29 Mac 2016


TOPIK 5 (b) PROSA MELAYU KLASIK (SEJARAH MELAYU)
PEMIKIRAN KEGEMILANGAN DAN KERUNTUHAN KERAJAAN MELAYU: MANIFESTASI DALAM SEJARAH MELAYU

Oleh: Azmi Rahman & Phat a/l Awang Deng

Pengenalan

Makalah ini dimulakan dengan petikan berikut:

“Hamba dengar ada hikayat Melayu dibawa oleh orang dari Goa; barang kita perbaiki kiranya dengan istiadatnya, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, dan boleh diingatkannya oleh segala mereka itu, syahdan adalah beroleh faedah ia daripadanya.” (Shellabear, 1977, hal. 2).

Petikan di atas mengingatkan kepada anak cucu kita (bangsa Melayu) bahawa Sejarah Melayu yang dikarang oleh Tun Seri Lanang ini merakamkan senario sebuah kerajaan Melayu; bermula daripada asal usulnya di peringkat permulaan kerajaan, menuju titik kecemerlangan dan terbilang, zaman klimaks dan kepincangan serta keruntuhan kerajaan tersebut. Persoalan kecemerlangan, klimaks dan menuju keruntuhan kerajaan Melayu Melaka adalah dikaitkan dengan insan/ watak yang cemerlang dan terbilang, serta insan ‘pemusnah/ perosak’ yang melatari kerajaan tersebut. Senario yang lepas dalam Sejarah Melayu bukanlah menjadi titik penamat sebuah sejarah, malahan ia  menjadi cerminan generasi kini dan mendatang belajar daripada sejarah lepas untuk lebih cemerlang dan terbilang. Maka Sejarah Melayu masih relevan dan rakaman peristiwa dan perlakuan insan/ watak merentasi kerangka masa kini dan mendatang.

Pandangan Para Sarjana

          Sejarah Melayu (disebut juga Sulalat’us -Salatin) diangkat sebagai adikarya Melayu yang dianggap sebagai karya sastera sejarah dalam bahasa Melayu yang kedua tertua selepas Hikayat Raja-Raja Pasai dihasilkan. (Muhammad Yusoff Hashim, 1992, hal. 121). Sejarah Melayu adalah rakaman sejarah raja-raja (pemimpin) Melayu yang panjang; bermula era sebelum terbinanya kerajaan Melayu Melaka sekitar tahun 1400 sehinggalah ke era selepas keruntuhan kerajaan itu pada 1511 (dianggarkan selama lebih kurang 200 tahun). Sejarah panjang perjalanan kerajaan Melayu Melaka itu pernah dirumuskan oleh Muhammad Yusoff Hashim (1992, hal. 161) dengan menyatakan bahawa Sejarah Melayu terkandung unsur fakta sejarah dan nonfakta sejarah dibahagikan kepada bahagian pertama; pra – 1400, bahagian kedua; 1400 – 1511, dan bahagian ketiga; 1511 – 1612.

          Sejarah Melayu (Shellabear, 1997) memuatkan 34 cetera/ alkisah; bermula Alkisah Cetera yang Pertama hinggalah Alkisah Cetera yang Kesepuluh adalah pemaparan awal pembinaan kerajaan Melayu Melaka (pra-1400). Kemudian dari Alkisah Cetera yang Kesebelas hinggalah Alkisah Cetera yang Ketigapuluh Empat adalah suatu cetera yang panjang dan penuh bermakna terutamanya garapan perwatakan modal insan yang membangun, mencemerlang, menggemilang, dan menterbilang serta yang memincangkan dan meruntuhkan kerajaan – rakaman lengkap tentang sebuah tamadun bangsa Melayu untuk dijadikan ikhtibar dan renungan insan kini dan mendatang. 

          Sejarah Melayu yang diangkat sebagai adikarya pensejarahan Melayu telah menjadikannya sebagai karya kajian dan penelitian para sarjana dalam negara dan luar Negara/ Barat, misalnya Winstedt (1977, hal. 158-162), Roolvink (1983, hal. xx), Bottoms (1968, hal. 181-182), A. Teeuw (1958, h. viii), Gullick (1970, h. 9), Liaw Yock Fang (1970, hal. 214 - 215), Zainal Abidin  Abdul Wahid (1974, hal. 211), Mohd. Taib Osman (1974), Umar Junus (1984), Muhammad Haji Salleh (1991, hal. 20-21), Muhammad Yusoff Hashim (1992), Haron Daud (1989), dan M. Rajantheran (1999). Berdasarkan kajian, pandangan dan penelitian para sarjana ini, pengkaji hanya menyatakan idea penting mereka tentang Sejarah Melayu.  Haron Daud merumuskan bahawa Sejarah Melayu merupakan sumber pensejarahan bangsa Melayu terutamanya dari aspek social, politik, adat dan ekonomi (1989, hal. 218 – 228). Kajian oleh M. Rajantheran merumuskan bahawa dalam Sejarah Melayu dari segi fakta yang jelas ialah terjalinnya hubungan antarabangsa di antara India dengan Melaka, dan amalan Hinduisme di kalangan orang Melayu. (1999, hal. 214 – 218). Muhammad Yusoff Hashim (1992, hal. 161 – 163) menyatakan bahawa Sejarah Melayu menggalurkan tiga era pensejarahan Melayu. Pada era pertama didapati unsur bukan sejarah mendominasi seperti juga pada era kedua. Namun begitu, pada era ketiga (1511 – 1612), Sejarah Melayu merakamkan unsur sejarah;  ada juga ruang Tun Seri Lanang memuatkan unsur mitos dan legenda. Sarjana lain pula, misalnya Winstedt,  Roolvink dan Umar Junus lebih meletakkan Sejarah Melayu sebagai sumber sastera kerana unsur sastera lebih ketara dan menonjol di dalamnya. Manakala Bottoms, Liaw Yock Fang dan Zainal Abidin Abdul Wahid pula mempunyai pandangan bahawa Sejarah Melayu merupakan karya dan sumber pensejarahan Melayu yang penting. Sejarah Melayu memuat maklumat tentang gambaran masyarakat Melayu tradisional. Manakala Mohd. Taib Osman dan Haron Daud dengan jelas mengangkat Sejarah Melayu sebagai karya dan sumber pensejarahan serta dokumentasi kebudayaan Melayu – maksudnya Sejarah Melayu adalah sekaligus karya sastera, sejarah dan kebudayaan.  Muhammad Haji Salleh pula menyatakan bahawa Sejarah Melayu adalah ‘moral history.’ (hal. 20).

Batasan dan konsep

Makalah ini membentangkan dan membincangkan tentang inti teras kedua Rancangan Malaysia Kesembilan 2006 – 2010 (2006, hal. 27 – 28) yang menggariskan pembangunan modal insan kelas pertama dengan melaksanakan strategi ketiga iaitu “memupuk masyarakat berbudaya dan memiliki kekuatan moral” (hal. 28). Konsep moral (berasal daripada bahasa Latin, moralis, dalam bahasa Greek, ethikos, ethic, A. F. Scott, 1985, hal. 186) yang dibentangkan dalam kertas ini adalah merujuk kepada tatasusila/ tingkah laku masyarakat yang selari dengan nilai- nilai murni, misalnya kerjasama, keadilan, kecintaan, kesetiaan, ketabahan dan keberanian. Selain itu, insan cemerlang dan terbilang adalah ciri insan yang murni yang boleh ‘membina tamadun, menjulang martabat negara.’ Justeru itu, bertitik tolak dari limitasi diskusi dan konsep, penulis akan  menggalurkan modal insan bermoral yang mencemerlangkan dan menterbilangkan kerajaan serta insan yang rendah moral yang meruntuhkan kerajaan berdasarkan adikarya Sejarah Melayu (1977).

Modal Insan Cemerlang dan Terbilang Kerajaan Melayu

Membaca beberapa teks adikarya Melayu akan membantu kita melihat dan memahami pelbagai aspek kehidupan yang melingkari kewujudan  mereka. Kewujudan manusia pentadbir, pejuang, pemimpin atau individu dengan kepelbagaian keperibadian sebenarnya telah membantu melakar  sejarahnya yang tersendiri. Oleh itu, perbincangan selepas ini akan tertumpu kepada peranan insan cemerlang peribadi dan sebaliknya dalam meletakkan bangsa Melayu dalam peta kewujudan sehingga ke hari ini. Dengan itu, analisis akan dilakukan terhadap beberapa cetera dalam Sejarah Melayu yang berkaitan dengan Kerajaan Melayu  Melaka, misalnya  bermula dari cetera 11 hingga cetera 34. Namun kerana ruangan dan waktu yang terbatas, hanya cetera-cetera tertentu sahaja akan dikaitkan dengan perbincangan ini.

Membudayakan Semangat Kerjasama dan Intergriti

Kemampuan dan kekuatan keperibadian pemimpin (raja /pembesar yang memerintah) yang cemerlang dan berintegriti tinggi telah menbantu menaikkan imej sesebuah kerajaan. Melaka misalnya telah mencapai suatu kedudukan yang tinggi gemilang, sehingga disegani dan ditakuti oleh kawan serta lawan. Pembentukan dan penampilan diri pemerintah seperti Sultan Muhammad Syah jelas menjadi bukti dan saksi kepada kecemerlangan kerajaan Melayu. Pembesar seperti bendahara Paduka Raja (Tun Perak) dan bendahara Seri Maharaja (Tun Mutahir) serta beberapa individu lagi juga banyak membantu keberkesanan pengurusan dan pentadbiran sistem kerajaan yang berkesan dan seterusnya gemilang, serta terus diperkatakan sehingga beberapa zaman selepas itu.

Pemimpin yang berwibawa inilah yang menjadi teras dan nadi kepada beberapa siri penyusunan dan pemantapan sistem pentadbiran kerajaan. Kestabilan politik dan asas pentadbiran yang lancar dan kemas bermula zaman Sultan Muhammad Syah, yang telah menyediakan landasan kepada peraturan dan sistem pentadbiran yang membantu Melaka membangun gemilang selepas itu sehingga mencapai kemuncaknya pada zaman pemerintahan Sultan Mansor Syah.

Oleh kerana Melaka mewarisi beberapa orang raja dan pembesar yang berkaliber, telah dilihat sebagai faktor penyumbang kepada kemajuan dan kekuatan kerajaannya. Ini  kerana kekuatan atau kegemilangan sesebuah kerajaan itu sebenarnya mempunyai kaitan dengan raja/ pemimpin yang menerajui negara pada satu-satu masa itu. Jelani Harun (2004) menyatakan bahawa “salah satu ciri utama yang perlu dimilik oleh seseorang raja yang adil ialah akal, kerana tanpanya akan membawa bala dan bencana terhadap kehiduan manusia” (hal. 116 - 117). Hal ini jelas apabila kita melihat kepada kemampuan dan gaya kepimpinan Sultan Muzaffir Syah. Baginda merupakan pemerintah yang bijaksana berpolitik, sanggup berkorban kepentingan diri demi negara serta berpandangan jauh semasa menguruskan negara. Ini jelas apabila baginda sanggup menceraikan permaisuri (Tun Kudu – kekanda Tun Perak) untuk dikahwinkan dengan Seri Nara Diraja (Tun Ali). Peristiwa ini berlaku rentetan pertelingkahan antara kedua-dua orang pembesar yang penting dan mungkin akan memecahbelahkan negara jika tidak diselesaikan dengan kebijaksanaan dan kompromi yang tinggi. Setiap daripada mereka haruslah diredakan ataupun disatukan untuk kepentingan yang lebih besar iaitu, negara yakni  Melaka, sebagaimana yang digambarkan, misalnya;


Maka Sultan Muzaffir Syah pun tahu akan perihal itu maka terlalulah dukacita baginda melihat kelakuan Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja itu. Maka fikir di dalam hati baginda, ‘Jikalau demikian binasalah negeri ini, kerana orang besarnya tiada sama orang besar’                                                                                                                             (Shellabear, 1977, hal. 70)

Dengan itu baginda sultan telah berkorban untuk menyatukan orang Melaka, dengan menceraikan Tun Kudu dan dikahwinkan dengan Tun Ali (Bendahara Seri Nara Diraja). Hal ini jelas berdasarkan petikan;

Dan telah sudah lepas idah, maka Seri Nara Diraja pun nikah dengan Tun Kudu. Maka menjadi muafakatlah Seri Nara Diraja dengan Paduka Raja, menjadi berkasih-kasihan seperti saudara sejalan jadi. Maka sembah Seri Nara Diraja pada Sultan Muzaffir Syah, ‘Tuanku, baiklah Paduka Raja dijadikan bendahara, kerana ia sedia nak bendahara’.

                                           (Shellabear, 1977, hal. 71)


Kemampuan Sultan Muzaffir Syah menyelesaikan krisis dan melantik individu yang cemerlang menjadi pembesar negara (bendahara) telah banyak membantu Melaka menjadi kerajaan yang menuju kegemilangan. Perkara ini jelas kerana baginda sultan yang berpandangan jauh dan jujur melihat aspek modal insan sebagai komponen penting dalam diri pembesar negara.


Syahdan, bendahara Paduka Raja itulah yang dukatakan orang bijaksana, kerana pada zaman itu tiga buah negeri yang sama besarnya: pertama, Majapahit; kedua, Pasai; ketiga, Melaka.

(Shellabear, 1977, hal. 71)

Selain daripada itu, Sultan Mansor Syah (nama asal Raja Abdullah, menaiki takhta semasa berumur 27 tahun), putera dan pengganti kepada Sultan Muzaffir Syah juga digambarkan sebagai pemerintah yang cemerlang bijaksana dan Melaka mencapai zaman kegemilangan pada zaman baginda. Hal ini jelas digambarkan dalam Sejarah Melayu, “Adapun Sultan Mansor Syah itu terlalu baik parasnya, serta dengan adilnya lagi murah; seorang pun raja-raja di alam ini tiada sepertinya pada zaman itu. …” (Shellabear, 1977, hal. 73).

 Beberapa polisi dan dasar pemerintahan sama ada dalam urusan pentadbiran negeri ataupun hubungan luar negara ternyata mendatangkan hasil kepada kemajuan dan kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka pada waktu itu. Kemuncak kegemilangn jelas apabila pada waktu itu Melaka menjalinkan hubungan dengan Siam, Majapahit dan China. Hubungan diplomatik melalui perkahwinan dengan puteri-puteri dari China dan Majapahit misalnya membolehkan Melaka menumpukan pembangunan negeranya dengan aman. Selain daripada itu, Sultan Mansor juga turut mengahwinkan puteri-puteri baginda dengan raja/ pemerintah di negeri-negeri jiran, dengan tujuan untuk merapatkan lagi hubungan diplomatik dan persaudaraan.

Pengukuhan Jalinan Diplomasi

Pemikiran yang kreatif dan ketelitian  bangsa Melayu menguruskan konfliks dan kebijaksanaan strategi telah meletakkan Melaka sebagai negara yang kuat dan aman. Hubungan luar Melaka dapat ditangani dengan baik dan berkesan serta mampu menunjukkan bahawa kerajaan ini berada di puncak kekuasaan dan kestabilan. Peranan Sultan dan pembesar/ pemimpin semasa menguruskan hal ehwal negara sebenarnya jelas memantulkan pencapaian dan kedudukan negaranya. Kemampuan ini dapat dilihat berpandukan Sejarah Melayu, misalnya;

Maka titah Raja Siam, ‘Apa sebabnya Melaka diserang Siam, maka tiada alah?’

Maka Tun Telanai menyuruh memanggil orang Suir seorang tua lagi untut kedua belah kakinya, maka disuruh Tuan Telanai bermain lembing di hadapan Paduka Bubunnya. Maka orang tua itu dilambung-lambungnya lembing itu, ditahannya belakangnya; maka lembing itu mengambul jatuh ke tanah, sedikitpun tiada ia luka.

Maka sembah Tun Telanai kepada Paduka Bubunnya, ‘Tuanku, inilah sebabnya Melaka tiada alah diserang Siam. Semua orang Melaka demikian belaka.’ 

(Shellabear, 1977, hal. 79)

Penelitian terhadap peristiwa lawatan Tun Telanai ke Siam ini memberi pengajaran kepada semua bahawa setiap pegawai atau pentadbir itu seharusnya memiliki kebijaksanaan dengan teliti semasa menjalankan tugas negara. Kebijaksanaan Tun Telanai menjawab pertanyaan Raja Siam memberikan kesan yang besar kerana Siam beranggapan Melaka terlalu kuat dan sukar untuk ditewaskan. Oleh yang demikian, perbincangan politik ataupun perdagangan seperti ini haruslah dikendalikan sebaik-baiknya agar negara mendapat manfaat yang besar, selain mampu menjamin kestabilan dan keamanan negara.

Kebijaksanaan dan kemampuan bersaing juga jelas apabila  Tun Perpatih Putih bertindak cemerlang menyakinkan Raja China tentang kebesaran kerajaan Melaka, seolah-oleh menandingi kuasa China. Akhirnya Raja China bersetuju untuk menjalinkan hubungan dengan mengahwinkan puteri baginda dengan pemerintah Melaka. Hal ini jelas apabila Tun Perpatih Putih mengatakan bahawa setiap biji sagu yang dibawa ke China itu digelek oleh setiap rakyatnya;

Setelah diketahui ertinya, terlalulah sukacita Raja China menengar dia. Maka sagu itupun dibawa orang ke hadapan Raja China. Maka titah Raja hina pada Tun Perpatih Putih, ‘bagaimana membuat dia ini?’

          Maka sembah Tun Perpatih Putih, ‘Digelek, Tuanku, pada seorang sebiji, disuru oleh raka kami menggelek dia, hingga sarat sebuah pilu; demikianlah peri banyaknya rakyat raja kami. Tiada seorang pun tahu bilangannya.’

          Maka titah raja China, ‘Besar raja Melaka ini; banyak sunguh rakyatnya, tiada bezanya dengan rakyat kita. Baiklah ia kuambil akan menantuku.’



(Shellabear, 1977, hal. 94-95)

Berdasarkan contoh yang dapat diperlihatkan, jelaslah kepada kita bahawa sesebuah negara yang berada dalam arus global haruslah mampu untuk bersaing dalam pelbagai aspek, meliputi politik, ekonomi, strategi, pertahanan dan sebagainya bagi tujuan untuk kesinambungan dan kewujudan. Kemampuan bersaing bukan semata-mata bergerak dalam kerangka kekuatan tentera/ pertahanan, malahan jauh lebih luas meliputi sumber manusia yang cemerlang, bijak berpolitik dan handal serta petah berhujah untuk mempertahankan kekuatan diri, dan negara bangsa. Kemampuan Kerajaan Melayu semasa berada di puncak kegemilangan melakarkan pelbagai contoh atau iktibar yang penting dan relevan.

Menyuburkan Ilmu Pengetahuan, Mengejapkan Agama dan Moral

Ilmu pengetahuan/ pendidikan merupakan suatu aspek penting untuk dikuasai dalam usaha memacukan kemajuan kepada sesebuah negara. Pembangunan sumber modal insan akan tercapai dengan berkesan dan mantap sekiranya aspek ini dikuasai serta dipentingkan oleh semua pihak. Melalui pendidikan rakyat akan beroleh ilmu pengetahuan, kepelbagaian kemahiran, didikan agama serta moral yang tinggi dan sempurna. Membaca teks Sejarah Melayu, turut menunjukkan kepada kita bahawa aspek ini juga sangat ditekankan. Pemerintah telah meletakkan ulama atau guru-guru agama pada kedudukan yang tinggi dan penting. Hal ini jelas, misalnya;


Telah sudah, maka Maulana Abu bakar pun turunlah ke bawah angin membawa kitab Darul-mazlum itu, menumpang kapal dari Judah ke Melaka.

          Telah berapa lamanya di laut sampailah di Melaka. Maka sangat dipermulia oleh Sultan Mansor Syah; dan Kitab Darul-mazlum disuruh baginda arak lalu ke balairong. Maka Sultan Mansor Syah pun berguru pada Maulana Abu Bakar.

(Shellabear, 1977, hal. 115)

Selain itu, jikalau terdapat kemusykilan, pembesar akan dihantar ke luar negara untuk mendapatkan pengetahuan yang penting kepada negara dan sebagainya. Contohnya; “Arakian, maka Sultan Mansor Syah menitahkan Tun Bija Wangsa ke Pasai bertanyakan suatu masalah; ‘Segala isi syurga itu kekalkah ia di dalam syurga dan segala isi neraka itu kekalkah ia di dalam neraka?’ (Shellabear, 1977, hal. 115).

Aspek moral dan agama ini sebenarnya sangat penting dan mendasari semua ciri yang telah dibincangkan di bahagian atas. Perbincangan aspek ini sengaja dikemudiankan kerana ingin menegaskan bahawa apa sahaja tindakan atau perlakuan insan yang bermoral itu adalah bertitik tolak serta berlandaskan agamanya. Pemerintah yang berkesan biasanya akan bertindak atas landasan agama sebagai panduan untuk memastikan keterusan pemerintahan dan juga penerimaan rakyatnya. Sultan Melaka seperti Sultan Mansor Syah dan Sultan Alauddin Syah ditonjolkan sebagai pemerintah yang mementingkan perkara ini, dan mempraktikkannya dalam urusan pentadbiran negara. Nilai modal insan milik peribadi Sultan Mansor Syah ini jelas diungkapkan apabila baginda mewasiatkan anakandanya (Raja Husin – Sultan Alauddin Syah), katanya;



Ketahui olehmu, hai anakku, bahwa yang dunia ini tiada akan kekal adanya. Yang hidup itu sedia akan mati juga sudahnya. Iman yang sempurna dan pekerti yang baik. Itulah yang kekal, disebut orang selama-lamanya.


(Shellabear, 1977, hal. 126)

Kekuatan didikan dan pengaruh agama jugalah yang membentuk peribadi dan rasa tanggungjawab Sultan Alauddin terhadap rakyat dan negara baginda. Dengan rasa bertanggungjawab untuk bertindak adil dan saksama, memastikan negara aman damai serta masalah rakyat jelata dapat diselesaikan, mendorong Sultan untuk melihat sendiri keadaan negeri Melaka. Pernah digambarkan bahawa Sultan telah keluar pada waktu malam untuk melihat keadaan kecurian yang melanda Melaka pada waktu itu. Hal ini popular dan kerap kali ditonjolkan apabila memperkatakan tentang keperibadian tinggi dalam diri Sultan Alauddin, iaitu;

Telah Sultan Alauddin menengar pencuri terlalu ganas itu, maka baginda pun terlalu masygul. Telah hari malam maka baginda pun memakai cara pakaian si pencuri. Maka baginda pergi menyamar, tiada membawa teman, hanya Hang Isap dan Hang Siak juga dibawa baginda. Serta pergi itu, maka Sultan Alauddin pun berjalan tiga orang sekeliling negeri Melaka itu, hendak melihat hal negeri.



(Shellabear, 1977, hal. 128)

Moral dan agama, adil saksama haruslah diamalkan bagi memastikan kerajaan berada pada tahap yang selamat, maju dan gemilang. Wasiat Sultan Alauddin kepada pembesar dan juga Raja Muda (Raja Mahmud) jelas memerihalkan perkara ini, contohnya;


“Maka titah sultan Alauddin, ‘ketahui olehmu tuan-tuan sekalian, bahwa umur kita telah pautlah, ajal kita pun hampir rasanya. Jikalau kita mati, bahwa anak kita Si Muhammad inilah arakan oleh Bendahara ganti kita. Hendaklah sangat dipelihara kamu sekalian akan dia, kerana ia kanak-kanak; seperti mana kasih tuan-tuan semua akan kita demikianlah kasih tuan hamba sekalian akan dia. Jikalau barang suatu khilap bebalnya, sangat-sangat maaf kamu sekalian aakan dia, dan tegur ajar, kerana ia lagi budak.’

(Shellabear, 1977, hal. 138)

Kepada Raja Muda Mahmud, baginda mewasiatkan, agar bertindak dengan adil saksama kepada rakyat jelata. Hal ini terbukti dengan titah Sultan, kata baginda, ‘Adapun engkau, hai anakku, Muhammad, hendaklah banyak-banyak ampunmu akan segala hamba sahayamu, dan baik-baik peliharamu akan dia, … . dan segala anak Melayu, bagaimanapun besar dosanya, jangan kamu bunuh, melainkan   dosanya derhaka … . Jikalau kaubunuh ia dengan tiada dosanya, bahwa kerajaanmu binasa.” (W.G. Shellabear, 1977, hal. 138).

Modal Insan Tidak Bermoral

Meneliti beberapa perkembangan peradaban tamadun manusia, maju mundur ataupun jatuh bangun sesebuah negara bangsa seolah suatu yang tidak dapat dielakkan. Bagaikan ‘roda berputaran’, kerajaan yang gemilang itu akhirnya pincang dan tumbang angkara insan yang tidak beretika dan tidak bermoral. Kemerosotan nilai yang mendasari prinsip kemanusiaan dan serangan luar akhirnya menghancurkan sesebuah kerajaan.

Korupsi dan Salah Guna Kuasa

Gambaran kemewahan, kesenangan dan kekuasaan yang dimiliki kadang-kadang disalahertikan dan terpesong penggunaannya daripada tujuan asal. Amalan hidup jelas jauh berbeza dengan pemerintah sebelumnya. Pelbagai tindakan Sultan dan pembesar yang memerintah yang terlalu yakin dengan kekayaan dan kekuasaan yang ada telah mengarahkan mereka kepada penyalahgunaan kuasa. Misalnya Bendahara Seri Maharaja, walaupun digambarkan sebagai seorang yang berkaliber, namun tetap mengamalkan gaya hidup yang terlampau mewah, membazir harta yang dimiliki dengan jawatan dan sebagainya. Keadaan ini jelas seperti peristiwa di bawah;

Tetapi akan Bendahara Seri Maharaja pun terlalu baik rupanya, lagi sangat berhias, pada sehari enam kali bersalin pakaian, bajunya yang hadir juga seribu banyaknya, pelbagai rupa dan warna, destar yang sudah terikat pada kelebut dua tigapuluh, semuanya sudah dipakai belaka; cermin besar setinggi sedia. Apabila Bendahara Seri Maharaja memakai, sudah berbaju, berkain, berkeris, bersebai, lalu naik duduk ke buaian.

(Shellabear, 1977, hal. 155).

Keadaan urusan pemerintahan pada zaman ini jelas jauh pincang berbanding zaman sebelumnya. Pembesar menggunakan kedudukan untuk kepentingan peribadi, keluarga, pengikut dan sebagainya. Contohnya;

Maka segala orang muda-muda Tun Hasan Temenggung pun pergilah dengan pertanda merentang tali. Maka oleh segala orang muda-muda, pada tengah rumah saudagar kaya-kaya itu direntanginya tali, disuruhnya robohkan. Maka segala saudagar itu menyorong ada yang seratus, ada yang dua ratus, ada yang tigapuluh, empatpuluh kepada seorang. Maka diambilnya oleh segala orang muda-muda Tun Hasan Temenggong, diperbahaginya ramai-ramai dengan segala oertanda, itulah makanannya.

(Shellabear, 1977, hal. 192).

Rasuah dan pelbagai kepincangan pengurusan pemerintahan berlaku dalam cetera tiga puluh tiga. Kepentingan peribadi memuncak, Bendahara Seri Maharaja, Laksamana Khoja Hasan terlibat menerima rasuah, dan seterusnya membawa tragedi Bendahara difitnah ingin menderhaka lalu dijatuhi hukuman bunuh oleh Sultan Mahmud yang memang berdendam kerana isu Tun Fatimah dikahwinkan dengan orang lain. Hal ini berlaku rentetan pertelingkahan antara Raja Mendeliar dan Nina Sura Dewana, pedagang di negeri Melaka. Golongan inilah biasanya yang boleh mempengaruhi beberapa keputusan penting dalam beberapa urusan negara, dan perbuatan inilah yang menjadikan teladan klasik pembunuhan dalam Sejarah Melayu. Misalnya peristiwa di bawah;

Maka Raja Mendeliar dan Nina Sura Dewana pun bermohon pada Bendahara Seri Maharaja lalu kembali ke rumahnya. Telah hari malam, maka Nina Sura Dewana pun fikir pada hatinya, ‘Adapun bahwa Raja Mendeliar itu orang kaya; kalau ia menyorong pada Datuk Bendahara nescaya alah aku. Jikalau demikian, baiklah aku pada malam ini pergi pada Bendahara.’

(Shellabear, 1977, hal. 192).

Si Kitul (anak buah Nina  Sura Dewana, yang berhutang sekati emas dengan Raja Mendeliar) telah memaklumkan kepada Raja Mendeliar bahawa;

‘Malam  tadi Nina Sura Dewana datang menghadap Datuk Bendahara persembahkan emas sepuluh kati,  hendak menyuruh bunuh tuan hamba. Akan sekarang Datuk Bendahara sebicara dengan Nina Sura Dewana, tuan hamba hendak dikerjakannya.’ (W.G. Shellabear, 1977, hal. 193).


Akhirnya, untuk mempertahankan dirinya, Raja Mendaliar telah bertindak mendapatkan bantuan daripada Laksamana, hal ini jelas seperti berikut;


Setelah datang ke luar pintu Laksamana, ia minta bukai pintu. Maka Raja Mendeliar pun masuk menghadap Laksamana. Maka segala harta yang dibawanya itupun semuanya dipersembahkannya pada Laksamana. Maka kata Raja Mendeliar pada Laksamana, ‘Sahaya menghadap ini, sahaya berlepas taksir, supaya jangan sahaya dikatakan orang  sebicara dengan penghulu sahaya, kerana sahaya ketahui bahwa Datuk Bendahara hendak durhaka. Hendaklah orang kaya persembahkan ke bawah Duli Yang Dipertuan, sudah ia berbuat takhta kerajaan menempa cerek emas dan kaus emas, kasadnya hendak naik raja di dalam negeri Melaka.’

(Shellabear, 1977, hal. 194)


          Pilih kasih dan kepentingan sahabat handai mengatasi kebolehan dan kemampuan semasa perlantikan pembesar negara atau pegawai kerajaan. Pemilihan kerana kebolehan ataupun kewibawaan seseorang tidak dilihat sebagai penting sepertimana zaman pemerintah terdahulu, misalnya Tun Perak dinaikkan ke jawatan penghulu, perdana menteri dan jawatan tertinggi iaitu bendahara ialah kerana kewibawaan menguruskan pelbagai hal berkaitan dengan kepentingan kerajaan dan negara. Suasana aman damai, mewah maju dan seumpamanya menyebabkan manusia mula lalai dan hilang pertimbangan modal insan. Keputusan biasanya berlandaskan kepentingan individu ataupun puak semata-mata. Fenomena ini mula kelihatan sejak awal pemerintahan Sultan Mahmud, misalnya tindakan baginda melayani pembesar dengan tidak sama rata;


Adapun akan Sultan Mahmud tiada kasih akan segala hulubalang dan orang-orang besar, dan yang dikasihi baginda Tun Ali Hati seorang dan Tun Mai Ulat Bulu seorang, Tun Muhammad Rahang seorang, Tun Muhammad Unta seorang, Tun Ali Berudu seorang, Tun Ali Kesar seorang, dan segalaorang-orang muda tigabelas orang, segala hamba raja dua puluhtiga; itulah teman baginda bermain gurau jenaka.

 (Shellabear, 1977, hal. 201).

Selain daripada itu, terdapat beberapa orang lagi yang disayangi oleh Sultan    Mahmud, segala permintaan orang-orang ini biasanya akan diperkenankan,   misalnya;

Maka Sultan Mahmud pun diam menengar kata hamba raja itu, kerana sangat kasih baginda akan Seri Dewa Raja, kerana zaman itu orang yang dikasihi raja, pertama-tama Seri Dewa Raja, kedua Tun Umar, ketiga Hang Isa Pantas, keempat Hang Husin Jong.

          (Shellabear, 1977, hal. 145).


Maka Tun Umar pun datang bersembah, ‘Tuanku, jika ada kurnia Duli Yang Dipertuan, patik hendak memohonkan jadi raja laut.’

          Maka titah Sultan Mahmud, ‘Baiklah, tetapi laksamana lagi ada, apa daya kita mengambil daripadanya? Hendak pun kita pecat ia, suatu pun tiada apa salahnya pada kita. Tetapi apabila laksamana tiada lagi, Tun Umarlah kita jadikan raja laut.’

(Shellabear, 1977, hal. 145).


Serakah Nafsu, Ghairah Seksual, Menebalnya Nafsu Amarah dan Fitnah

Dalam cetera-cetera berkaitan kerajaan Melaka keadaan negara mula berkocak setelah agak lama berada dalam suasana tenang, Sultan Mahmud yang mengambil alih pemerintahan jelas menambahkan keparahan kepada politik Melaka. Pemerintahan yang tidak adil, pincang, rasuah, berdendam, hasad dengki, menyerahkan hal ehwal negara kepada orang terdekat atau pembesar semata-mata menyebabkan kerajaan ini mula lemah dan hilang arah tujunya. Sultan Mahmud digambarkan lebih suka hidup berfoya-foya, keluar waktu malam ke rumah pelacur, meniduri isteri pembesar sewaktu suaminya keluar menjalankan tugas negara dan sebagainya. Hal ini jelas apabila Tun Biajid bertembung dengan dengan Sultan Mahmud;

Sekali peristiwa Sultan Mahmud Syah bermain dengan isteri Tun Biajid, anak Laksamana Hang Tuah. Tatkala itu Tun Biajid tiada di rumah, pergi ke Morib kerana Morib pegangannya. Maka pada suatu malam Sultan Mahmud pergi ke rumah Tun Biajid. Telah hampir dinihari, maka baginda pun hendak kembali, bertemulah dengan Tun Biajid baru datang dari Morib diiringkan segala orangnya. Maka Tun Biajid pun tahulah Sultan Mahmud bermain dengan isterinya itu.

(Shellabear, 1991, hal. 143).

Dalam peristiwa lain, Sultan Mahmud telah mengarahkan Tun Isap supaya membunuh Tun Ali Sandang kerana berada di rumah Tun Dewi. Petikannya seperti;


Maka pada suatu malam, maka Sultan Mahmud pergi ke rumah seorang perempuan, Tun Dewi namanya. Maka didapatinya baginda Tun Ali Sandang ada di sana; maka Sultan Mahmud pun berbalik. Maka baginda menoleh belakang, dilihat oleh baginda Tun Isap, … . Maka  oleh Sultan Mahmud diambil baginda sirih daripada puan baginda, dianugerahkan pada Tun Isap. Maka Tun Isap fikir pada hatinya, ‘Apa gerangan ertinya Yang Dipertuan memberi sirih dari puan ini? Pada bicara aku, entah Yang Dipertuan menyuruh membunuh Tun Ali gerangan?’


(Shellabear, 1977, hal. 144)

Tragedi demi tragedi yang berlaku jelas melemahkan kerajaan Melayu Melaka, tiga waktu akan musnah sebuah kerajaan, si anak tidak lagi mentaati bapanya, bapa pula membunuh anak kerana percanggahan kuasa dan kepentingan. Ini jelas apabila Sultan Mahmud Syah mengarahkan agar anakandanya Sultan Ahmad dibunuh. Lihat petikan berikut;

Adapun Sultan Ahmad itu, semuanya baik, lagi murah; tetapi suatu celanya, sebab tiada kasih akan segala pegawai dan segala orang besar-besar, melainkan orang muda-muda dan hamba raja tersebut itu juga dikasihi baginda. …. .

Maka segala kelakuan itu kedengaran ke bawah Sultan mahmud. Maka tiada berkenan baginda akan pekerti ananda itu. Maka disuruh baginda …. yakni ertinya, apabila ajal seseorang mereka itu, tiada terkemudian seketika, dan tiada terdahulu seketika jua pun. Maka Sultan Ahmad pun mangkatlah, … (Shellabear, 1977, hal. 205).

          Modal insan yang pincang, minda disaluti dengan fitnah merosakkan dan menumbangkan kerajaan Melayu Melaka. Tragedi Hang Tuah difitnah dan Hang Kasturi (dalam Hikayat Hang Tuah, disebut Hang Jebat) menyerlahkan hakikat bahawa unsur ini tidak mengenal batas nilai dan status diri seseorang insan itu. Hang Tuah difinah tiga kali angkara perasaan hasad dengki melihat kehebatan demi kehebatan yang dicapai mengikut prosedur yang normal, dan jalinan hubungan baik dengan golongan pemerintah (istana) khasnya raja dan para pembesar istana. Ketiga-tiga fitnah yang ditaburkan terhadap Hang Tuah dikaitkan dengan perbuatan bermukah dengan perempuan. Rentetan dari fitnah terhadap Hang Tuah, terjadi tragedi “penderhakaan pertama” dalam pensejarahan Melayu. Tragedi ini juga memperjelaskan bahawa perjanjian (waadat) kesetiaan dan ketaatan yang diikat kukuh antara Sang Sapurba, mewakili golongan pemerintah dengan Demang Lebar Daun, mewakili golongan rakyat terburai. (Lihat intisari waadat, 1977, hal. 20).

 Rumusan Renungan

Sejarah tidak pernah berhenti selama-lamanya – tiada noktah. Sejarah terus berpusing bagai roda dan bergerak di atas landasannya. Begitulah juga dengan sejarah bangsa Melayu terus bergerak dan berputar pantas; dipandu oleh para pemimpinnya menuju ke suatu destinasi yang infiniti. Dalam keghairahan kita memandu di atas landasan lebuh raya globalisasi, jangan lupa kita menoleh ke cerminan belakang. Sejarah bangsa Melayu bermula dengan tamadun yang rapuh dari segi kepercayaan, adat, sosial dan ekonomi. Kemudian fasa yang berikutnya, menuju pentas kemuncak/ klimaks, dan akhirnya pentas kegemilangan dan terbilang itu pincang dan tumbang setelah lebih kurang 200 tahun pembinaan sebuah kerajaan bernama Kerajaan Melayu Melaka.

          Kita berhenti sekejap di perhentian lebuh raya globalisasi, dan kita renung pensejarahan minda dan modal insan (modal moral, meminjam frasa Hassan Ahmad) bangsa Melayu yang berwarna-warni peristiwa dan pelbagai karakter watak/ insan yang pernah muncul dalam sejarah. Kita menemui insan bermoral/ insan minda kelas pertama, insan yang rapuh peribadi, hambatan demi hambatan, kegemilangan demi kegemilangan menjadikannya terbilang, dan tragedi demi tragedi. Kita renungkan Sejarah Melayu. Kita renung dan perhatikan di sekeliling dan hayati watak-watak yang sedang memandu sejarah bangsa Melayu, maka kita ungkapkan “macam-macam ada dalam Sejarah Melayu. Macam tak percaya.” Begitulah Sejarah Melayu, waima ada beberapa cetera berupa mitos, legenda, dan fantasi, namun cetera-cetera realiti modal insan yang bermoral mencemerlang dan menterbilang kerajaan. Sebaliknya modal insan yang pincang, tumbang dan runtuh kerajaan.  Kita boleh memilih, menentukan dan menyaring saluran/ cetera mana yang sesuai.  Akhir kalam wa’llahu a’lam.


Rujukan

A.Teeuw. (1958). Kata pengantar Sejarah Melayu. Jakarta: Penerbitan Djambatan.

Abu Hassan Sham. (1977). Beberapa aspek dari Sejarah Melayu (Sulalatus – Salatin). Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors.

Bottoms, J.C. (1968). Some Malay historical sources. Dlm. An introduction to Indonesian  historiography. Soedjatmoko et.al. (ed.). New York: Cornell University Press.

Gullick, J.M. (1970). Sistem politik bumiputera Tanah Melayu Barat. (terj.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Haron Daud. (1989). Sejarah Melayu: Satu kajian daripada aspek pensejarahan budaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Koo Kee Peng & Tang Chee Yee. (1991). Pendidikan moral. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Liaw Yock Fang. (1982). Sejarah kesusasteraan Melayu klasik. Singapura: Pustaka Nasional.

M. Rajantheran. (1999). Sejarah Melayu: Kesan hubungan kebudayaan Melayu dan India. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Taib Osman. (1974). Asas dan pertumbuhan kebudayaan Malaysia. Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. h. 1.

Muhammad Haji Salleh. (1991). Yang empunya cerita: The mind of the Malay author. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Yusoff Hashim. (1992). Pensejarahan Melayu: Kajian tentang tradisi Sejarah Melayu Nusantara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rancangan Malaysia Kesembilan 2006 – 2010.(2006). Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Penerangan Malaysia.

Shellabear, W.G. (1977). Sejarah Melayu (edisi ketiga). Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti  Sdn. Bhd.

Scott, A.F. (1985). Current literary terms: A concise dictionary of their origin and use. London: The Macmillan Press Ltd.

Umar Junus. (1984). Sejarah Melayu: Menemukan diri kembali. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

W. Poespoprodjo. (1999). Filsafat moral: Kesusilaan dalam teori dan praktek. Bandung: Penerbit Pustaka Grafika.

Winstedt, R.O. (1977). A history of classical Malay literature. Kuala Lumpur: Oxford University Press.

Zainal Abidin Abdul Wahid. (1974, Mei). Sejarah Melayu. Dewan Bahasa. 18(5), h. 211.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan