20 April 2016


ENTRI 21 APRIL2016 : MEMIKIRKAN NASIB BAHASA MELAYU

Macam-macam saya fikirkan tentang nasib Bahasa Melayu (BM) dan apa-apa yang berkait rapat dengan kata Melayu, misalnya sastera Melayu, budaya Melayu, dan bangsa Melayu. Bahasa Melayu sudah dipinggirkan oleh bangsa Melayu. Bangsa Melayu hanya berbangga kerana sejarah lampau Bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca. Kemudian BM dipinggirkan akibat serangan daripada Bahasa Inggeris yang menjadi bahasa global dan bahasa antarabangsa. Bangsa Melayu pula berfikiran bahasa untuk maju hendaklah menguasai Bahasa Inggeris. BM tiada nilai ekonomi apatah lagi nilai ilmu tinggi. BM hanyalah layak berada di kedai-kedai kopi, di surau atau di masjid sebagai wahana komunikasi. Jelas dalam sistem dan pelaksanaan pendidikan, sudah diperkenalkan dasar PPSMI (kemudian dimansuhkan), digantikan pula DLP. Tiada bezanya antara PPSMI dengan DLP. Di IPTA, pula tinggal berapa kursus atau program ijazah yang masih diajar dalam BM. Barangkali pada masa akan datang, kursus BM pun dalam Bahasa Inggeris. Generasi akan datang yang sudah diinggeriskan melalui Bahasa Inggeris sudah hilang BM. Mereka sudah tidak boleh menjelaskan ilmu atau maklumat dalam BM. Hal ini sudah berlaku sekarang. Para pensyarah di IPT sudah janggal berkuliah dalam BM dan tidak dapat menyatakan atau menjelaskan konsep-konsep ilmu dalam BM. Justeru, apa lagi yang boleh bangsa Melayu berbangga dengan BM jika BM sudah dipinggirkan dan sudah luntur seperti terkena peluntur? Siapa lagi yang mahu perjuangkan dan memartabatkan BM – bangsa Melayu di kampung atau di kota atau di sektor kerajaan atau di sektor swasta atau persatuan penulis yang berkarya dalam BM? Orang Melayu di kampung, saya perhatikan mereka pun tidak peduli tentang BM. Di kampung-kampung atau di luar bandar, kalau diperhatikan Bahasa Inggeris lebih banyak digunakan pada menu makanan, nama kedai, dan barangan; misalnya seafood, western food, grill, mini market, frozen, fresh mart, free, dan sebagainya. Kalau di pekan atau di bandar, pastilah menyerlah penggunaan Bahasa Inggeris daripada BM. Belum lagi dibicarakan tentang sastera Melayu dan budaya Melayu; ini pun sudah bercelaru. Sastera Melayu di sekolah dan di IPTA khususnya kian mengecil dan menghilang pelajar atau pencintanya. Budaya Melayu pula, entahlah bercampur-aduk dengan budaya Barat. Budaya Melayu kian tenggelam dilemaskan oleh budaya Barat. Bangsa Melayu pula berpecah-belah angkara perbezaan ideologi. Masing-masing menegakkan ideologi yang dikatakan benar dan lurus. Akhirnya yang tinggal dan boleh dibanggakan oleh bangsa Melayu, apa lagi?

Azmi Rahman     






VIA NEGATIVA

Sayang,
menjadikan cinta kita, cinta terhebat,
buang semua ciri  bukan cinta terhebat yang mampu memusnahkan
kebahagiaan cinta terhebat kita
, sayang.
Jitra
April 2016






PENUNGGANG
Kuda berlari kencang. Penunggang kuda menjinakkan kuda tetapi gagal. Seperti juga lava yang menggelegak meletus panas tidak waras. Siapa mahu meredakan letusan lava tetapi gagal menyejukkannya.
Jitra
April 2016



19 April 2016


WAKTU ADALAH BENANG YANG MENGIKAT LEMBARAN USIA
(Buat Profesor Madya Haji Ibrahim Ahmad)

Sekian lama kita bersama menganyam bilah sejarah
Tiba detik ini bukan menjarakkan kita
Tiba detik ini bukan memisahkan kita
Detik ini kian merapatkan kita
di bawah rumpun keluarga
Tersusun melakarkan ingatan abadi
Dalam arus ingatan memanjang
mengalir doa sejahtera kami
Pelangi di langit kenangan sukar dihilangkan
Segulung waktu adalah benang
yang mengikat lembaran usia kita
Pernah kita bersama menyatukan
fikir rasa dalam diri UUM
Mewarna-warnikan rumah Bahasa Melayu
Menatariaskan wajah diri Bahasa Melayu
Menyuburkan pohon Bahasa Melayu di taman ilmu
Sungguh betapa berjasa tuan
kepada UUM dan Bahasa Melayu.
(Pantun)
Pokok mangga berbuah lebat,
Dipetik setangkai si gadis ayu;
Ibrahim Ahmad memang hebat,
Kepakarannya perihal Bahasa Melayu.
Sudah terbit suria pagi,
Nampak jauh dari anjung;
Budi tuan sungguh tinggi,
Jasa tuan kami sanjung.

Azmi Rahman
Sintok
01 Januari-Februari 2016



17 April 2016







KERING (2)

Kering bendang. Ikan dan rumput reput di dalam tanah. Petani pun menjauhkan diri.
Memandang debu berterbangan. Kering kolam. Pemancing pun tidak lagi memikirkan umpan dan ikan. Tanah merekah menjadi batu. Kering tempayan. Cebok pun jauhlah. Kering diri. Diri yang menjauhkan diri dari air iman. Bendang, kolam dan tempayan,  ujian-Mu adalah kering. Menjadikan hamba-Mu pening dan gering.

Azmi Rahman
Jitra
16 April 2016







KERING


Kering. Pasir dan tanah. Air telah lama pulang ke lidah matahari. Tidak pula turun dari kolam awan. Kering. Mata dan hati tidak pandai berdusta. Tidak menyandar  mana-mana tembok kepentingan diri. Aku melihat juga tapak kaki di atas pasir dan tanah kering. Aku mengepal pasir dan tanah itu. Berberai dan berdebu.

Azmi Rahman
Jitra
15 April 2016




TOPIK 4 PANTUN (Terjemahan ke Bahasa Inggeris)

TERJEMAHAN PANTUN KE BAHASA INGGERIS OLEH MUHAMMAD HAJI SALLEH

(Sumber: Muhammad Haji Salleh, t.t. Pantun dari tujuh tanjung. t.p)

Kalau tuan menari *legung,
          Jangan menari di tepi pagar;
Kalau tuan duduk termenung,
          Jangan lupa mengenang sekitar.
If *legung you’d go a-dancing,
          Dance not by the embankment;
If you sit alone reminiscing,
          Forget not the charming environment.
(hal. 19)
Ambil buluh dihiris-hiris,
          Hiris mari di Pulau Serindip;
Bateri computer sudahlah habis,
          Layar tergetar, berkelip-kelip.
Fetch the bamboo and cut it slow,
          Cut it well on the Isle of Serindip;
My battery is indeed weak, it’s low,
          It shrieks a warning, beep, beep, beep.
(hal. 62)
Ambil benang disambung-sambung,
          Buat menangkap ikan bilis;
Saku kita semakin kembung,
          Otak kita semakin kempis.
Take the net, thread it smaller,
          The anchovies we must catch to fry;
Our purses get much fatter,
          But our hearts continue to shrink dry.
(hal.23)
*legong – sejenis tarian Bali.
Azmi Rahman, UUM Sintok.
 


TOPIK 8 SONETA MELAYU (Nota Tambahan)

SONETA: NOTA RINGKAS

Genre puisi moden yang sudah popular di Malaysia adalah sajak atau puisi. Soneta pula sebagai satu daripada genre puisi moden dalam bahasa Melayu kurang diberi tumpuan oleh penyair dan pengkaji sastera di Malaysia. Namun begitu, di Indonesia, antara penyair terawal yang pernah menghasilkan soneta adalah Muhammad Yamin (1903-1962), dan Sanusi Pane (1905 – 1968) (Puzi Hadi, 2011). Di Malaysia, sehingga kini (2013), hanya tiga buah buku soneta yang diterbitkan, iaitu 68 Soneta Pohon Ginkgo karya A. Samad Said (2008), Pepohon Perteduhan Cinta karya bersama Yajuk, Kriey, Citranalis, Mokhtar Rahman & Azmi Rahman (2011), dan 44 Soneta karya Mokhtar Rahman (2011). Entri kata soneta terdapat dalam kamus dan glosari kesusasteraan Melayu, misalnya Safian Hussain et al (1988, h. 313-315), Hashim Awang (1986, h. 88), Rahman Shaari (2001, h. 92), dan Kamus Dewan Bahasa edisi keempat (2015, h. 1505).

Secara mudah kata soneta (dalam bahasa Inggeris, sonnet, dan dalam bahasa Itali, sonetto) berasal daripada bahasa Latin, sonus bermaksud “A poem of fourteen lines in pentameter verse form.” Bentuk soneta Itali adalah berskema rima abba, abba, cdc, dcd atau cde, cde. Manakala bentuk soneta Inggeris atau soneta Shakespear adalah abab, cdcd, efef, gg (Scott, 1985, h. 272).


Di Malaysia, sekitar 2002 muncul sebuah laman web sastera, eSastera.com (kemudian mulai 28 Disember 2012, bertukar menjadi eSastera2u.com yang diasaskan oleh seorang profesor dan saintis kejuruteraan biologi, iaitu Profesor Ir Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas (Drirwan). Komuniti soneta diwujudkan pada 14 Mac 2010, dimulai dengan soneta berbentuk 4-4-4-2 bertajuk “Soneta Pengembaraan Cinta” karya Mokhtar Rahman. Kemudian muncul pula soneta 4-4-3-3 berjudul “Soneta Cinta” juga karya Mokhtar Rahman pada 26 Mac 2010. Sepanjang tahun 2010 hingga 2011, sejumlah 117 buah soneta berbentuk 4-4-4-2, dan 21 buah soneta berbentuk 4-4-3-3 dipaparkan di eSastera.com. Antara penyair yang aktif menerbitkan soneta adalah Azmi Rahman (42 buah), Kriey (19 buah), Mokhtar Rahman (19 buah), Yajuk (21 buah), dan Citranalis (19 buah) (Puzi Hadi, 2011). Komuniti soneta diuruskan oleh Kriey yang kini berada di Mesir. Sejak diwujudkan, komuniti soneta berkembang aktif. Antara penyair soneta yang aktif berkarya di komuniti ini adalah Mokhtar Rahman, Kriey, Citranalis, Yajuk, dan Azmi Rahman (Irwan Abu Bakar, 2011).

Disediakan oleh
Azmi Rahman


 


TOPIK 9 KESUSASTERAAN SIBER (Nota Tambahan)

TEORI SASTERA SIBER: TERSEDIA RUANG UNTUK PEMBINAANNYA

Pelbagai teori sastera telah dibina oleh para sarjana dalam pelbagai bidang. Kita biasa dengan sama ada teori sastera klasik, misalnya teori formalistik, struktural, sosiologi sastera, stilistik, psikoanalisis, moral, estetika, fenimisme, fenemenologi, kata kunci, intertekstualiti, rasa, dan teori sastera yang bersifat tempatan, misalnya takmilah dan estetika tauhid. Teori-teori sastera ini didalami dan diaplikasikan terhadap data atau  karya sastera Melayu. Teori sastera yang diimport dari barat telah diubah suai oleh para sarjana tempatan. Teori-teori sastera yang sudah sekian lama dipelajari, jika diteliti adalah gabungan ilmu sastera dengan ilmu lain, misalnya sosiologi sastera adalah gabungan sosiologi dan sastera, stilistik; linguistik dan sastera, psikoanalisis; psokologi dan sastera, estetik; estetika dan sastera, dan moral dan agama pula adalah gabungan ilmu moral dan agama dan sastera. Kemudian pabila muncul teknologi, komputer dan Internet, di alam siber, sastera yang sudah sekian lama diadun dengan didekati dengan disiplin atau ilmu lain, memunculkan sastera siber. Justeru, sekian lama sastera siber wujud, para peneliti karya sastera siber memikirkan bahawa pembinaan sebuah teori sastera baru dinamakan teori sastera siber perlu diterokai. Untuk cetusan awal, kita terima pakai istilah itu dahulu sebelum terbinanya dengan kukuh sebuah teori sastera siber.
          Tulisan saya yang berjudul “Sajak Siber: Berbeza Dimensi Estetiknya” sekadar mengembangkan idea dan dasar ilmu sastera siber yang saya kutip daripada tulisan Drirwan. Saya mengutip idea Drirwan, misalnya konsep sastera siber, karya siber tulen, separa tulen dan primitif. Pada pengamatan saya, konsep-konsep sastera siber belum lagi digazetkan dalam glosari istilah kesusasteraan atau kamus Bahasa Melayu. Pada pandangan saya perlu dimasukkan segera entri e-sastera, e-sasterawan, sastera siber, sajak siber, cerpen siber, penyair siber, di bawah entri siber (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2015, hal. 1487). Begitu juga dengan e-sasterawan, blog, blogger, blogging dan memblog. Kita  masih menunggu untuk menatap entri atau kosa kata baru tentang  sastera siber dimasukkan dalam Kamus Dewan atau kamus berbahasa Melayu lain.
          Kemudian saya membaca dan meneliti tulisan Atui Dtabasan “Sebuah Teori Sastera Siber?”  Menarik cetusan idea Atui Dtabasan. Inti dan idea pembinaan suatu teori sastera siber hendaklah diusahakan dengan giat. Persoalannya dari mana boleh terhasilnya teori sastera siber? E-Sasteralah yang telah menyediakan ruang, memunculkan teori sastera siber. Hanya keterlibatan para sarjana sastera Melayu yang masih belum serius menyelami sastera siber, dan ada yang masih menolak atau belum menerima kehadiran sastera siber. Karyawan yang masih lagi selesa berkarya secara konvensional sukar berkawan dengan teknologi kerana terasa masih ketinggalan dan tidak boleh atau tidak mahu menguasai teknologi komputer.
          Pada pandangan saya, asas dan dasar teori sastera siber bertitik tolak dari teknologi dan komputer dan Internet. Melalui alatan canggih inilah, munculnya pelbagai produk siber yang kuat dibantu oleh software yang canggih dalam poenghasilan karya kreatif siber, misalnya sajak siber dengan dibantu alatan canggih, mudah mendapat tempat dan perhatian khalayak siber. Kita lihat di alam siber yang disediakan oleh e-Sastera.com (kini esastera2u.com) muncul sajak-sajak siber tulen yang dikomposisikan oleh penyair siber, misalnya penyair Curasimanjakini dengan sajaknya “Musim Cinta II” (19 Mei 2008), “Akulah Penyair Sichuan” (18 Mei 2008), “AK-41” dan (24 Mei 2008). Sebelum itu, khalayak siber diskrinkan dengan sajak “Puisi Sengsara” (16 Mei 2008) dengan versi flash. Contoh sajak lain ialah yang dikomposisikan oleh penyair Hasimah, iaitu “Niaga Perasaan” (22 Mei 2008).
          Sastera siber adalah sastera berteknologi tinggi. Selain itu, sastera siber adalah sastera yang penuh dengan warna-warni aksara, animasi, dan audio-video. Sastera siber bukan sekadar karya atau produk karyawan siber untuk dilihat, malahan didengar, dan dihayati alunan audio-estetik video yang menyentuh jiwa khalayak siber.
          Saya juga mengesan proses kreatif karyawan siber bagi karya siber berbeza daripada proses kreatif karyawan konvensional. Karya konvensional bermula dari idea, dikembangkan di atas kertas, kemudian dicetak, dan dibaca pembaca. Kita dapati karya dan karyawan tidak berinteraksi dengan khalayak secara pantas dan spontan. Namun, karyawan siber, kreativitinya menjangkau jauh. Idea karya dikembangkan di atas skrin komputer, dikomposisikan dengan pelbagai unsur multimedia, iaitu teks, warna, audio-video, animasi, interaktiviti dan tautan (link). Karya siber itu dinikmati dengan indera mata, dan telinga. Segala unsur dalam karya siber meskipun jika sekadar kosmetik estetik, dapat mengusik jiwa. Mungkin sastera siber nanti, misalnya genre sajak, aksara di skrin boleh disentuh untuk menghasilkan pelbagai pergerakan, pelbagai warna, dan audio-video. Segalanya terletak di tangan dan di minda karyawan siber dalam menghasilkan pelbagai karya siber tulen yang dapat  dinikmati oleh khalayak siber.
          Dalam seminar atau bengkel  sastera siber  yang diadakan boleh menjadi medan untuk membina, mencari teori sastera siber, dan meneliti karya siber dalam pelbagai genre. Selain itu, karyawan siber memikirkan dengan alatan bantu dan software yang dihasilkan, memungkinkan pelbagai karya siber yang kreatif yang mampu menggugah minda khalayak siber.

Azmi Rahman
TAMAN PANCAINDERA
http://mohazrahman.blogspot.com




TOPIK 4 (IV) GURINDAM
MENGHAYATI “GURINDAM DUA BELAS,” MEMBENIH ILHAM MENGARANG “GURINDAM 99 NAMA ALLAH”
Puisi merupakan suatu pengucapan dalam susunan yang istimewa yang dimanifestasikan dalam bentuk lisan, tulisan, dan elektronik selari dengan perkembangan teknologi terkini.  Puisi Melayu tradisional adalah sebahagian daripada puisi tradisional Nusantara yang mempunyai bentuk, isi, dan fungsi tersendiri. Genre puisi Melayu tradisional masih belum dapat dikonkritkan dengan jelas. Persoalan genre puisi Melayu tradisional masih diperdebat dalam kalangan sarjana. Namun begitu, dalam 34 senarai genre puisi Melayu tradisional, gurindam merupakan satu daripada puisi yang dinyatakan itu (Harun Mat Piah, 1989).
Gurindam sudah dikenali sejak zaman Hindu lagi. Istilah gurindam dikatakan berasal daripada bahasa Tamil, kirandam yang bermaksud perumpamaan. Za’ba (dalam Aripin Said, 1994) menyatakan bahawa gurindam adalah sejenis syair  yang tidak teratur rangkap-rangkap, dan suku katanya tidak tetap. Gurindam dikatakan sebagai sejenis puisi lama sama ada berbentuk terikat atau tidak terikat. Gurindam yang berbentuk terikat terbentuk oleh dua baris serangkap dengan a,a rima hujung baris. Bahasa gurindam pula bernas dan serius. Manakala isi gurindam mengandungi nasihat, didaktik, dan pengajaran moral (Safian Hussain, et al. 1988).
Jika diteliti, pelbagai pendapat tentang gurindam dikemukakan. Namun model gurindam yang dijadikan panduan bagi penciptaan dan penggubahan “Gurindam 99 Nama Allah” adalah “Gurindam Dua Belas” karya Raja Ali Haji. Istilah gurindam sebagai suatu istilah yang diterima umum adalah berdasarkan “Gurindam Dua Belas” karya Raja Ali Haji yang dikarang sekitar tahun 1846 (Harun Mat Piah, 1989). Menurut Raja Ali Haji, gurindam gurindam terbentuk  dua baris yang sejajar atau berpasangan ; baris pertama dianggap syarat (protasis), dan baris kedua sebagai jawab (apodosis).Antara ciri-ciri khusus gurindam, adalah: a. bentuknya bebas, dan tidak terikat dari segi rangkap atau tidak, b. bentuk yang terikat dengan mengambil kira model “Gurindam Dua Belas” yang berskema rima sama hujung baris, c. mempunyai ciri-ciri puisi tradisional, misalnya rima antara baris-baris sejajar atau terdapat unsur  aliterasi atau asonansi dalam setiap baris, d. isi gurindam terungkap hal  yang benar, serius atau perasaan yang berat, d. fungsi gurindam bukan dalam maksud bercerita seperti dalam prosa, seloka, mantera, dan teka-teki (Harun Mat Piah, 1989).
Semasa mengambil subjek kesusasteraan Melayu di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan (STP), saya membaca “Gurindam Dua Belas” karya Raja Ali Haji. Kemudian, semasa mengikuti kursus sastera tradisional Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), saya pernah mendalami dan mengkaji gurindam sebagai satu daripada genre puisi Melayu tradisional.  Kemudian apabila saya mengajar subjek kesusasteraan Melayu sebagai kursus minor Bahasa Melayu di Universiti Utara Malaysia,  “Gurindam Dua Belas” menjadi antara bahan kajian pelajar dari aspek bahasa dan pemikiran.  Saya kagum dengan isi dan bahasa gurindam itu apabila mengkaji setiap fasa atau fasa demi fasa; Fasa yang pertama  hingga fasa yang kedua belas. Seterusnya apabila saya bersama dengan eSastera sebagai medan sastera siber yang membuka, dan memberi ruang untuk pelbagai genre karya sastera siber, saya mengarang dan menggubah gurindam siber di komuniti/ seksyen puisi Melayu tradisional.
Kembara sastera siber saya berterusan. Saya menyimpan semangat dan azam dalam hati mahu mengarang gurindam panjang yang terilham daripada “Gurindam Dua Belas.” Saya memikirkan subjek untuk gurindam siber yang paling hampir dalam diri saya adalah 99 nama Allah SWT.  Saya memikirkan banyak nama Allah SWT yang sekian lama saya jadikan amalan. Sejak sekolah menengah atas, pernah ustaz yang mengajar subjek sejarah Islam, ustaz Abdullah Al-Qari (2012) berpesan kepada anak-anak muridnya bacalah dengan yakin nama Allah, Ya Nur supaya Allah memberi  ingatan yang kuat, dan tidak mudah lupa kerana Allah Yang Maha Bercahaya.  Nama-nama Allah SWT yang memang sebati menjadi amalan saya, antaranya  adalah Ya Allah, Ya Rahman, Ya Awwal, Ya Rahim, Ya Waliy, Ya Sobur, Ya Musawwir, Ya Razzaq, Ya Mutakabbir, Ya Salam, Ya Karim, Ya Raqib, dan Ya Muhyi. Setiap nama Allah SWT ini ada fadilat tersendiri. Hanya Allah SWT Yang Maha Mengetahui. Seterusnya, saya masih menghayati, dan menyelami rahsia 99 nama Allah SWT yang tidak terjangkau akal manusia. Allah berfirman, bermaksud; “Allah SWT memiliki nama-nama yang indah, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyeru nama-Nya itu.” (Surah al-A’raf: ayat 180). 
Benarlah pernyataan bahawa Asma’al Husna merupakan nama-nama Allah Yang Maha Indah yang hanya milik Allah SWT. Nama-nama Allah bukan sekadar nama tetapi mempunyai khasiat atau fadilat yang menjadi amalan (Akmal Muhammad Zain, 2010). Saya masih lagi mentelaah buku-buku baru tentang Asma’ al Husna; misalnya selepas selesai mengarang “Gurindam 99 Nama Allah” saya  mentelaah pula buku kajian oleh Akmal Muhammad Zain (2010), Adil Akhya (2010),  Mohd Fauzi Hamat & Mohd Hasrul Shuhari (2011), dan Hassan Mia (2012). Insya-Allah “Gurindam 99 Nama Allah” kehadiran yang asalnya dalam bentuk siber, dijelmakan pula dalam bentuk cetak, menyegarkan, dan menyemarakkan khazanah genre puisi Melayu tradisional.

Azmi Rahman
UUM Sintok.

Rujukan
Ab. Rahman Ab. Rashid, Harun Jaafar, Mohd. Rosli Saludin & Talib Samat. (2003). Kamus teras sastera. Petaling Jaya: Pearson Malaysia Sdn. Bhd.
Abdullah Al-Qari B. Hj. Salleh (‘A.Q.HA.S). (2012). Atasi sakit anda dengan 63 penyembuhan sampingan. Batu Caves: Al-Hidayah Publication.
Arifin Nur. (1971). Kesusasteraan lama Melayu. Kota Bharu: Pustaka Aman Press.
Arifin Said. (1994). Puisi warisan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Harun Mat Piah. (1989). Puisi Melayu tradisional: Satu pembicaraan genre dan fungsi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus dewan edisi keempat. (2005). Kuala Lumpur: Dewana Bahasa dan Pustaka.
Rahman Shaari. (2001). Bimbingan istilah sastera. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Safian Hussain, Mohd Thani Ahmad, Zakaria Ariffin, Ahmad Kamal Abdullah & Suhaimi Hj. Muhamad. (1988). Glosari istilah kesusasteraan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rujukan tambahan Asma’ al Husna
Adil Akhya. (2010). Kuasa ajaib Asma Husna. Johor Bharu: Pustaka Azhar.
Akmal Muhammad Zain. (2010). Zikir Asma’al Husna & fadhilahnya. Cetakan keempat. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publications.
Hassan Mia. (2012). Zikir Asma ul Husna: 99 nama Allah cahaya penawar, pelindung & pencapai hasrat keperluan harian. Cetakan keenam. Kuala Lumpur: Darul Nu’man.
Mohd Fauzi Hamat & Mohd Hasrul Shuhari. (2011). Asma’ al husna dan modal insan. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.



6 April 2016




SLAID 4 MIDAS

1.  Blog saya E-Sasterawan.Net sebelum blog TAMAN PANCAINDERA sudah dilawati lebih 180,000 pengunjung. Blog ilmu, sastera dan interaksi.
2.  Konsep UNIVERSITI DI MANA-MANA dan DI MANA-MANA UNIVERSITI terlaksana; interaksi maya.
Sekian, terima kasih.

Azmi Rahman
Sintok
April 2016

SLAID 3 MIDAS 

Kelebihan dan Cadangan Penggunaan Blog PdP:

1.  Praktikal kerana pelajar sudah mesra dengan teknologi media baharu dan alatan komunikasi canggih terutamanya telefon pintar yang dibawa ke mana-mana.
2.  Blog PdP dilinkkan dengan UUM Online Learning. Blog yang dimaksudkan bukanlah blog sifatnya peribadi tetapi blog untuk sebarkan ilmu.
3.  Pelajar lebih selesa dan memudahkan mereka dalam PdP di kelas maya. Respons pelajar dengan memberi skor markah 100%) dalam Ecevas (TG151, KH141, KH143, A131, A142 (99.59), A151 (98.80)







SLAID 2 MIDAS
KAEDAH BLOG PdP
 2.1 Bahan-bahan dimasukkan di blog mengikut topik  dari semasa ke  semasa termasuk juga senarai rujukan, laman web yang boleh dilawati dan soalan ulangkaji.
2.2 PANDUAN TERARAH UNTUK PELAJAR diedarkan                       kepada pelajar (lihat edaran)
2.3 Pelajar mentelaah lebih awal pada bila-bila masa dan di               mana-mana berada.
2.4 Pelajar ke kuliah hanya membawa telefon pintar dan ke blog merujuk topik yang ditetapkan atau mahu   dibincangkan.
2.5  Contoh-contoh berkenaan topik dipaparkan di blog,                      misalnya pantun, dikir, gurindam, syair, puisi siber dan entri blog.







SLAID 1

MINDA DI ALAM SIBER (MIDAS)
SLAID 1 MIDAS

MUKADIMAH
1.  Dinamakan Blog PdP
2.  Bahan PdP terhimpun di blog bernama TAMAN PANCAINDERA untuk:
2.1      Kursus SBLM2033 Kesusasteraan Melayu (A152)
2.2      Kursus Penulisan : ilmiah, kreatif (pelbagai genre) dan           popular
2.3      Kursus Bahasa dan Pemikiran Kesusasteraan (peringkat Sarjana)
2.4      Interaksi ilmu dengan warga dunia di alam siber











ENTRI (2) 7 APRIL 2016

TAHU, PANDAI, BIJAK DAN GENIUS

Empat kata ini berbeza makna. Makna kata ini saya mahu kaitkan dengan gelagat anak-anak dan pelajar di universiti. Ramai yang tahu macam-macam apatah lagi yang berkaitan teknologi. Tanyalah anak-anak sekarang yang berumur semuda tiga tahun tentang permainan (game) dalam komputer atau telefon pintar. Cekap mereka bermain dan tahu pula cara mengoperasikan telefon dan permainan itu. Cekap juga mereka membuka laman web di Internet. Pernah kawan saya bercerita anaknya berusia tiga tahun menonton youtube melalui telefon pintarnya, sampai bil RM200.00. Anak-anak itu tahu tentang itu. Ada kes kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun melahirkan anak. Kanak-kanak itu tahu untuk “bersama” dengan lelaki berdasarkan apa yang ditonton dan dibaca di Internet. Namun, kanak-kanak itu tidak pandai menguruskan diri sebagai ibu dan rumah tangga. Apatah lagi mereka tidak bijak lantaran membuat keputusan untuk melakukan perbuatan terkutuk itu. Mereka fikir untuk seronok sahaja, kemudian lepas tangan. Proses membina diri adalah proses seseorang itu tahu, pandai, dan bijak dalam segenap segi. Genius adalah kebolehan luar biasa seseorang dalam akademik atau sesuatu ilmu, misalnya matematik. Pernah negara digemparkan dengan kegeniusan Adi Putera, Sofea, dan Amalina. Namun, perkembangan terkini manusia genius Melayu ini, kita pun tidak tahu. Pernah saya bertemu seorang anak murid saya di UUM, anak perempuannya yang berumur 4 tahun sudah pandai membaca surat khabar dan buku cerita dengan lancar. Anaknya tidak seronok berada di tadika kerana jemu. Apa yang diajar oleh guru di tadika, anaknya sudah tahu. Anak murid saya itu mahu anaknya membesar mengikut nature  seorang kanak-kanak; bermain-main, mengaji al-Quran dan banyak masa bersama keluarga. Dalam kes pelajar universiti pun sama. Yang tahu pelbagai maklumat memang ramai. Macam-macam infomasi mereka tahu daripada Internet; dengan IG, blog, whatsapp, youtube, twitter, dan facebook. Bagaimana mereka hendak menggunakan segala maklumat itu, perlukan kepandaian dan kebijaksanaan dalam penulisan ilmiah terutamanya dan perbincangan ilmu. Yang kurang juga mereka kurang membaca bahan ilmiah daripada sumber primer dan berwibawa. Yang kurang juga mereka sudah tidak tahu hal-hal alamiah; tentang pokok, berenang-renang di sungai, melastik burung, memanjat pokok, membina pondok, menangkap ikan di sawah, berlaga ikan, menanam pokok serai, kunyit, halia, lengkuas, pandan, cabai, terung, kacang panjang, mengenali pelbagai jenis ikan darat; sepat, puyu, keli, haruan, belut, lampam, dan macam-macam lain.    

Azmi Rahman



ENTRI  7 APRIL 2016
 

NIKAH: MENIKMATI MANIS & PAHIT

Nikah dikaitkan dengan perkahwinan antara pasangan lelaki dan perempuan. Namun ada juga perkahwinan songsang; antara lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan. Entahlah mereka yang berfikiran kebaratan yang mahukan kebebasan, hak asasi manusia, dan gaya hidup berpandukan logik akal “apa-apa pun boleh.” Ini pula bab nikah orang Melayu yang beragama Islam. Macam-macam cerita tentang nikah kalau kita akhbar; ada yang terlalu santai, tragedi, manis, pahit dan duka. Ada kes yang bernikah muda ketika umur 13 tahun. Bernikah dalam usia terlalu muda kalau dapat bertahan sampai ke akhir hayat, kira bersyukurlah. Ada kes perempuan lari sebelum majlis pernikahan dan bernikah dengan lelaki lain. Perancangan kenduri telah dibuat. Namun majlis itu ditukar kepada majlis kesyukuran. Kes lain pihak keluarga perempuan marah-marah kepada pihak keluarga lelaki kerana jumlah wang hantaran diserahkan tidak cukup. Bila diletakkan belanja hantaran terlalu tinggi, di pihak lelaki ia menjadi beban tetapi mahu nikah juga. Ada pula majlis nikah sudah dilaksanakan tetapi bila isu tidak cukup jumlah wang hantaran yang dijanjikan si suami melafazkan talak tiga. Si lelaki kecewa lantaran sikap perempuan dan keluarganya terlalu materialistik. Kalau difikirakan itu cara terbaik meskipun memalukan kedua-dua pihak kerana perkahwinan akan dibina dalam tempoh waktu yang lama. Kalau di peringkat awal perkahwinan sudah tercalar noda, bagaimana nanti mahu dihadapi waktu yang akan dihadapkan itu? Ada kes mas kahwin segelas air sejuk sahaja. Ada kes nikah dan kahwin, mereka mencari sensasi dan glamor dengan diadakan majlis besar-besaran, berpakaian baju sekolah, nikah di atas lori atau di atas kereta lembu. Ada pula nikah kedua dan ketiga di tanah seberang; di Siam sebab proses nikah mudah dan murah.

Isi rambutan sudah lokah,
Dimakan isi dengan susu;
Nikah bukan sebarang nikah,
Nikah bukan ikut nafsu.

Azmi Rahman




5 April 2016



MERBAHAYA


Katamu, “selepas hujan, jalan cinta itu basah.
berhati­-hati memandu kenderaan perjalanan
menuju destinasi rindu.”


Katamu, “ketika musim kemarau,
jalan cinta itu berkerikil tajam.
berhati-hati memandu kenderaan hidup
menuju destinasi kasih.”


Katamu, “berhati-hati di selekoh cabaran.
perlahan­-lahan had kesabaran panjang.
tiba ke destinasi pelangi abadi.”


Kataku,”cinta kita sepadu rindu, sepersih kasih,
dan sebudi abadi.”

Jitra

SELISIK

Sukar aku mencari bukti
lurus rambutmu
bukan rambut palsu!

Setelah ditunjukkan
rambut seorang ratu
pun begitu!

azmi rahman



YUDA

Darah adalah hadiah
milik pemenang yang debah.

Bumi kuasa terserah
milik pejuang yang rebah.





PANTUN PENDATANG ASING


Pok pok amai amai,
Tepuk-tepuk hilang arah;
Pendatang asing makin ramai,
Makin ramai, makinlah parah.


Kari ikan rempah Babas,
Ikan pula ikan aya;
Pendatang asing lagak bebas,
Jadi peniaga, jadi kaya.


Budak-budak main gasing,
Main di bawah pokok sena;
Ramai sungguh pendatang asing,
Indon, Bangla, dan Cina.


Gasing bukan sebarang gasing,
Ukiran hebat seni reka;
Ada lagi pendatang asing,
Filipina, Nepal dan Afrika.


Letak kitab di atas rehal,
Mahu baca pasang pelita;
Pendatang asing buat hal,
Huru-hara susah kita.


Malam hari pasang pelita,
Pelita dipasang tepi bendang;
Jangan nanti dunia berkata,
Negara tiada undang-undang.

AzmiRahman
Sintok





PERIBAHASA TERSURAT & TERSIRAT : EMAS & BUDI

Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Maksud:
Jika berhutang kepada seseorang, hutang tersebut boleh dibayar tetapi jika terhutang budi, sukar dibayar dengan wang ringgit atau barang berharga.

Huraian:
Pepatah ini mengungkap mengenai hutang yang boleh dibayar dan tidak boleh dibayar. Dinyatakan bahawa emas sebagai barang yang berharga dan bernilai, hutangnya boleh dibayar. Namun budi sebagai suatu yang abstrak, berkenaan kebaikan yang manusia lakukan, tidak boleh dibayar. Apa kebaikan atau budi yang dilakukan oleh seseorang akan diingati dan dibawa sampai mati. Dalam konteks yang lebih luas, budi menjurus hal yang positif; tindakan, sikap, pemikiran, perbuatan dan idea. Dalam kehidupan orang Melayu pula, budi sering dikaitkan dengan bahasa, disebut budi bahasa. Apa yang terlahir daripada bahasa adalah manifestasi budi seseorang. Jika orang tidak berbudi, buruklah bahasanya. Jika diperluaskan kepada bangsa; bangsa yang tidak berbudi, buruklah bahasanya. Tiada bahasa, tiadalah budi sesuatu bangsa. Jika dikhususkan kepada bangsa Melayu; buruk bahasa Melayu, buruklah budi orang Melayu. Dalam kontels pepatah lama ini, apa jua benda yang bernilai, ada harganya. Jika berhutang, boleh diselesaikan hutang. Dalam hidup ini, yang lebih penting adalah nilai budi yang mengatasi segala-galanya. Moral di sebalik pepatah ini; jangalah pentingkan material sehinggakan hal-hal kebudian dilupakan.

Azmi Rahman


KURSUS KESUSASTERAAN: PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (PdP)

1.     Subjek kesusasteraan di sekolah dan di universiti/ IPTA dan di luar negara; Beijing, London, Brunei, Singapura, Indonesia, Jerman, dan Amerika Syarikat – kajian teks, sejarah kesusasteraan, teks klasik, kaedah pengajaran, apresiasi karya, kritikan, teori sastera, dan khalayak sastera.
2.     Pengajaran – ilmu di universiti bagi mereka (para guru) yang major/ minor dalam bidang bahasa/ kesusasteraan Melayu.
3.     Pengajar – guru/ pengarang/ pengapresiasi. Aplikasi kaedah yang betul
4.     Masalah di pihak pengajar – tidak minat/ tiada sentuhan apresiasi.
5.     Masalah di pihak pelajar/ penerima – tidak minat/ luntur terhadap subjek kesusasteraan.
6.     Subjek kesusasteraan/ aliran sastera – persepsi masyarakat/ guru/ pelajar – rendah/ yang tidak/ kurang pandai versus aliran sains/ teknikal.
7.     Siapa yang salah: Guru atau pelajar atau sistem pendidikan atau pelaksana sistem?
8.     Kaedah pengajaran berkesan subjek sastera? Ilmu, praktikal, pemahaman terhadap teks, teori, kenali teks atau pengarang, analisis dan apresiasi teks.
9.     Kesusasteraan bukanlah subjek yang kaku atau kering – ada unsur manusia dan kemanusiaan/ karya yang hidup.

Azmi Rahman
SEML, UUM 


APA ADA PADA SASTERA?

1.     Pengarang – hasilkan karya, pengalaman peribadi atau orang lain, berimaginasi, dan memaparkan keindahan dalam karya – bahasa, pemikiran dan bentuk.
2.     Pembaca/ penikmat – membaca dan menghayati karya, kaitan dengan fikir rasa, jiwa boleh tersentuh; marah, suka, duka, menangis dan terhibur. Misalnya, setelah menonton sebuah karya seni filem atau drama.
3.     Kritikus/ pengkritik – serlahkan ilmu dan teori kritikan sastera; misalnya moral, sejarah, stilistik, estetika, feminisme, sosiologi, politik dan sebagainya.
4.     Penerbit – ada yang komersil, popular dan atas usaha seni/ sastera: karya popular mendapat tempat, ganjaran material lebih hebat berbanding karya seni/ yang sarat dengan unsur seni dan pemikiran. Contoh novel Melayu; popular versus berat/ seni.
5.     Peranan media massa – tulisan dan elektronik/ siber; hal pemasaran, ulasan karya, dan percetakan.
6.     Kesusasteraan lebih ghairah hidup dengan kombinasi pelbagai unsur/ pendukung di sebalik kesusasteraan, tidak terkecuali sastera Melayu.



**S.I.N.T.O.K : PERJALANAN PENULISAN
Azmi RahmanPusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden
Kolej Sastera dan Sains
UUM
azmi214@uum.edu.my
http://mohazrahman.blogspot.com

Mukadimah: Pantun dan peribahasa
Pesta perahu di Empangan Jajar,
Di tepi empangan dibina taman;
Hamba juga masih belajar,
Mohon petunjuk mohon pedoman.
Masuk hutan mencari rotan,
Rotan dikumpul di tepi paya;
Ilmu setitik air di lautan,
Disampaikan hanya sekadar daya.
Banyak besi perkara besi,
Besi dibuat barang hiasan;
Hanya pengalaman dapat dikongsi,
Moga manfaat untuk penulisan.
Experience is my best teacher (Pengalaman itu sebaik-baik guru)
(Shamsuddin Ahmad,  2011, Kamus peribahasa Inggeris –Melayu, Batu Caves: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd. h. 54)
Experience is the father or mother of wisdom (Pengalaman menjadi asas ilmu pengetahuan)
(Shamsuddin Ahmad,  2011, h. 54)
 Experience without learning is better than learning without experience (Pengalaman tanpa belajar lebih baik daripada belajar tanpa pengalaman) (Shamsuddin Ahmad,  2011, h. 54)
 Jauh berjalan banyak pemandangan, lama hidup banyak dirasa
(Abdullah Hussain, 2003, Kamus istimewa peribahasa Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, h. 94).

1.     Lebih mudah cerita tentang penulisan sama ada ilmiah atau kreatif berdasarkan pengalaman. Pengalaman sendiri dalam dunia penulisan berada di dalam diri penulis. Kalau berdasarkan buku atau teori, akan mengikat diri penulis menulis atau berkarya. Pengalaman menulis ini diperoleh daripada bercakap-cakap dan berguru dengan kawan-kawan dan sarjana dalam dunia penulisan ilmiah dan kreatif (penyair, novelis,  penulis skrip drama, filem), wartawan atau pemberita akhbar  nasional dan antarabangsa. Selain itu, pengalaman  saya membaca tesis PhD di UUM, di USM dan di UM membantu penulisan ilmiah. Setiap tesis itu mempunyai gaya penulisan (dokumentasi) berbeza.
2.     Penulisan projek Sarjana, disertasi dan tesis adalah penulisan ilmiah yang terbina oleh 5 Bab: (1) Pendahuluan, (2) Sorotan Karya, (3) Metodologi Kajian, (4) Analisis Dapatan Kajian, dan (5) Kesimpulan
3.     Berdasarkan pengalaman menulis latihan ilmiah, tesis Sarjana, tesis PhD (belum siap), kertas kerja, buku dan makalah ilmiah, formula penulisan S.I.N.T.O.K boleh dimanfaatkan. Insya-Allah.
4.     Penulisan merupakan proses penghasilan karya yang melalui tiga tahap: prapenulisan, menulis dan pascapenulisan. Proses ini tiada hadnya selagi karya, khasnya ilmiah belum selesai. Setelah selesai pun, masih ada ruang untuk dimurnikan, misalnya ejaan, ayat, isi, format, dan hal teknikal.

5.     S = Selidik/ Siasat/ Semak/ Saring/ Susun
Selidik bahan yang hendak ditulis dalam kajian atau penyelidikan. Siasat: Ada juga penyelidik perlu siasat, misalnya penyelidikan yang melibatkan isu atau kes kerja lapangan. Semak: Bahan yang diperolehi disemak kesahihannya, misalnya sumber sekunder atau Internet. Saring: Bahan yang banyak diperoleh untuk kajian atau penyelidikan, disaring dan disusun mengikut keperluan bab. Soalan, “Di manakah bahan yang dikumpulkan itu mahu dimasukkan?”
Susun: Bahan yang perlu atau tidak perlu dalam penulisan hendaklah disusun. Susunan bahan penulisan tidak boleh dilakukan sewenang-wenang dan tidak sistematik.  Berdasarkan pengalaman saya mengkaji pantun Melayu, saya meneliti lebih 30 sumber pantun Melayu di perpustakaan IPTA, dan di Indonesia. Saya selidik kajian pantun yang terawal; antaranya ditemui makalah oleh H. Overbeck, bertajuk “The “Rejang” In Malay Pantuns” dalam JSBRAS, No. 67, December 1914, h. 219 (JSBRAS = Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society). “Malay Nurery Rhymes oleh R. O. Winstedt, JSBRAS, No. 77, 1917, h. 183, dan H. Overbeck, “The Malay Pantun” dalam JSBRAS, No. 85, 1922, h. 4. Kalau yang mengkaji sastera klasik atau tradisional, banyak dokumen tersimpan di Leiden, di London dan di Perpustakaan Negara atau di Arkib Negara.

6.     I = Ilmu/ Integrasikan
Ilmu yang diperlukan dalam penulisan ilmiah ialah ilmu asas, ilmu lanjutan dan ilmu bantu, misalnya ilmu penulisan, bahasa, sosiologi, politik, komputer, dan perisian analisis data kualitatif atau kuantitatif.  Dalam kajian sastera Melayu, ilmu asas, misalnya kesusasteraan Melayu, pelbagai konsep kesusasteraan, tokoh-tokoh sastera, misalnya 13 Sasterawan Negara dan karya utama mereka, karya sastera besar klasik dan moden Melayu. Pengalaman semasa menyiapkan tesis Sarjana tentang simbolisme dalam pantun Melayu di bawah seliaan Profesor Dr. Muhammad Haji Salleh; ilmu asas yang dikuasai ialah tentang genre pantun Melayu dan ilmu bantu, iaitu falsafah, botani, budaya Melayu dan geografi fizikal.  Saya mencari dan mengumpul bahan pantun serta kajian tentang pantun di Indonesia; Perpustakaan Universitas Padjajaran (UNPAD), Pustaka H.B. Jassin, dan Perpustakaan Universitas Indonesia (UI) dan toko  buku di sekitar Jakarta, Jogyakarta, dan Bandung.
Integrasikan: Pelbagai ilmu bidang, sastera dan ilmu bantu diintegrasikan menjadi suatu disiplin yang dinamakan multidisiplin; sastera dan budaya Melayu. Semasa menyiapkan tesis PhD, saya mendalami sastera siber dan terlibat secara langsung dalam dunia sastera siber, mempelajari ilmu bantu tentang teknologi komputer dan multimedia dengan cara berguru daripada pelajar multimedia di UUM dan menghadiri kursus  teknologi komputer dan aplikasi multimedia dalam penggubahan karya.      
7.     N = Nalar/ Nala
Nalar (bahasa Arab) bermaksud pemikiran untuk menilai buruk baik, fikiran baik, intelek.  Nala merupakan bahasa Minangkabau bermaksud berfikir-fikir dan timbang-menimbang fikiran (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2015, h. 1067). Dalam penulisan ilmiah atau kreatif, menimbang-terima fikiran; penalaran dan penalaan bersimpang-siur dalam minda, misalnya persoalan sesuai atau tidak tajuk kajian, cukup atau belum cukup sorotan karya, teori apa atau sesuai atau tidak teori yang hendak digunakan dalam kajian, betul atau salah bahasa, mantap atau belum mantap penulisan kajian, dan betul atau tidak gaya dokumentasi. Kalau difikirkan penulisan itu di puncak kesempurnaan dalam masa dan ruang prasarana terbatas, pengkaji akan menghadapi kesulitan untuk menyiapkan projek. Berhentilah seketika kenderaan diri dalam perjalanan penulisan jika “warna merah” muncul di garisan lebuh raya kesarjanaan.
8.     T =  Teori/ Tatabahasa/ Transformasikan/ Terjemahkan/ Tekal
Teori yang dikenal pasti hendaklah jelas dalam bidang atau topik khusus yang ingin ditulis atau dikaji atau diselidik. Misalnya sastera, teori lebih 30 teori Barat dan tempatan mandiri, misalnya teori moral, struktural, resepsi, dekonstruksi, ekologi, sosiologi sastera, psikoanalisis, feminisme, adaptasi, estetik, sastera siber atau elektronik, imejan, travelog (kembara), mitos, konflik, intertekstualiti, stilistik, dan pascakolonialisme.  Teori tempatan mandiri, misalnya takmilah, puitika Melayu, estetika tauhid, firasat Melayu, persuratan Melayu, Islam, pengkaedahan Melayu, gerak rasa Melayu, dan pemikiran 4L. Tatabahasa: Penting juga penulis kajian atau calon sarjana menguasai tatabahasa Bahasa Melayu dan laras Bahasa Melayu Tinggi. Penguasaan tatabahasa Bahasa Melayu membolehkan penulis menghasilkan penulisan yang persis yang apabila dibaca atau disemak oleh penyelia, tidaklah dikesan kesalahan bahasa yang ketara, misalnya ejaan, ayat dan makna. Transformasikan/ Terjemahkan: Apa yang difahami penulis atau pengkaji diterjemahkan dan ditransformasikan idea, pemukiran dan makna dalam bentuk teks tulisan. Tekal pula bermaksud tidak berubah-ubah, tetap atau konsisten. Dalam penulisan ilmiah atau projek sarjana, yang tekal adalah teori atau model, metodologi kajian, data kajian, aplikasi terhadap teori, gaya penulisan ilmiah dan gaya dokumentasi.
9.     O = Organisasi (jangan Obsesi yang bermaksud sesuatu yang mengganggu atau menghantui fikiran seseorang, keadaan terlalu memikirkan sesuatu. Organisasi bermaksud kesatuan dalam susunan untuk tujuan tertentu. Dalam konteks projek Sarjana yang sifatnya ilmiah, ada bahagian atau bab tertentu yang isinya disatukan menjadi sebuah wacana yang lengkap. Bab 1, Bab 2, Bab 3, Bab 4 dan Bab 5 (ada lagi Bab 6, Bab 7, dan …) disusun   mengikut urutan atau kehendak Pusat Pengajian/ institusi pengajian masing-masing. Di UUM, penulisan tesis mengikut kehendak ketetapan AHSGS UUM CAS.

10.                        K = Kenal pasti/ Kekemasan/ Kejelasan/ Kejituan/ Keutuhan/ Keahiran/ Kemahiran

Kenal pasti bermaksud mengenal pasti bidang, topik khusus, bahan, dan objektif  kajian. Kekemasan bermaksud kelihatan rapi dan tersusun terutamanya ayat, paragraf dan analisis yang ditulis membentuk kesatuan wacana utuh. Kejelasan bermaksud jelas dari segi makna dan maksud yang ingin disampaikan oleh penulis. Tidak ada ketaksaan atau ambiguiti dalam penulisan. Penulisan ilmiah berbeza daripada penulisan  kreatif yang bermetaforikal, berpersonifikasi, dan berkiasan atau bermajas. Kejituan bermaksud perihal ketepatan dan kewajaran diksi atau leksikal digunakan dalam penulisan berdasarkan laras bidang ilmu, misalnya laras bahasa sastera, linguistik, sains dan teknologi.  Keutuhan dalam penulisan ilmiah ditentukan oleh kesatuan, kepaduan dan kembangkan (asal perkembangan, Awang Sariyan, dalam Ahmat Adam & Saidatul Nornis Hj. Mahali, 2014, h. 96).  Keakhiran (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2015) bermaksud kesudahan dan penghabisan. Dalam konteks penulisan ilmiah atau projek sarjana dapatlah dinyatakan sentuhan keakhiran sebelum karya itu diserahkan kepada penyelia untuk semakan dan penilaian, kemudian diberi markah dan grad. Manakala Kemahiran merupakan kecekapan atau kepandaian berbahasa, menyusun, dan menggubah bahasa, meletak duduk rajah, dan gambar. Kemahiran juga diperlukan penulis untuk menguasai dan memahami tentang gaya dokumentasi di institusi pengajian atau sesebuah organisasi penerbitan, misalnya di UUM dan UUM Press menggunakan gaya dokumentasi format American Psychological Association (APA). Gaya dokumentasi lain, misalnya format Modern Language Association (MLA), gaya Dewan, gaya penerbitan akhbar Berita Harian dan Utusan. Jelaslah penulisan ilmiah merupakan suatu proses komunikasi yang memerlukan kemahiran bahasa, penguasaan ilmu bantu, dan hal-hal teknikal.

Perhentian Sementara Perjalanan Penulisan
Sudah disiapkan istana kayangan,
Istana kayangan penuh perada;
Apa disampaikan  banyak kekurangan,
Itulah sahaja hamba ada.
Mudik ke hulu Sungai Rui,
Bot laju membawa *kenya;
Hanya Allah Maha Mengetahui,
Segala ilmu adalah milik-Nya.
*kenya (bahasa Jawa) bermaksud gadis, anak dara atau perawan

**Makalah bicara santai pada Bengkel Penulisan Akademik Program Ijazah Sarjana Pengajian Bahasa Melayu Kontemporari, SEML UUM CAS, 6 April 2016.
Bacaan  Panduan
Abdullah Hussain. (2003). Kamus istimewa peribahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa  dan Pustaka.
Ahmat Adam dan Saidatul Nornis Hj. Mahali. Peny. (2014). Penyelidikan dan penulisan ilmiah. Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah.
Anderson, J dan Poole, M. (2011). Penulisan tugasan & tesis (edisi keempat). Marzita Puteh dan  Saadiah Baharom. Penterjemah. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia  dan Penerbit UPSI.
Azirah Hashim. (2015). How to write a thesis: The thesis writing journey from start to finish (seventh printing). Kuala Lumpur: University of Malaya Press.
Mohd. Azhar Abd. Hamid et al. (2001). Pengenalan kepada penulisan ilmiah. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.
Shamsuddin Ahmad. (2011). Kamus peribahasa Inggeris-Melayu. Batu Caves: PTS Professional  Publishing Sdn. Bhd.
Suwardi Endraswara. (2011). Metodologi penelitian sastra: Epistemologi, model, teori, dan  aplikasi. Yogyakarta: CAPS.