28 Februari 2017

MEMANISKAN AKSARAMEMATIKAN AKAL MALAM


Aksara janji menjadi manis. Hipokrasi. Malam menjadi mimpi
Kau menjadi gunung diri. Lidah. Malam membisu
Secangkir air manis. Perut. Lidah yang pandai merasa
Manis yang manis. Membunuh. Daun-daun nafas terbakar
Muzik indie yang berakar. Tumbuh. Di tanah keseronokan
Malam masih indah. Kelam. Kerlip sinar di mata
Aksara kosong menjadi manis. Merah. Darah siapa?
Kau masih meneguk. Manis. Perut menjadi buas
Di ruang berdebu. Muzik. Pesta mabuk menggila
Tarian nafsu. Padam. Di mana Tuhan?
Kematian nanti bertemu Tuhan. Kosong. Sarat dusta di diari agung.
Kau dikatakan bijaksana. Kering. Budi berkarat diri
Malam telah tua. Mimpi. Mimpi kotor terbuang bagai sampah
Manisnya aksara. Berdebu. Menjanjikan apa pada setia?
Malam terhiaskan indah. Padam. Bulan tergantung pada langit
Bintang bernyanyi. Sepi. Kau tidak memandang ke langit
Kau memijak tanah. Reput. Tinggalkan sepotong nama
Kalau kau dikenang. Katakanlah! Diletakkan nesan bernama
Biar kau bersama orang-orang beriman. Doa. Anak-anak yang tidak berdosa
Mencari kau di mana? Rindu. Benih hidup bertaburan
Siapa yang datang? Sesiapa. Malam akan menyapa siang
Pagi yang putih. Azan. Suara dari rumah-Mu
Mimpi terpancung. Darah. Aku bangkit dari mimpi kacau
Kehidupan yang dimusnahkan. Debu. Air cinta yang diteguk
Kalau kau mahu aku. Jujur. Aku dipasak maruah
Kalau kau buang aku. Benar. Aku kibarkan panji kemenangan
Aku benci hipokrasi. Mati. Kau membenci kematian ini
Di ruang mana diskusi bijak. Tewas. Dimatikan akal

Azmi Rahman
bandung-surabaya



25 Februari 2017

SCIM1043 TOPIK 3 PEMIKIRAN KRITIKAL/ KRITIS

Definisi 

Merujuk kebolehan manusia untuk mencipta gagasan, pengertian, hujahan, penilaian, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.

Daya intelektual untuk membangunkan, mempertajamkan, memperhaluskan dan mengembangkan aktiviti minda.

Pemikiran reflektif atau timbal balik yang berusaha untuk memutuskan sama ada untuk menerima atau menolak sesuatu maklumat.  

Pemikiran yang menekankan soal fakta yang benar ataupun salah, soal bahasa yang mana jelas atau kurang jelas dan terutama sekali soal susunan hujah sama ada sah atau sebaliknya bagi sesuatu perkara.

Pemikiran berasaskan pengalaman dan hasil kajian, berfikir secara serius atau mendalam dan seterusnya membuat pertimbangan, kecekapan dan keupayaan menggunakan minda untuk menilai kemunasabahan atau kewajaran sesuatu idea, meneliti kebernasan, kebaikan dan kelemahan sesuatu hujah dan membuat pertimbangan yang wajar dengan menggunakan alasan dan bukti yang munasabah.

Ciri Pemikiran Kritikal

Pemikiran kritikal atau kritis bersifat: (Nyatakan contoh yang sesuai)

Logik atau logikal.

Tetap dan tidak berubah. Setelah membuat keputusan tentang sesuatu perkara, maka ia tidak akan berubah.

Analitikal yang bererti memberi perhatian terhadap unsur, elemen, bahan, perkara satu persatu dan bertujuan menghurai dan meneliti satu persatu sesuatu perkara itu.

Penilaian penting dalam membantu individu membuat keputusan secara bijak dalam sesuatu perkara.

Kritikal boleh difahami sebagai menimbang yang membawa maksud menilai, membezakan, memutuskan dan menyoal sama ada sesuatu perkara itu benar atau salah.

Tidak bias atau tidak berat sebelah. Tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam meletakkan sesuatu keputusan. Bersifat neutral dan tidak berat sebelah membolehkan, rasional, waras dan ada justifikasi terhadap sesuatu yang dilakukan.

Tujuan dan Kepentingan Pemikiran Kritikal

Digunakan untuk berhujah secara lebih berkesan, logik dan rasional.

Penyataan tidak dapat dipalsukan dan diselewengkan. Oleh itu, tidak boleh menerima sesuatu perkara itu secara keseluruhan malahan perlu kepada penilaian secara kritikal.

Pemikiran kritikal amat penting dalam kehidupan seharian sama ada dalam hal yang kecil atau besar.
Rujukan
Mohd Azhar Ab. Hamid (2001), Pengenalan Pemikiran Kritikal dan Kreatif. Skudai. Penerbit UTM


24 Februari 2017


LAGU MIMPI DARI KAMAR BERKACA

Kawan, kehidupan ini membosankan
Aku bernafas dalam ruang berdebu
Aku tidak boleh berkata tidak
Darah hidup telah menjadi air beku
Kemudian cair di kepanasan perjalanan.

Segalanya hendaklah diiyakan
Di genggaman sudah ada kemenangan
Aku belum tewas di atas langkahan
Bertahun-tahun aku mengusung aksara berapi
Kau lihat asap kehidupan
Berkepul di langit harapan
Menghilang di celah awan pasrah
Kau lihatlah jalur mimpi aku dari kamar berkaca.

Aku takut pada kesepian
Aku pernah dibakar kerinduan
Kejauhan menjarakkan cinta
Kesepian menjerut keberanian
Tiada kawan untuk bicara benar
Dalam barisan perjuangan
Semakin sarat dengan bilah duka.

Kamar kaca akan pecah
Mimpi mengalir di dinding kamar
Tiada siapa menjadi pengikut
Sendirian adalah keberanian
Doa panjang aku yang belum dimakbulkan Tuhan.

Mimpi menyimpulkan kebenaran hidup
Menjalar dan berakar di dinding kamar berkaca
Dari luar dinding terang dan telus
Kau boleh menembusi wajah mimpi aku
Kau sukar menterjemahkan aksara mimpi
Tergantung di dinding kaca yang retak.


Mimpi aku telah terkepung dalam penjara
Dinding kamar sudah retak
Mimpi menjadi segugus kuntuman
Berkecai diramas jemari mentari dengki
Lalu angin kejam menghempaskan seluruh kuntuman
Ke sudut kamar berkaca ini.

Kau lihat aku sedang bermimpi
Aku belum bangkit dari ranjang berduri
Malam kelam hadiah hari jadi ke berapa aku
Kekasih siapa ditinggalkan
Kuntuman yang berkecai itukah?

Lagu mimpi aku yang sumbang melodi
Penggubah lagu telah mati
Nota lagu mimpi yang robek
Dinding berkaca adalah saksi terbaik
Mimpi aku tak bertemu di ruang terbuka
Dalam kamar berkaca terkepung
Mimpi menjadi lagu
Lagu mimpi menjadi asap mengganggu mimpi baru aku.

AzmiRahman
Jitra, Kedah

Soalan: Apakah maksud sajak ini?




SCIM1053 TOPIK 1.1 KESENIAN

-         Perihal atau yang berkaitan keindahan, kecomelan, kehalusan dan kebolehan mencipta sesuatu karya seni.

-         Penciptaan karya adalah melalui bakat yang dimiliki oleh seseorang, misalnya sajak, lirik, lukisan, muzik, drama, filem, novel, animasi, benda (ukiran, hiasan, fesyen, patung, dan topeng), bahasa, khat, kraf tangan, dan pahatan.

-         Cabang seni: tarian, ukiran, silat, pahatan, suara, muzik, bina, foto, fesyen, masakan, gerak badan, gubahan, tatarias, mekap, urutan dan asmara.

Ciri-ciri keindahan 

Bentuk luaran

-         Bulat, empat segi, bujur, segi tiga dan sebagainya.
-         Warna dan kombinasi saiz (besar, sederhana dan kecil)
-         Hiasan luaran
-         Keseimbangan dan keharmonian (letak duduk/ susun atur)

Bentuk dalaman

-         Bentuk yang menarik (B)
-         Bau yang menyenangkan (B)
-         Rasa yang enak atau secukup rasa (R)
-         Kombinasi adunan/ binaan/ bahan luaran yang digunakan atau digunakan.

Keindahan karya seni

-         Sastera (cerpen dan novel) : tema dan persoalan, bahasa, plot, latar, watak dan perwatakan serta teknik.
-         Puisi: tema dan persoalan, bahasa, serta teknik.
-         Seni tari: muzik, pergerakan, pakaian dan kesamaan.
-         Seni suara: lirik, melodi, suara penyanyi, penyampaian, dan sentuhan jiwa/ perasaan.
-         Filem/ drama: cerita, plot, watak dan perwatakan, teknik dan bahasa.
-         Seni lakon: suara, mimik, gesture, aksi, dan kepelbagaian.
-         Seni deklamasi: suara, lontaran suara, penyampaian, penghayatan, intonasi, dan nada.
Alam ini diciptakan-Nya dengan penuh keindahan. Perhatikan diri sendiri dari hujung rambut ke hujung kaki, dan segala ciptaan-Nya di sekeliling kita; bukit-bukau, gunung-ganang, lautan, flora, fauna, dan sebagainya.

Seni, Budaya, Komunikasi dan Kreativiti

-         Komunikasi bermaksud perhubungan secara langsung antara manusia melalui alatan atau media, misalnya radio, tv, telefon pintar dan computer.
-         Perhubungan secara tidak langsung, misalnya melalui seni tari, seni lukis, aktiviti politik, sosial dan agama.
-         Komunikasi bersifat vertikal dan horizontal: Vertikal – hubungan antara manusia dengan Tuhan, manakala hubungan horizontal adalah antara manusia dengan manusia dan manusia dengan alam.
-         Kreativiti: Manusia berbudaya dan berseni adalah manusia kreatif. Melalui kreativiti, terhasil sesuatu yang sifatnya inovatif sama ada perkhidmatan, sistem atau produk.
-         Contoh: Hasil Konvensyen Kreatif dan Inovatif (KIK) Terbuka UUM 2017, terhasil perkhidmatan dan produk inovatif, iaitu Sistem Pengurusan Peralatan Pusat Kokurikulum UUM, Sistem Mencari Suis di UUM, dan Sampling Blood Test Kit (Pusat Kesihatan UTHM, Johor).
     Ciptaan alatan sains dan teknologi membudayakan kehidupan manusia dalam urusan komunikasi harian; contoh telefon pintar dan komputer. Ciptaan ini adalah hasil kreativiti dan inovasi manusia (saintis/ teknologis).
-         Apa juga yang dihasilkan oleh manusia adalah untuk memudahkan dan mempercepatkan komunikasi manusia.
     Manusia memiliki budaya, mempraktikkan seni, berkomunikasi dan berkreativiti bukan untuk mengubah dunia tetapi untuk memudahkan segala urusan manusia merentasi sempadan geografi, manusia dan masa.
     Genarasi masa depan bermindakan telefon pintar yang dikawal oleh satelit bikinan manusia. 
     Bayangkan hidup anda tanpa telefon pintar dan komputer? Anda hanya dikawal oleh satelit Ilahi. Wallahuaklam (Allah Yang Maha Mengetahui).









22 Februari 2017


SCIM 1043 TOPIK 2 ASAS PEMIKIRAN

Prinsip orang yang mahir berfikir:

1  1. Sentiasa berfikiran positif atau membina vs berfikiran negatif. 
    2. Pemikiran positif melahirkan idea bernas. Contoh: para pelajar BCIM hebat-hebat.
    3. Berfikir mudah vs berfikiran  susah – rasa hebat apabila memberikan soalan susah. Contoh: Mana telinga anda?
    4. Memberi dan mencari  pilihan atau alternatif  vs satu pilihan sahaja. 5. Berfikiran begini selalu mencetuskan banyak idea. Contoh: bahan rujukan kursus hanya di perpustakaan. Pilihan lain? 
    6. Bijak mendengar dan bukan bijak berdebat. Berfikiran begini tidak  menimbulkan pertelagahan pendapat. Jawapan mudah: Ya/ OK.
    7. Membuangkan ego. Contoh ego, “Saya betul. Awak salah,” dan “Saya pandai. Awak bodoh.”
    8. Merendahkan diri. Berfikiran bahawa pemikiran seseorang masih atau belum tentu betul. Contoh: “Apa yang saya cakap ini, yang baik daripada Allah dan yang kurang daripada saya,” “Saya ini insan yang lemah ….” “Ikutlah resmi padi, makin berisi makin tunduk,” dan “Ular menyusur akar tidak akan bisanya.”

HUJAH dan PENDAPAT

1. Dalam kehidupan seharian, kita berhujah dan memberi pendapat. Contoh,” Pada pendapat saya….” Dan “Hujah saya menyokong atau menentang pendapat anda itu ….”
     2.Pendapat (opinion) ialah fikiran yang diyakini betul.
     3.Hujah (Argument) – penyataan alasan dan bukti menyokong pendapat. Hujah menimbulkan berhujah dan penghujahan.
     4. Ada yang suka memberi pendapat tetapi tidak suka berhujah kerana tidak mahu bertelagah pendapat yang boleh mencetuskan konflik.
     5.Setiap orang ada pendapat masing-masing dan ada hujah menyokong atau menentang pendapat orang lain.
     6.Ada jenis manusia yang sifatnya suka menentang pendapat orang lain; maksudnya berfikiran negatif.
     7. Dakwa pendapatnya betul atau benar tetapi belum tentu ada yang percaya dan yakin pendapatnya betul atau benar.
     8. Berhujah: peluang membunuh pendapat seseorang.
     9. Berhujah: membuktikan pendapatkan pendapat seseorang salah atau benar.
1   10.Berhujah: membuang masa kerana mempertikaikan sesuatu yang tidak penting atau sudah diterima  umum atau sudah diputuskan benar oleh pihak yang berwibawa.
1   11.    Contoh pendapat dan hujah : a) Pengambilan pelajar perempuan ke UUM hendaklah dikurangkan. Hujahnya …. b) BR1M hendaklah dihentikan. Hujahnya …. dan c) Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) hendaklah dalam bentuk tunai dan bukan dalam bentuk debit. Hujah….
1  12. Apakah beza antara OTAK (BRAIN) dan MINDA/ AKAL (MIND)? JASAD dan ROH?
.           13 Rasa ingin tahu berdetik dalam AKAL/ MINDA. Siapakah anda? Kenapakah anda dijadikan Tuhan? Untuk apakah  anda hidup di dunia ini? Ke manakah  anda selepas mati?     

Azmi Rahman
SCIMPA
UUM CAS

  

18 Februari 2017




PANTUN ASMAUL HUSNA

Buah bidara sudah dibelah,
          Buah pala dipetik si dara;
Mula bicara dengan Bismillah,
          Alhamdulillah pula akhir bicara.

Batang sena mahu dibelah,
          Sudahlah banyak tumbuh kulat;
Asmaul Husna milik Allah,
          Sebutlah banyak dapat fadilat.

Manislah sungguh isi kurma,
          Banyaklah dikerumun sang lebah;
Allah disebut nama pertama,
          Dialah wajib kita sembah.

Pasang pelita di batang kuini,
          Kuini baba dimakan lalah;
Allah Pencipta alam ini,
          Kita hamba ciptaan Allah.

Bayang-bayang pokok selasih,
          Bayang  berbalam  pokok kelapa;
Allah Yang Maha Pengasih,
          Kasih-Nya mendalam kepada sesiapa.

Sudah diberi pisang kaki,
          Kepayang dibuang di tepi paya
Allah memberi banyak rezeki,
          Allah Yang Maha Kaya.


Azmi Rahman
UUM Sintok
Disember 2016


SCIM1053 TOPIK 1 : KONSEP KEBUDAYAAN DAN KESENIAN

Budaya bermaksud tamadun atau peradaban. Budaya mempunyai kaitan dengan kemajuan fikiran, akal budi, rohani dan fizikal manusia atau sesuatu bangsa.

Manakala kebudayaan diertikan sebagai keseluruhan cara hidup (a way of life) manusia:

n  Bersosial (adat istiadat dan amalan tertentu masyarakat)
n  Berpolitik – ada kaitan dengan kuasa pemimpin dan kekuasaan.
n  Berekonomi – sifatnya kebendaan atau material dan spiritual.
n  Berseni – hal yang berkaitan keindahan dan kecantikan.
n  Berfaslsafah – hal yang berkaitan pencarian makna diri dan hidup.
n  Berkomunikasi – hal yang berkaitan bahasa dan interaksi manusia; dengan Tuhan, manusia dan makhluk lain.
n  Beragama – keyakinan dan kepercayaan kepada Tuhan dan peraturan yang ditetapkan dalam kitab agama sebagai panduan hidup.
n  Berteknologi – alatan dan kegunaan pelbagai gajet media baharu yang tidak dapat dipisahkan daripada manusia.
n  Berhibur – hal yang berkaitan dengan keseronokan dan naluri manusia.
Dalam Islam dikatakan Islam sebagai cara hidup yang lengkap. Apa jua amalan manusia sebagai hamba-Nya adalah untuk dan kerana Allah SWT.
Cara hidup manusia adalah bagi memenuhi kehendak dan pengisian; spiritual (roh dan akal) serta fizikal. Roh memerlukan amalan dan amal ibadat. Akal, makanannya adalah ilmu. Manakala fizikal pula, makanannya adalah apa yang diisi melalui mulut, masuk ke dalam perut. Makanan yang memberi tenaga untuk manusia hidup dan bergerak.

KESENIAN

n  Perihal atau yang berkaitan keindahan, kecomelan, kehalusan dan kebolehan manusia mencipta sesuatu karya seni.
n  Penciptaan karya adalah melalui bakat yang dimiliki oleh seseorang, misalnya sajak, lirik, lukisan, muzik, drama, filem, novel, animasi, kartun, ukiran, hiasan, fesyen, patung, topeng, foto, bahasa, khat, kraf tangan, dan pahatan.
n  Cabang seni: tari, ukir, silat, pahat, suara, muzik, lakon, jarum, bina, bahasa, fesyen, tutur, gerak, badan, urutan, cinta, dan selfie.




SCIM1043  TOPIK 1: MAKNA PEMIKIRAN

Pemikiran adalah proses minda (10 M):

-         Mencari kebenaran seperti ahli falsafah atau filsuf. Kebenaran yang dicari adalah kebenaran tentang kehidupan, sebab manusia hidup, tentang kematian dan hidup selepas mati.

-         Membuat keputusan. Dalam hidup, sesuatu keputusan hendaklah dibuat sama ada ia memberi imlikasi positif atau negatif.

-         Menyelesaikan masalah. Setiap manusia menghadapi masalah dan perlu diselesaikan masalah itu; masalah diri, keluarga, organisasi dan negara.

-         Menciptakan pelbagai benda baharu yang bermanfaat untuk orang tertentu atau semua; berkaitan produk teknologi.

-         Meneroka pelbagai idea, teori dan model; teori ekonomi, teori pengurusan dan model pengajaran.

-         Memberi refleksi atau maklum balas terhadap sesuatu; forum pembaca.

-         Membuat pertimbangan terhadap sesuatu sama ada baik atau buruk.

-         Menyatakan pendapat atau pandangan terhadap sesuatu hal atau isu.

-         Membandingkan sesuatu – mencari persamaan atau perbezaan.

-         Menilaikan sesuatu sama ada daripada pandangan sendiri atau orang lain atau kumpulan lain.

Cuba anda fikirkan contoh bagi setiap proses minda itu.


Selamat berfikir. 

14 Februari 2017



PEMIKIRAN S.I.N.T.O.K

S = Sistematik. Menurut sistem atau peraturan.

   = Segar. Idea segar untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan                           yang baharu.


I = Ilmu. Ilmu pemikiran dan ilmu lain diperlukan untuk aktiviti                                berfikir.
  = Intelektual. Taraf ilmu tinggi yang berkemampuan untuk berfikir.

N = Nalar. Pemikiran untuk menilai sesuatu sama ada baik atau buruk.     

   = Nanang. Berfikir-fikir sedalam-dalamnya.


T= Tekal. Tekal bermaksud tidak berubah-ubah, tetap atau konsisten.

   = Transformasi. Melakukan perubahan daripada idea kepada bentuk                                     yang baharu.


O = Organisasi. Kesatuan yang dibina untuk tujuan tertentu.

    = Output. Hasil yang diperolehi hendaklah dapat dimanfaatkan oleh                            orang ramai atau organisasi atau negara.


K = Kritis. Pemikiran yang berpaksikan logik dan kebenaran.

    = Kreatif. Pemikiran untuk menghasilkan, menciptakan dan                                          mengembangkan sesuatu yang baharu dan asli,        misalnya  idea, produk dan perkhidmatan.



Dicetuskan oleh Azmi Rahman

SCIMPA, UUM CAS 2017


KASIH


Datanglah dengan kasih
tidak cemas dan tidak marah
bukan untuk melawannya
bukan untuk melukakannya
seekor harimau pun terdiam!



Azmi Rahman
Sintok
Disember 2016

NOTA S.I.N.T.O.K

Nota ini buat pelajar BCIM dan para pemburu ilmu di UUM Sintok. Anda sebagai pelajar dalam bidang industri kreatif dan seni persembahan (IKSP), anda nanti adalah pemain, penggiat dan pengurus IKSP negara, falsafah S.I.N.T.O.K hendaklah meresapi di dalam diri anda:

S = SEMANGAT. Semangat tinggi dan bersungguh hendaklah ditanam di dalam diri untuk menggapai impian memiliki ijazah BCIM (Hons.). Semangat juga anda tanam untuk mempelajari dan menguasai ilmu IKSP serta apa jua ilmu demi kerjaya pada masa akan datang. Selain itu, semangat anda untuk terus menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi (MA dan PhD.).

I = IDEA. Idea baharu hendaklah selalu muncul daripada minda anda. Idea yang kreatif dan kritis adalah digalakkan demi perubahan yang lebih baik dan positif dalam hidup.

N = NAWAITU/ NIAT. Niat hendaklah tulus dan ikhlas dalam pencarian ilmu. Kalau yang muslim, niat apa jua tindakan adalah kerana Allah SWT.

T = TRANSFORMASI. Setiap apa yang dipelajari hendaklah anda TRANSFORMASI kepada bentuk yang bermanfaat, misalnya ilmu dan pengalaman, anda TRANSFORMASI kepada bentuk yang kreatif (lagu, buku, lakonan, filem, animasi dan sebagainya).

O = ORGANISASI. Organisasi bermaksud susunan yang teratur dan sistematik, biasanya daripada IDEA dijelmakan kepada suatu banda fizikal atau berwajah. Setiap apa yang kreatif yang dihasilkan, ada ORGANISASInya, misalnya skrip drama dan filem serta lirik.

K = KARYA. Karya adalah apa yang dihasilkan oleh seseorang. Dalam hal ini, karya dimaksudkan sebagai karya kreatif sama ada dalam bentuk bercetak atau elektronik, misalnya puisi siber, novel, skrip, dan buku kreatif.

Selamat berjuang dan menyumbang untuk IKSP negara.

Salam hormat.


Azmi Rahman

SCIMPA