6 April 2016



ENTRI  7 APRIL 2016
 

NIKAH: MENIKMATI MANIS & PAHIT

Nikah dikaitkan dengan perkahwinan antara pasangan lelaki dan perempuan. Namun ada juga perkahwinan songsang; antara lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan. Entahlah mereka yang berfikiran kebaratan yang mahukan kebebasan, hak asasi manusia, dan gaya hidup berpandukan logik akal “apa-apa pun boleh.” Ini pula bab nikah orang Melayu yang beragama Islam. Macam-macam cerita tentang nikah kalau kita akhbar; ada yang terlalu santai, tragedi, manis, pahit dan duka. Ada kes yang bernikah muda ketika umur 13 tahun. Bernikah dalam usia terlalu muda kalau dapat bertahan sampai ke akhir hayat, kira bersyukurlah. Ada kes perempuan lari sebelum majlis pernikahan dan bernikah dengan lelaki lain. Perancangan kenduri telah dibuat. Namun majlis itu ditukar kepada majlis kesyukuran. Kes lain pihak keluarga perempuan marah-marah kepada pihak keluarga lelaki kerana jumlah wang hantaran diserahkan tidak cukup. Bila diletakkan belanja hantaran terlalu tinggi, di pihak lelaki ia menjadi beban tetapi mahu nikah juga. Ada pula majlis nikah sudah dilaksanakan tetapi bila isu tidak cukup jumlah wang hantaran yang dijanjikan si suami melafazkan talak tiga. Si lelaki kecewa lantaran sikap perempuan dan keluarganya terlalu materialistik. Kalau difikirakan itu cara terbaik meskipun memalukan kedua-dua pihak kerana perkahwinan akan dibina dalam tempoh waktu yang lama. Kalau di peringkat awal perkahwinan sudah tercalar noda, bagaimana nanti mahu dihadapi waktu yang akan dihadapkan itu? Ada kes mas kahwin segelas air sejuk sahaja. Ada kes nikah dan kahwin, mereka mencari sensasi dan glamor dengan diadakan majlis besar-besaran, berpakaian baju sekolah, nikah di atas lori atau di atas kereta lembu. Ada pula nikah kedua dan ketiga di tanah seberang; di Siam sebab proses nikah mudah dan murah.

Isi rambutan sudah lokah,
Dimakan isi dengan susu;
Nikah bukan sebarang nikah,
Nikah bukan ikut nafsu.

Azmi Rahman




Tiada ulasan:

Catat Ulasan