16 Ogos 2015


PANTUN SEHATI SEJIWA
(Sempena Kemerdekaan Malaysia 2015)



Keris sempana jadi senjata,
Senjata digunakan pahlawan terbilang;
Sehati sejiwa seia sekata,
Sederap bergerak capai cemerlang.



Manis rasa buah sawa,
Masam rasa buah cermai;
Satu wangsa sehati sejiwa,
Hidup harmoni aman damai.



Berlari-lari anak angsa,
Setelah berlari, diberi makan;
Patriotisme pengukuh negara bangsa,
Demi negara perjuangan diteruskan.



Buah delima buah sawa,
Buah rambutan buah pulasan;
Kental ucapan sehati sejiwa,
Bergerak sama capai wawasan.



Manis rasa buah sawa,
Pahit rasa secawan kopi;
Terungkap kata sehati sejiwa,
Jangan sebantal, berbeza mimpi.



Pokok kelapa dibubuh baja,
Kelapa pandan tumbuh rendah;
Sehati sejiwa muafakat kerja,
Kerja dibuat menjadi mudah.


Air masam asam jawa,
Air manis sirap selasih;
Salam mesra sehati sejiwa,
Dirgahayu Malaysia penuh kasih.





Azmi Rahman
Sintok
16 Ogos 2015




Tiada ulasan:

Catat Ulasan