12 Mac 2016




DRAMA PENTAS, PERSEMBAHAN PEMIKIRAN  DI LUAR KOTAK
Oleh: Azmi Rahman, UUM
Pengenalan
Saya mula membaca buku drama pentas Mimpi Presiden karya JOE K.a.s (2016) pada 24 Disember 2015 semasa Dialog Puncak Karyawan ASASI yang diadakan di Pendang Lake Resort, Pendang pada 24 hingga 26 Disember 2015. Buku ini memuatkan lima skrip teater pentas, iaitu “Akuarium,” (h. 3-28), “Mimpi Presiden” (h. 31-56), “Gelandangan Oh Gelandangan” (h. 59 -84), “Topang Kasih” (h.87-99) dan “Suara Rimba” (h. 102-116).
Saya mengutip pandangan Ismail Kassan (dalam JOE K.a.s, 2016 , h. vii-xi) yang  menyatakan bahawa secara umum bahawa karya penulis memusatkan pemikiran dan idea, tidak pada kesan sastera dan gaya bahasa. Manakala hasil karya penulis anarkis muda ini bersuara lantang dan tidak berpuas hati terhadap sistem, peraturan dan hukum ciptaan manusia.  Selain itu Ismail Kassan mencadangkan penulis mematangkan lagi hujah dengan menambah ilmu bantu. Terakhirnya, dinyatakan bahawa anak muda anarkis ini menulis dan berfikiran suatu isu di luar kotak atau di luar kebiasaan cara berfikir. Jika diteliti kata anarkis ada kaitan dengan anarkisme iaitu yang berfahaman bahawa segala bentuk kerajaan atau pemerintahan bersifat menindas dan wajar dimusnahkan (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2015, h. 52). Ada kebenarannya jika kita meneliti drama “Akuarium,” “Mimpi Presiden,” dan “Gelandangan Oh Gelandangan.”
Pemikiran Anarkis Di Luar Kotak
Pemikiran dalam drama pentas dapat dikesan melalui simbol sama ada konkrit atau abstrak dan watak dan lokasi yang terbatas yang dicipta oleh penulis. “Akuarium” mengungkapkan tentang kebebasan hidup manusia yang disekat dan diatur oleh pihak lebih berkuasa. Watak-watak dalam cerita mencari jalan penyelesaian yang tidak mungkin diterima. Malahan tidak selesai juga isu yang dibicarakan oleh watak A dan B.
Dialog dan gaya bahasa biasa dan diungkapkan secara berterus terang. Dialog pula meleret-leret, tentang mati, hisap dadah dan mayat hidup (Kata A, h. 7). Kemudian berpindah kepada isu kuasa dan ungkapannya keras dengan kata bangsat (h. 12), celaka, biadap dan kurang ajar (kata A, h. 22). Semuanya “bukan gila tetapi protes” (Watak B). Penyelesaian masalah dengan cara berpura-pura mati.
Subpemikiran terhadap isu utama iaitu kebebasan hidup yang disekat oleh pihak tertentu; wang membeli kuasa dan manusia gila kuasa untuk apa sahaja (h.25). Manusia gila pangkat dan gelaran. Media arus perdana mengawal segala cerita untuk kepentingan pihak tertentu. Persoalan kemanusiaan, kelaparan (h. 15) dan hipokrasi kehidupan manusia. Dalam hal ini kelihatan kebijaksanaan manusia berlakon.
“Mimpi Presiden” menampilkan watak Tok Ampu, Sang Pemimpi, Saksi 1, Saksi 2 dan Pentafsir Mimpi. Kisah berlaku di Wilayah Kozambo. Isu yang dipaparkan isu kebebasan bersuara, berfikir, dan bermimpi golongan bawahan atau marhaen. Dalam cerita ini, anarkis dihukum dan terhukum. Permulaan cerita dengan ketegangan. Saksi 1 dan 2 berjumpa Tok Ampu menceritakan ada yang bermimpi (Sang Pemimpi)  menjadi Presiden.  Undang-undang di Wilayah Kozambo, sesiapa yang bermimpi menjadi  Presiden akan dihukum mati. Sang Pemimpi menyatakan bahawa kebenaran dan haknya sebagai individu bermimpi dan menyatakan apa sahaja. Lagi pun persoalan bermimpi dan mimpi adalah remeh temeh.
Dalam “Mimpi Presiden” penulis mengungkapkan persoalan ampu mengampu dalam politik demi kuasa, wang dan jawatan. Sang Pemimpi berhujah bahawa mimpi adalah mainan tidur dan berlaku di bawah fikiran bawah sedar manusia. Timbul isu lain apabila mimpi ditafsirkan oleh Pentafsir Mimpi; mimpi Tok Ampu menang loteri, mimpi Saksi 2 bersama isteri orang. Makna mimpi yang ditafsirkan oleh Pentafsir Mimpi adalah keuntungan, kecelakaan dan kesialan dalam hidup. Akhirnya Sang Pemimpi mati sebelum dihukum.
Cerita “Gelandangan Oh Gelandangan” kisahnya kontemporari, bersifat nasional dalam konteks Malaysia. Usaha kerajaan membantu golongan gelandangan dengan memberi  bantuan makanan dan menyediakan tempa tinggal sementara kepada mereka. Kisah suara hati masyarakat gelandangan yang melawan suara arus perdana yang tidak didengari atau ketidakpedulian pihak pemerintah terhadap golongan gelandangan.
Suara gelandangan melantun keras, misalnya “najis anjing orang kaya,” “pemimpin gila kuasa,” “pemimpin pembohong dan penipu masyarakat,” (h.64). Dalam hal ini berlaku konflik sosial dan pemikiran antara golongan gelandangan atau bawahan dengan golongan kaya atau atasan. Realiti kebobrokan dalam masyarakat dengan pelbagai isu sosial melanda, misalnya rasuah, penindasan dan salah guna kuasa pemimpin.
Drama “Topang Kasih” tidak seperti cerita “Akuarium,” “Mimpi Presiden” dan “Gelandangan Oh Gelandangan.” Drama ini kisah dan pemikirannya bersifat nasional atau lokal, iaitu patriotisme terhadap negara dan semangat 1Malaysia yang dijelmakan melalui watak Jiman, Ah Seng dan Ramesh. Namun watak pejuang tanah air yang melawan komunis hanya Jiman.
Kisah drama ini ringkas dan plot diisi dengan sorotan lepas (flash back) Jiman semasa berjuang melawan komunis (h.95-97) dan kisah topang kayu yang dibeli hasil kutipan wang daripada orang  Cina, India, Melayu dan bangsa-bangsa lain. Kesilapan kecil dari segi bahasa dapat dikesan dalam teks “Topang Kasih,” iaitu kata “orang” dan “orang-orang” (h.90 dan h.96). Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat (2015, h. 1101-1102). Kata orang bermaksud manusia, manakala kata “orang-orang” pula bermaksud boneka, tiruan manusia atau patung. Kesalahan bahasa ini tidaklah menjejaskan cerita “Topang Kasih.”
Drama terakhir ialah “Suara Rimba” yang bersifat satirikal atau sinisme terhadap golongan pelahap material dan pemusnah alam sekitar. Dalam cerita ini, isu yang dipaparkan adalah isu kemusnahan alam sekitar yang menjadi tempat tinggal sekian lama warga rimba, misalnya kancil, burung, harimau, gajah dan rama-rama. Mereka hidup harmoni di rimba. Namun yang terhadi rimba yang aman itu mahu dimusnahkan dengan penebangan balak. Kisah dalam “Suara Rimba” disampaikan dengan cara mempersonifikasikan watak-watak binatang dan pokok. Dari segi logik akal, makhluk rimba tidak boleh melawan secara fizikal kerana manusia lebih kuat dan mempunyai senjata untuk membunuh mereka. Warga rimba mencari idea untuk melawan manusia pemusnah rimba. Idea kancil sebagai makhluk rimba yang cerdik ialah melawan manusia dengan mengganggu emosinya. Warga rimba mengeluarkan atau membunyikan suara aneh yang menakutkan tauke dan pekerja balak. Manusia takut pada suara aneh itu. Mereka lari dan keluar dari rimba. Anak gajah mengatakan bahawa, “… manusia mudah kalah pada perasaan sendiri.” Penamat cerita ini melucukan apabila anak gajah pula dikejar oleh bapa gajah. Drama ini tiada maklumat pementasan.
Kesimpulan
Drama JOE K.a.s ( Kita Adalah Sama, h. 67) adalah drama jenis borjuis iaitu drama yang menggambarkan kehidupan rakyat biasa atau golongan bawahan yang melawan kebiasaan atau konvensi, misalnya “Akuarium,” “Mimpi Presiden” dan “Gelandangan Oh Gelandangan.” Dapatlah dirumuskan bahawa drama dalam buku Mimpi Presiden sebagai drama rakyat yang dramatik sifatnya dan dipersembahkan pemikiran, idea dan isu semasa secara di luar kotak. Yang jelas bagi maksud penyataan ini ialah drama “Akuarium,” “Mimpi Presiden” dan “Suara Rimba.”

Rujukan
Glosari istilah kesusasteraan. (1988). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
JOE K.a.s. (2016). Mimpi presiden: Kumpulan drama pentas. Kuala Lumpur: ITBM & PENA.
Kamus dewan edisi keempat. (2015). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan