6 September 2015


MELAYU BERMINDA ‘HANTU’
Kata ‘hantu’ merupakan kata yang lumrah melekat di minda orang Melayu. Hantu dijelmakan dalam tradisi lisan, karya sastera, drama dan  filem Melayu. Malahan dalam budaya dan kepercayaan orang Melayu,  sinonim penyakit misteri dikaitkan dengan perbuatan atau terkena gangguan atau rasukan hantu. Kata ‘hantu’ dalam bahasa Melayu bermaksud "ciptaan khayalan manusia yang menakutkan atau menggerunkan atau menyeramkan" (Kamus Dewan edisi keempat, 2005, h. 511). Dalam bahasa Inggeris disebut ghost bermaksud "spirit of a dead person appearing to somebody who is still living – roh orang mati yang muncul di hadapan seseorang yang masih hidup" (A S Hornby, 2001, Oxford Fajar Advance Learners’s English-Malay Dictionary, h. 766). Kata /hantu/ jika diterbalikkan menjadi kata /tuhan/. Bila percaya kepada hantu dengan penuh taksubnya, maka sebati dalam minda, hantulah menjadi tuhan bertakhta dalam diri. Dengan yakin mereka percaya seolah-olah hantu berkuasa segala-galanya; memberi nyawa, memberi penyakit, dapat menambah rezeki menjadi kaya, malahan hantu boleh membunuh seseorang. Hantu adalah ciptaan orang Melayu  untuk hiburan, meraih material, mainan kosong, dan mengacau fikir rasa manusia. Kepercayaan begini yang sebati di minda orang Melayu, akhirnya merosakkan jiwa, malahan boleh memesongkan akidah.

Wow, banyaknya nama hantu dalam kepercayaan orang Melayu. Dalam buku 33 HANTU (2007), disenaraikan 99 jenis hantu (h. 21-22). Hantu tersebut adalah hantu: air, amukan, anak gua batu, apu, bajang, bandan, bangkit, bawan, balung bidai, batu, beruk, bisa, bota, uri, budak, bujang sembelih, bukit, bungkus, bunian, buta, cika, daguk, dapur, denai, doman, gaharu, galah, genderuwo, golek, gulung, gunung, hala, halimunan, harimau, jadian, hutan, jamuan, jembalang tanah, jerambang, jerangkung, jepun, jin Islam, jin bukan Islam, jinjang, kayung, kemang, kembung, kengkeng, ketumbuhan, kopek, kuang, kubur, kuda, kum kum, laut, langut, lelembut, lembaga hitam, lembong, lenong, lubang, mambang hitam, mambang kuning, mambang putih, mambang tali arus, mati anak, orang mati dibunuh, mati anak, pari, pari-pari, pancur, pelesit, pelak, pemburu, penanggal, penunggu, pusaka, penyakit, pisang, pontianak, puaka, puteri, raya, rimba, saka, saka haiwan, sang kelembai, songkei, sungai, tangga, tenggelung, tepok, tindih, tinggi, dan toyol. Barangkali ada lagi jenis-jenis hantu Melayu yang tidak termasuk dalam senarai 99 jenis hantu ini. Anda boleh namakan hantu-hantu lain itu.

Dalam Islam, tiada hantu. Yang Allah SWT ciptakan adalah manusia, jin, dan malaikat. Jin yang tidak taat kepada Allah SWT adalah hantu (syaitan atau iblis) atau manusia manusia yang mengikut telunjuk hantu adalah pengikut hantu. Keyakinan dan kepercayaan seseorang Islam tidak boleh berubah. Allah SWT adalah segala-galanya – memberi penyakit dan menyembuh penyakit. Kemunculan hantu – wujudnya bomoh atau pawang atau dukun – pelbagai kepakaran;  sakit patah, urut, pengasih, buaya, seri muka, pemikat, pembenci, susuk, tenaga batin, mata, kulit, dan kebal.
 
Anda teliti sebuah puisi yang saya hasilkan yang diterbitkan di eSastera.com berkenaan hantu. Saya mentafsir hantu dalam konteks yang lebih luas dimensinya.

HANTU DI NEGERI WAILOL*
Di negeri wailol;  engkau adalah hantu di rumah hantu bikinan manusia. Diperbodoh oleh para pembikin hantu. Ketakutan dan keseraman palsu. Bikinan para pencari wang dan menebalkan keseronokan. Bodohnya kalian menjerit-jerit dan ketakutan di rumah hantu.

Di negeri wailol; engkau di rumah marhaen; hanya terpampang gah tanda nama dan wajah; sedang engkau tanpa suara. Bayang pun menghilang. Jika ada pun, bayang diam di bawah kerusi bisu. Jika bersuara pun, hanya suara mengiyakan yang engkau tiada kenal punca dan hujung hujah.

Di negeri wailol; hantu bertopeng menjelma di mana-mana. Di dalam panggung wayang dan di panggung rumah nafsu, ada hantu Melayu bikinan para pelakon. Marhaen mangli dengan hantu lakonan; hantu glamor dengan gosip longkang dan skandal kangkang .

Di negeri wailol;  ada hantu politik yang meneguk darah kuasa. Yang bertaringkan ego. Yang mendarah daging wang.

Di negeri wailol; hantu berkeliaran di rostrum suara. Panjang lidahnya menjelirkan hipokrasi. Menyuntik kuman rakus ke tubuh marhaen. Engkau mahu semua jadi hantu.

Di negeri wailol; negeri yang berduri. Para hantu berani membakar kertas undang-undang. Abunya dihanyutkan ke  sungai tanpa perasaan.

* WAILOL – bahasa Perlis bermaksud bodoh atau bahlul (Kamus Dewan edisi keempat, 2005, hal. 1794)

HANTU YANG DIKOMERSIALKAN                                          

Cerita hantu pula dikomersilkan melalui filem. Malahan lambakan filem hantu dalam industri hiburan telah menjadi isu nasional. Muka depan Berita Harian 3 Oktober 2011 bertajuk ‘Filem Hantu Cetus Debat.’ Dikatakan filem hantu menurut mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak membantu membina masyarakat produktif. Malahan cerita hantu member nilai negatif dan merosakkan minda orang Melayu dengan unsur karut marut dan kurafat.
Apa ada pada nilai seram, gerun, ngeri dan takut dalam filem hantu. Cerita pula tentang hantu yang ganas; mengacau dan mengganas membalas dendam. Akhirnya tewas sama ada oleh kuasa yang lebih kuat atau ayat-ayat al-Quran yang dibacakan oleh ustaz atau watak-watak alim dalam cerita hantu tersebut.

Apa-apa alasan yang diberikan oleh pihak produksi yang menerbitkan filem hantu mengarah kepada aspek keuntungan material dan hiburan semata-mata. Kalau dikatakan filem hantu mahu mendidik masyarakat supaya jangan percaya kepada hantu, sukar kita menerimanya.

Jika diperhati filem hantu mendapat sambutan penonton dan kutipannya pula mencecah jutaan ringgit. Misalnya filem ‘Jangan Tegur’ (RM3.4 juta), ‘Jangan Pandang Belakang Congkak’ (RM6.1 juta), ‘’Ngangkung’ (RM8.2 juta), ‘Khurafat’ (RM8 juta), ‘Karak’ (RM4.3 juta), dan ‘Hantu Bonceng’ (RM8.5 juta).

Tidak ke mana kita dengan filem hantu. Tidak maju kita dengan filem hantu. Tidak naik taraf filem Melayu dengan cerita-cerita hantu. Tidak ada nilai estetik pun filem hantu. Nilai yang ditonjolkan adalah nilai jiwa kacau!

Sintok





Tiada ulasan:

Catat Ulasan