17 Ogos 2016




*SATU WANGSA SEHATI SEJIWA DI TAMAN HARMONI
Di taman harmoni, bunga-bunga segar mengharum
wanginya semerbak mengalir di ruang watan
kita menghidu segar kita menghembuskan udara yang sama.
Di taman harmoni, tumbuh teguh pohon kedamaian
tanah subur yang dibajakan
disirami air cinta mengakar mimpi pelangi.
Luka sedikit tidaklah terasa,
        Disapu setitik minyak gamat;
Harmoni hidup pelbagai bangsa;
        Aman damai adalah nikmat.
Kain diletak di atas pepara,
        Mahu dijemur sebab basah;
Jangan timbulkan huru-hara,
        Kelak semua hadapi susah.
Buah manggis di dalam guni,
        Diangkut orang dengan kereta;
Kita rakyat hidup harmoni,
        Di sinilah lahir sebuah cinta.
Hei, lihatlah sang kumbang yang terbang bebas
mahu menghisap madu bunga-bunga di taman harmoni
kita bunuh, kita nyahkan sang kumbang itu
kerana kemanisan madu adalah milik kita.

Hei, lihatlah sang helang dari negeri gelap
mahu membinasakan taman harmoni kita
kita halang kita tentang
kerana taman harmoni ini adalah milik kita.

Darah  semangat berakar di dalam diri
keris keramat para pejuang tersisip kejap di muzium kehidupan
kelir masih basah dengan darah
suara perjuangan bernafas di dalam saraf diri
kematian adalah hadiah perjuangan para pejuang
darah sang petualang tersembur di sebalik kelir
suara dendam terhambur, lenyap di udara.

Ah! Kematian bukanlah pengorbanan percuma
hargailah kematian itu sebagai hadiah kemenangan perjuangan
nama bukan hiasan pada batu sanjungan
nama kental keberanian itu terukir pada kelir sejarah
ingatan pada dalang hipokrasi sudah dipadamkan
nanti malam, pentas kemerdekaan akan terang benderang
meraikan kemenangan satu wangsa merdeka sehati sejiwa.

Di taman harmoni, warna bunga berbeza
wanginya tidak sama
kita hayati dalam satu nafas
benarlah seiring bertukar jalan
sekandang tidak sebau
seia bertukar sebut
di taman harmoni bunga-bunga adalah milik kita
jangan kita bagai enau dalam belukar
melepaskan pucuk masing-masing
jangan kita beraja di mata, bersultan di hati
jangan biarkan bunga-bunga milik kita layu di taman harmoni
jangan biarkan wanginya hilang dibawa pawana sasar.

Para pejuang bersuara atas nama kemerdekaan
laungkan sejuta kali kata azimat. Merdeka!
Jalur Gemilang, sanjungan sehati sejiwa
Jalur Gemilang sentiasa megah berkibaran di angkasa
Jalur Gemilang, sanjungan langit, awan, mentari dan bintang-bintang.

Sehati sejiwa serumpun bagai serai
seliang bagai tebu
hidup subur serai dan tebu di taman harmoni
samalah juga seikat bagai sirih
serangkap bak lembing.
Dirgahayu MALAYSIA!
SEML, UUM CAS, Sintok, Kedah.
Julai – Ogos 2015
*Puisi ini merupakan puisi poligenre yang dinamakan SATUNMANSA – akronim untuk SAJAK + PANTUN + MANTERA + PERIBAHASA