CATDEK 2
Iktibar khutbah Jumaat: Ceritanya tentang seorang doktor perempuan berbangsa India (bukan beragama Islam) berhenti kerja meskipun gajinya sudah melebihi RM80,000 sebulan. Apabila dia melihat ramai ibu/ bapa dibuang oleh anak-anak, tersentuh hatinya mahu membantu mereka. Dia menjadikan rumah mewahnya yang bernilai jutaan ringgit sebagai rumah kebajikan orang tua yang ditinggalkan atau dibuang oleh anak-anak atau keluarganya. Rumah itu didiami 30 orang; 28 orang adalah beragama Islam. Penghuni yang beragama Islam sering diberikan takzirah oleh ustaz atau ustazah yang dijemput ke rumah itu. Doktor itu memberitahu kepada ustaz (khatib khutbah Jumaat) bahawa dia sendiri mengusung seorang ibu tua yang sudah terlalu uzur ke bilik air dan membasuh najis ibu itu dengan tangannya. Betapa terkejutnya ustaz itu mendengar cerita doktor itu. Ustaz itu pula dalam khutbahnya bertanya, “Berapa ramai yang hadir solat Jumaat ini yang sanggup membasuh najis ibu atau bapanya yang uzur?” Cerita khatib lagi tentang seorang ibu di rumah jagaan itu, sering bertanya “Bilakah anak-anaknya akan datang menjenguknya?” Ibu itu mempunyai enam orang anak yang berjaya dalam hidupnya. Anak-anaknya telah membuang ibunya di rumah jagaan itu. Apabila si ibu bertanyakan tentang itu, si doktor itu berusaha menjejaki anak-anaknya. Si doktor itu dapat berhubung dengan seorang daripada anak-anak si ibu malang yang penuh berharap mahu berjumpa dengan anak-anaknya. Si anak itu menyatakan bahawa dia akan berjumpa dengan ibunya pada hari lahir ibunya. Betapa gembira si ibu apabila mendengar perkhabaran itu. Lalu si ibu selalulah melihat kalendar dan tanda hari-hari yang berlalu sehinggalah tiba hari lahirnya. Pada hari lahir si ibu, dia sudah bersiap sedia dengan pakaian cantik dan awal pagi selepas solat Subuh, dia sudah menunggu di pintu masuk rumah jagaan itu. Hari berlalu begitu pantas, si anak tidak juga menjelma dan si ibu tetap menanti sampailah malam. Apabila kawan-kawannya bertanya, “Bagaimana, anak datang ke?” Si ibu dengan senyum menyatakan bahawa anaknya sibuk, dan akan datang esok pagi meskipun si ibu tidak pasti si anak akan datang atau tidak. Si ibu tetap menunggu si anak. Pada hari yang berikut, setelah solat Subuh, si ibu dijemput Allah, kembali ke rahmatullah. Akhir khutbah, khatib menyatakan bahawa “Jika si ibu tidak reda atas perbuatan anak-anaknya, maka ke nerakalah si anak-anaknya.” Hanya Allah SWT Yang Maha Mengetahui dan Maha Mengatur perjalanan hidup setiap hamba-Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan