13 September 2015



MERDEKA DARIPADA APA?
Profesor Datuk Zainal Kling  |  06 September 2015 12:47 AM
Kini kita akan lupakan "hari merdeka" walaupun ada tercatat dalam Perlembagaan. Mungkin tidak ada lagi paparan wajah YM Tunku Abdul Rahman melaungkan tujuh kali merdeka. Lambang kerjayaan perjuangan bumiputera tertindas oleh "pecah amanah" (breach of faith) penjajahan British yang berjanji "muafakat" pada 1874 mentadbir negeri-negeri Melayu, akan dilupakan.
Alhasilnya, Melayu tertindas dalam pendidikan hanya takat sekolah rendah dan orang asing mengaji hingga universiti. Melayu terpinggir dalam ekonomi kampungan hanya untuk kais pagi makan pagi, merempat sebagai the wretched of the earth. Negeri -negeri Melayu dijadikan koloni sebagai "Malayan Union", dengan pemerintahan Governor dan pendatang asing diberi kerakyatan sama rata serta sama hak dengan Melayu. Berabad mereka menimba kekayaan sepenuhnya dan menguasai ekonomi. Melayu hilang negeri dan merempat. Muncul seorang Melayu, Dato Onn Jaafar, berjuang bermati-matian untuk kembalikan hak dan kuasa politik Melayu. Disambung oleh Tunku, UMNO dan kerjasama rakan Perikatan untuk merdeka.
Merdeka tercapai kemudiannya, sebagai puncak kemenangan dari perjuangan berdarah, pengorbanan seluruh badan dan nyawa anak bangsa. Ada bangsa asing yang mahu merampas dan menghapuskan bangsa dan kedaulatan Melayu, atas nama menentang penjajahan, tetapi sebaliknya mereka mahu menakluk negeri-negeri Melayu sebagai republik komunis. Demikian, penjajahan itu ibarat keluar mulut harimau masuk mulut buaya.
Itulah yang kita raikan, sanjung dan rayakan - kemerdekaan. Suatu pembebasan jasmani dan rohani, tabii dan sosio-budaya manusia Melayu dan orang lain yang bersama, untuk menggembleng seluruh kekayaan alam dan tenaga manusia, demi kedaulatan dan kesejahteraan yang nyata dan abadi.
Nostalgia
Jadi, hanya hari kebangsaan yang akan dilangsungkan. Telah kita saksikan perayaannya, sebagai suatu catan kanvas agung pada jagat alam, pada permukaan Padang Merdeka, dengan simbahan ribuan warna-warni manusia Malaysia. Kita paparkan kepelbagaian dalam satu kesatuan, perbezaan dalam persamaan dan keberagaman dalam keseragaman.
Kita raikan kesatuan dan kesepaduan warga Malaysia, dalam rangkulan jaringan emosi "sehati sejiwa" sebagai pernyataan dan perupaan makna "kebersamaan" dalam kalangan pelbagai rasa dan jiwa etnis dan ras di seluruh negara. Laungan emosi dan rasa inilah barangkali yang menakrif erti perpaduan, yang kini tercabar oleh saranan alternatif yang dilandasi oleh teori konflik dan perlawanan.
Namun, setelah enam dekad merayakan kemerdekaan, apakah tiada lagi makna dan nostalgia dari erti keraian dan perjuangan lampau itu? Barangkali mereka yang benar-benar berjuang, sudah lama kembali ke rahmat Allah. Yang tinggal hanya kenangan. “Kami cuma tulang-tulang berserakan… diliputi debu,” nukil Khairil Anwar, penyair agung Indonesia tentang kemerdekaan dan perjuangan. Lalu kita mudah lupakan; apa lagi sekian ramai anak yang dewasa dalam ilusi "tanah jajahan" di bandar-bandar, dan merasa mewah dalam kelangsungan sejarah kolonial. Dan, mereka menjadi manusia asing dari perjuangan.
Perjuangan adalah pengorbanan dalam ruang tempat dan masa. Setiap pejuang adalah sejarawan dan sekali gus negarawan. Pembentukan "negara" dalam aliran masa yang amat panjang menjadi sendi dan tunjangan serta ilham, pendorong terkuat perwatakan dan makna perjuangan. Dan, Tanah Melayu serta Malaysia adalah pewaris "negara" Melayu sejak Kedukan Bukit di Palembang pada 682 Masihi. Pada prasasti berbahasa Melayu dan huruf Palawa, negara Melayu terbina, sebagai penguasa, wibawa, daulat dan pemerintah di rantau Alam Melayu. Lalu mereka menguasai laluan dan dagangan timur dan barat di Selat Melaka. Mereka melebarkan wibawa dan kedaulatan meliputi sebahagian besar Alam Melayu.
Dalam persinggitan kuasa dan dagang itu, mereka bertembung dan berperang dengan India Chola. Kemudian muncul wibawa China dalam kembara ke barat Laksaman Zeng He, tapi tiada taklukan seperti ditingkah oleh Mogol atau Mughal di China dan India, walaupun dicuba oleh Kublai Khan di Jawa. Melaka mewarisi kenegaraan Seriwijaya itu dan berperang selama lebih 100 tahun dengan Portugis.
Hanya pelabuhan Melaka yang alah, negeri Melayu terus kekal. Berkerjasama pula dengan Belanda tanpa kehilangan kedaulatan Melayu. Dan, masuk British dengan segala tipu-helah (deception) tetapi tidak pernah terhapus kedaulatan Melayu, meskipun Pesuruhjaya Tinggi sebagai wakil raja Brtiain, berkuasa. Perang Dunia merobah status quo, dan berjuang membela tanah air untuk bebas, merdeka dan berdaulat kembali.
Demikian iktibar perjuangan dan kemerdekaan untuk anak-anak kini. Tidak ada satu pun perjuangan yang ditempa dengan bantuan luar akan kekal bebas dan merdeka. Bantuan luar adalah perhambaan. Hapuskan anak-anak yang mahu membelot atas nama kebebasan terkini, yang dibayangi oleh sandiwara dan lang­kah catur kuasa asing.
Baik atas nama hari merdeka mahupun hari kebangsaan, sejarah adalah saksi sahih akan kejituan kebebasan, kemerdekaan dan kedaulatan bersendi perjuangan. Wallahu aa’lam.
Penulis ialah Profesor Pusat Pengajian Kerajaan Universiti Utara Malaysia (UUM).



Tiada ulasan:

Catat Ulasan