JELIRA*
Kalian di gelanggang merdeka.
Tahun bila-bila pun Malaysia; gelanggang merdeka di helaian musim tahun
berapakah? Segmen Melayu masih di petak kuasa demokrasi. Suara sumbang dari gunung; tongkat Melayu
mahu dipatahkan dan dialihkan ke petak keadilan. Melayu mahu dibebaskan dari
penjara fobia dan trauma antara silu kuasa dan silat wang. Sang demonstran
sesat bersorak-sorak – penjahanam bangsa katanya. Oh, dikejutkan halilintar
sedar bahawa Melayu itu Islam dan Melayu itu berbahasa dan beradat Melayu. Oh,
kalian menjadi pelupa bahawa bahasa Melayu dijelirkan lidah oleh Melayu. Masih
tinggal baju Melayu. Melayu sudah
menjadi 1Malaysia, kemudian Malaysia
Baharu. Kalian berasa jelira. Ah, ini gunung berapi bangsa, dan gempa bumi
negara! Sekian tahun Interlok
diam menjadi gunung berapi. Lava sejarah bangsa mengalir di bawah kawah fakta.
Geseran lapisan bangsa dan ideologi, bumi harmoni bergempa. Ah, jangan dibakar
api bangsa! Kalian kembali terduduk di kerusi sedar Melayu itu. Sedangkan
kalian menjadi pelupa kerana asyik mengira bidak-bidak di atas papan kuasa dan
harta. Siapa pun belum mentafsir. Meneka lava dan gunung berapi itu mahu
meletup. Maniam sahaja yang mahu
berdemonstrasi. Kata kau; sang sasterawan silap menjahit fakta lampau yang sudah
terputus benang sejarah keturunan. Ah, kebaikan adalah manisan untuk menarik
sang semut menghurungnya – akhirnya kalian pun terbuang dan mati di gelanggang
tumpah darah sendiri. Seman itu Melayu; pemuda yang kuat dan keras hati.
Menjadi semut Melayu memakan manisan, kemudian membenci kemiskinan dan
kebodohan. Ah, Cing Huat menaburkan manisan. Semut Melayu datang. Bidak kuasa
boleh membeli ekonomi atau ekonomi boleh meracuni kuasa? Maniam kuli di kebun
kelapa dan di kebun getah. Masing-masing menganyam daunan mimpi di mesra lidah
ibunda. Seman tidur di atas bantal kemiskinan. Daunan mimpi terbang ditiup
angin buta huruf. Cing Huat tidur di
atas bantal aksara duit dan frasa untung. Mimpi mahu menukarkan warna pelangi bukan lagi milik Syaitan Putih.
Maniam masih tidur di atas bantal kosong. Daunan getah kering yang berterbangan
di ruang diri rendah. Mimpi hanya untuk mewarnakan ruang kosong dengan sedikit
denyut nafas. Interlok versi 1Malaysia, pun Malaysia Baharu. Oh, Cing
Huat masih mahu bangkit – lena berbantalkan
petak-petak Malaysia – belum diisikan dengan wang. Seman – leka mengasap kemenyan; berasap
Melayu dan mencium keris yang diperlimau. Dalam khayal, petak-petak kuasa
dialihkan ke tangan syaitan. Menjual genggam kuasa untuk membeli tiket ekonomi.
Menjual tiket ekonomi, menggadai gelanggang kuasa! Seman, apa lagi yang kau miliki? “Ini sulat
tanah kebun, ini sulat tanah sawah, ini sulat tanah kampong.” (hal. 55) …ini
sulat hutang.” (hal. 56)…masa bodoh lu punya fasal (hal. 89).
Azmi Rahman, Jitra- UUM Sintok.
*Jelira bermaksud meresap ke seluruh tubuh badan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan