MONOLOG SANG KERBAU
”Aku
jelongak rampung
di
sekeliling aku sudah terjual kebodohan
aku
runcing tanduk, panjang tanduk,
tiada
menanduk orang pun
sebenarnya
siapa yang berada dalam gelap?
kau
telah meminjam tanduk aku.
Aku
sering dikejutkan gongmu
kau
sengaja bermain gong di telingaku
aku
kenal rumput dan lumpur
kenapa
kau lulutkan jebat padaku?
lumpur
adalah hadiah bermakna buatku
atau
rumput kau letakkan di depanku.
Bermain-main
denganku
terkena
ekorku di mukamu
aku
sudah lama berkawan dengan lumpur
bukan
berkawan denganmu
tidak
rugi aku berkawan dengan sesiapa
jangan
panjangkan tanduk aku
tanduk
aku sudah sedia panjang
kau
yang masih tidak bertanduk.
Aku
dipegang pada tali
kau
dipegang pada mulut
siapa
yang lebih menepati janji?
aku
sudah pulang ke rumah mimpiku
bila
diajak tuanku hanya dengan suara
kau
masih leka membiarkan aku kelaparan
aku
sekawan sukar kau kawal
kau
seorang tiada dapat dimaklumi
ideologi
aku bersatu, ideologi lumpur dan rumput
itulah
kehidupan panjang aku
kau
terlalu pandai dan tanpa tali di hidung
ideologimu
berpelangi.
Aku
di kandang, emas kau berpura
selamat
aku di kandang
selamat
harta kau
rumput
hijauku di luar kandangku
aku
di kandang, tiada kau peduli
aku
bertanduk, dan rotan beronak
tanduk
adalah kekuatanku
kau
takut pada tandukku.
Jangan
kau beri aku pelana
berikan
aku lumpur, tali dan rumput
tali
di hidungku
kata-kata
pula di lidahmu
jangan
kau putuskan taliku
jangan
kau lumatkan kata-katamu
jangan
kau maling aku
jangan
kau musangi ayam
kau
tariklah taliku
kau
kurunglah ayammu di reban
aku
akan menandukmu
aku
akan pergi.
Jangan
kau hukum aku
jangan
kau putuskan taliku
aku
bukan pembulang tali
kau
yang berikan tali
kau
cucuk hidung aku
tiada
suara kukhabarkan deritaku
kau
jadikan susuku darah dagingmu
kau
namakan sang sapi
aku
sakit tanpa bersuara
sang
sapi bersuara senang atas kesakitanku.
Aku
sekandang kau handal gembalanya
kenapa
kau seorang tiada terjaga?
aku
faham bahasa kerbauku
kau
masih kabur bahasa manusiamu
bahasamu
bukan bahasa lumpur dan rumput
aku
dan rumput hijau adalah kehidupan lamaku
aku
sudah faham makna memakan rumput
aku
sudah faham makna bermandikan lumpur.
Kau
lihat langau di ekorku
kau
lihat debu di atas tunggul
kau
adalah debu dan langau itu
datang
dan pergi dalam dunia kecil aku.
Aku
tidak membenci kubangku
kubangku
adalah dunia pengalamanku
ideologiku
adalah lumpur dan rumput
sesekali
kau berkubang denganku
kau
mencari aku di padang
atau di kubang
jangan,
mataku tajam bila kau memilih-milih aku.
Jangan
kau hambat aku melabuh
kau
dibeliti tali hidungku
kau
terhumban ke rumputku
kau
berkubang dalam lumpurku
kau
menolong aku ditangkap harimau
harimau
itu membaham kau
aku
masih di kubang
di
kubangku, bukan gelanggang sang harimau.
Kau
pegang pada taliku
kau
tarik aku ke kandang
aku
pegang pada kata-katamu
jangan
racuni kata-katamu
seekor
aku berkubang
sekandang
kena luluknya
seekor
aku membawa lumpur
sekandang
mercik dan terpalit lumpurnya
mengapa
aku dengan palitan lumpur?
mengapa
kau tidak dengan gelumang dosa?
setitik
dosa, rosak pahala kehidupanmu
tidak
terpalit dosa pada orang lain.
Kau
katakan aku dicucuk hidung
hidungmu
tidak dicucuk
hatimu
telah dirantai
lidahmu
telah dipenggal
langkahanmu
mengikut arah
jangan
kau menanduk anak bukan dengan hujungnya
seperti
aku menanduk lumpur dan rumput.
Jangan
kau menjadi aku tersepit leher
dihela
tanduk sudah panjang
dilalukan
badan sudah besar
kau
masih boleh berhenti bernafas
menundukkan
tanduk panjangmu
aku
menjadi semakin kecil.
Tandukku
bercerita tentang aku
kau
mahu mengambil tandukku
menjadi
hiasan dinding rumahmu.
Jangan
kau berkerbau seperempat ekor
berkandang
sebagai orang
biarlah
aku di kandang
biarlah
kau di kandang rumahmu
sesekali
jangan kau asyik mendongak langit
pandanglah
rumput hidup aku yang kau pijak
fahamilah
kubang adalah tanah
tanah
adalah asal dirimu.”
AzmiRahman
UUM Sintok - Jitra
Nota:
1.
Sajak ‘Monolog Sang Kerbau’ terhasil berdasarkan
penelitian 35 ungkapan peribahasa Melayu dalam Abdullah Hussain, (1982). Kamus Istimewa Peribahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka, Kamus Dewan Edisi
Keempat, (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, dan Kamus Besar
Bahasa Melayu Utusan, (2002). Kuala Lumpur: Utusan Publications &
Distributors Sdn Bhd.
PERIBAHASA TENTANG
KERBAU
Bagai jelongak kerbau rampung
= orang bodoh yang sombong, tiada sedar dirinya dibodohi
orang.
Bagai kerbau runcing tanduk/ Kerbau tanduk panjang, tiada
menanduk pun dikata orang menanduk juga
= orang yang sudah terkenal kejahatannya.
Bagai kerbau terkejut oleh gong
= tercengang – cengang kehairanan.
Bagai melulutkan
jebat pada kerbau
= pemberian yang tidak sesuai dengan tempatnya.
Bermain-main dengan kerbau, dilontarnya muka dengan ekornya
= berkawan dengan orang bodoh tentu menanggung kerugian.
Jangan buat kerbau tanduk panjang
= jangan ikut campur dalam urusan orang lain
Jika kerbau dipegang orang talinya, jika manusia dipegang
mulutnya
= janji mesti ditepati
Kalau kerbau sekawan dapat dikawali, manusia seorang tiada
dapat dimaklumi
= sangatlah sukar untuk menghadapi manusia kerana tiap-tiap
orang berlainan pendapatnya.
Kerbau berkandang, emas berpura.
= harta benda harus disimpan baik-baik di tempatnya supaya
ia selamat.
Kerbau bertanduk, rotan beronak
= orang besar-besar kuat kerana kekuasaannya dan rakyat kuat
kerana persatuannya
Kerbau diberi pelana, kuda diberi berpasangan
= melakukan sesuatu dengan tidak menurut keadaan yang
sebenarnya
Kerbau dipegang talinya hidungnya, manusia dipegang pada
katanya
= janji yang sudah diucapkan mestilah ditepati kerana harga
manusia terletak pada janjinya itu.
Kerbau jangan dimaling orang, ayam jangan dimusangi
= anak dan isteri hendaklah dijaga dengan baik-baik
Kerbau menanduk, kerbau pergi
= Siapa yang bersalah mesti dihukum setimpal dengan
kesalahannya
Kerbau pembulang tali
= orang yang berdolak-balik fikirannya atau yang tidak tetap
hatinya
Kerbau punya susu, sapi punya nama/ Kerbau sakit, sapi
beroleh nama.
= orang lain yang berbuat kebaikan, orang lain pula yang
mendapat nama
Kerbau sekandang dapat digembalakan, manusia seorang tiada
terjaga
= kerbau sekawan boleh dikandang, manusia seorang tiada
terkawal
Laksana kerbau: di mana rumput hijau di sana menerkam
= tidak mengi(e)ndahkan bahaya kerana melihat barang yang
digemarinya
Langau di ekor kerbau, debu di atas tunggul
= kedudukan atau pekerjaan yang tidak tetap
Mana kerbau yang bencikan kubangnya?
= orang yang biasa berbuat jahat tak dapat melupakan tempat
ia bersuka-ria
Membeli kerbau di padang
= membuat pekerjaan dalam keadaan terburu-buru tanpa usul
periksa lebih dulu
Mendongak rupa kerbau jantan kemudian
= lelaki yang berjalan dengan cemburu di belakang isterinya.
Menghambat kerbau melabuh
= menegahkan sesuatu yang akan mendatangkan keuntungan atau
kesenangan kepada diri sendiri.
Menolong kerbau ditangkap harimau
= menolong orang membuat kesalahan akhirnya menyusahkan diri
sendiri.
Orang memegang kerbau pada talinya, memegang manusia pada
katanya
= manusia dihormati kerana kejujurannya.
Seekor kerbau berkubang, sekandang kena luluknya/ seekor
kerbau membawa lumpur, segala kerbau dikatakan membawa lumpur juga/ seekor
kerbau membawa lumpur, habis mercik merata-rata/ seekor kerbau membawa lumpur,
semuanya terpalit
= seorang yang berbuat salah, semuanya terbawa-bawa.
Seperti kerbau dicocok/ diatur hidung
= orang bodoh yang selalu menurut kemahuan orang
Seperti kerbau menanduk anak, dengan kaparan tanduk, bukan
dengan hujungnya
= marah bapa akan anaknya itu tiada sampai membahayakan.
Seperti kerbau tersepit leher: dihela tanduk sudah panjang,
dilalukan badan sudah besar
= terdorong melakukan sesuatu pekerjaan yang salah, tidak
mungkin menarik diri lagi.
Terambau kerbau kerana rumput muda
= rosak anak muda kerana melihat perempuan muda yang elok
Tiada akan rintang kerbau oleh tanduknya
= tidak akan terganggu seseorang yang cakap itu melakukan
pekerjaannya
Berkerbau seperempat ekor, berkandang sebagai orang
= orang miskin yang berkelakuan seperti orang kaya