21 Februari 2016






KERJAYA APA?

Suatu hari saya bertemu seorang doktor di pekan Changlun untuk membuat pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan ubat demam. Selesai doktor itu membuat pemeriksaan dengan mengambil suhu badan dan tekanan darah, kami bersembang-sembang memandangkan tiada pesakit yang menunggu di luar klinik. Dia memberitahu saya bahawa menyuruh anak lelakinya yang sedang belajar perubatan di sebuah university di Mesir pulang ke Malaysia. Anaknya sedang belajar bidang perubatan dalam tahun ketiga. Berbaki lagi tiga tahun untuk tamat pengajian di sana. Kemudian apabila pulang ke Malaysia, terpaksa menduduki peperiksaan untuk melayakkan diri menjadi doktor. Dia memberitahu saya kerjaya doktor sudah tidak ada masa depan. Anaknya kini menyambung pengajian di dalam bidang kejuruteraan di politeknik. Dia memberitahu saya bahawa bilangan doktor di Malaysia sudah terlebih. Entahlah, bagaimana nanti masa depan bakal doktor lulusan dari India, Indonesia, Rusia, Mesir, UK, dan Malaysia? Bukan sahaja kerjaya doktor, malahan kerjaya sebagai pendidik atau guru juga mengalami masalah yang sama. Berlaku lebihan lulusan dalam bidang pendidikan dan masalah penempatan guru di sekolah. Jika terdapat kekosongan jawatan dan persaraan guru, baharulah jawatan itu diisi. Kerjaya dalam bidang profesional lain, kita pun tidak pasti sama ada masih banyak kekosongan atau sudah berlaku limpahan sumber tenaga manusia. Yang pasti negara memerlukan pekerja buruh dalam sektor perladangan, pembinaan, pengilangan, dan pembersihan alam sekitar. Pekerjaan yang bersifat kotor, misalnya mencuci longkang dan mengutip sampah, tidak  dilakukan oleh warga tempatan. Pekerjaan ini dilakukan oleh pekerja asing dari Bangladesh dan Indonesia. Kita bertanya, “Kerja apa selepas tamat pengajian di universiti?” Kalau bidang hanya bersifat ilmu, sukar juga untuk mencari kerja. Kalau bidang bergabung ilmu dengan kemahiran khusus, misalnya penulisan, perniagaan dalam talian, pembuatan makanan dan vokasional, lebih mudah mencari kerja atau melakukan perniagaan sendiri. Maka, anda yang berada di universiti, hendaklah memikirkan kerjaya masa depan setelah tamat pengajian. Fikirkan juga hala tuju masa depan anda dan apa yang perlu dilakukan sepanjang menjadi mahasiswa universiti.     

Tiada ulasan:

Catat Ulasan