23 Julai 2015


PUAK(A)

Puak kita semakin berpuak-puak. Puak kita memuak-muakkan. Puak kita kepuakan. Sudah ada puak(a) dalam puak kita. Puak mana yang benar menegak tali yang basah. Puak mana yang benar menyelerakkan suara di gelanggang memikat pengikut. Puak yang menang mahu ke puncak kuasa. Mahu terus kekal merantaikan kuasanya. Puak yang tewas mahu mengheret kaki-kaki berkuasa dan meleburkan rantai kuasa di puncak genggaman perintah. Lihatlah puak kita semakin menjadi kecil. Puak(a)-puak(a) dalam puak kita pun banyak. Awas! Apabila puak kita leka, puak(a) – puak(a) dalam puak kita dan di luar puak kita akan mencabut saka di rumah puak kita…Puak kita pun baharu tersedar. Namun sudah sukar menyihirkan puak(a)-puak(a) itu!

Azmi Rahman
Sintok
Julai 2015


22 Julai 2015


EPISOD SAMBUTAN AIDILFITRI


Masam sungguh buah celagi,
Manis pula buah delima;
Ramadan sudah berlalu pergi,
Kemudian Syawal pula menjelma.



Lebat sungguh buah delima,
Ambil sebiji lalu dibelah;
Pagi Syawal takbir bergema,
Memuji-muji kebesaran Allah.



Malam raya pasang pelita,
Pelita di bawah pokok jati;
Bersalam-salaman maaf dipinta,
Salah silap terasa di hati.



Di tepi telaga tanam halia,
Halia muda dikerat-kerat;
Kunjung mengunjungi amalan mulia,
Hubungan saudara tambah erat.



Rumput diisi dalam guni,
Untuk diberi makan rusa;
Rumah terbuka di sana sini,
Pelbagai juadah dapat dirasa.



Ikan temenung masak pindang,
Dibubuh kicap goreng bayam;
Ketupat dan lemang dihidang,
Ditambah enak rendang ayam.



Banyak dikupas buah kelapa,
Ambil santan pulut ditanak;
Duit raya tidak dilupa,
Gembira hati kanak-kanak.




Adik manis pakai jubah,
Sambil duduk makan aiskrim;
Zaman sudah banyak berubah,
Kad raya tidak dikirim.




Banyak tumbuh pokok renek,
Bila kering pokok dibuangkan;
Ucapan raya kiriman elektronik,
Dikirim satu cepat disebarkan.




Pokok serai sudah ditanam,
Pokok kunyit banyak daun;
Selepas raya berpuasa enam,
Pahala puasa seribu tahun.




Ketupat dikukus sudah masak,
Masak rendang ayam kampung;
Jalan raya penuh sesak,
Warga kota pulang ke kampung.




Cuaca petang masih cerah,
Nampak asap berkepul-kepul;
Hari raya menjadi meriah,
Sanak saudara semua berkumpul.




Berbuah lebat pokok bidara,
Pokok mangga tidak menjadi;
Raya sepatutnya orang gembira,
Ada orang ditimpa tragedi.




Buat ulam pucuk salam,
Terung hijau dibuat sayuran;
Dari pagi sampai malam,
TV siarkan rancangan hiburan.



Berbuah lebat mangga sala,
Dikait budak waktu petang;
Selepas raya pening kepala,
Fikirkan pula bayar hutang.



Azmi Rahman
Jitra – Sintok
Julai 2015

 

21 Julai 2015


HILANG


Hilang MH. Misteri Hilang. Besi terbang. Hilang yang tidak pulang-pulang. Hilang masih mengharap MH pulang. Terbang. Masih melayang. Hilang lagi. Lagi-lagi hilang. Hilang wang. Terbang ke lorong-lorong misteri. Ada wang. Hilang terbang. Hilang di pulau-pulau misteri. Suara sarat dan berat. “Mana wang dan ke mana wang hilang?” Cerita baru timbul. Hilang misteri itu. Hilang. Timbul pula cerita misteri baru. Hilang.  Tenggelam hilang. Hilang dan terbang. MH = Maruah Hilang. Hilang. Suara pun diam. Terpendam. Banyak yang hilang. Mari kita bilang yang hilang. Hilang!
 
Azmi Rahman
Jitra
Julai 2015

13 Julai 2015


SEMPADAN


Sempadan aku terentang garisan penghalang. Engkau tidak boleh melintasi sempadan aku. Sempadan aku adalah sempadan harga diri dan maruah diri yang mahal. Penceroboh! Jika engkau berjaya melintasi dan bersatu diri di sempadan aku, maknanya aku telah ditewaskan oleh nafsu. ! Mata aku melihat tetapi tidak berkelip. Tangan aku berkuasa tetapi tidak berdaya menahannya. Hati aku berbisik tetapi tidak tergerak bertindak. Lidah aku pun sudah tidak bersuara lagi. Gelap! Begitulah sempadan berdaulat tanah air aku mudah dilintasi. Penceroboh! Mata, tangan, lidah dan hati. Bisu dan membisu di kiri dan di kanan. Di belakang dan di hadapan sempadan.

Azmi Rahman
Jitra
Julai 2015

12 Julai 2015


SALAM AIDILFITRI


Sudah malam tiba di pekan,
          Sempat lagi menggunting rambut;
Ramadan bakal kita tinggalkan,
          Syawal menjelma kita sambut.

Tanam serai tanam halia,
          Tanam juga cabai merah;
Aidilfitri hari yang mulia,
          Kemenangan kembali pada fitrah.


Tinggi-tinggi pokok sena,
          Dari jauh asap berkepul;
Aidilfitri disambut penuh makna,
          Ahli keluarga gembira berkumpul.


Malam raya pasang pelita,
          Pelita baru beli di pekan;
Ampun maaf hamba pinta,
          Salah silap hamba lakukan.

Sudah dibeli pelbagai tepung,
          Dicampur-campur jadikan adunan;
Cuti raya pulang ke kampung,
          Doa hamba selamat perjalanan.

Hari kian menuju malam,
          Emak di dapur masak ketupat;
Yang jauh berkirim salam,
          Yang dekat semakin rapat.


Membeli satar di Kuala Kemaman,
          Makan banyak tidaklah jemu;
Aidilfitri tanda kemenangan iman,
          Fitrah manusia kembali kepada-Mu.


Ikan tamban ikan belanak,
          Ikan semilang ikan duri;
Riang ria kanak-kanak,
          Berpakaian baru pada Aidilfitri.


Masam-manis buah bidara,
          Dibeli dara di pinggir pekan;
Bersyukur kita dapat bergembira,
          Insan susah janganlah dilupakan.


Keropok tersohor dari Losong,
          Makan petang dengan laksa;
Ungkapan bermakna “kosong, kosong,”
          Hidup bersih tanpa dosa.

Ketupat rendang enak dijamu,
          Pelbagai kuih sedap dirasa;
Nanti kita dapat bertemu,
          Kuatkan hubungan ikatan mesra.


Azmi Rahman
Jitra
29 Jun 2015 bersamaan 12 Ramadan 1436 H








1 Julai 2015


HARGA PETROL NAIK LAGI…

Terkejut juga aku apabila harga petrol naik lagi mulai 1 Julai 2015. Dalam senyap, tanpa tanda yang jelas, harga petrol naik; RON95 naik 10 sen menjadi RM2.05 dan RON97 naik 20 sen menjadi RM2.55. Manakala harga diesel kekal RM2.05. Entahlah ramai yang tidak berpuas hati dan marah-marah kepada kerajaan kerana menaikkan harga petrol menjelang 15 hari sambutan Aidilfitri. Kenaikan harga petrol ini memberi kesan/ implikasi terhadap kenaikan harga barangan terutamanya untuk keperluan Aidilfitri, misalnya ayam, daging, tepung, gula dan minyak meskipun pihak kerajaan menyatakan bahawa barangan kawalan itu tidak naik harga. Aku kurang bersetuju tentang itu kerana apa yang berlaku di pasaran, pihak kerajaan tidak dapat mengawal harga barangan. Apabila dilaksanakan GST, ada usaha mengawal harga tetapi kini para peniaga meletakkan harga sewenang-wenang (sudah dinyatakan termasuk GST). Aku pun tidak pasti tentang itu. Adakah harga dinaikkan oleh para peniaga? Ada pula kedai yang belum melaksanakan GST tetapi menaikkan harga barangan. Tentang harga barangan semakin naik ini, kesianlah kepada mereka yang berpendapatan rendah (B40). Mereka mahu terus hidup dan melalui hidup ini dengan penuh cabaran. Mereka yang bekerja dengan kerajaan, dapat bonus RM500 untuk Aidilfitri tetapi kenaikan harga petrol, seterusnya kenaikan harga barangan untuk beraya seolah-olah tiada makna.

Aku memikirkan bilalah pula harga petrol diturunkan dan harga barangan diturunkan. Nampaknya harga terus naik, dan naik ….

BERBUKA PUASA DI KUALA PERLIS


Pada Ramadan ke-11, aku dan isteri bercadang untuk berbuka puasa di Kuala Perlis. Aku mahu berbuka puasa dengan ikan siapa bakar kunyit, tom yam dan ulam-ulaman yang isteri aku bawa dari rumah. Terbayangkan ikan siakap bakar, sudah menambah selera untuk ke sana. Lagi pun sudah lama aku tidak berkunjung ke Kuala Perlis. Aku selalu singgah ke sana, menikmati udara laut yang segar.

Jam 6.30 petang, kami bertolak dari Sintok ke Kuala Perlis. Kami tiba jam 7.15 malam. Kami diberitahu oleh orang Masjid Al Hussain ada juadah berbuka puasa. Apabila tiba waktu Maghrib, kami pun berbuka puasa bersama-sama tetamu lain ke singgah di masjid itu. Menu berbuka puasa hanyalah kurma, bihun, bubur, dan kuih-muih. Selepas berbuka, kami menunaikan solat Maghrib. Selepas solat Maghrib, kami bercadang untuk menikmati ikan siakap bakar. Ada pula nasi disediakan di masjid; lauk ikan goreng, pajeri terung dan nenas serta sambal belacan.  Dalam hati aku berkata, “Sedap juga kalau makan nasi ini.” Kami pun makanlah nasi di masjid.

Setelah bersolat Isyak, kami teruskan bersolat Terawih. Di Masjid Al Hussain, solat Terawih hanya 8 lapan rakaat dengan solat Witir 3 rakaat. Kalau solat Terawih di Kedah, 20 rakaat, dengan solat Terawih 2 campur 1 rakaat. Setiap 4 rakaat, diselitkan bacaan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan dibacakan doa. Di Masjid Al Hussain (di Perlis), solat Terawih dilakukan terus menerus 8 rakaat tanpa apa-apa bacaan selawat dan doa. Tempoh solat Terawih pula cepat selesai; kira-kira 30 minit sahaja.

Selesai solat Witir 3 rakaat, tanpa doa, kami pulang ke Jitra. Perut sudah kenyang dan tidak boleh diisi lagi dengan nasi dan ikan bakar siakap.

Begitulah sebuah perjalanan hidup ringkas kita yang ditentukan oleh Allah SWT. Kita hanya mampu merancang tetapi Allah SWT Penentu Segala-galanya. Ya Baari.