17 April 2016


TOPIK 9 KESUSASTERAAN SIBER (Nota Tambahan)

TEORI SASTERA SIBER: TERSEDIA RUANG UNTUK PEMBINAANNYA

Pelbagai teori sastera telah dibina oleh para sarjana dalam pelbagai bidang. Kita biasa dengan sama ada teori sastera klasik, misalnya teori formalistik, struktural, sosiologi sastera, stilistik, psikoanalisis, moral, estetika, fenimisme, fenemenologi, kata kunci, intertekstualiti, rasa, dan teori sastera yang bersifat tempatan, misalnya takmilah dan estetika tauhid. Teori-teori sastera ini didalami dan diaplikasikan terhadap data atau  karya sastera Melayu. Teori sastera yang diimport dari barat telah diubah suai oleh para sarjana tempatan. Teori-teori sastera yang sudah sekian lama dipelajari, jika diteliti adalah gabungan ilmu sastera dengan ilmu lain, misalnya sosiologi sastera adalah gabungan sosiologi dan sastera, stilistik; linguistik dan sastera, psikoanalisis; psokologi dan sastera, estetik; estetika dan sastera, dan moral dan agama pula adalah gabungan ilmu moral dan agama dan sastera. Kemudian pabila muncul teknologi, komputer dan Internet, di alam siber, sastera yang sudah sekian lama diadun dengan didekati dengan disiplin atau ilmu lain, memunculkan sastera siber. Justeru, sekian lama sastera siber wujud, para peneliti karya sastera siber memikirkan bahawa pembinaan sebuah teori sastera baru dinamakan teori sastera siber perlu diterokai. Untuk cetusan awal, kita terima pakai istilah itu dahulu sebelum terbinanya dengan kukuh sebuah teori sastera siber.
          Tulisan saya yang berjudul “Sajak Siber: Berbeza Dimensi Estetiknya” sekadar mengembangkan idea dan dasar ilmu sastera siber yang saya kutip daripada tulisan Drirwan. Saya mengutip idea Drirwan, misalnya konsep sastera siber, karya siber tulen, separa tulen dan primitif. Pada pengamatan saya, konsep-konsep sastera siber belum lagi digazetkan dalam glosari istilah kesusasteraan atau kamus Bahasa Melayu. Pada pandangan saya perlu dimasukkan segera entri e-sastera, e-sasterawan, sastera siber, sajak siber, cerpen siber, penyair siber, di bawah entri siber (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2015, hal. 1487). Begitu juga dengan e-sasterawan, blog, blogger, blogging dan memblog. Kita  masih menunggu untuk menatap entri atau kosa kata baru tentang  sastera siber dimasukkan dalam Kamus Dewan atau kamus berbahasa Melayu lain.
          Kemudian saya membaca dan meneliti tulisan Atui Dtabasan “Sebuah Teori Sastera Siber?”  Menarik cetusan idea Atui Dtabasan. Inti dan idea pembinaan suatu teori sastera siber hendaklah diusahakan dengan giat. Persoalannya dari mana boleh terhasilnya teori sastera siber? E-Sasteralah yang telah menyediakan ruang, memunculkan teori sastera siber. Hanya keterlibatan para sarjana sastera Melayu yang masih belum serius menyelami sastera siber, dan ada yang masih menolak atau belum menerima kehadiran sastera siber. Karyawan yang masih lagi selesa berkarya secara konvensional sukar berkawan dengan teknologi kerana terasa masih ketinggalan dan tidak boleh atau tidak mahu menguasai teknologi komputer.
          Pada pandangan saya, asas dan dasar teori sastera siber bertitik tolak dari teknologi dan komputer dan Internet. Melalui alatan canggih inilah, munculnya pelbagai produk siber yang kuat dibantu oleh software yang canggih dalam poenghasilan karya kreatif siber, misalnya sajak siber dengan dibantu alatan canggih, mudah mendapat tempat dan perhatian khalayak siber. Kita lihat di alam siber yang disediakan oleh e-Sastera.com (kini esastera2u.com) muncul sajak-sajak siber tulen yang dikomposisikan oleh penyair siber, misalnya penyair Curasimanjakini dengan sajaknya “Musim Cinta II” (19 Mei 2008), “Akulah Penyair Sichuan” (18 Mei 2008), “AK-41” dan (24 Mei 2008). Sebelum itu, khalayak siber diskrinkan dengan sajak “Puisi Sengsara” (16 Mei 2008) dengan versi flash. Contoh sajak lain ialah yang dikomposisikan oleh penyair Hasimah, iaitu “Niaga Perasaan” (22 Mei 2008).
          Sastera siber adalah sastera berteknologi tinggi. Selain itu, sastera siber adalah sastera yang penuh dengan warna-warni aksara, animasi, dan audio-video. Sastera siber bukan sekadar karya atau produk karyawan siber untuk dilihat, malahan didengar, dan dihayati alunan audio-estetik video yang menyentuh jiwa khalayak siber.
          Saya juga mengesan proses kreatif karyawan siber bagi karya siber berbeza daripada proses kreatif karyawan konvensional. Karya konvensional bermula dari idea, dikembangkan di atas kertas, kemudian dicetak, dan dibaca pembaca. Kita dapati karya dan karyawan tidak berinteraksi dengan khalayak secara pantas dan spontan. Namun, karyawan siber, kreativitinya menjangkau jauh. Idea karya dikembangkan di atas skrin komputer, dikomposisikan dengan pelbagai unsur multimedia, iaitu teks, warna, audio-video, animasi, interaktiviti dan tautan (link). Karya siber itu dinikmati dengan indera mata, dan telinga. Segala unsur dalam karya siber meskipun jika sekadar kosmetik estetik, dapat mengusik jiwa. Mungkin sastera siber nanti, misalnya genre sajak, aksara di skrin boleh disentuh untuk menghasilkan pelbagai pergerakan, pelbagai warna, dan audio-video. Segalanya terletak di tangan dan di minda karyawan siber dalam menghasilkan pelbagai karya siber tulen yang dapat  dinikmati oleh khalayak siber.
          Dalam seminar atau bengkel  sastera siber  yang diadakan boleh menjadi medan untuk membina, mencari teori sastera siber, dan meneliti karya siber dalam pelbagai genre. Selain itu, karyawan siber memikirkan dengan alatan bantu dan software yang dihasilkan, memungkinkan pelbagai karya siber yang kreatif yang mampu menggugah minda khalayak siber.

Azmi Rahman
TAMAN PANCAINDERA
http://mohazrahman.blogspot.com



Tiada ulasan:

Catat Ulasan