29 Februari 2016







TAK PEDULI. TAK BERSIH, MAKAN JUGA

Kita lapar. Kita mahu makan di luar sama ada di warung tepi jalan atau restoran yang biasa-biasa. Kalau ada wang lebih dan mahu jaga prestij, kita makan di restoran hotel yang ada bintang; sekurang-kurangnya hotel tiga bintang. Kalau di restoran, suasana sekeliling kemas, susun atur lauk pauk dan kebersihan makanan terjamin. Tukang masak dan pekerja hotel berpakaian seragam, bersih dan berketrampilan. Barangkali tidak banyak yang boleh dikomen bab kebersihan. Hairan juga, kita tak peduli bab kebersihan bila kita makan di kedai mamak atau warung di tepi jalan atau gerai jualan di pasar malam. Barangkali kita hanya makan dan makan. Janji makanan enak dan menyentuh cita rasa. Kalau warung di tepi jalan, habuk dan debu yang berterbangan menyapa makanan dan minuman, kita tak peduli. Pakaian pekerja kedai makan yang selekeh dan comot, kita tak peduli. Dapurnya yang kotor dan berdaki, kita tak peduli. Kuku jari jemari pekerja warung yang panjang dan hitam, kita tak peduli. Pinggan, gelas dan sudu yang dibasuh hanya menggunakan air dalam satu besin, kotor pula, kemudian dilap dengan kain kotor pula, kita tak peduli. Pernah saya ke kedai makan, mahu makan roti canai. Apabila diperhatikan si pembuat roti cabai melurut jari jemarinya ke lengan, batalkan saja niat saya mahu makan roti canai. Begitu juga apabila saya perhatikan si pembuat roti canai, menggaru-garu kepala (gatal kerana ada kutu?), kemudian menebarkan roti, batalkan hajat mahu makan roti canai. Saya perhatikan juga kuku jari jemari si pembancuh air dan si pembuat roti canai, tak jadi makan menjadikan saya tidak lagi gemar pekena teh tarik dan roti canai. Lauk pula, saya perhatikan banyak yang dikitar dan dipanas semula berulang kali. Kita tak peduli, makan juga. Pernah juga saya dan kawan-kawan ke kedai makan waktu malam di Kota Bharu, berkeliaran tikus besar. Kalau ada makhluk itu di kawasan kedai makan, tandanya kawasan kedai makan itu tidak bersih. Tetapi kita makan juga, sedap pula. Tak peduli makhluk yang berkeliaran di bawah. Adakalanya kita tak peduli bab bau yang tidak menyenangkan di sekeliling kedai makan. Tandanya kawasan sekeliling tidak bersih. Longkang kotor dan tersumbat. Namun kita tak peduli, makan juga. Hairan juga, kita orang Islam. Islam menyarankan kebersihan separuh daripada iman. Logiknya kalau diri kita tak bersih, lauk pauk tak bersih, kedai tak bersih, dan kawasan sekeliling tak bersih, hilanglah separuh iman kita?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan