6 April 2016




ENTRI (2) 7 APRIL 2016

TAHU, PANDAI, BIJAK DAN GENIUS

Empat kata ini berbeza makna. Makna kata ini saya mahu kaitkan dengan gelagat anak-anak dan pelajar di universiti. Ramai yang tahu macam-macam apatah lagi yang berkaitan teknologi. Tanyalah anak-anak sekarang yang berumur semuda tiga tahun tentang permainan (game) dalam komputer atau telefon pintar. Cekap mereka bermain dan tahu pula cara mengoperasikan telefon dan permainan itu. Cekap juga mereka membuka laman web di Internet. Pernah kawan saya bercerita anaknya berusia tiga tahun menonton youtube melalui telefon pintarnya, sampai bil RM200.00. Anak-anak itu tahu tentang itu. Ada kes kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun melahirkan anak. Kanak-kanak itu tahu untuk “bersama” dengan lelaki berdasarkan apa yang ditonton dan dibaca di Internet. Namun, kanak-kanak itu tidak pandai menguruskan diri sebagai ibu dan rumah tangga. Apatah lagi mereka tidak bijak lantaran membuat keputusan untuk melakukan perbuatan terkutuk itu. Mereka fikir untuk seronok sahaja, kemudian lepas tangan. Proses membina diri adalah proses seseorang itu tahu, pandai, dan bijak dalam segenap segi. Genius adalah kebolehan luar biasa seseorang dalam akademik atau sesuatu ilmu, misalnya matematik. Pernah negara digemparkan dengan kegeniusan Adi Putera, Sofea, dan Amalina. Namun, perkembangan terkini manusia genius Melayu ini, kita pun tidak tahu. Pernah saya bertemu seorang anak murid saya di UUM, anak perempuannya yang berumur 4 tahun sudah pandai membaca surat khabar dan buku cerita dengan lancar. Anaknya tidak seronok berada di tadika kerana jemu. Apa yang diajar oleh guru di tadika, anaknya sudah tahu. Anak murid saya itu mahu anaknya membesar mengikut nature  seorang kanak-kanak; bermain-main, mengaji al-Quran dan banyak masa bersama keluarga. Dalam kes pelajar universiti pun sama. Yang tahu pelbagai maklumat memang ramai. Macam-macam infomasi mereka tahu daripada Internet; dengan IG, blog, whatsapp, youtube, twitter, dan facebook. Bagaimana mereka hendak menggunakan segala maklumat itu, perlukan kepandaian dan kebijaksanaan dalam penulisan ilmiah terutamanya dan perbincangan ilmu. Yang kurang juga mereka kurang membaca bahan ilmiah daripada sumber primer dan berwibawa. Yang kurang juga mereka sudah tidak tahu hal-hal alamiah; tentang pokok, berenang-renang di sungai, melastik burung, memanjat pokok, membina pondok, menangkap ikan di sawah, berlaga ikan, menanam pokok serai, kunyit, halia, lengkuas, pandan, cabai, terung, kacang panjang, mengenali pelbagai jenis ikan darat; sepat, puyu, keli, haruan, belut, lampam, dan macam-macam lain.    

Azmi Rahman

Tiada ulasan:

Catat Ulasan