 2016




PUISI DI SUMATERA UTARA 1983

POTRET PETANI DI PERGUNUNGAN


Perjalanan lama dengan bas kota
jalan bertar, sempit dan berlekuk berliku
melewati daerah pergunungan panas
meskipun di tanah jauh
kami bukan pendatang asing
mereka faham bahasa Melayu
dan adat istiadat yang dibina
di bawah payung budaya hampir sama.


Daerah tinggi ini, rumah-rumahmu terpencil
teknologi moden yang sampai
tanganmu mesra dengan bumi kering
menunggu hasil matahari perjuangan
hujan rahmat tak menentu bertemu tanah.


Mereka menunggu dengan kesabaran yang keras
anak-anak mahu diisi perut dengan tenaga
ke kota, perlukan ongkos
mahu naik apa?
dipendamkan seluruh kegembiraan
di sebalik kekerasan semangat warisan.

Pesta padi di hujung musim
kemudian kembali memijak abu batang-batang padi
potret petani di pergunungan
wajah diri yang berani.

Azmi Rahman
Sumatera Utara
Jun ‘83

Pemenang Pertama
Peraduan Menulis Puisi-PESISIR 1984








Tiada ulasan:

Catat Ulasan