MESYUARAT PERDANA DI RIMBA
Pengerusinya
seekorang (seekor + seorang) gajah masuk kampung.Tiada siapa berani mematahkan
gading kuasanya. Tiada siapa berani memotong belalai vetonya. Ahli-ahli terpilih
mesyuarat dalam kalangan warga ekorang (ekor + orang) rimba pilihan seekorang
gajah: Seekorang kera sumbang yang mambang. Dunianya adalah rimba yang gelap dari
dahan ke dahan mencantum pengalaman. Seekorang kerbau dicucuk hidung. Talinya
di kaki seekorang gajah. Suara yang mengalir adalah suara pura-pura dari hidungnya
yang sengau dan hatinya terkunci. Seekorang kodok ditimpa kemarau, nampak
tenang di sebalik resah kepanasan di rimba dingin. Siapa memanggil siapa? Hujan
belum turun. Seekorang gajah tidak peduli. Seekorang kucing di atas titian. Suara
tidak menentu warna. Nafas berkecai di ruang rimba. Tersilap langkah terjatuh
ke jurang. Masih berjuang di atas titian masa? Seekorang kuda kencing di papan.
Tiada mula bicara, kosong makna. Tiada akhir bicara, hilang makna.Tinggal hanya
bau hancing. Kuda itu masih mahu berlari. Sekeping papan adalah dunianya. Seekorang
kura-kura terlentung. Bicara sakit di rimba hukum. Mengharapkan warga ekorang
bernafsu. Meniarapkan seekorang kura-kura. Pasti kalah dalam perlumbaan dengan
ekorang singa. Seekorang kutu di dalam ijuk sembunyi diri di rimba rambut kusam. Bicara
dusta sembunyi di akar rambut. Menggigit dan menggatalkan kulit kepala. Menjelir
lidah yang sering berkata ya, ya, ya. Warga ekorang kutu masih akrab di rimba
rambut. Seekorang lalat buta mengusung najis dari longgokan sampah. Mengibarkan
sayap khabar dusta. Telur keturunannya mencemari hati suci. Seekorang lalat
buta berlagak persis seekorang lalat tahu arah tujunya. Seekorang katak banyak
bermain hujan sedikit. Nampak rajin bekerja walhal tidak seberapa. Hujan di
lopak semakin kering. Simpan suara di gua dan di longkang. Bermainlah dengan
angin. Seekorang kelekatu masuk api. Keberanian menyerlahkan kebodohan. Menjauhi
diri dari api bukanlah tanda berani. Terbanglah mencari cahaya malam atau
menyerah diri pada api. Seekorang biawak yang tidak hilang kesatnya. Lidahnya
bercabang, dan bicaranya songsang. Berkawanlah dengan warga ekorang biawak. Bicara
di air bicara pula di darat tentang budi yang telah mati dan tentang jati diri
bahasanya yang tenggelam di dua alam. Seekorang
anjing dengan seekorang kucing konflik idealogi salakisme versus meowisme. Siapa
yang menang dalam percakaran kuasa? Warga anjing yang menyalak bukit. Warga
kucing yang kehilangan anak. Seekorang anjing makan masak mentah. Kononnya
melakari teladan masa depan. Sedapnya daging mentah diratah, bukan daging
sendiri! Perhitungan waras adalah diri yang dibeli. Seekorang ular dikutik ekor. Licik membeliti
bicara kebenaran orang lain. Ekor sendiri dibiarkan bergerak-gerak. Di mulut
berbisa terisi mangsa. Mesyuarat perdana belum selesai. Agenda rimba semakin
menebal…
AZMI RAHMAN
UUM Sintok
UUM Sintok
Tiada ulasan:
Catat Ulasan