12 Mac 2016


TOPIK 9 KESUSASTERAAN SIBER

PUISI  SIBER: SUATU PERTIMBANGAN APRESIASI ESTETIK

Oleh: Azmi Rahman
azmi214@uum.edu.my

Mukadimah

Dalam Kamus Dewan edisi keempat (2005, hal. 1487-1488), siber diertikan sebagai berkaitan dengan komputer dan internet.  Makna kata siber tidak dikembangkan/ diperluas kepada kata lain, misalnya penulis atau pengarang siber, penyajak siber atau novelis siber. Makna siber terkepung pada satu makna sahaja. Glosari atau kamus istilah kesusasteraan Melayu belum memasukkan entri siber dan perluasan makna kata siber itu dipadankan dengan kata-kata lain yang memberi makna lain pula. Pensiber dimaksudkan sebagai penulis atau pengarang atau penggubah karya di alam siber. Manakala kesiberan pula dimaksudkan sebagai hal-hal yang berkaitan dengan pensiber, karya dan pengkaryaannya.
          Kesusasteraan siber Melayu secara ilmiahnya pernah dibicarakan oleh Wan Abu Bakar Bin Wan Abas atau nama samarannya Drirwan selaku founder eSastera.com dan presiden Persatuan Aktivis Sastera Siber Malaysia (E-SASTERA). Tulisan Irwan Abu Bakar & Hasimah Harun dapat dibaca dalam buku Kursus Kepenyajakan E-Sastera (2003), dan Berkarya di Alam Siber (2008), serta makalah ’Masa Hadapan Sastera Anda dalam E-Sastera’ (Dewan Sastera, November 2004).
          Berdasarkan penelitian awal, saya dapati pelbagai isu yang disentuh dan dibicarakan oleh pensiber dan khalayak siber, khasnya merujuk kepada pandangan yang dipaparkan di eSastera. com.

Isu sastera siber
         
Antara isu terawal yang dibicarakan ialah isu konsep sastera siber dan sebab berkarya di alam siber. Hal ini telah saya jelaskan dalam suatu tulisan yang diterbitkan dalam Sastera. Net edisi 6 (hal. 16-18). Pada pandangan penulis, konsep sastera siber semakin jelas (atau sudah jelas) pada pandangan pensiber dan khalayak siber. Sastera siber adalah sastera yang dihasilkan di media elektronik; sastera yang berteknologi; sastera beraudio-video; sastera beranimasi; sastera berwarna-warni dan dipaparkan di skrin komputer. Selain itu, sastera siber adalah genre sastera berinteraktif di alam siber tanpa batas sempadan geografi dan tanpa sekatan waktu mengaksesnya. Konsep sastera siber terus berligar di fikiran pensiber dan khalayak siber.
          Apabila disentuh pula isu sebab berkarya di alam siber, suatu hal yang menarik. Ada penulis yang sudah lama bergerak dengan dunia sastera kertas, beralih ke sastera siber dan menjadi pensiber. Mereka menghasilkan sama ada sajak, sajen, pantun, haiku, syair, resensi, dan sebagainya. Mereka tidak kembali ke dunia sastera kertas kecuali menerbitkan karyanya dalam bentuk buku. Mereka terus berkarya di alam siber.

          Dalam berkaya di alam siber, pensiber bukan mahu mencari nama atau glamor. Yang lebih penting ialah pensiber mahu menyerlahkan kreativiti dalam karya, menyampaikan idea dan fikir rasa terhadap sebarang isu yang tersentuh di kotak minda. Ada yang mahu belajar berkarya di alam siber. Akhirnya mereka atau pensiber yang muda ini menjadi pensiber yang lebih matang. Karya mereka akan dihormati.
          Isu kualiti karya siber pernah ditimbulkan oleh pensiber dan khalayak siber. Persoalan kualiti sesebuah karya adalah subjektif. Ukuran apa yang seseorang gunakan untuk menilai sesebuah karya. Kalau nilai karya berdasarkan bentuk, bahasa, dan bahasa yang murni diambil kira, maka berkualitilah karya itu. Jika ukuran lain pula diambil, misalnya dalam hal menilai karya siber, ada unsur kesiberannya; maka nilai atau kualiti karya itu berubah. Aspek bahasa menjadi satu daripada unsur yang membina kualiti sesebuah karya. Bahasa yang diambil kira adalah bukan bahasa klise atau bahasa mudah. Bahasa yang diambil kira adalah bahasa yang segar, baru, dan ada makna tersurat- tersirat. Manakala aspek bentuk, nilaian karya siber berbeza. Bentuk karya siber pelbagai dan unik dengan unsur-unsur kesiberan yang menyerlah, misalnya sajak siber tulen.
          Karya sastera siber adalah karya siber. Karya siber tidak boleh dibandingkan dengan karya sastera kertas atau bercetak. Membandingkan karya siber dengan karya kertas adalah suatu yang tidak benar. Dunia sastera siber berbeza dengan dunia sastera siber. Berbicaralah hanya jika sastera siber, maka sastera siber. Jika bicara pula sastera kertas, maka itulah sastera kertas atau konvensional.
          Pensiber di alam siber mengikuti perkembangan kontemporari. Pensiber sarat dengan idea dan lontaran fikiran dalam karya-karyanya. Mereka terus berkarya tanpa had masa, dan tanpa sempadan geografi. Isu-isu kontemporari sering dizahirkan dalam karya; misalnya dalam sajak, pantun, atau puisi tradisional. Kemudian sajak-sajak itu dimelodikan, dan diperdengarkan dengan penuh asyik serta bermakna.
          Para pensiber di eSastera. com melontarkan idea demi kebaikan dan masa depan sastera di Malaysia; misalnya penerbitan Sastera. Net sering menjadi bualan pensiber dan khalayak siber. Ada yang memberi respons yang positif dan ada yang negatif. Jika mahu dibandingkan dengan penerbitan lain yang sifatnya komersil, adalah tidak tepat. Jika mahu dibandingkan dengan sebuah majalah sastera yang sudah lama berada dalam pasaran yang diterbitkan oleh sebuah organisasi yang besar, dengan tenaga yang ramai, dan kos penerbitan yang tinggi, lagilah tidak perlu. Yang penting adalah pensiber dan khalayak siber, memikirkan supaya Sastera. Net akan lebih baik dan lebih baik dari segi isi, susun atur, grafik, dan pewarnaannya. Lagi pun Sastera. Net, usianya masih muda.
          Suatu isu yang menarik juga untuk dibicarakan ialah isu membisneskan produk, karya, dan para pensiber. Selalunya pensiber hanya membuat persembahan percuma; hanya dijamu secawan kopi dan sepinggan nasi. Mereka serius dalam berkarya dan persembahan; deklamasi sajak, berdekon dan menyanyikan lagu puisi. Inilah insan seni namanya. Mereka tidak memberontak atau memprotes meskipun pernah ada insan seni negara yang berbuat begitu. Tujuan dia memprotes dan lancarkan mogok seni adalah untuk menunjukkan bahawa insan seni janganlah diperlekehkan dan senang dipermainkan.
          Suara, penat jerih, dan inisiatif insan seni, yang merujuk kepada insan pensiber dan aktivis sastera dan seni siber hendaklah dihargai sewajarnya. Kita mahu seni dan karya sastera yang dihasilkan diletakkan nilai yang tinggi di mata khalayak siber dan realiti.
          Sastera siber bukanlah hak atau milik individu atau kelompok tertentu. Sastera siber adalah milik khalayak siber tanpa sempadan, dan sesiapa pun boleh menjadi pensiber. Karya pensiber terbuka luas untuk dikomen dan dimurnikan kualitinya. Pensiber hendaklah berkarya dengan hati penuh terbuka, dan membuang emosi negatif bila karyanya dimurnikan.
          Sastera siber terus berkembang dan mendapat perhatian khalayak siber dan bukan siber. Di tangan pensiberlah letaknya masa depan gemilang sastera siber. Begitulah kualiti karya siber, pensiberlah yang menghasilkan karya yang bermutu. Medan siber adalah medan yang serius pensiber berkarya.     

Karya siber

Irwan Abu Bakar (Drirwan), sebagai pengasas (founder) eSastera. com. menyatakan bahawa  karya siber merupakan bentuk karya moden yang mengintegrasikan ciri-ciri multimedia (teks, warna, grafik, animasi, dan bunyi) dan bersifat interaktif iaitu mampu memberi tindak balas terhadap rangsangan pembaca (khalayak) serta dikomposisikan dengan memanfaatkan sistem link internet. Karya sastera ‘biasa’ yang diterbitkan dalam bentuk teks hitam putih dengan latar berwarna putih tidak wajar dianggap sebagai karya siber sebenar, sebaliknya dapat dianggap sebagai ‘karya siber primitif’. Pembaca yang membaca karya siber bukan sekadar membaca, malahan menikmati karya itu dengan sentuhan warna, grafik, audio, dan video. Karya sastera dalam bentuk teks hitam putih hanya dibaca dan dihayati teks itu tanpa ada unsur­-unsur tambahan multimedia yang mengiringi karya tersebut.
          Definisi sastera siber yang diberikannya menuntut anjakan paradigma dalam proses pengkaryaan dan apresiasi. Sebagai contoh, puisi yang diiringi muzik latar yang sesuai akan membantu dalam proses apresiasi. Penyajak juga boleh memasukkan grafik dan teks beranimasi untuk mengukuhkan luahan emosinya atau boleh ditambah suara penyajak yang berkenaan mendeklamasi puisinya itu. Dalam penulisan ini, karya siber merujuk kepada sajak di eSastera.

Estétika: Nota kecil

Perkataan philosophy dalam bahasa Inggeris, (bahasa Melayu,) falsafah berasal daripada bahasa Greek, philosophia yang bermaksud love of wisdom (cintakan kebenaran).
Manakala kata aesthetic (bahasa Inggeris), dan estetika (bahasa Melayu) merupakan satu daripada cabang ilmu falsafah berasal daripada bahasa Greek, aisthanesthai bermaksud to perceive.  Kata estetika digunakan sebagai istilah dalam falsafah sebagai satu ilmu telah diperkenalkan pada abad ke-18 oleh Alexander Gottlieb Baumgarten (1714-1762), dalam bukunya, Aesthetik (1750).Walhout menyatakan bahawa sebelum estetika diperkenalkan  sebagai  satu daripada ilmu yang sistematik, kajian dan pembahasan tentang keindahan dalam karya seni  telah   bermula  sejak  zaman  Greek.
          Estetika merupakan  kajian  tentang keindahan  (beauty).  Wladyslaw Tatarkiewicz menyebut bahawa estetika itu “…the study of aesthethic objects: It does however include the study of subjective aesthetic experiences.” Bernard Bosanquet menyatakan bahawa estetika adalah falsafah keindahan yang sudah bermula sejak zaman Greek, dimulai oleh Socrates. Keindahan/ estetik terutamanya dalam  bidang seni dan  sastera merangkumi segala yang bersifat baik, cantik, mulia, murni dan halus.   Dalam konteks karya sastera, estetik dimaksudkan sebagai karya sebagai objek yang mempunyai bentuk tersendiri, dan berfungsi atau kegunaan.
          Meskipun makna estetik sukar dikemukakan secara konkrit, namun penjelasan makna keindahan yang dikemukakan oleh filsuf zaman Greek, Plato boleh menjelaskan makna estetik dalam usaha menghayati keindahan yang dikaitkan dengan teori asas estetik atau keindahan kepada aspek ritma atau irama (rhythm), simetri (symmetry) dan harmoni (harmony) yang bersatu dalam sesebuah karya (Bernard Bosanquet, 1966).
          Namun begitu, jika hendak dipadankan dengan teori estetik klasik atau moden, merujuk pula kepada data sajak-sajak siber, perlu ada modifikasi teori dan pandangan terhadap estetik. Estetik sajak siber bukan hanya pada ritma/ irama, simetri dan harmoni tetapi kesatuan estetik yang melekat bersama sajak, unsur–unsur audio-video, multimedia, grafik dan animasi yang mengiringinya hendaklah diberi apresiasi juga.   

Puisi siber

Sajak atau puisi siber ialah karya yang dihasilkan dan dikomposisikan oleh penyajak atau penyair siber dengan kombinasi aksara, warna, grafik, visual, muzik, audio-video, atau animasi. Sajak siber tulen menyerlahkan unsur multimedia, dan dapat dihayati nilai estetiknya di atas skrin. Sajak siber tulen, tidak dapat dicetak di atas kertas, kecualilah sajak siber primitif (mengikut Drirwan) yang masih menyerlahkan hanya aksara dan latar sajak berwarna putih atau bersketsa kecil.   
­­­          Penyajak/ penyajak siber ialah penulis yang berkarya di ruang siber. Dalam konteks ini, saya merujuk kepada penyajak di eSastera.com sebagai satu-satunya laman web sastera yang berpengaruh dan diminati oleh khalayak sastera di Malaysia, dan juga di luar negara. Bagi tujuan makalah ini, contoh-contoh sajak diambil daripada ruangan komuniti  penyajak eSastera, misalnya sajak­-sajak oleh Drirwan, Jebatsari, Hasimah, Ramy, Nimoiz T.Y dan sebagainya.

Wajah diri dan kosmetik puisi siber

Puisi  siber disiarkan dalam laman web sastera melalui proses penerbitan yang amat pantas. Penyajak menerbitkan sendiri sajaknya yang sudah melalui proses kreatif yang lama atau dalam jangka masa yang singkat. Jika penyajak menerbitkan sajak dalam media cetak konvensional, terpaksa melalui proses saringan oleh pihak editor sastera. Hal inilah yang menjadi hambatan kepada penulis atau penyajak yang mula­-mula menjinakkan diri dalam dunia sastera. Justeru, di media siber, muncullah pelbagai wajah diri sajak, termasuklah juga unsur-unsur estetik-kosmetik yang menghiasi sajak­-sajak itu.
          Berdasarkan penelitian singkat terhadap sajak­-sajak di eSastera.com dapatlah dijelaskan bahawa wajah diri sajak siber adalah:   

Aksara hitam- putih, saiz huruf biasa atau normal dan pelbagai saiz

Puisi siber yang berwajah begini dari segi fizikalnya hanya menonjolkan aksara berwarna hitam, dan berlatarkan warna putih. Sajak konvensional yang terbit dalam media cetak pun begitu. Yang berbeza hanya sajak siber terbit di media siber dengan pantas khalayak boleh membaca dan menghayatinya. Sajak-sajak berwajah begini dapatlah dikatakan sajak siber biasa. Contoh sajak yang berwajah begini, misalnya sajak “Episod Lain Sebuah Kuala Lumpur” (23 Disember 2007), dan “Potret Sebenar Seorang Penyajak” (14 Disember 2007),  karya Matahati, “Sekitar Alam” (30 November 2007), karya Abdullahjones. Kedua-dua buah sajak ini mendapat dua bintang. Begitu juga dengan sajak oleh Drirwan, “Malam” (19 April 2005). Latar sajak Drirwan berwarna kuning gelap dengan huruf-huruf hitam. Contoh lain ialah sajak Ckbayu, “Pencarian” (14 Februari 2007), dan “Bulan Tanpa Wajah” (15 Februari 2007).  Dalam hal ini, penyajak Ckbayu,  Drirwan, Matahati dan Abdullahjones lebih memberatkan kepada aspek mesej yang ingin disampaikan dengan gaya bahasa yang indah dan berkesan.

Aksara berwarna-warni,  pelbagai saiz dan latar puisi berwarna

Seterusnya terdapat juga sajak-sajak yang aksaranya berwarna-warni, dengan pelbagai saiz aksara dan latar yang mengiringi sajak pula berwarna. Kepelbagaian warna, saiz dan latar warna sajak, dapat memberi kesan apresiasi kepada pembaca. Selain itu, sajak yang dihasilkan itu kelihatan menarik. Sajak-sajak begini bolehlah dinamakan sajak separa siber. Contoh sajak yang dimaksudkan ialah “Sekuntum Bunga Kristal” (29 Disember 2007), karya Ckbayu. Aksara sajak berwarna merah dengan latar berwarna hitam. Sajak Drirwan, “Setangkai Mawar Berwarna Ungu” (24 April 2006), berlatarkan warna ungu, dengan aksara hitam dan hijau. Saya dapati banyak sajak As Syramy (Ramy) yang menampilkan latar sajak berwarna, misalnya sajak “Pusaka” (6 Januari 2008), dan “Ingatan Seharum Kasturi” (2 Januari 2008) dan latar sajak berwarna kuning.

Gambar, grafik, animasi, video, jaringan atau link Internet bila diklik pada kata dan frasa tertentu dan aksara bergerak

Puisi dalam kategori ini menyerlahkan kreativiti penyajak. Penyajak memanfaatkan teknologi yang sedia ada dalam usaha menghasilkan sesebuah sajak yang kreatif dan menarik. Apatah lagi jika mesej atau isi, bentuk dan penggunaan bahasa yang berkesan digunakan, sajak­-sajak yang dihasilkan itu menyerlahkan mutu seni dan keindahannya. Pembaca, bila membaca dan mengapresiasikan sajak begini terasa kesan seni dan keindahan pada sajak itu, menyentuh indera mata dan telinganya. Sajak-sajak dalam kategori ini dapatlah dinamakan sajak siber tulen; bermaksud sajak yang menggabungkan dan memanfaatkan elemen multimedia seperti yang dinyatakan pada subtopik di atas. Maka, sajak-sajak begini bukan lagi boleh dinyatakan dengan kata ‘dituliskan atau dihasilkan’ tetapi kata yang sesuai seperti yang dinyatakan oleh Drirwan, founder eSastera. com. ialah ‘dikomposisikan.’
          Puisi siber yang dikomposisikan dalam kategori ini menarik deria penglihatan dan pendengaran semasa khalayak membaca/ menghayatinya. Sajak “Aku dan Cinta” oleh Nimoiz T.Y merupakan contoh sajak siber tulen. Aksara dalam sajak ini dipersembahkan dalam pelbagai bentuk dan saiz. Selain itu, aksara juga dikomposisikan dengan pelbagai warna. Baris kelima, aksara berwarna biru, hijau, merah dan hitam. Baris keenam, aksara berwarna coklat dan biru. Baris ketujuh, aksara berwarna hijau, biru tua, dan ungu/ bici kundang. Baris kelapan, aksara berwarna hijau, merah dan biru. Baris kedua, aksara berwarna hitam dan hijau. Baris ketiga, aksara berwarna hitam, biru dan merah. Manakala baris keempat, aksara berwarna hitam, biru dan merah dengan saiz aksara bermula kecil dan besar. Selain itu, judul sajak ‘Aku dan Cinta’ memaparkan aksara-aksara bergerak dari kanan ke kiri, dihiasi dengan gambar indah chalet di laut dan latar bukit/ alamiah. Sajak bertemakan cinta ini, meskipun temanya biasa tetapi iringan unsur-unsur multimedia dan keragaman kreativiti media menjadikan sajak ini ada tarifan estetiknya. Begitu juga dengan sajak Nimoiz T.Y “Kekasihku Yang Cantik” (25 April 2007), menampilkan gambar perempuan cantik, dan aksara bergerak-gerak dalam kotak berwarna merah dengan latar sajak hijau, dan aksara hitam. Penyajak Ilhami pernah menkomposisikan sajak “Sayang, Puisi Cintaku Terjatuh” (1 Januari 2008), dengan menonjolkan imej/ gambar air terjun bergerak-gerak. Sambil kita membaca sajak, kita juga menghayati sajak-sajak tersebut dengan indera dengar dan lihat, menambahkan lagi daya apreasiasi terhadap sajak.
          Penyajak Jebatsari dengan puisi bertaraf 3 bintang “Sajak Merdeka Kah Kah Kah  (¿)” (17 September 2007), dengan membawa tema patriotisme dalam bahasa dan nada yang sinis-protes, menampilkan gambar penuh bermakna; Tunku Abdul Rahman Al-Haj melaungkan kemerdekaan. Menatap gambar bersejarah, dan membaca sajak ini akan memberi kesan estetik berbeza tetapi warna estetik berpadu dalam fikir rasa khalayak atau pembaca. Sebuah sajak lain yang bertaraf 3 bintang yang ingin ditonjolkan ialah “Hentian Tafakur 1” (14 Oktober 2006), karya Tintasukma. Sajak yang mengungkapkan mesej pengheningan jiwa kepada Yang Maha Esa, dan ada unsur muhasabah diri, menampilkan gambar seorang tua sedang berdoa/ bertafakur. Orang tua itu sedang merenung derita yang melanda dirinya. Jika diteliti, gambar atau imej yang dipaparkan, dan mengiringi sajak itu penuh bermakna. Gambar itu menerangkan sejuta makna, begitu juga bahasa sajak mendalam pula maknanya.
          Siri sajak  “Jambatan” oleh penyajak Rimanilzah menarik untuk diperkatakan estetiknya. Sajak-sajak “Jambatan” menampilkan gambar/ visual jambatan, bermula daripada sebuah jambatan yang roboh yang merentangi sebatang sungai, hinggalah jambatan itu hampir siap dibina, dan sudah boleh diseberangi.  Sajak “Jambatan 1” (17 September 2007), menampilkan visual/ gambar jambatan kayu yang hampir roboh. Sajak “Jambatan II” (5 Oktober 2007), masih lagi visual jambatan hampir roboh, terbiar dan air sungai kelihatan tenang. Sajak ini diiringi melodi yang mengasyikkan indera telinga. Sajak “Jambatan III” (16 Disember 2007), menampilkan visual kerangka 3 batang besi sedang dipasang merentangi sungai tersebut. Sajak ini diiringi melodi “Hujan Di Tengah hari.” Manakala sajak “Jambatan IV” (26 November 2007) menampilkan jambatan sudah siap dibina, air kelihatan jernih dengan iringan melodi dangdut yang menyerlahkan keceriaan.
          Berdasarkan sajak-sajak “Jambatan” yang dikomposisikan oleh Rimanilzah, estetiknya bukan sahaja terletak pada bahasa sajak tetapi gambar/ visual jambatan jelas menerangkan makna yang padu. Kata jambatan, sebagai simbol konkrit yang dibina oleh Rimanilzah bagi mengundang makna persaudaraan dan ukhwah Amat tanpa mengira warna kulit dan ideologi. Mesej ikatan persaudaraan yang teguh inilah menjadi lontaran Rimanilzah dalam sajak “Jambatan.”
          Penyajak Kalamutiara, seorang penyajak yang kreatif dan ada gaya tersendiri dalam dunia persajakan siber. Kalamutiara sering mengungkapkan isu-isu semasa dengan memasukkan unsur-unsur multimedia dalam sajak-sajaknya. Saya mengambil contoh, sajak “Jerit Datuk” (4 Januari 2008), mengungkapkan isu skandal seks mantan Menteri Kesihatan, Dr. Chua Sok Lek. Dalam sajak-sajak Kalamutiara, ada kata atau frasa yang jika diklikkan, pembaca atau pengapresiasi akan dilinkkan, dan mendapat maklumat lain yang berkaitan dengan isu dalam sajak yang ditulis itu. Maklumat yang dilinkkan itu dapat membantu pembaca mentafsirkan mesej sajak tersebut. Inilah gaya Kalamutiara dengan estetik teknologi yang tersedia dan berjaya diekploitasikannya untuk tatapan khalayak sajak siber. 
         
         
Iringan melodi, lagu-lagu puisi/ pop/ balada/ rock/ asli yang dimasukkan untuk mengiringi sajak berkenaan.

Melodi dan lagu yang dimuatkan bersama sajak, biasanya bersesuaian dengan nada dan tema sajak. Ia sekadar iringan sajak yang menjadikan sesi pembacaan dan penghayatan sajak berkenaan tidak terasa jemu. Sekurang-kurangnya ada sesutu audio atau suara yang dapat ditangkap oleh deria telinga. Namun begitu, nada keseluruhan atau setiap baris atau rangkap sajak hendaklah diselami oleh penyajak sebelum mengiringi sajaknya dengan audio atau melodi.
          Untuk tujuan huraian, dan perbincangan, saya hanya memilih beberapa contoh sajak. Sajak siber yang dimasukkan dalam kategori ini adalah karya penyajak Hasimah Harun. Jika diteliti, sajak-sajaknya bermelodi atau ada iringan lagu. Contoh sajak yang dapat diangkat dalam kategori ini, misalnya sajak berjudul “Yang Sering Terjadi” (19 Januari 2008), karya Hasimah Harun. Sajak ini mendapat 3 bintang. Sajak yang bertemakan feminin tentang janji seseorang kepada seseorang yang istimewa dalam hidupnya. Lagu yang mengiringi sajak ini ialah “Jesnita” nyanyian kumpulan Exists. Selain itu, sajak ini juga dihiasi dengan gambar seorang perempuan cantik  bersaiz agak besar. Sajak “Sekebun Mimpi” (27 September 2007), melodi yang diperdengarkan indah dan mengasyikkan. Selain itu, gambar sebuah taman yang indah dan berwarna-warni hadir bersama sajak itu. Sebuah lagi sajak yang menarik karya Hasimah Harun ialah “Salju Yang Tidak Lagi Dingin” (7 Januari 2008). Lagu/ melodi yang mengiringi sajak ini berjudul ‘Winter Sonata.’ Selain itu, sajak ini juga dihiasi dengan bunga-bungaan berwarna ungu. Penyajak siber lain yang memasukkan unsur muzik/ lagu bagi mengiringi sajaknya ialah Tintasukma, misalnya sajak “Seurat Benang (Telanjangnya) Di Laut” (2 Januari 2008). Melodi yang diperdengarkan enak dinikmati, ditambah pula latar visual kaki bersilang yang simbolik. Begitu juga dengan sajak Tintasukma “Sketsa ii (Meterai Berahi)” (19 April 2006), melodi yang mengiringi sajaknya begitu lembut, ditambah pula dengan visual teh tarik, roti canai dan kuahnya. 

Nilai estetik sajak siber: Suatu pertimbangan

Penilaian estetik sajak siber sudah berubah. Pengapresiasi sajak bukan sahaja melihat dan menyelami makna sebalik aksara sahaja, malahan unsur/ unsur­-unsur gaya bahasa, dan kosmetik multimedia yang  kena dan bersesuaian dengan isi, bentuk, dan bahasa sajak hendaklah diberi perhatian. Sajak-sajak itu bukan dinilai seperti menilai sajak-sajak yang terbit di media cetak yang  hanya isi, bahasa, dan kekuatan bahasa.
          Puisi siber, dinilai bukan dalam bentuk yang bercetak. Puisi siber hendaklah dinilai pada skrin komputer yang disimpan atau diCDkan atau diDVDkan puisi itu. Nilai pembaharuan bentuk atau visual puisi, isi, audio-video, unsur siber yang bersesuaian, asli, bukan diimport dari laman web lain. Penyajak juga perlu mengambil kira hak cipta dan menyatakan sumber supaya tidak timbul masalah bila diterbitkan nanti. Hal ini jika difikirkan bahawa karya seni orang lain adalah harta intelek yang dilindungi di alam siber.
          Segalanya baru, segar dan tidak klise, ditemui pada sajak-sajak siber terutamanya sajak siber tulen. Jika pengapresiasi sajak siber mendapati sajak yang dihasilkan atau dikomposisikan itu segar dan berkesan diksinya, warna dan grafiknya yang asli, namun melodi dan lagu yang mengiringi sajak itu tidak kena atau tidak sesuai dengan keseluruhan nada sajak itu, maka sedikit menjejaskan estetik sajak Hal-hal ini juga perlu difikirkan dan diambil pertimbangan oleh penyajak siber dalam menyerlahkan kreativiti teknologi alam siber dalam puisinya.

Kesimpulan

Penerbitan antologi puisi siber dalam bentuk CD, DVD atau boleh diakses terus dari laman web/ blog penyajak di eSastera. com hendaklah diusahakan. Antologi puisi siber boleh itu boleh diakses terus atau dibeli dalam online. Estetik  sajak siber tulen atau separa tulen dapatlah diapresiasikan oleh khalayak. Lebih banyak dan cepat antologi sajak siber boleh dihasilkan melalui penerbitan siber. Contoh, setiap antologi memuatkan 50 buah puisi, yang terpilih atau antologi atau kumpulan puisi siber tahunan. Selain itu, penilaian untuk hadiah sastera siber hendaklah berdasarkan sajak siber yang dipindahkan ke bentuk CD atau DVD atau laman web atau blog penyajak berkenaan untuk penilaian para hakim.



Rujukan


eSastera.com
eSastera2u.com
eSastera. Net edisi 1 hingga 9 (versi cetak)
Irwan Abu Bakar & Hasimah Harun. (2003). Kursus kepenyaiaran E-Sastera: Garis  panduan dan tip untuk penyair dan peminat puisi. Kuala Lumpur: Kapas  Publication.
Irwan Abu Bakar & Hasimah Harun. (2008). Berkarya di alam siber. Kuala Lumpur: Esastera Enterprise.








1 ulasan: