8 Mac 2016





MAT JENIN DAN POKOK KELAPA TANPA TAKUK


Mat Jenin; biasa hidup dalam kalangan pokok kelapa yang tumbuh tanpa tuannya di tanah terbiar dan di tanah ada tuan penjaganya. Pokok kelapa menjadi pokok kuasa buat si pemanjat yang kononnya biasa panjat pokok kuasa itu.

Mat Jenin; batang pokok kuasa itu dipanjat tanpa takuk tolak ansur. Kapak kesabaran tidak menakik batang. Luah hati kering Mat Jenin, “Lambat menakik dan menakuk kalau mahu ke atas.”

Mat Jenin; tanpa beruk-beruk suruhan memanjat batang kuasa. Mahu memetik kelapa-kelapa yang hati yang tajam sudah mensasarkannya. Jemarinya terluka oleh pisau dendam. Pehanya dicalarkan oleh gerigis kulit cacian.

Mat Jenin; berkarisma di ombak. Melawan angin di puncak pokok kuasa. Belum lagi menyentuh kelapa-kelapa di atas kepala batunya. Mahu dipilih kelapa yang mana; kelapa muda, kelapa ditebuk tupai atau kelapa komeng.

Mat Jenin; belum memulas kelapa-kelapa itu. Hanya hati yang kehausan meneguk dan menikmati air kelapa muda yang manis dan wangi. Mahu lagi dan mahu lagi kelapa muda. Dipulas dan dipulas kelapa dengan tangan angan-angan. Ah, kelapa-kelapa muda untuk dijamu kepada beruk-beruk suruhan di bawah.

Mat Jenin; masih di puncak kelapa kuasa. Tiba-tiba beruk-beruk di bawah melaungkan, “Kelapa-kelapa yang jatuh ke tanah adalah kelapa komeng.” Mat Jenin dengan pantasnya melurut ke bawah. Mahu memanjat pokok kuasa yang lain!


Azmi Rahman
Jitra-Sintok
  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan