29 Februari 2016






SETELAH 15 TAHUN, ANAK …

Suatu Jumaat, di masjid berdekatan taman saya tinggal, sebak menghayati khutbah Jumaat oleh khatib jemputan. Tema khutbah tentang nilai kasih sayang anak terhadap ibu bapa. Tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak memang besar. Begitu juga tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa. Nasihat khatib, jangan derhaka kepada ibu bapa. Jangan ucapkan kata-kata yang mengguriskan hati ibu bapa meskipun berkata “ah” terhadap ibu bapa. Kisahnya seorang anak lelaki yang berpatah arang terhadap ibu bapanya lantaran harta yang tidak dibahagikan secara adil. Si anak selama lebih 15 tahun tidak menghubungi ibu bapanya. Hubungan keluarga terputus. Sepanjang tempoh itu, si anak tidak merasa apa-apa; apatah rasa bersalah atau rasa berdosa atas perbuatan derhaka itu. Suatu Jumaat, apabila si khatib (ustaz) itu menceritakan tentang azab siksa anak derhaka, dia rasa tersentuh dan menangis. Setelah selesai solat Jumaat, dia bertemu dengan ustaz itu dan memeluknya sambil menangis teresak-esak. Ustaz itu bertanya, “Kenapa awak menangis?” Dia menyatakan bahawa dia banyak dosa terhadap ibu bapanya. Lebih 15 tahun dia tidak bertemu dengan ibu bapanya. Ustaz itu menasihati dia supaya pergi berjumpa ibu bapanya. Minta maaf daripada mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Pemaaf. Akhirnya dia bertekad mahu berjumpa ibu bapanya walau apa akan terjadi. Jika dia dihambat sekali pun, dia mahu juga berjumpa kerana mahu mohon maaf daripada ibu bapanya. Sebaik sampai di depan rumah, dia membuka pintu kereta, lalu ibunya terus berlari-lari menuju kepada anaknya dan memeluk erat. Sungguh-sungguh berlinangan air mata ibu dan anak dalam dakapan itu. Si bapa pula sudah lumpuh kerana diserang strok yang serius. Si bapa bertongkat. Lalu si bapa dengan kekuatan Allah SWT berikan, membuang tongkatnya, lalu menuju kepada anaknya. Si bapa memeluk anaknya erat-erat sambil menangis teresak-esak. Pesan si khatib, semasa ibu bapa masih bernyawa, sayangilah dan berbaktilah terhadap ibu bapa kita kerana setiap anak HANYA mempunyai seorang ibu dan bapa kandung. Jika ibu bapa kita telah kembali ke rahmatullah, tiadalah makna jika mahu diungkapkan penyesalan dan mohon kemaafan meskipun mengalir air mata darah sekalipun.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan