Judul blog baharu aku ini MENJADI ASING. Kenapa judulnya MENJADI ASING? Tidak TERASING atau DIASINGKAN? Asalnya aku ingin namakan blog aku DI DALAM DIRI: Mencari Diri.Memaknakan Diri. Judul ini kelihatan lebih menarik dan mempunyai makna tersendiri. Namun, MENJADI ASING, asalnya sebuah puisi yang aku hasilkan setelah lebih 40 tahun meninggalkan kampung bernama Kerteh, di Kemaman, Terengganu - amat bermakna judul dan isi puisi itu. Aku fikir mahu kekalkan nama blog aku ini. Ya. Setelah blog azmirahman.esasterawan.net ditutup, aku mencari ruang lain untuk berkarya dan meluahkan fikir rasa aku. Maka, di ruang MENJADI ASING, aku terus melontarkan aksara bermakna.
MENJADI ASING - frasa yang mengungkapkan banyak makna kepada aku. Aku memikirkan bahawa aku sering menjadi asing; di Wakaf Bharu, Tumpat - tanah kelahiran aku, aku kini dan sudah sekian lama menjadi asing. Tiada siapa mengenali aku lagi. Di Tendong, Pasir Mas - bumi kelahiran ayah aku dan ibu aku menetap kini, pun menjadi asing kepada aku. Orang di situ tidak mengenali aku. Aku pulang ke Tendong, sekali sekala sahaja. Pulang menjenguk ibu aku yang sudah tua namun dia masih sihat walafiat.
Kalau aku kembali ke Bangi, tempat aku belajar sehingga aku memperolehi Sarjana Persuratan Melayu, aku lagilah menjadi asing. Para guru aku sudah tiada di situ. Mereka, ada yang sudah kembali ke rahmatullah, dan sudah bersara. Barangkali, yang masih tinggal di UKM Bangi adalah pelangi nostalgia 1980-an aku terutamanya semasa menyertai Grupemuisi UKM. Lagilah menjadi asing aku, kalau aku ke Manchester, tempat pernah aku belajar ilmu bahasa dan bahasa Inggeris di sana. Di situ, lagilah aku menjadi teramat asing.
Di kawasan perumahan aku kini, di Jitra - pun sama. Aku menjadi asing kerana masing-masing membawa diri dan sibuk dengan urusan sendiri. Jiran di kiri, di kanan, di depan dan di belakang rumah tiada waktu aku bersembang-sembang. Hanya ada ketikanya, aku bertembung di jalan taman. Hanya membunyikan hon kereta, angkat tangan dan memberi salam. Itu sahaja.
Di tempat kerja, sudah lebih 25 tahun aku menjadi cikgu di universiti, pun aku menjadi asing. Apabila warga kerja dan warga kampus semakin bertambah, aku menjadi asing. Orang lain pun barangkali sama - menjadi asing. Aku memikirkan juga tiada siapa pun pedulikan sesiapa kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya - menulis, mengajar, membuat penyelidikan, menghadiri seminar, berceramah, dan sebagainya. O, betapa sibuknya dunia cikgu di universiti. Pernah juga aku memikirkan bahawa apa yang dibuat itu hanya untuk pangkat, jawatan, dan gelaran yang memberikan ganjaran wang yang banyak.
Aku mencari dunia yang tidak lagi aku menjadi asing - sebuah ruang yang aku tenang, ramah mesra, manusia yang tidak ada kepentingan peribadi, manusia yang tidak terlalu sangat mengejar dunia yang bakal ditinggalkan ini, dan dunia yang dihuni manusia yang hormati menghormati sesama manusia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan