15 Mac 2016



TOPIK 4 (V b)
PUISI MELAYU TRADISIONAL

(V) Peribahasa
Makna peribahasa
-         Frasa, ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan tetap dan mempunyai makna tertentu (Kamus Dewan, 2005, hal. 1185).
-         Sastera atau jenis puisi Melayu lama ‘yang tak lapuk di hujan dan tak lekang di panas’ (Abdullah Hussain, 1982, hal. vii).
-         Karya sastera yang mencerminkan dan memancarkan jiwa peribadi bangsa Melayu.
Jenis-jenis
1. Simpulan Bahasa
2. Perumpamaan
3. Pepatah-petitih
4. Bidalan
5. Perbilangan
6. Kiasan, Tamsil dan Ibarat
7. Ungkapan Semasa
1. Simpulan Bahasa – rangkaian kata yang dirumuskan mengikut susunan tertentu untuk membawa makna tertentu yang berlainan daripada apa yang tersurat. Contoh: anak buah, tua keladi, buaya darat, Mat Jenin, dan Lebai Malang.
 2. Perumpamaan – bahasa kiasan yang membawa maksud berlapis-lapis. Perumpamaan lebih panjang daripada simpulan bahasa dan memberatkan perbandingan. Contoh: Ibarat rumput di jalan, hidup segan mati tak mahu, macam mentimun dengan durian, menggolek luka, kena golek pun luka, dan ibarat sumbu pelita, menerangi yang lain, membakar diri sendiri.
3. Pepatah-petitih – susunan bahasa yang mempunyai makna dan melekat di mulut serta menjadi sebutan orang. Contoh: Ada padang, adalah belalang/ Ada air, adalah ikan/ Ada batang, adalah cendawan tumbuh/ (maksudnya setiap kawasan atau tempat ada adat resamnya tersendiri). Akal tak sekali datang/ Fikiran tak sekali tiba (maksudnya setiap orang itu tidak akan menjadi orang bijak secara mendadak tetapi berkembang sedikit demi sedikit). Beralih kain ke balik rumah/ Beralih cakap ke balik lidah (maksudnya tindakan seseorang yang cuba menafikan sesuatu hakikat secara terang-terangan).
4. Bidalan – bahasa kiasan yang mempunyai makna selapis atau tidak berselindung. Contoh: Ada pada semua kerja jadi, ada beras semua kerja deras, Alah biasa tegal biasa, Alah jadi debu, menang jadi arang, dan berani kerana benar, takut kerana salah.
5. Perbilangan – kata-kata yang disusun berbilang-bilang dan diucapkan bait demi bait. Selalunya perbilangan menjadi undang-undang adat dalam masyarakat Melayu. Contoh: Bulat air kerana pembetung/ Bulat manusia kerana muafakat/ Kelebihan nabi dengan mukjizat/ Kelebihan manusia dengan muafakat/ Tatkala besar bernama adat/ Siraja adat kepada muafakat (maksud: semangat kerjasama dalam masyarakat akan menjadi kuat dan sebarang pekerjaan dilaksanakan dengan mudah), dan cakap siang pandang-pandang/ Cakap malam dengar-dengar/ Cakap dekat fikir-fikir (maksud: apabila bertindak hendaklah berhati-hati agar rahsia tidak bocor atau tersebar).
6. Kiasan – merupakan bahasa perbandingan tentang sesuatu perkara dengan perkara lain yang sama keadaannya.
Dua jenis kiasan: kiasan asal – menyebut perbandingan, misalnya bebas seperti burung di angkasa, baik laksana malaikat, dan becok macam murai. Kiasan sandar – merupakan kiasan yang tidak menyebut perbandingan, misalnya akal kancil, anjing kurap, dan ayam tambatan.
Tamsil – kiasan asal yang diperluaskan dan dipanjanglebarkan bagi menjelaskan makna. Contoh: Bawalah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk dan janganlah bawa resmi jagung, semakin berisi semakin tegak; dan hidup pokok berbuah, hidup manusia hendaklah berjasa.
Ibarat – Kiasan yang menggunakan kata ibarat bagi maksud perbandingan tentang sesuatu.  Contoh: Hidup gadis cantik itu ibarat burung meskipun berada di dalam sangkar emas tetapi mata terlepas, badan pula terkurung; ibarat bunga, ibarat lintah, ibarat melukut di tepi gantang, dan ibarat kumbang menghisap madu bunga.
7. Ungkapan Semasa – frasa atau ungkapan baru/ bersifat kontemporari yang mencakupi pelbagai bidang kehidupan. Contoh: otak komputer, bangunan batu pencakar langit, bertopengkan agama, ulat tiket, kereta sapu, putar alam, gelanggang politik, viral sosial, jaringan sosial, dan macam-macam giler.

Rujukan

Abdullah Hussain. (1982). Kamus istimewa peribahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa  dan Pustaka.
Kamus dewan edisi keempat. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd. Tajuddin Hj. Abdul Rahman & Rahman Shaari. (1997). Peribahasa untuk KBSM. Shah  Alam:  Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Disediakan oleh:
Azmi Rahman
Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden
Kolej Sastera dan Sains
UUM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan