6 Mac 2016




SELALUNYA YANG CEMERLANG DIHARGAI

Setiap kali selepas keputusan peperiksaan dikeluarkan; SPM dan STPM, pastinya akan terpampang di dada akhbar pelajar-pelajar yang cemerlang.Kalau SPM, yang mendapat 9A, 10A dan 12A  diberi perhatian, diucapkan tahniah dan diberi penghargaan oleh pihak sekolah dan para guru. Begitu jugalah pelajar yang mendapat 4A dalam peperiksaan STPM. Seronok mereka mendapat keputusan cemerlang. Pihak sekolah, para guru dan ibu bapa rasa bangga.  Peluang belajar pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan cerah. Mereka boleh sambung pengajian di institusi pendidikan tinggi sama ada di dalam atau di luar negara. Begitulah pengalaman saya dahulu di sekolah semasa mengambil keputusan peperiksan LCE, MCE dan HSC. Guru hanya mendekati pelajar atau anak muridnya yang mendapat kepeutusan cemerlang. Yang kurang cemerlang atau gagal, siapapun tidak peduli apatah lagi memberi kata-kata semangat supaya berjaya dalam hidup meskipun keputusan peperiksaan tidak cemerlang. Mereka merasa rendah diri dan patah semangat. Pernah kawan-kawan saya yang tidak cemerlang, saya memberitahu mereka cuba menceburi bidang kemahiran, misalnya berniaga, pertukangan, kimpalan, membina rumah, automobil dan sebagainya. Ada yang sudah berjaya dan hidup lebih mewah daripada saya dan kawan-kawannya yang lain. Dalam hal ini, saya perhatikan pihak sekolah tidak memberi perhatian kepada pelajar yang dalam kategori lemah. Pelajar ini tidak diberi bimbingan khas atau tuisyen tambahan. Pelajar ini dibiarkan begitu sahaja. Malahan pernah saya dengar sendiri, di sebuah sekolah guru mengatakan “Awak ini duduk kelas orang bodoh.” Pihak sekolah tidak memandu pelajar ini dengan membimbing mereka mencari alternatif lain demi masa depannya. Saya fikir kejayaan seseorang bukanlah ditentukan oleh kecemerlangan akademik atau di atas kertas sahaja, malahan banyak faktor lain yang menyebabkan seseorang itu berjaya dalam hidupnya. Mereka yang tidak berjaya atau gagal dalam peperiksaan, jangan beranggapan bahawa tiada lagi kejayaan pada masa depan. Anggaplah kegagalan itu sebagai titik mula untuk kejayaan. Benarlah ungkapan peribahasa Melayu, “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.”    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan