10 Disember 2016





PANTUN SELAMATKAN ROHINGYA


Makan nasi di tepi paya,
Lauk ikan ditambah ulam;
Kita berpuisi selamatkan Rohingya,
Kita selamatkan juga Islam.



Batang bidara mahu dipahat,
Dalam kelam cuaca redup;
Junta tentera Myanmar jahat,
Rohingya Islam diseksa hidup.



Beli sepatu waktu malam,
Beli butang baju sulaman;
Kita bersatu kerana Islam,
Kita tentang segala kezaliman.


Banyak jenis dinamakan batu,

Batu jadian berbentuk sawa;
Apa jenis manusia itu?
Tiada perasaan tiada jiwa.

Waktu malam bakar jerami,
Jerami dibakar menjadi baja;
Orang Islam Rohingya dizalimi,
Janganlah  kita membisu saja.


Sudah kering air di paya,
Paya ditambun jadikan taman;

Kita laungkan “Selamatkan Rohingya,
Aman dunia tanpa kekejaman.”



Azmi Rahman
UUM Sintok
Kedah



17 Ogos 2016




*SATU WANGSA SEHATI SEJIWA DI TAMAN HARMONI
Di taman harmoni, bunga-bunga segar mengharum
wanginya semerbak mengalir di ruang watan
kita menghidu segar kita menghembuskan udara yang sama.
Di taman harmoni, tumbuh teguh pohon kedamaian
tanah subur yang dibajakan
disirami air cinta mengakar mimpi pelangi.
Luka sedikit tidaklah terasa,
        Disapu setitik minyak gamat;
Harmoni hidup pelbagai bangsa;
        Aman damai adalah nikmat.
Kain diletak di atas pepara,
        Mahu dijemur sebab basah;
Jangan timbulkan huru-hara,
        Kelak semua hadapi susah.
Buah manggis di dalam guni,
        Diangkut orang dengan kereta;
Kita rakyat hidup harmoni,
        Di sinilah lahir sebuah cinta.
Hei, lihatlah sang kumbang yang terbang bebas
mahu menghisap madu bunga-bunga di taman harmoni
kita bunuh, kita nyahkan sang kumbang itu
kerana kemanisan madu adalah milik kita.

Hei, lihatlah sang helang dari negeri gelap
mahu membinasakan taman harmoni kita
kita halang kita tentang
kerana taman harmoni ini adalah milik kita.

Darah  semangat berakar di dalam diri
keris keramat para pejuang tersisip kejap di muzium kehidupan
kelir masih basah dengan darah
suara perjuangan bernafas di dalam saraf diri
kematian adalah hadiah perjuangan para pejuang
darah sang petualang tersembur di sebalik kelir
suara dendam terhambur, lenyap di udara.

Ah! Kematian bukanlah pengorbanan percuma
hargailah kematian itu sebagai hadiah kemenangan perjuangan
nama bukan hiasan pada batu sanjungan
nama kental keberanian itu terukir pada kelir sejarah
ingatan pada dalang hipokrasi sudah dipadamkan
nanti malam, pentas kemerdekaan akan terang benderang
meraikan kemenangan satu wangsa merdeka sehati sejiwa.

Di taman harmoni, warna bunga berbeza
wanginya tidak sama
kita hayati dalam satu nafas
benarlah seiring bertukar jalan
sekandang tidak sebau
seia bertukar sebut
di taman harmoni bunga-bunga adalah milik kita
jangan kita bagai enau dalam belukar
melepaskan pucuk masing-masing
jangan kita beraja di mata, bersultan di hati
jangan biarkan bunga-bunga milik kita layu di taman harmoni
jangan biarkan wanginya hilang dibawa pawana sasar.

Para pejuang bersuara atas nama kemerdekaan
laungkan sejuta kali kata azimat. Merdeka!
Jalur Gemilang, sanjungan sehati sejiwa
Jalur Gemilang sentiasa megah berkibaran di angkasa
Jalur Gemilang, sanjungan langit, awan, mentari dan bintang-bintang.

Sehati sejiwa serumpun bagai serai
seliang bagai tebu
hidup subur serai dan tebu di taman harmoni
samalah juga seikat bagai sirih
serangkap bak lembing.
Dirgahayu MALAYSIA!
SEML, UUM CAS, Sintok, Kedah.
Julai – Ogos 2015
*Puisi ini merupakan puisi poligenre yang dinamakan SATUNMANSA – akronim untuk SAJAK + PANTUN + MANTERA + PERIBAHASA





25 Julai 2016





GELASKU

Kau adalah air di dalam gelasku
Apabila dahaga, aku hirup air itu
Kau juga hirup air itu apabila dahaga

Jitra
Jun 2016

12 Julai 2016



SALAM AIDILFITRI 2016/1437 HIJRAH

Masam sungguh buah celagi,
          Manis pula buah delima;
Ramadan akan berlalu pergi,
          Kemudian Syawal pula menjelma.

Tanam serai tanam halia,
          Tanam juga cabai merah;
Aidilfitri hari yang mulia,
          Kemenangan kembali pada fitrah.

 
Lebat sungguh buah delima,
          Ambil sebiji lalu dibelah;
Pagi Syawal takbir bergema,
          Memuji-muji kebesaran Allah.


Malam raya pasang pelita,
          Pelita di bawah pokok jati;
Bersalam-salaman maaf dipinta,
          Salah silap terasa di hati.


Di tepi telaga tanam halia,
          Halia muda dikerat-kerat;
Kunjung mengunjungi amalan mulia,
          Hubungan saudara bertambah erat.


Berbuah lebat pokok bidara,
          Pokok mangga tidak menjadi;
Hendaknya Aidilfitri kita gembira,
          Jangan pula ditimpa tragedi.

Azmi Rahman

 



22 Jun 2016




 TEMBOK  

        Katamu, tolak tak tumbang. Tembok batu sombong itu terlalu kuat Tolak lagi, tak tumbang juga. Tolak kuat-kuat lagi, tak tumbang juga. Kata orang itu, kuat sungguh tembok itu. Kalau begitu, biar angin garang menerpa tembok itu. Benarlah  angin itu angin ganas  melawan sombong tembok batu. Tidak cukup dengan angin, air deras dilepaskan dari sungai benci  melemahkan sombong tembok. Sombong lagi. Tolak sekelip mata. Tumbang tembok. Diratakan tanah menjadi tanah baru. Dibina pula tembok lebih kukuh. Pastinya ada pula angin dan air deras yang mahu meruntuhkan tembok itu.

         Azmi Rahman
Jitra-SEML UUM, Sintok






*DI RIMBA HIJAU

Di rimba hijau ini
tersergam megah Universiti Utara Malaysia
mengukir nama di persada antarabangsa
menjadi Universiti Pengurusan Terkemuka.

Di taman ilmu ini
hijau rimba lambang kesuburan
abadi jua ketenangan
harmonikan sebuah kehidupan.


UUM, universitiku
di taman ini, kupetik bunga ilmu
wanginya  semerbak alam
dengan ilmu kukenal cinta
dengan budi  lahir di dalam hati
aku menjadi insan mulia
bakti  pula ditabur tanda aku mengenang jasa.
  
Korus:

Amatlah bermakna
jika ilmu, budi dan bakti
dari taman ilmu di rimba hijau ini
dicurahkan sepenuh hati
demi nusa, agama, dan bangsa
di mana-mana pun kuabadikan nama UUM.

Lirik: Azmi Rahman
Lagu: Ahmad Shah
Penyanyi: Didi AF

*Lagu tema Discover UUM 2016. Pelancaran oleh YB Dato’ Idris Jusoh, Menteri Pengajian Tinggi pada 22 Mei 2016 di UUM, Sintok. Judul asal “Taman Ilmu Di Rimba Hijau.”





20 Jun 2016






GURINDAM HIDUP BERJASA

Ini  gurindam hidup berjasa,
Biarlah hidup jadi perkasa.

Jangan hidup penting diri,
Nanti hidup tertusuk duri.       

Jangan hidup tidak berjasa,
Kelak hidup membuang masa.       

Jika berjasa kepada diri,
Kelak hidup untuk sendiri.

Biarlah diri buat kebajikan,
Kelak diri akan dikenangkan.

Biarlah diri baiki kelemahan,
Kelak diri berdaya tahan.

Biarlah diri berjiwa sukarela,
Tidaklah diri ditimpa bala.

Jika berjasa kepada bangsa,
Kelak bangsa dapat merasa.

Jika bangsa maju jaya,
Kelak bangsa dikata berjaya.

Jika bangsa kental semangat,
Impian muka membara hangat.

Berjasa  membangun  melakarkan  nama,
Bangsa menjadi bangsa ternama.

Jika berjasa kepada negara,
Nama  negara menjadi  ketara.

Berjasa untuk membangun negara,
Tidaklah negara  berduka lara.

Jika mahu nama dikenang,
Jangan hidup rehat senang.  

Jika berjasa kepada agama,
Besarlah pahala selama-lama.

Jaga agama tunjuk teladan,
Biarlah diri nampak sepadan.

Jaga agama jaga kesuciannya,
Biarlah diri jadi hamba-Nya.

Hidup berjasa tiada rugi,
Diri akan dipandang tinggi.


Karya:
Azmi Rahman
Jitra – UUM Sintok




















GURUKU


Aku pernah dimarahi guruku
kerana tidak membaca banyak buku.

Aku pernah dimarahi guruku
sudah kubaca buku
tidak kupeduli nama pengarang
dan warna kulit buku.

Aku pernah dimarahi guruku
sudah kubaca buku
sudah kupeduli nama pengarang
dan warna kulit buku
tidak kupeduli isi buku
tak kubaca habis.

Aku pernah dimarahi guruku
kubaca buku
kupeduli nama pengarang
kupeduli warna kulit buku
faham dalam isi buku
tapi aku tidak fikir
cara aplikasinya ilmu itu.    

Korus:

Daripada seorang guru dan buku
banyak yang aku faham
banyak yang masih aku harus faham
banyak yang harus aku berguru.


Lirik: Azmi Rahman
Melodi:
Gubahan:







TAMAN RAMADAN


Wahai orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 183)


Taman Ramadan; berakar pohon iman. Air pahala menyuburkan tanah rukun. Memadamkan api dosa semarak di ruang rapuh. Berakar iman. Menghapuskan debu di petak-petak peta diri kembara insan. Taman Ramadan; subur pohon ibadat. Lebat berbuah amalan. Buah khusyuk dipetik dari pohon-pohon di taman Ramadan. Ranum pahala  di syurga. Reda adalah pasrah iman. Pasrah di tanah pengabdian. Pelabuhan usia adalah hentian keberkatan.
 

Ya Rabbi, di taman Ramadan-Mu, aku ingin merasai nikmat dingin yang diterjah panas mentari. Aku ingin memetik buah pahala ibadat malam. Aku ingin menghidu wangi bunga di petak-petak syurga-Mu.


Di pelabuhan hati, pengabdian hanya kepada-Mu.



Azmi Rahman
SEML UUM CAS

9 Jun 2016


NALURI
Apabila orang lain berdiri gemuruh bertepuk tangan, aku pun turut bertepuk tangan sedangkan tokoh itu aku tidak mahu sanjung. Hanya apabila aku sendirian, memikirkan “Kenapakah aku tidak berbeza daripada orang lain dan tidak bertepuk tangan?”
Azmi Rahman
Sintok
Jun 2016

14 Mei 2016






KARMINA BUAT GURU
Pengat rasa dulu,
Pisang salai rastali;
Ingat jasa guru,
Kenang sampai mati.

Hulu sana lebar,
Jajar sampai rapat;
Guru kena sabar,
Ajar sampai dapat.

Kena-kena peluru,
Redup beradu merah;
Mana-mana berguru,
Hidup berpandu arah.

Lidah handal bicara,
Toleh muka dulu;
Sudah kenal aksara,
Boleh baca buku.

Gula mahal harga,
Rasai gula nira;
Bila kenal angka,
Pandai pula kira.

Sudah berkecai kaca,
Berkecai tiada digilis;
Sudah pandai baca,
Pandai pula tulis.

Buru cermat halang,
Ajar jadi gemilang;
Guru khidmat cemerlang,
Pelajar jadi terbilang.

Cermat beli baju,
Ganti baju di anjung;
Selamat Hari Guru,
Bakti guru disanjung.

Azmi Rahman
Sintok

8 Mei 2016




KASIH SAYANG IBU
(Sempena Hari Ibu)

Sudah bermula kisah perang,
          Kisah perang dalam hikayat;
Ibu kita hanya seorang,
          Kasih sayang sepanjang hayat.

Kain pasang hiasan perada,
          Kain dibeli di Pasar Payang;
Selagi ibu masih ada,
          Berilah sepenuh kasih sayang.

Pokok bidara dibubuh baja,
          Tumbuh subur pokok selasih;
Ibu tempat anak bermanja,
          Tiada ibu tiadalah kasih.

Manis rasa air tebu,
          Dicampur dengan jus pegaga;
Jangan derhaka kepada ibu,
          Kelak tidak mencium syurga.

Kayu getah sudah dibelah,
          Disusun elok di tepi telaga;
Buat ibu kembali ke rahmatullah,
          Doa anak ibu di syurga.

Karya:
Azmi Rahman
SEML, UUM CAS    

20 April 2016


ENTRI 21 APRIL2016 : MEMIKIRKAN NASIB BAHASA MELAYU

Macam-macam saya fikirkan tentang nasib Bahasa Melayu (BM) dan apa-apa yang berkait rapat dengan kata Melayu, misalnya sastera Melayu, budaya Melayu, dan bangsa Melayu. Bahasa Melayu sudah dipinggirkan oleh bangsa Melayu. Bangsa Melayu hanya berbangga kerana sejarah lampau Bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca. Kemudian BM dipinggirkan akibat serangan daripada Bahasa Inggeris yang menjadi bahasa global dan bahasa antarabangsa. Bangsa Melayu pula berfikiran bahasa untuk maju hendaklah menguasai Bahasa Inggeris. BM tiada nilai ekonomi apatah lagi nilai ilmu tinggi. BM hanyalah layak berada di kedai-kedai kopi, di surau atau di masjid sebagai wahana komunikasi. Jelas dalam sistem dan pelaksanaan pendidikan, sudah diperkenalkan dasar PPSMI (kemudian dimansuhkan), digantikan pula DLP. Tiada bezanya antara PPSMI dengan DLP. Di IPTA, pula tinggal berapa kursus atau program ijazah yang masih diajar dalam BM. Barangkali pada masa akan datang, kursus BM pun dalam Bahasa Inggeris. Generasi akan datang yang sudah diinggeriskan melalui Bahasa Inggeris sudah hilang BM. Mereka sudah tidak boleh menjelaskan ilmu atau maklumat dalam BM. Hal ini sudah berlaku sekarang. Para pensyarah di IPT sudah janggal berkuliah dalam BM dan tidak dapat menyatakan atau menjelaskan konsep-konsep ilmu dalam BM. Justeru, apa lagi yang boleh bangsa Melayu berbangga dengan BM jika BM sudah dipinggirkan dan sudah luntur seperti terkena peluntur? Siapa lagi yang mahu perjuangkan dan memartabatkan BM – bangsa Melayu di kampung atau di kota atau di sektor kerajaan atau di sektor swasta atau persatuan penulis yang berkarya dalam BM? Orang Melayu di kampung, saya perhatikan mereka pun tidak peduli tentang BM. Di kampung-kampung atau di luar bandar, kalau diperhatikan Bahasa Inggeris lebih banyak digunakan pada menu makanan, nama kedai, dan barangan; misalnya seafood, western food, grill, mini market, frozen, fresh mart, free, dan sebagainya. Kalau di pekan atau di bandar, pastilah menyerlah penggunaan Bahasa Inggeris daripada BM. Belum lagi dibicarakan tentang sastera Melayu dan budaya Melayu; ini pun sudah bercelaru. Sastera Melayu di sekolah dan di IPTA khususnya kian mengecil dan menghilang pelajar atau pencintanya. Budaya Melayu pula, entahlah bercampur-aduk dengan budaya Barat. Budaya Melayu kian tenggelam dilemaskan oleh budaya Barat. Bangsa Melayu pula berpecah-belah angkara perbezaan ideologi. Masing-masing menegakkan ideologi yang dikatakan benar dan lurus. Akhirnya yang tinggal dan boleh dibanggakan oleh bangsa Melayu, apa lagi?

Azmi Rahman     






VIA NEGATIVA

Sayang,
menjadikan cinta kita, cinta terhebat,
buang semua ciri  bukan cinta terhebat yang mampu memusnahkan
kebahagiaan cinta terhebat kita
, sayang.
Jitra
April 2016






PENUNGGANG
Kuda berlari kencang. Penunggang kuda menjinakkan kuda tetapi gagal. Seperti juga lava yang menggelegak meletus panas tidak waras. Siapa mahu meredakan letusan lava tetapi gagal menyejukkannya.
Jitra
April 2016



19 April 2016


WAKTU ADALAH BENANG YANG MENGIKAT LEMBARAN USIA
(Buat Profesor Madya Haji Ibrahim Ahmad)

Sekian lama kita bersama menganyam bilah sejarah
Tiba detik ini bukan menjarakkan kita
Tiba detik ini bukan memisahkan kita
Detik ini kian merapatkan kita
di bawah rumpun keluarga
Tersusun melakarkan ingatan abadi
Dalam arus ingatan memanjang
mengalir doa sejahtera kami
Pelangi di langit kenangan sukar dihilangkan
Segulung waktu adalah benang
yang mengikat lembaran usia kita
Pernah kita bersama menyatukan
fikir rasa dalam diri UUM
Mewarna-warnikan rumah Bahasa Melayu
Menatariaskan wajah diri Bahasa Melayu
Menyuburkan pohon Bahasa Melayu di taman ilmu
Sungguh betapa berjasa tuan
kepada UUM dan Bahasa Melayu.
(Pantun)
Pokok mangga berbuah lebat,
Dipetik setangkai si gadis ayu;
Ibrahim Ahmad memang hebat,
Kepakarannya perihal Bahasa Melayu.
Sudah terbit suria pagi,
Nampak jauh dari anjung;
Budi tuan sungguh tinggi,
Jasa tuan kami sanjung.

Azmi Rahman
Sintok
01 Januari-Februari 2016



17 April 2016







KERING (2)

Kering bendang. Ikan dan rumput reput di dalam tanah. Petani pun menjauhkan diri.
Memandang debu berterbangan. Kering kolam. Pemancing pun tidak lagi memikirkan umpan dan ikan. Tanah merekah menjadi batu. Kering tempayan. Cebok pun jauhlah. Kering diri. Diri yang menjauhkan diri dari air iman. Bendang, kolam dan tempayan,  ujian-Mu adalah kering. Menjadikan hamba-Mu pening dan gering.

Azmi Rahman
Jitra
16 April 2016







KERING


Kering. Pasir dan tanah. Air telah lama pulang ke lidah matahari. Tidak pula turun dari kolam awan. Kering. Mata dan hati tidak pandai berdusta. Tidak menyandar  mana-mana tembok kepentingan diri. Aku melihat juga tapak kaki di atas pasir dan tanah kering. Aku mengepal pasir dan tanah itu. Berberai dan berdebu.

Azmi Rahman
Jitra
15 April 2016




TOPIK 4 PANTUN (Terjemahan ke Bahasa Inggeris)

TERJEMAHAN PANTUN KE BAHASA INGGERIS OLEH MUHAMMAD HAJI SALLEH

(Sumber: Muhammad Haji Salleh, t.t. Pantun dari tujuh tanjung. t.p)

Kalau tuan menari *legung,
          Jangan menari di tepi pagar;
Kalau tuan duduk termenung,
          Jangan lupa mengenang sekitar.
If *legung you’d go a-dancing,
          Dance not by the embankment;
If you sit alone reminiscing,
          Forget not the charming environment.
(hal. 19)
Ambil buluh dihiris-hiris,
          Hiris mari di Pulau Serindip;
Bateri computer sudahlah habis,
          Layar tergetar, berkelip-kelip.
Fetch the bamboo and cut it slow,
          Cut it well on the Isle of Serindip;
My battery is indeed weak, it’s low,
          It shrieks a warning, beep, beep, beep.
(hal. 62)
Ambil benang disambung-sambung,
          Buat menangkap ikan bilis;
Saku kita semakin kembung,
          Otak kita semakin kempis.
Take the net, thread it smaller,
          The anchovies we must catch to fry;
Our purses get much fatter,
          But our hearts continue to shrink dry.
(hal.23)
*legong – sejenis tarian Bali.
Azmi Rahman, UUM Sintok.
 


TOPIK 8 SONETA MELAYU (Nota Tambahan)

SONETA: NOTA RINGKAS

Genre puisi moden yang sudah popular di Malaysia adalah sajak atau puisi. Soneta pula sebagai satu daripada genre puisi moden dalam bahasa Melayu kurang diberi tumpuan oleh penyair dan pengkaji sastera di Malaysia. Namun begitu, di Indonesia, antara penyair terawal yang pernah menghasilkan soneta adalah Muhammad Yamin (1903-1962), dan Sanusi Pane (1905 – 1968) (Puzi Hadi, 2011). Di Malaysia, sehingga kini (2013), hanya tiga buah buku soneta yang diterbitkan, iaitu 68 Soneta Pohon Ginkgo karya A. Samad Said (2008), Pepohon Perteduhan Cinta karya bersama Yajuk, Kriey, Citranalis, Mokhtar Rahman & Azmi Rahman (2011), dan 44 Soneta karya Mokhtar Rahman (2011). Entri kata soneta terdapat dalam kamus dan glosari kesusasteraan Melayu, misalnya Safian Hussain et al (1988, h. 313-315), Hashim Awang (1986, h. 88), Rahman Shaari (2001, h. 92), dan Kamus Dewan Bahasa edisi keempat (2015, h. 1505).

Secara mudah kata soneta (dalam bahasa Inggeris, sonnet, dan dalam bahasa Itali, sonetto) berasal daripada bahasa Latin, sonus bermaksud “A poem of fourteen lines in pentameter verse form.” Bentuk soneta Itali adalah berskema rima abba, abba, cdc, dcd atau cde, cde. Manakala bentuk soneta Inggeris atau soneta Shakespear adalah abab, cdcd, efef, gg (Scott, 1985, h. 272).


Di Malaysia, sekitar 2002 muncul sebuah laman web sastera, eSastera.com (kemudian mulai 28 Disember 2012, bertukar menjadi eSastera2u.com yang diasaskan oleh seorang profesor dan saintis kejuruteraan biologi, iaitu Profesor Ir Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas (Drirwan). Komuniti soneta diwujudkan pada 14 Mac 2010, dimulai dengan soneta berbentuk 4-4-4-2 bertajuk “Soneta Pengembaraan Cinta” karya Mokhtar Rahman. Kemudian muncul pula soneta 4-4-3-3 berjudul “Soneta Cinta” juga karya Mokhtar Rahman pada 26 Mac 2010. Sepanjang tahun 2010 hingga 2011, sejumlah 117 buah soneta berbentuk 4-4-4-2, dan 21 buah soneta berbentuk 4-4-3-3 dipaparkan di eSastera.com. Antara penyair yang aktif menerbitkan soneta adalah Azmi Rahman (42 buah), Kriey (19 buah), Mokhtar Rahman (19 buah), Yajuk (21 buah), dan Citranalis (19 buah) (Puzi Hadi, 2011). Komuniti soneta diuruskan oleh Kriey yang kini berada di Mesir. Sejak diwujudkan, komuniti soneta berkembang aktif. Antara penyair soneta yang aktif berkarya di komuniti ini adalah Mokhtar Rahman, Kriey, Citranalis, Yajuk, dan Azmi Rahman (Irwan Abu Bakar, 2011).

Disediakan oleh
Azmi Rahman