18 Julai 2017




KEBIASAAN

Di kedai makan; kebiasaannya selepas mendiamkan nafsu mempertemukan nafsu dengan kenikmatan, tukang kira menyelitkan sekeping kertas di bawah gelas. Hati bersuara - mahalnya seekor ikan kembung dan seekor keli bakar – sudah naik harga secawan teh o panas? Sudah naik harga sepinggan nasi? Berapa pula harga seketul ayam? Berapa pula harga sesudu sambal belacan? Ke kaunter – bayar juga tanpa persoalkan kenapa mahal.  Di pasar malam; kebiasaan rambutan dan mangga untuk dirasa – pasti manis. Durian yang dibungkus dengan plastik untuk pameran dan tarikan – isi kuning menawan.  Kebiasaannya sesiapa percaya – membelinya. Bila pulang, banyak durian yang isinya bukan kuning, dan busuk pula. Mangga dan rambutan pula masam. Malas mahu dikembalikan durian busuk itu. Mangga dan rambutan dibuang saja. Kebiasaannya si pembeli hanya marah-marah sendiri sahaja. Di kedai runcit; sekilo gula yang sudah siap dibungkus, bila ditimbang semula tidak cukup sekilo. Kebiasaannya kerana sedikit saja tidak cukup sekilo, malas hendak dipersoalkan. Di rumah politik; sang perebut takhta kebiasaannya memaniskan aksara sedang berdusta kepada roh. Dipakainya topeng kuasa. Kebiasaannya marhaen malas berperang dengan dusta – membiarkan dusta menjadi racun, membunuh sang pendusta. Kebiasaan membenarkan akal malas hendak dipersoalkan. Yang dipersoalkan adalah kebiasaan berdusta itu malas hendak dipersoalkan.


Sintok-Jitra




Tiada ulasan:

Catat Ulasan