KERTEH, SETELAH LEBIH EMPAT DEKAD DITINGGALKAN …
Setelah menulis nostalgia Kerteh (1) dan (2), saya memikirkan entah bila pula akan saya tulis tentang Kerteh dalam siri seterusnya. Di dalam diri, Kerteh kuat melekat dalam ingatan kerana zaman-zaman kanak-kanak, zaman kanak-kanak tanpa pendidikan formal/tadika, sekolah rendah yang beratap nipah, berdinding kayu dan berlantaikan tanah - berdekatan laut pula.
Setiap bulan sepanjang 2013, saya ke UniSZA, Kuala Terengganu mengajar pelajar Program Pengsiswazahan Guru Sekolah Rendah (PPGSR). Kekangan masa, tiada waktu untuk saya ke Kerteh. Hanya pada 31 Januari 2014 (Khamis), saya dan isteri, Nor berangkat dari Jitra ke Kuala Terengganu – melalui Lebuh Raya Timur-Barat - melintasi jalan pantai ke Kuala Terangganu – luas pantai saujana mata memandang. Selalu kami singgah di Mengabang Tengah, membeli keropok lekor yang baharu direbus dan yang digoreng panas-panas. Menikmati keropok lekor di sini, terasa enaknya kerana banyak isi ikan. Tidak seperti keropok lekor di tempat lain (di luar Terengganu), tidak terasa ikan kerana tepung/ kanji dicampurkan lebih. Kemudian kami bermalam di Batu Buruk Beach Resort. Di sini kami selalu bermalam jika di Kuala Terengganu – suasana pantai yang nyaman, riuh rendah pengunjung, dan gelagat pengunjung menaiki kereta kuda di pantai. Apabila malam, suasana lagilah meriah. Ada ketikanya kami bersiar-siar di tepi pantai menikmati angin segar pantai. Pada siangnya, kadangkala kami singgah ke Pasar Payang – membeli keropok keping.
Pagi 1 Februari 2014 (Jumaat), kami bertolak dari Kuala Terengganu menuju ke Bukit Mentuk, Kemaman – menghadiri kenduri kahwin anak saudara, nama Mizi di Taman Perumahan Bukit Mentuk, Kemaman. Kawasan ini dilanda banjir besar – tenggelam seluruh kawasan perumahan.
Kami bertolak jam 9 pagi dari Batu Buruk Beach Resort dan sempat bersolat Jumaat di sebuah masjid di Bandar Kemaman. Kami tiba di rumah adik perempuan saya lebih kurang jam 4 petang. Tiba di kawasan perumahan itu, saya dapati banyak rumah yang rosak dan ditinggalkan kosong. Dahsyat juga banjir melanda di kawasan yang bernama “Bukit” Mentuk.
Dalam perjalanan ke Bukit Mentuk, Kemaman – kami melalui Kerteh – tertera Bandar Baru Kerteh. Kerteh – terbayang wajahnya ketika sebuah perkampungan nelayan yang terpencil dan mundur. Namun wajah terpencil dan kekampungannya sudah berubah setelah ditemui hasil petroleum di dasar laut Kerteh.
Hanya yang saya perasan ialah Sungai Kerteh – nostalgia saya dan kawan-kawan sebaya berenang-renang di sungai, memancing ikan, mandi-manda, dan berperahu menyeberangi sungai. Dahulu ada perkampungan Cina di tepi sungai itu. Balai Polis Kerteh pula tidak jauh dari Sungai Kerteh. Namun saya sudah tidak mengenali lagi wajah Kerteh seperti 40 tahun dahulu. Saya sudah menjadi tetamu asing di Kerteh.
Di dalam hati saya bertanya, “Di mana sekolah rendah saya, sejak darjah satu hingga darjah lima?” Barangkali sudah didirikan bangunan tinggi di atas kawasan itu. Yang kelihatan deretan rumah kedai, dan rumah-rumah mewah tersergam indah sepanjang jalan di Kerteh. Pada saya, Kerteh, sudah tidak lagi sebuah kampung seperti 40 tahun lalu. Kerteh sudah menjadi sebuah bandar; Bandar Kerteh, dan muncul pula Bandar Baru Kerteh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan