27 September 2017

VTME1011 JOURNALISM 1



VTME1011 JOURNALISM 1 (Topik 1)

MENGENALI DUNIA KEWARTAWANAN: Bidang kewartawanan merupakan satu daripada cabang dalam bidang komunikasi.  Perkataan komunikasi berasal dari perkataan Latin "communicare" yang bermaksud "persamaan". Wilbur Schramm (1971) menyatakan komunikasi ialah perkongsian dan penyesuaian sekumpulan lambang bermaklumat. Komunikasi boleh didefinisikan sebagai proses pemindahan maklumat daripada seorang individu kepada seorang individu atau lebih ramai. Sebelum muncul radio dan TV, masyarakat hanya menggunakan medium seperti burung merpati untuk menyampaikan mesej. Namun kini, proses penyebaran dan penerimaan maklumat jauh lebih mudah dan pantas melalui media sosial barharu, misalnya facebook, blog, laman web dan whatsapp.

BIDANG KEWARTAWANAN: Bidang kewartawanan merangkumi proses mengumpul, menyunting, mengulas, memberi maklumat, membuat perubahan melalui penulisan yang disiarkan: berita akhbar, televisyen, radio dan media elektronik/ Internet. Bidang kewartawanan mempunyai dua cabang iaitu, kewartawanan cetak dan elektronik. Kewartawanan cetak tertumpu kepada pengeluaran akhbar, majalah dan buku. Manakala kewartawanan elektronik pula adalah berbentuk penyiaran maklumat atau berita melalui televisyen dan radio dan gajet (telefon pintar dan komputer). Kemunculan Internet sebagai media interaktif memudahkan lagi proses penyebaran dan penerimaan maklumat dengan wujudnya Online Journalism yang membolehkan wartawan menyampaikan maklumat melalui pelbagai media baharu yang terdapat dalam Internet. Misalnya, laman sosial, blog dan sebagainya. Media sosial bersifat interaktif yang membolehkan pembaca Internet berinteraksi dengan penulis elektronik atau blogger.

TUGAS WARTAWAN: SEORANG WARTAWAN BERTINDAK SEBAGAI:1.Pemberi atau penyampai maklumat kepada masyarakat. Wartawan bertanggungjawab dalam memberi maklumat kepada masyarakat mengenai perkara yang sedang berlaku di sekeliling masyarakat. 2. Ejen yang menyalurkan maklumat. Seorang wartawan haruslah tidak pernah letih dan berhenti dalam mencari maklumat untuk disajikan kepada masyarakat. Hal ini kerana, wartawan bertanggungjawab menjadikan masyarakat lebih bermaklumat.3. Pemberi hiburan - wartawan hiburan perlulah memberikan sesuatu yang berbentuk hiburan kepada masyarakat tidak kiralah melalui pelbagai media sama ada bercetak atau elektronik. 4. Pendidik. Seorang wartawan perlulah menghasilkan maklumat yang baharu untuk dikongsikan kepada masyarakat terutamanya dalam pelbagai bidang yang boleh meningkatkan pengetahuan masyarakat.5.Ejen perubahan komuniti. Kuasa kewartawanan boleh mengubah sesuatu komuniti. Misalnya, sebuah parti politik  melakukan penyelewengan dan tidak bertangunggjawab terhadap negara, wartawan boleh menulis dan mendedahkan kenyataan tersebut kepada masyarakat agar parti politik tersebut dikenakan tindakan atau ditukar kepada parti politik yang lebih bertanggungjawab.

ETIKA WARTAWAN: Menulis dan menyiarkan hanya berita atau laporan yang sahih – tidak menulis berita atau laporan palsu. Tidak membahayakan nyawa sumber-Tidak mendedahkan maklumat peribadi sumber. Tidak Bias - Tidak boleh berat sebelah semasa menulis. Tidak menyiarkan sesuatu tanpa kebenaran daripada sumber. Contoh, gambar dan hal peribadi sumber.

VTME1011 JOURNALISM 1 (Topik 3 dan 4)

Definisi Berita
Berita dapat diertikan sebagai bentuk laporan berfakta yang memuat tentang sebuah peristiwa tertentu serta ditampilkan berupa tulisan, foto, grafik, audio atau video. Seorang wartawan perlu mengetahui peristiwa apa yang terkini berlaku, lalu menyusun berita atau laporan itu untuk diterbitkan di media cetak, tv, radio, dan Internet. Berita atau laporan itu berupa suatu idea atau fakta yang dapat menarik perhatian pembaca. Seorang wartawan pasti sudah mengetahui unsur-unsur yang terdapat dalam sebuah berita, iaitu 5W+1H:
1.     What (Apakah). Menjelaskan peristiwa apa yang terjadi.
2.     Who (Siapakah). Memaparkan siapa yang terlibat dalam peristiwa tersebut seperti pelaku, mangsa, saksi dan sebagainya.
3.     When (Bilakah). Bila waktu terjadinya peristiwa tersebut.
4.     Where (Di manakah). Menerangkan lokasi atau tempat peristiwa tersebut terjadi/ lokasi kejadian berlaku.
5.     Why (Kenapakah). Menjelaskan sebab peristiwa tersebut terjadi seperti alasan, tujuan/motif pelaku dalam peristiwa itu.
6.     How (Bagaimanakah). Penulis menjelaskan proses kejadian secara terperinci. Ada ketikanya dalam berita penulis  menjelaskan  cara menyelesaikan masalah tersebut.
Jenis-jenis Berita
1. Straight News: Straight news sering pula disebut dengan berita seadanya atau ringkas. Berita ini ditulis sesingkat mungkin straight to the point.  Berita begini berisi informasi tentang hal terbaru, terhangat dan sedang menjadi berita yang paling banyak diperbincangkan. Berita jenis straight news ini terdapat pada halaman depan/utama surat khabar yang disebut sebagai headline news. Berdasarkan jenisnya, straight news terbahagi  kepada 2, iaitu:
  • Hard News. Berita yang sangat terkini serta merupakan berita yang paling penting dan memerlukan waktu yang cepat untuk disiarkan. Contoh straight news jenis hard news ini tentang politik, perang, dan peristiwa jenayah.
  • Soft News. Berita penyokong hard news. Soft news tidak memerlukan waktu yang cepat untuk disampaikan kepada pembaca. Wartawan boleh siarkan berita sehari atau dua hari setelah berlaku peristiwa itu. Conto berita; tentang seni, hiburan, gaya hidup dan travelog.
2. Depth News: Dibandingkan dengan straight news, jenis berita depth news hadir dengan isi yang lebih panjang namun sangat mendalam. Menulis depth news, perlu penulis mendalami berita tentang latar belakang, impak, sudut pandang pakar  atau tokoh bidang, dan sebagainya agar dapat memberikan informasi yang lebih mendalam kepada pembaca. Depth news memuat infomasi mengenai sebab (mengapakah) peristiwa tersebut terjadi (why) dan bagaimanakah peristiwa tersebut terjadi secara terperinci (how), dan impak atau kesan terhadap masyarakat.
3. Investigation News: Jenis berita penyiasatan (investigation news) dapat disebut sebagai penelitian atau penyelidikan terhadap suatu peristiwa secara mendalam dan tuntas. Jika penulis ingin membuat investigation news, hendaklah melakukan penyelidikan; mencari punca, sebab-akibat dan cara mengatasi suatu masalah atau kejadian.
4. Interpretative News: Jenis berita pentafsiran (interpretative) ini merupakan pengembangan dari straight news dengan menambahkan beberapa informasi mengenai latar belakang, melakukan wawancara tepat dengan menyajikan data dan info yang tepat. Contoh; berita tentang perekonomian dan pilihan raya negara.
5. Opinion News: Opinion news merupakan berita yang berisi tentang pembahasan atas suatu peristiwa berdasarkan pandangan, komentar, pemikiran, idea ataupun pendapat seseorang. Jenis berita ini seringkali berdasarkan  pandangan seorang cendekiawan, pakar atau  sarjana terhadap suatu peristiwa atau isu tertentu. Berita paling popular pada era Internet ialah berita bohong atau palsu yang dikenali sebagai berita hoax. Berita ini berisi penghinaan, penistaan, pencemaran nama baik, dan hasutan.

Praktikal di dalam kelas.

Baca sebuah akhbar berbahasa Melayu dalam Internet atau akhbar bercetak. Kenal pasti sebuah berita bagi setiap jenis berita 1 hinga 5.
Sumber berita/ nama akhbar: _________________________________________________________________
Tarikh: ____________________________________________________________
1._________________________________________________________________
2._________________________________________________________________
3._________________________________________________________________
4._________________________________________________________________
5._________________________________________________________________
Nama pelajar: ______________________________________________________
No. Matrik: ________________________________________________________
Tarikh Kuliah:______________________________________________________



24 September 2017

SCIM1043 Tugasan 2 Bacaan Bab




SCIM1043 PEMIKIRAN KRITIKAL DAN KREATIF
Semester Pertama Sesi 2017/2018 (A171)
Nama: Azmi Rahman
No. Matrik: XXXXXX
Tugasan 2 (Bacaan dan Penulisan Kritis)

Nama Pengarang: Rolf Dobelli
Judul Buku: The Art of Thinking Clearly (Edisi Bahasa Melayu)
Cetakan ketiga
Tahun: 2015
Penerbit: PTS Publishing House Sendirian Berhad
Tempat Terbit: Batu Caves, Selangor
Bab 5: Mengapakah Kita Harus Melupakan Perkara Silam? (Sunk Cost Fallacy=Falasi Tentang Kos Hangus)
Halaman: 17-20

Makalah dimulakan dengan cerita penulis menonton sebuah filem seram. Selepas satu jam menonton, penulis mengajak isterinya pulang ke rumah. Si isteri menyatakan bahawa mereka telah membayar USD30 untuk menonton filem itu. Penulis (suami) menyatakan bahawa suatu falasi atau salah tanggapan apabila diungkitkan wang USD30 yang telah dibelanjakan untuk menonton filem itu. Dalam hal ini apabila kita membuat  keputusan, faktor yang tidak diambil kira bukanlah sama ada berada di dalam panggung atau pulang ke rumah.

Kes lain yang dibentangkan oleh penulis ialah tentang kempen pengiklanan yang sudah dilakukan selama empat bulan tetapi matlamat jualan tidak tercapai. Mesyuarat bercadang menghentikan pengiklanan tetapi pengurus pengiklanan bertegas tidak mahu menghentikannya kerana syarikat sudah melabur banyak wang untuk pengiklanan. Jika dihentikan pengiklanan, usaha mencapai matlamat jualan tidak akan tercapai.

Suatu kes lagi ialah si suami sanggup menderita bertahun-tahun kerana si isteri berlaku curang. Akhirnya si isteri insaf akan perbuatannya. Si suami menyatakan bahawa sudah banyak tenaga, masa, kasih sayang dan wang dihabiskan selama mereka hidup bersama. Justeru, si suami tidak sanggup membuang si isteri.

Dalam kes di atas apabila tenaga, wang, masa dan kasih sayang telah banyak dihabiskan, kita berfikiran tidak sanggup membuangnya dan mahu terus bertahan.  Dua situasi yang kita fikirkan iaitu melupakan perkara yang lepas atau memikirkan masa depan.   Kita memikirkan masa depan demi mencapai kejayaan.  Kita hendaklah melupakan apa jua yang telah dikeluarkan atau dikorbankan atau dibelanjakan hingga kini. Memikirkan perkara silam mengganggu pemikiran kita untuk berfikir pada masa akan datang.

17 September 2017

MEMANCING TANPA UMPAN




MEMANCING TANPA UMPAN

Saya teringat pesan seorang khatib dalam khutbah Jumaat di Masjid Sharifah Fatimah, Batu 13 Jitra. Katanya, “Janganlah memancing tanpa umpan.” Perbuatan itu dikatakan sia-sia dan tidak mendapat apa-apa hasil. Malahan perbuatan itu membuang masa. Umpan yang dilekatkan pada mata kail adalah penting dalam usaha memancing ikan. Tanpa umpan, tiada ikan dapat dipancing. Dalam bab memancing, teringat saya semasa di sekolah menengah sekitar 1970-an,  seorang guru menyatakan “Jangan berikan ikan kepada seseorang tetapi berikan batang pancing, tali, dan mata kail. Suruh dia mencari umpan dan pancinglah ikan.”  Begitulah zaman saya bersekolah dan menimba ilmu di universiti, membesar menjadi manusia serta memanusiakan diri, guru dan pensyarah tidak memberi ikan. Justeru, pandai-pandailah saya “mencari ikan” untuk hidup dan meneruskan kelangsungan hidup yang mencabar ini.

IKTIBAR TRAGEDI PUSAT TAHFIZ DARUL QURAN ITTIFAQIYAH




IKTIBAR TRAGEDI PUSAT TAHFIZ DARUL QURAN ITTIFAQIYAH 

Jalan Keramat Hujung, Datuk Keramat – 14 September 2017. Dalam tragedi ini, 23 maut – 21 pelajar dan dua guru maut yang puncanya masih misteri sama ada akibat litar pintas atau tong gas. Mereka yang terkorban berusia dari 6 hingga 26 tahun. Kisah sebelum anak-anak itu menemui ajal dalam tragedi itu menyayukan dan menyebakkan hati; seolah-plah mereka sudah tahu akan pergi buat selama-lamanya. Antaranya surat terakhir yang ditulis oleh Amiel Asraf Abd. Rashid, 11 tahun kepada ibunya, Norhayati Khalid sehari sebelum Amiel Asraf terkorban: “ibu dan ayah amiel minta maaf kalau ada buat salah apa-apa. ibu ayah amiel sayangkan ibu dan ayah. Terima kasih ibu dan ayah kerana menjaga amiel selama ini. Ameil tak tahu macam (mana) nak balas jasa budi ayah dan ibu. Hanya ini saja yang amiel mampu masuk ke tahfiz untuk menolong ibu dan ayah untuk masuk ke syurga firdaus.” Daripada: Ameil. Selalunya setelah berlaku suatu tragedi yang mengorbankan nyawa, setelah disiasat pasti ada kenyataan atau hal-hal yang tidak sepatutnya diambil berat oleh pihak berkenaan, misalnya bangunan yang tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, bangunan tidak mendapat kelulusan dan tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan,  serta institusi pendidikan tersebut beroperasi secara tidak sah. Dalam apa jua keadaan, pihak berkuasa hendaklah tegas. Pihak pengurusan pusat tahfiz pula hendaklah membina bangunan memenuhi piawaian pihak berkuasa, menyediakan ruang dan prasarana pembelajaran  serta penginapan yang selesa buat para pelajarnya. Al-Fatihah kepada mereka yang terkorban. Kita berdoa roh mereka ditempatkan dalam kalangan roh orang beriman. Terkini: Pada 16 September 2017, jam 8.30 malam di TV3, pihak polis dalam kenyataan akhbar menyatakan bahawa tragedi maut di PUSAT TAHFIZ DARUL QURAN ITTIFAQIYA adalah angkara jenayah yang dilakukan oleh 7 remaja. Enam daripada mereka terlibat dengan ganja. Mereka ditahan dan direman polis untuk siasatan selanjutnya. Saya memikirkan betapa berani mereka melakukan perbuatan itu.