29 Februari 2016




EMAS & BUDI : MAKNA TERSURAT & TERSIRAT

Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Maksud:
Jika berhutang kepada seseorang, hutang tersebut boleh dibayar tetapi jika terhutang budi, sukar dibayar dengan wang ringgit atau barang berharga.

Huraian:
Pepatah ini mengungkap mengenai hutang yang boleh dibayar dan tidak boleh dibayar. Dinyatakan bahawa emas sebagai barang yang berharga dan bernilai, hutangnya boleh dibayar. Namun budi sebagai suatu yang abstrak, berkenaan kebaikan yang manusia lakukan, tidak boleh dibayar. Apa kebaikan atau budi yang dilakukan oleh seseorang akan diingati dan dibawa sampai mati. Dalam konteks yang lebih luas, budi menjurus hal yang positif; tindakan, sikap, pemikiran, perbuatan dan idea. Dalam kehidupan orang Melayu pula, budi sering dikaitkan dengan bahasa, disebut budi bahasa. Apa yang terlahir daripada bahasa adalah manifestasi budi seseorang. Jika orang tidak berbudi, buruklah bahasanya. Jika diperluaskan kepada bangsa; bangsa yang tidak berbudi, buruklah bahasanya. Tiada bahasa, tiadalah budi sesuatu bangsa. Jika dikhususkan kepada bangsa Melayu; buruk bahasa Melayu, buruklah budi orang Melayu. Dalam kontels pepatah lama ini, apa jua benda yang bernilai, ada harganya. Jika berhutang, boleh diselesaikan hutang. Dalam hidup ini, yang lebih penting adalah nilai budi yang mengatasi segala-galanya. Moral di sebalik pepatah ini; jangalah pentingkan material sehinggakan hal-hal kebudian dilupakan.


Azmi Rahman

Tiada ulasan:

Catat Ulasan