12 Februari 2017


TANDAS MASJID O TANDA MASJID!


Apabila singgah di masjid untuk bersolat, biasanya saya akan ke tandas. Pengalaman saya singgah di masjid dan menjenguk tandas, ada ketikanya tidak sanggup saya masuk ke tandas. Bau tandas busuk dan keadaan tandas terlalu kotor. Pernah saya ke sebuah masjid di Perlis, ditulis di semua tiga pintu tandas ‘ROSAK. HARAP JANGAN GUNA. TERIMA KASIH.’ Sudahlah tandas tersumbat dan terlalu kotor pula. Sekitar kawasan masjid pula tidak bersih. Entahlah, terfikir saya apa tugas dan dilakukan oleh ahli jawatankuasa masjid? Kalau pihak pengurusan masjid adakan aktiviti gotong royong bersihkan masjid, dapatlah diselesaikan masalah itu. Ada yang saya perhatikan duit sedekah dan tabungan masjid mencecah puluhan ribu sebulan. Namun, banyak duit digunakan untuk bayaran kepada penceramah mingguan. Saya fikir cukuplah kalau sebulan sekali ceramah. Yang penting ialah impak ceramah itu kepada masyarakat sekitarnya. Hal-hal kebersihan masjid penting juga. Pernah saya dengar khutbah Jumaat tentang ‘kebersihan adalah separuh daripada iman tetapi implementasinya, bagaimanakah? Inilah yang dikatakan ‘cakap tidak serupa bikin.’ Berbeza pengalaman saya ketika di England, tandas di sana bersih dan sentiasa kering. Tandas masjid pun begitu juga. Entahlah, pengguna tandas masjid pun tiada disiplin juga. Pernah saya singgah ke sebuah masjid di Kedah, masuk ke tandas, didapati berselerak puntung rokok dan ditinggalkan pula pampers yang sudah digunakan. Kesedaran tandas masjid hendaklah bersih, perlu tersemat di hati setiap individu Islam. Jangan kita fikir, tandas itu bukan tandas kita, jadi biarlah hal kebersihan dipedulikan oleh pihak pengurusan masjid.

Azmi Rahman
Februari 2017




Tiada ulasan:

Catat Ulasan