29 Mac 2016


TOPIK 4 (II) SASTERA TRADISIONAL BERBENTUK PUISI (PANTUN                                  MELAYU)


MANIFESTASI NILAI CINTA DALAM PANTUN MELAYU
Pantun merupakan satu daripada genre puisi tradisional yang popular dalam tradisi lisan orang-orang Melayu. Mohd Yusuf Md. Nor dan Abd. Rahman Kaeh (dalam Mohamad Azmi Ab. Rahman, 2008) mentakrifkan pantun sebagai, “satu yang teratur sama ada ucapan, pimpinan, didikan atau kesopanan. Dalam pantun-pantun Melayu, terkumpul suatu khazanah perasaan kolektif di Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan Thailand. Dalamnya dicatat atau dibayangkan pelbagai jalur perasaan gundah, duka, pilu dan rawan. Sejumlah besar daripada bait pantun  menyanyikan lagu kecewa, cinta tidak berbalas, kematian, penolakan dan cukup sering pula, pemangsaan (Muhammad Haji Salleh, 2000).
Safian  Hussain  et al. (1988) dalam Glosari Istilah Kesusasteraan menyatakan pantun sebagai puisi tradisi tulen milik orang Melayu semenjak mereka belum tahu membaca dan menulis. Sebagai puisi milik mutlak orang Melayu yang ditradisikan dari satu generasi ke satu generasi , pantun merupakan cerminan sebenar hati nurani dan budi orang-orang Melayu yang terkandung dalamnya pelbagai nilai murni dan pengajaran. Hal ini turut diakui oleh Wilkinson dan Winstedt (dalam Mohamad Azmi Ab. Rahman, 2008, h. 2). Mereka menyatakan bahawa “orang asing yang belum mengenal pantun, boleh dikatakan orang itu belum mengenal rohani dan jalan fikiran orang Melayu yang sebenar”. Manakala menurut Za,ba ”pantun adalah kaedah rangkapan yang tertua dan memang asal orang Melayu betul. Dari semenjak tatkala orang Melayu belum tahu surat menyurat dahulu pun mereka telah pandai berpantun dan biasa berbalas pantun antara sama sendiri” (dalam Noriah Mohamad, 2007).
Pantun yang baik mempunyai nilai rasa yang baik sama ada dari segi makna, irama, moral, alunan kata, mahupun yang sesebuah rangkap pantun akan bertambah indah apabila dijaga nilai rasanya bukan sahaja dari segi keindahan susunan bahasa dan rima, tetapi juga dari segi pendidikan nasihat dan nilai murninya (Amat Juhari Moain, 2008).
Kasih sayang merupakan ciri universal  yang terungkap dalam pantun Melayu. Nilai kasih sayang yang ditandai dengan emosi cinta, kasih, setia, rindu, cemburu, puas, gagal dan kecewa adalah perasaan yang dirasai bersama oleh semua kelompok dalam semua budaya, dan dalam semua zaman. Winstedt berpendapat “lebih mudah mengenali bahasa Melayu itu melalui pantun-pantunnya”, (dalam Rogayah A. Hamid & Mariyam Salim, 2007).
Nilai kasih sayang yang berputik dalam jiwa digambarkan dengan harapan yang berbunga untuk saling mengenali agar hubungan yang lebih akrab benar-benar terjalin seperti yang tergambar dalam pantun berikut:
Apa guna pasang pelita,
            Jika tidak dengan sumbunya;
Apa guna bermain mata,
            Kalau tidak dengan sungguhnya.
                               (Harun Mat Piah, 2001, h. 258)
Masyarakat Melayu tradisional amat tebal dengan sikap malu. Kasih sayang yang dihulurkan tidak begitu mudah untuk diterima. Gadis Melayu yang mempunyai maruah dan harga diri yang tinggi akan menolak lamaran pertama untuk menguji sejauh mana kebenaran kasih sayang yang diucapkan seperti rangkap pantun berikut:
          Api-api di atas gunung,
            Cempedak tangkainya kundis;
   Laki-laki sahaja pembohong,
            Jikalau hendak mulutnya manis.
                               (Harun Mat Piah, 2001, h. 258)
Jika kasih sayang sudah terjalin, timbul pula rasa risau, bimbang hubungan diketahui orang. Hal ini kerana masyarakat Melayu klasik amat menjaga maruah anak-anak perempuan mereka. Kasih sayang antara teruna dara amat dilarang kerana dibatasi oleh agama dan adat. Maka pasangan yang berkasih sayang akan mengungkapkan pantun di bawah:
Ambil dian pasang pelita,
            Anak Dewa makan dikarang;
Biar pandai bermain mata,
            Jangan ketahuan di mata orang.
                               (Harun Mat Piah, 2001, h. 279)
Adat orang berkasih sayang biasanya merasakan kekasihnya adalah pilihan yang terbaik untuknya. Oleh sebab kasih sayang tidak terbatas kepada keelokan paras rupa dan tidak juga pada tingkah laku, maka apa yang jelek dan hodoh di mata orang lain tetap elok dan manis di mata si kekasih, seperti yang tergambar dalam pantun ini:
Anak beruk di kayu rendang,
            Turun mandi di dalam paya;
Hodoh buruk di mata orang,
            Cantik manis di mata saya.
                               (Harun Mat Piah, 2001, h. 280)
Adat berkasih sayang menanggung rindu. Sifat santun dan pemalu dalam masyarakat Melayu tradisional menyebabkan pasangan kekasih meluahkan perasaan melalui pantun yang lebih terkesan di hati kerana pemilihan kata yang indah digunakan untuk melunakkan hati orang yang dikasihi. Contoh pantun tersebut ialah:
Anak Islam main pedati,
            Burung merak hinggap di jati;
Kalau sungguh cinta di hati,
            Sampai di kubur saya menanti.
                               (Harun Mat Piah, 2001, h. 281)
Kasih sayang menuntut banyak pengorbanan dan kerelaan untuk berkorban demi orang yang dikasihi telah terpahat dalam janji-janji yang diuntaikan dengan pantun, contohnya:
          Air serbat di dalam cangkir,
            Sampai ke Jawa saya curahkan;
Haram taubat saya tak mungkir,
            Badan dan nyawa saya serahkan.
                               (Harun Mat Piah, 2001, h. 277)
Kasih sayang adakalanya benar-benar menguji perasaan sehingga timbul rasa curiga dan bimbang. Si kekasih yang sudah banyak berkorban dibayangi kebimbangan kalau-kalau hubungan yang terjalin putus ditengah jalan. Kerisauan dan kebimbangan tersebut diungkapkan dalam pantun ini:
  Ambil kain dibuat sumbu,
            Nasi santan dibuang-buang;
Jangan dibuat sebagai tebu,
            Air ditelan hampas dibuang.
                               (Harun Mat Piah, 2001, h. 279)
Namun keraguan dan kebimbang itu akhirnya terlerai dengan sumpah setia si buah hati untuk sama-sama menghadapi segala kemungkinan dalam hidup demi memastikan hubungan kasih sayang itu berakhir ke jinjang pelamin seolah-olah hanya kematian sahaja yang dapat memisahkan mereka. Contoh pantun yang biasa diungkapkan ialah:
Besar ombak lautan Mesir,
            Ombak memecah menengah tiang;
Demi Allah tidak kumungkiri,
            Bersukat darah bertimbang tulang.
                               (dikutip dalam Harun Mat Piah, 2001, h. 294)
Nilai kasih sayang dalam pantun Melayu tidak terbatas kepada kasih sayang teruna kepada dara pujaan tetapi lebih bersifat universal; kasih pada tanah air, kasih pada keluarga dan kampung halaman turut diabadikan dalam pantun. Pantun pula amat berkait rapat dengan kepintaran, kecerdasan, hati budi orang-orang Melayu dalam mengungkapkan getar rasa naluri. Justeru, pantun adalah wahana perhubungan yang tetap ampuh untuk digunakan sebagai medium penyerapan nilai-nilai murni dalam masyarakat Melayu.
Rujukan
Amat Juhari Moain .(2008). Pemilihan kata dalam pantun Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Harun Mat Piah. (2001). Pantun Melayu bingkisan permata. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan.
Mohamad Azmi b. Ab. Rahman .(2008). Wajah diri pantun Melayu, 2008. Diakses daripada http://www.esasterawan.net
Muhammad Haji Salleh. (2000). Puitika sastera Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Noriah Mohamed .(2006). Sentuhan rasa dan fikir dalam puisi Melayu tradisional. Bangi: Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Rogayah A. Hamid & Mariyam Salim .(2007). Pandangan semesta Melayu mantera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Safiah Hussain, Mohd. Thani Ahmad, Zakaria Ariffin, Ahmad Kamal Abdullah & Suhaimi Hj. Muhamad. (1988). Glosari istilah kesusasteraan . Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Disediakan oleh Azmi Rahman




Tiada ulasan:

Catat Ulasan