22 November 2018




MESYUARAT PERDANA DI RIMBA

Pengerusinya seekorang (seekor + seorang) gajah masuk kampung.Tiada siapa berani mematahkan gading kuasanya. Tiada siapa berani memotong belalai vetonya. Ahli-ahli terpilih mesyuarat dalam kalangan warga ekorang (ekor + orang) rimba pilihan seekorang gajah: Seekorang kera sumbang yang mambang. Dunianya adalah rimba yang gelap dari dahan ke dahan mencantum pengalaman. Seekorang kerbau dicucuk hidung. Talinya di kaki seekorang gajah. Suara yang mengalir adalah suara pura-pura dari hidungnya yang sengau dan hatinya terkunci. Seekorang kodok ditimpa kemarau, nampak tenang di sebalik resah kepanasan di rimba dingin. Siapa memanggil siapa? Hujan belum turun. Seekorang gajah tidak peduli. Seekorang kucing di atas titian. Suara tidak menentu warna. Nafas berkecai di ruang rimba. Tersilap langkah terjatuh ke jurang. Masih berjuang di atas titian masa? Seekorang kuda kencing di papan. Tiada mula bicara, kosong makna. Tiada akhir bicara, hilang makna.Tinggal hanya bau hancing. Kuda itu masih mahu berlari. Sekeping papan adalah dunianya. Seekorang kura-kura terlentung. Bicara sakit di rimba hukum. Mengharapkan warga ekorang bernafsu. Meniarapkan seekorang kura-kura. Pasti kalah dalam perlumbaan dengan ekorang singa. Seekorang kutu di dalam ijuk  sembunyi diri di rimba rambut kusam. Bicara dusta sembunyi di akar rambut. Menggigit dan menggatalkan kulit kepala. Menjelir lidah yang sering berkata ya, ya, ya. Warga ekorang kutu masih akrab di rimba rambut. Seekorang lalat buta mengusung najis dari longgokan sampah. Mengibarkan sayap khabar dusta. Telur keturunannya mencemari hati suci. Seekorang lalat buta berlagak persis seekorang lalat tahu arah tujunya. Seekorang katak banyak bermain hujan sedikit. Nampak rajin bekerja walhal tidak seberapa. Hujan di lopak semakin kering. Simpan suara di gua dan di longkang. Bermainlah dengan angin. Seekorang kelekatu masuk api. Keberanian menyerlahkan kebodohan. Menjauhi diri dari api bukanlah tanda berani. Terbanglah mencari cahaya malam atau menyerah diri pada api. Seekorang biawak yang tidak hilang kesatnya. Lidahnya bercabang, dan bicaranya songsang. Berkawanlah dengan warga ekorang biawak. Bicara di air bicara pula di darat tentang budi yang telah mati dan tentang jati diri bahasanya yang tenggelam di dua alam.  Seekorang anjing dengan seekorang kucing konflik idealogi salakisme versus meowisme. Siapa yang menang dalam percakaran kuasa? Warga anjing yang menyalak bukit. Warga kucing yang kehilangan anak. Seekorang anjing makan masak mentah. Kononnya melakari teladan masa depan. Sedapnya daging mentah diratah, bukan daging sendiri! Perhitungan waras adalah diri yang dibeli.  Seekorang ular dikutik ekor. Licik membeliti bicara kebenaran orang lain. Ekor sendiri dibiarkan bergerak-gerak. Di mulut berbisa terisi mangsa. Mesyuarat perdana belum selesai. Agenda rimba semakin menebal…

AZMI RAHMAN
UUM Sintok





MONOLOG SANG KERBAU

”Aku jelongak rampung
di sekeliling aku sudah terjual kebodohan
aku runcing tanduk, panjang tanduk,
tiada menanduk orang pun
sebenarnya siapa yang berada dalam gelap?
kau telah meminjam tanduk aku.

Aku sering dikejutkan gongmu
kau sengaja bermain gong di telingaku
aku kenal rumput dan lumpur
kenapa kau lulutkan jebat padaku?
lumpur adalah hadiah bermakna buatku
atau rumput kau letakkan di depanku.

Bermain-main denganku
terkena ekorku di mukamu
aku sudah lama berkawan dengan lumpur
bukan berkawan denganmu
tidak rugi aku berkawan dengan sesiapa
jangan panjangkan tanduk aku
tanduk aku sudah sedia panjang
kau yang masih tidak bertanduk.

Aku dipegang pada tali
kau dipegang pada mulut
siapa yang lebih menepati janji?
aku sudah pulang ke rumah mimpiku
bila diajak tuanku hanya dengan suara
kau masih leka membiarkan aku kelaparan
aku sekawan sukar kau kawal
kau seorang tiada dapat dimaklumi
ideologi aku bersatu, ideologi lumpur dan rumput
itulah kehidupan panjang aku
kau terlalu pandai dan tanpa tali di hidung
ideologimu berpelangi.

Aku di kandang, emas kau berpura
selamat aku di kandang
selamat harta kau
rumput hijauku di luar kandangku
aku di kandang, tiada kau peduli
aku bertanduk, dan rotan beronak
tanduk adalah kekuatanku
kau takut pada tandukku.

Jangan kau beri aku pelana
berikan aku lumpur, tali dan rumput
tali di hidungku
kata-kata pula di lidahmu
jangan kau putuskan taliku
jangan kau lumatkan kata-katamu
jangan kau maling aku
jangan kau musangi ayam
kau tariklah taliku
kau kurunglah ayammu di reban
aku akan menandukmu
aku akan pergi.

Jangan kau hukum aku
jangan kau putuskan taliku
aku bukan pembulang tali
kau yang berikan tali
kau cucuk hidung aku
tiada suara kukhabarkan deritaku
kau jadikan susuku darah dagingmu
kau namakan sang sapi
aku sakit tanpa bersuara
sang sapi bersuara senang atas kesakitanku.

Aku sekandang kau handal gembalanya
kenapa kau seorang tiada terjaga?
aku faham bahasa kerbauku
kau masih kabur bahasa manusiamu
bahasamu bukan bahasa lumpur dan rumput
aku dan rumput hijau adalah kehidupan lamaku
aku sudah faham makna memakan rumput
aku sudah faham makna bermandikan lumpur.

Kau lihat langau di ekorku
kau lihat debu di atas tunggul
kau adalah debu dan langau itu
datang dan pergi dalam dunia kecil aku.

Aku tidak membenci kubangku
kubangku adalah dunia pengalamanku
ideologiku adalah lumpur dan rumput
sesekali kau berkubang denganku
kau mencari aku di padang atau di kubang
jangan, mataku tajam bila kau memilih-milih aku.

Jangan kau hambat aku melabuh
kau dibeliti tali hidungku
kau terhumban ke rumputku
kau berkubang dalam lumpurku
kau menolong aku ditangkap harimau
harimau itu membaham kau
aku masih di kubang
di kubangku, bukan gelanggang sang harimau.

Kau pegang pada taliku
kau tarik aku ke kandang
aku pegang pada kata-katamu
jangan racuni kata-katamu
seekor aku berkubang
sekandang kena luluknya
seekor aku membawa lumpur
sekandang mercik dan terpalit lumpurnya
mengapa aku dengan palitan lumpur?
mengapa kau tidak dengan gelumang dosa?
setitik dosa, rosak pahala kehidupanmu
tidak terpalit dosa pada orang lain.

Kau katakan aku dicucuk hidung
hidungmu tidak dicucuk
hatimu telah dirantai
lidahmu telah dipenggal
langkahanmu mengikut arah
jangan kau menanduk anak bukan dengan hujungnya
seperti aku menanduk lumpur dan rumput.

Jangan kau menjadi aku tersepit leher
dihela tanduk sudah panjang
dilalukan badan sudah besar
kau masih boleh berhenti bernafas
menundukkan tanduk panjangmu
aku menjadi semakin kecil.

Tandukku bercerita tentang aku
kau mahu mengambil tandukku
menjadi hiasan dinding rumahmu.

Jangan kau berkerbau seperempat ekor
berkandang sebagai orang
biarlah aku di kandang
biarlah kau di kandang rumahmu
sesekali jangan kau asyik mendongak langit
pandanglah rumput hidup aku yang kau pijak
fahamilah kubang adalah tanah
tanah adalah asal dirimu.”

AzmiRahman
UUM Sintok - Jitra

Nota:
1.    Sajak ‘Monolog Sang Kerbau’ terhasil berdasarkan penelitian 35 ungkapan peribahasa Melayu dalam Abdullah Hussain, (1982). Kamus Istimewa Peribahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kamus Dewan Edisi Keempat, (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, dan Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan, (2002). Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.



PERIBAHASA TENTANG KERBAU

Bagai jelongak kerbau rampung
= orang bodoh yang sombong, tiada sedar dirinya dibodohi orang.
Bagai kerbau runcing tanduk/ Kerbau tanduk panjang, tiada menanduk pun dikata orang menanduk juga
= orang yang sudah terkenal kejahatannya.
Bagai kerbau terkejut oleh gong
= tercengang – cengang kehairanan.
Bagai melulutkan  jebat pada kerbau
= pemberian yang tidak sesuai dengan tempatnya.
Bermain-main dengan kerbau, dilontarnya muka dengan ekornya
= berkawan dengan orang bodoh tentu menanggung kerugian.
Jangan buat kerbau tanduk panjang
= jangan ikut campur dalam urusan orang lain
Jika kerbau dipegang orang talinya, jika manusia dipegang mulutnya
= janji mesti ditepati
Kalau kerbau sekawan dapat dikawali, manusia seorang tiada dapat dimaklumi
= sangatlah sukar untuk menghadapi manusia kerana tiap-tiap orang berlainan pendapatnya.
Kerbau berkandang, emas berpura.
= harta benda harus disimpan baik-baik di tempatnya supaya ia selamat.
Kerbau bertanduk, rotan beronak
= orang besar-besar kuat kerana kekuasaannya dan rakyat kuat kerana persatuannya
Kerbau diberi pelana, kuda diberi berpasangan
= melakukan sesuatu dengan tidak menurut keadaan yang sebenarnya
Kerbau dipegang talinya hidungnya, manusia dipegang pada katanya
= janji yang sudah diucapkan mestilah ditepati kerana harga manusia terletak pada janjinya itu.
Kerbau jangan dimaling orang, ayam jangan dimusangi
= anak dan isteri hendaklah dijaga dengan baik-baik
Kerbau menanduk, kerbau pergi
= Siapa yang bersalah mesti dihukum setimpal dengan kesalahannya
Kerbau pembulang tali
= orang yang berdolak-balik fikirannya atau yang tidak tetap hatinya
Kerbau punya susu, sapi punya nama/ Kerbau sakit, sapi beroleh nama.
= orang lain yang berbuat kebaikan, orang lain pula yang mendapat nama
Kerbau sekandang dapat digembalakan, manusia seorang tiada terjaga
= kerbau sekawan boleh dikandang, manusia seorang tiada terkawal
Laksana kerbau: di mana rumput hijau di sana menerkam
= tidak mengi(e)ndahkan bahaya kerana melihat barang yang digemarinya
Langau di ekor kerbau, debu di atas tunggul
= kedudukan atau pekerjaan yang tidak tetap
Mana kerbau yang bencikan kubangnya?
= orang yang biasa berbuat jahat tak dapat melupakan tempat ia bersuka-ria
Membeli kerbau di padang
= membuat pekerjaan dalam keadaan terburu-buru tanpa usul periksa lebih dulu
Mendongak rupa kerbau jantan kemudian
= lelaki yang berjalan dengan cemburu di belakang isterinya.
Menghambat kerbau melabuh
= menegahkan sesuatu yang akan mendatangkan keuntungan atau kesenangan kepada diri sendiri.
Menolong kerbau ditangkap harimau
= menolong orang membuat kesalahan akhirnya menyusahkan diri sendiri.
Orang memegang kerbau pada talinya, memegang manusia pada katanya
= manusia dihormati kerana kejujurannya.
Seekor kerbau berkubang, sekandang kena luluknya/ seekor kerbau membawa lumpur, segala kerbau dikatakan membawa lumpur juga/ seekor kerbau membawa lumpur, habis mercik merata-rata/ seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit
= seorang yang berbuat salah, semuanya terbawa-bawa.
Seperti kerbau dicocok/ diatur hidung
= orang bodoh yang selalu menurut kemahuan orang
Seperti kerbau menanduk anak, dengan kaparan tanduk, bukan dengan hujungnya
= marah bapa akan anaknya itu tiada sampai membahayakan.
Seperti kerbau tersepit leher: dihela tanduk sudah panjang, dilalukan badan sudah besar
= terdorong melakukan sesuatu pekerjaan yang salah, tidak mungkin menarik diri lagi.
Terambau kerbau kerana rumput muda
= rosak anak muda kerana melihat perempuan muda yang elok
Tiada akan rintang kerbau oleh tanduknya
= tidak akan terganggu seseorang yang cakap itu melakukan pekerjaannya
Berkerbau seperempat ekor, berkandang sebagai orang
= orang miskin yang berkelakuan seperti orang kaya









KETAM

Bapak dan emak ketam menyuruhkan anak-anak ketam berjalan betul. Anak-anak ketam pula menyuruhkan  bapak dan emak ketam berjalan betul. Bapak dan emak ketam marahkan anak-anak ketam. Anak-anak ketam melawan. Kemudian anak-anak ketam dikatakan anak derhaka. Bapak, emak dan anak-anak ketam sama sahaja. Guru ketam menyuruhkan anak murid ketam kencing. Guru ketam kencing berdiri, murid ketam kencing berlari. Pemimpin ketam menyuruh rakyat ketam jangan salah guna macam-macam. Pemimpin ketam salah guna kuasa dan salah guna wang. Rakyat ketam mengikut setia pemimpin ketam. Orang ketam menyuruhkan orang lain berikan perhatian semasa bercakap. Orang lain pun seperti juga orang ketam menjadi orang ketam. Orang ketam dalam kelompok orang ketam. Betapa banyaknya orang ketam di mana-mana. Orang menjadi orang ketam kerana sepitnya.  
   
AZMI RAHMAN
UUM Sintok

16 November 2018

VTME2031 KEWARTAWANAN III PRAKTIKAL DI DALAM KELAS


VTME2031 KEWARTAWANAN III

Praktikal di dalam kelas.

Anda adalah wartawan Sintok TV. Anda dikehendaki menemu bual sama ada seorang artis (pelakon atau penyanyi) yang baharu muncul dalam industri hiburan Malaysia atau seorang graduan terbaik keseluruhan ijazah sarjana muda pada Konvokesyen ke-31 UUM atau seorang usahawan muda yang berjaya atau seorang ahli politik.

Sebagai wartawan, anda hendaklah menyediakan 3 (tiga) soalan yang akan ditanyakan kepada responden.

Kenal pasti  rakan anda untuk aktiviti ini.  

Nota:

Tulis nama penuh, nombor matrik dan tarikh praktikal ini.

VTME1011 ULANGKAJI KEWARTAWANAN 1




VTME1011 KEWARTAWANAN I

Ulangkaji

Jawab SEMUA soalan berikut:

11.  Siapakah wartawan?
  2.  Apakah tugas seorang wartawan?
  3. Apakah makna berita (news)?
  4.  Nyatakan 5 (lima) jenis berita di media cetak atau elektronik.
  5. Nyatakan maksud 5W + 1H dalam sebuah berita.
  6. Nyatakan 6 ciri seorang wartawan.
  7.  Nyatakan 3 (tiga) kepentingan berita kepada anda.
  8. Nyatakan 3 (tiga) kepentingan bahasa dalam berita.
  9. Adakah anda ingin menjadi wartawan? (Jika ya, nyatakan sebabnya. Jika  tidak, nyatakan sebabnya).

Nota:

Tulis nama penuh, nombor matrik dan tarikh ulangkaji ini.


8 November 2018




ANDAI

Andai tiada hujan
aku tidak akan mengerti
makna selimut basah
mendinginkan jiwa
meskipun seketika.

Andai tiada bintang
aku tidak akan mengerti
makna kejauhan sinar
meskipun tidak mungkin kucapai.

Andai tiada mentari
aku tidak akan mengerti
makna kepanasan cinta
meskipun malam kau tiada.

Azmi Rahman
Jitra
November 2018