29 Mac 2016


TOPIK 5 (a) PROSA MELAYU KLASIK : TEKS EPIK MELAYU

HIKAYAT HANG TUAH
(HHT) : DIMENSI PEMIKIRAN MELAYU

Oleh: Azmi Rahman
Adikarya Melayu
¨ HHT menjadi adikarya (masterpiece) Melayu, seperti juga Sejarah Melayu – menjadi dokumen sejarah dan pemikiran Melayu dahulu hinggalah Melayu masih wujud.
¨ Pemikiran Melayu dalam HHT: animisme, mitos, agama, bahasa, kemanusiaan, modal insan  (modal moral mengikut Hassan Ahmad), kepimpinan, dan sejarah (fakta, realiti dan fantasi).
 Binaan Bab HHT
¨ HHT terbina oleh 28 bab: Bermula dengan cerita Sang Perta Dewa yang berasal dari kayangan turun ke dunia kerana ingin berburu di Pulau Biram Dewa – berkahwin dengan Puteri Kemala Ratna Pelinggam, anak raja kayangan. Hasil perkahwinan, lahirlah putera bernama Sang Sapurba. Beliau menjadi raja di Bukit Siguntang Mahabiru. Ketika berburu, beliau berjumpa dengan seekor lembu putih, jelmaan dewa dari langit. Lembu itu memuntahkan seorang puteri cantik. Sang Sapurba berkahwin dengan puteri, lahirlah 4 putera: Sang Maniaka, Sang Jaya Nantaka, Sang Saniaka dan Sang Satiaka. Sang Maniaka menjadi raja di Bentan, negeri yang makmur.
 Kemunculan HT
¨ Dalam bab 2, muncul watak Hang Tuah (HT) bersama bapanya, Hang Mahmud dan ibunya, Dang Merdu. Mereka berpindah dari Sungai Duyung ke Bentan. Bapa HT bermimpi cahaya bulan menerangi kepala HT.
¨ HT belajar al-Quran, bahasa Jawa, Cina, Siam, India, dan Arab. Kawan-kawan HT; Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Dalam bab 2, diceritakan HT berjaya membunuh pengamuk, ketika berusia 10 tahun. Kelima-lima sahabat dilantik menjadi pengawal istana.
 Bab-bab seterusnya…
¨ Bab-bab seterusnya bergerak tentang hubungan Majapahit dengan Melaka, cubaan membunuh HT semasa di Majapahit menjadi pengawal peribadi Raja Melaka tetapi gagal, berjaya mengalahkan Taming Sari, pahlawan Jawa. HT bergelar Laksamana bersama keris Taming Sari, perkahwinan Raja Melaka dengan Raden Emas Ayu, HT sahabat-sahabatnya berguru dengan Sang Persata Nala di Gunung Wirana Pura, di Jawa.
 Pesan guru HT
¨ Pesan guru HT : HT akan jadi wira Melaka dan Hang Jebat akan mati dibunuh. Jangan ajar ilmu yang dipelajari kepada sesiapapun.
¨ HT difitnah kerana berlaku sumbang dengan perempuan istana – dihukum bunuh tetapi disembunyikan di Inderapura oleh Bendahara (Bab 9). HT berjaya melarikan Tun Teja yang telah bertunang dengan Megat Panji Alam (Megat Terengganu). HT telah menggunakan ubat guna-guna (pengasih) sehingga Tun Teja tunduk dan jatuh hati kepada HT. Tun Teja dipersembahkan kepada Raja Melaka, namun Tun Teja tidak jatuh hati, hanya mahukan HT sahaja. HT mengenakan ilmu antikasih, berjaya kahwin dengan Raja Melaka (Bab 10).
 Keperwiraan HT
¨ Kehebatan HT digambarkan dalam HHT; berjaya mengalahkan 200 pahlawan Majapahit, banyak cubaan membunuhnya tetapi gagal (keris Taming Sari dicuri, pakaiannya dicuri untuk fitnah, 7000 pahlawan Jawa mengepung HT, menombak HT tetapi tidak cedera), 6 bulan di Majapahit. (bab 13).


 HT dalam buangan
¨ Semasa dalam buangan, HT belajar agama dengan Syeikh Mansur. Difitnah lagi kerana berlaku sumbang dengan dayang istana – dihukum bunuh. Disembunyikan oleh Bendahara di hulu Melaka. Hang Jebat ganti Hang Tuah, bergelar Paduka Raja, bersama keris Taming Sari. Hang Jebat mabuk kuasa – menderhaka kerana membela HT yang dihukum tanpa usul periksa.
 Hang Jebat mengamuk
¨ Hang Jebat (HJ) mengamuk di istana, membunuh 700 orang yang tak berdosa tetapi tiada siapa berjaya kalahkan kerana ada bersamanya keris Taming Sari. HT dipanggil semula untuk mendamaikan amukan HJ tetapi HT tiada kekuatan keris Taming Sari. HJ berpesan kepada HT, jaga anak hasil hubungan sulitnya dengan Dang Baru. Jika lelaki, jadikan anaknya sebagai pegawai Tun Nadim, anak HT.
 HT dan keris Taming Sari
¨ HT berjaya merampas keris Taming Sari daripada HJ-- berjaya menikam HJ, dia luka. HJ terus mengamuk, membunuh ribuan orang. Setelah 3 hari HT berkhalwat, HT mendapatkan HJ dan memangku HJ – mati di pangkuan HT. Mayat HJ, selama 7 hari diletakkan di tengah jalanraya supaya ditatapi orang ramai. Selepas itu, mayat digantung pula di tengah jalan raya. Anak Dang Baru, Hang Kadim diperintahkan oleh Raja Melaka dibuang ke laut tetapi HT selamatkan, diserahkan kepada Bendahara Seri Buana, negeri Inderapura. (Bab 17).
 Inderapura dilanggar todak
¨ Hubungan politik Melaka dengan Majapahit diteruskan, juga hubungan dengan Benua India, China dan Siam dijalinkan, HT jadi duta (orang kuat istana Melaka). HT mempamerkan kehebatannya sebagai wira Melaka.
¨ Bab 23 mengisahkan Inderapura diserang oleh ikan todak. Hang Kadim, anak Hang Jebat mencadangkan supaya rakyat Inderapura berkubukan batang pisang – bergelar Orang Kaya Sang Setu – difitnah kerana bermukah dengan dayang istana, Sang Setia. Sang Setu mati dihukum bunuh. HT diarahkan menyerang Inderapura. Mereka yang terlibat dengan pembunuhan Hang Kadim dibawa ke Melaka untuk menerima hukuman Raja Melaka. (Bab 23).
 HT ikut perintah raja
¨ Semasa bersama rombongan Raja Melaka di Singapura, HT cuba menyelamat mahkota Raja dari terjatuh ke laut, keris HT disambar oleh seekor buaya putih – mahkota dan keris Taming Sari hilang. HT menjadi kurang sihat. Semasa Feringgi serang Melaka, HT kurang sihat tetapi tetap berjuang. HT tidak cedera. Angkatan Feringgi belum dapat kalahkan angkatan Melaka.
¨ HT diperintah oleh Raja Melaka ke Rom membeli meriam. HT singgah di Acheh, Madinah, Mesir dan Judah (Jeddah), tunaikan haji, bertemu dengan Nabi Khaidir. Baginda menyapu cembul pada mulut dan telinga HT – dia boleh faham dan bercakap sebarang bahasa. (Bab 25).
 HT dan Puteri Gunung Ledang
¨ Hang Tuah dapat bertemu dengan Raja Rom – berjaya membeli bedil dari Rom.
¨ Puteri Gunung Ledang dinobatkan sebagai Raja Melaka. Diceritakan pula Raja Melaka menawarkan hadiah lumayan kepada rakyat yang mahu ditanam hidup-hidup untuk mengetahui keadaan orang telah mati.
 HT dan Feringgi
¨ HT melakukan perbuatan itu. Setelah keluar dari kubur, HT ceritakan kepada Raja, Bendahara, Temenggung dan Laksamana. Mereka insaf dan taubat, kembali kepada Allah. Bendahara ke Tanjung Keling, Temenggung ke Tanjung Tuan dan Laksamana ke Tanjung Jugara. Raja Melaka pun turun takhta. Mereka dikatakan ghaib (Bab 27).
¨ Mudah bagi Feringgi (Portugis) menyerang Melaka. Puteri Gunung Ledang tewas, lari ke negeri Batak. Feringgi membina kota di Melaka. HT dikatakan tidak mati, tinggal di hulu Sungai Perak, jadi raja orang Sakai. (Bab 28).
 Akhir kalam HHT
¨ HHT selesai dikarang pada 27 Jumadil Akhir, Ahad, jam 4 petang, 1295H. Tidak diketahui pengarang kerana HHT menjadi milik dan hak bersama masyarakat.
¨ Sejarah Melayu dan HHT ada persamaan dan perbezaan; ada pengaruh mempengaruhi dari segi isi dan cerita. Sejarah Melayu mengangkat keturunan dan teladan raja-raja Melayu, manakala HHT mengangkat ketokohan Hang Tuah sebagai wira Melayu, di samping teladan dan modal moral untuk generasi manusia kini serta akan datang.
PEMIKIRAN KEMANUSIAAN DALAM HHT
¨ Apa itu kemanusiaan? 
¨ Sifat semula jadi manusia yang terserlah dan dijelmakan melalui perbuatan manusia berlandaskan akal fikiran (minda). Perlakuan itu sama ada rasional atau tidak mengikut pertimbangan individu, masyarakat, budaya atau agama.
¨ Pemikiran kemanusiaan boleh diteliti sama ada dari dimensi murni/ positif/ mulia atau  tidak murni/ negatif.
 


 Nilai menjadi padi…
¨ Nilai “jadilah seperti padi, makin berisi makin tunduk” dan kesantunan – HT dan rakan-rakan senantiasa merendah diri dan hormat kepada guru dan orang yang lebih tua daripadanya. Contoh: semasa bertemu dengan gurunya, Sang Aria Putera di Bukit Pancasula. Tradisi Melayu menghormati guru dan tidak sombong kepada guru kecuali apabila berdepan dengan musuh. Justeru, HT disenangi oleh kawan-kawan, orang istana dan Raja. Bendahara Seri Buana dan Raja Kisna Rayan (India) mengakui tentang ketinggian budi bahasa dan ketertiban peribadi HT.
 Taat setia demi pemerintah
¨ Taat setia kepada pemerintah/ ketua – Kesetiaan HT kepada raja/ pemerintah tidak berbelah bagi. HT melakukan apa sahaja asalkan untuk raja/ istana. Contoh: melarikan Tun Teja, tunang Megat Panji Alam; membunuh kawan baiknya, Hang Jebat (HJ) yang derhaka kepada raja; terjun ke dalam lubang najis kerana menyelamatkan kuda permainan anak Raja Melaka; panjat pokok kelapa yang genting di tengah-tengahnya, ambil buah kelapa demi santapan permaisuri Raja Melaka yang hamil; ditanam hidup-hidup di dalam kubur; ke China, Siam, Rom, Majapahit, Judah, dan India atas perintah Raja Melaka.
 Nilai sumbangan dan ganjaran
¨ Sumbangan, ganjaran dan anugerah – Raja/ pihak istana memberi ganjaran dan anugerah kepada anak buahnya yang banyak berjasa berupa pakaian persalinan, emas, perak, harta benda, tanah, dan pangkat. Misalnya HT pernah dianugerahkan pangkat Laksamana, keris Taming Sari, tiga buah anak sungai, dan mak inang yang membantu HT untuk melarikan Tun Teja dianugerahkan gelaran Paduka Maha Dewi dan berpuluh-puluh kati emas dan perak. HT bukan manusia kedekut kerana yang diperolehi itu diberikan kepada rakyat.
Nilai kebaikan dan kemaafan
¨ Bersifat lembut, pemaaf – HT bukanlah manusia yang menyimpan dendam terhadap musuhnya, apatah lagi Raja Melaka. HT pernah difitnah, dan dikenakan hukuman bunuh – masih taat dan tidak berdendam kepada raja dan pemfitnahnya; angkatan anak Raja Brunei, Adipati Solok yang ditewaskan oleh HT – Adipati Solok diberi rumah, dijaga makan-minum tanpa ada rasa dendam, dihantar pulang ke Brunei, nama Raja Melaka tersohor kerana kebaikannya.
 Destinasi keinsafan
¨ Kehidupan dilalui, dinilai dan menemukan titik keinsafan – Sesuatu yang telah dilakukan, berlalu. Kemudian, apabila dipertimbang dan dinilai, terdetiklah keinsafan demi kebaikan. Contoh: Raja Melaka insaf apabila HT menceritakan pengalamannya berada di dalam kubur. Baginda ingin jadi fakir, insaf dan ingin beramal ibadat; Raja Melaka sedekahkan segala hartanya kepada rakyat, turun dari takhta, rakyat Melaka menjadi kaya raya. Baginda mengembara jadi fakir miskin. 
Kecekapan pemerintah
¨ Pemikiran politik dan pentadbiran – kombinasi/ team jentera kerajaan yang cekap perlu ada. Contoh: Raja Melaka, bersama Laksamana, Bendahara dan Temenggung yang bekerja keras dan penuh taat setia. Semasa pemerintahan Puteri Gunung Ledang, kerajaan Melaka runtuh.
 Serakah nafsu
¨ Pemikiran negatif/ tidak murni – kerakusan dan kebuasan nafsu manusia demi kuasa dan nama. Contoh: peristiwa HJ dan Hang Kasturi membunuh Megat Terengganu kerana mencabar Raja Melaka; merampas Tun Teja, tunang Megat Panji Alam demi nafsu Raja Melaka; demi fitnah dan menamatkan riwayat hidup HT, banyak nyawa terkorban – peristiwa Betara Majapahit dan menterinya, Patih Gajah Mada hendak membunuh HT; mengorbankan rakyat yang tak berdosa, menjadi benteng serangan ikan todak oleh Raja Inderapura; Raja Terengganu mengcungkil kedua-dua biji mata Pak Si Mulung angkara Raja Terengganu kalah dalam persabungan ayam dengan Raja Culan – Raja Terengganu tukar ayam dengan ayam Raja Culan atas firasat Pak Si Mulung.
 Muslihat demi kemenangan
¨ Menipu untuk mencapai matlamat hidup – HT pernah menipu Taming Sari untuk mendapatkan keris Taming Sari – berpakat menyerang Betara Majapahit, dan akan melantik Taming Sari menjadi Betara. Bertukar keris, terus bertarung dan berjaya membunuh Taming Sari; peristiwa HT menipu Tun Teja untuk berkahwin – membawa lari TT tetapi sebenarnya untuk nafsu Raja Melaka. HT disanjung oleh Raja Melaka atas perbuatan dan jasa tersebut. 
Membara api fitnah
¨ Budaya fitnah dan dengki demi kuasa dan pengaruh. Misalnya, fitnah golongan istana terhadap adik Raja Melaka, Sang Jaya Nantaka yang dikatakan hendak merampas kuasa – dilucutkan jawatan Raja Muda; peristiwa menabur fitnah terhadap HT oleh pembesar istana, Patih Kerma Wijaya – HT skandal dengan dayang istana, dihukum bunuh tapi diselamatkan oleh Bendahara Paduka Raja, dan fitnah yang sama kerana melihat HT disayangi oleh Raja Melaka, dikenakan hukuman bunuh – diselamatkan oleh Bendahara – sembunyi di hulu Melaka; Semasa inilah HJ berkuasa dan mengamuk/ menderhaka. HT menjadi penyelamat; fitnah Temenggung dan pembesar istana terhadap anak Hang Jebat, Hang Kadim ingin merampas kuasa – dihukum bunuh.
Akhir bicara hamba…
Baju Melayu dijahit sepadan,
Butang baju daripada gangsa;
Karya agung sarat teladan,
Tinggi nilai budaya bangsa.

Azmi Rahman
SEML, UUM CAS



Tiada ulasan:

Catat Ulasan