12 Februari 2017




BERMULA TAHUN 2017


“Selamat Tahun Baru 2017.” Sambutan  tahun baru 2017 tidak meriah. Hal ini ada kaitan dengan wajah ekonomi dunia dan Malaysia yang dilanda kesuraman. Ya, 2017 tahun rakyat Malaysia terpaksa berdepan kesuraman dengan jatuhnya nilai RM berbanding USD (Januari RM4.5 bersamaan USD1). Rakyat juga berdepan dengan kenaikan harga barangan harian dan perkhidmatan. Harga gula, tepung, petrol, ikan, sayuran dan lain-lain naik. Kenaikan harga, misalnya petrol dan gula memberi implikasi terhadap kenaikan harga makanan sedangkan gaji pekerja tidak dinaikkan. Justeru, apa yang perlu dilakukan oleh rakyat Malaysia ialah berjimat cermat terutamanya membeli barangan yang perlu sahaja. Biasa selalu setiap kali bermula tahun baru, maka bertukarlah, misalnya perabot rumah, barangan kemas dan kereta. Saya sendiri terasa dengan kenaikan harga barangan keperluan harian. Kalau membawa RM50.00 ke pasaraya, apa yang boleh dibeli? Hanya cukup untuk membeli beras 10kg, gula, tepung dan susu. Itu belum lagi diambil kira mengisi petrol, membayar tol, membeli sayuran, duit belanja anak sekolah dan lain-lain. Saya fikir kalau bawa RM300.00, sekali belanja sudah habis. Entahlah, di pihak kerajaan apa tindakan dalam menangani isu ini? Cukupkah dengan pemberian BR1M dan bantuan lain untuk mereka berpendapatan rendah dan sederhana? Kita juga memikirkan sampai bilakah ekonomi Malaysia akan pulih dan kembali  stabil? Hal lain yang saya fikirkan ialah pemotongan bajet untuk institusi atau organisasi kerajaan. Pemotongan bajet ini sedikit sebanyak menjejaskan perjalanan pengurusan institusi atau organisasi itu. Sebelum ini, mewah kita berbelanja dengan makan dan pelbagai hadiah. Kini, setiap kali mesyuarat hanya dijamu air kosong dan kuih muih. Ada ketikanya, kalau mahu lebih sedikit, kenalah ahli-ahli mesyuarat menaja makanan  dan minuman. Apa-apa pun, kita hadapi realiti ini dengan tabah dan tenang. 


Azmi Rahman
Januari 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan