17 April 2016


TOPIK 9 KESUSASTERAAN SIBER (Nota Tambahan)

TEORI SASTERA SIBER: TERSEDIA RUANG UNTUK PEMBINAANNYA

Pelbagai teori sastera telah dibina oleh para sarjana dalam pelbagai bidang. Kita biasa dengan sama ada teori sastera klasik, misalnya teori formalistik, struktural, sosiologi sastera, stilistik, psikoanalisis, moral, estetika, fenimisme, fenemenologi, kata kunci, intertekstualiti, rasa, dan teori sastera yang bersifat tempatan, misalnya takmilah dan estetika tauhid. Teori-teori sastera ini didalami dan diaplikasikan terhadap data atau  karya sastera Melayu. Teori sastera yang diimport dari barat telah diubah suai oleh para sarjana tempatan. Teori-teori sastera yang sudah sekian lama dipelajari, jika diteliti adalah gabungan ilmu sastera dengan ilmu lain, misalnya sosiologi sastera adalah gabungan sosiologi dan sastera, stilistik; linguistik dan sastera, psikoanalisis; psokologi dan sastera, estetik; estetika dan sastera, dan moral dan agama pula adalah gabungan ilmu moral dan agama dan sastera. Kemudian pabila muncul teknologi, komputer dan Internet, di alam siber, sastera yang sudah sekian lama diadun dengan didekati dengan disiplin atau ilmu lain, memunculkan sastera siber. Justeru, sekian lama sastera siber wujud, para peneliti karya sastera siber memikirkan bahawa pembinaan sebuah teori sastera baru dinamakan teori sastera siber perlu diterokai. Untuk cetusan awal, kita terima pakai istilah itu dahulu sebelum terbinanya dengan kukuh sebuah teori sastera siber.
          Tulisan saya yang berjudul “Sajak Siber: Berbeza Dimensi Estetiknya” sekadar mengembangkan idea dan dasar ilmu sastera siber yang saya kutip daripada tulisan Drirwan. Saya mengutip idea Drirwan, misalnya konsep sastera siber, karya siber tulen, separa tulen dan primitif. Pada pengamatan saya, konsep-konsep sastera siber belum lagi digazetkan dalam glosari istilah kesusasteraan atau kamus Bahasa Melayu. Pada pandangan saya perlu dimasukkan segera entri e-sastera, e-sasterawan, sastera siber, sajak siber, cerpen siber, penyair siber, di bawah entri siber (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2015, hal. 1487). Begitu juga dengan e-sasterawan, blog, blogger, blogging dan memblog. Kita  masih menunggu untuk menatap entri atau kosa kata baru tentang  sastera siber dimasukkan dalam Kamus Dewan atau kamus berbahasa Melayu lain.
          Kemudian saya membaca dan meneliti tulisan Atui Dtabasan “Sebuah Teori Sastera Siber?”  Menarik cetusan idea Atui Dtabasan. Inti dan idea pembinaan suatu teori sastera siber hendaklah diusahakan dengan giat. Persoalannya dari mana boleh terhasilnya teori sastera siber? E-Sasteralah yang telah menyediakan ruang, memunculkan teori sastera siber. Hanya keterlibatan para sarjana sastera Melayu yang masih belum serius menyelami sastera siber, dan ada yang masih menolak atau belum menerima kehadiran sastera siber. Karyawan yang masih lagi selesa berkarya secara konvensional sukar berkawan dengan teknologi kerana terasa masih ketinggalan dan tidak boleh atau tidak mahu menguasai teknologi komputer.
          Pada pandangan saya, asas dan dasar teori sastera siber bertitik tolak dari teknologi dan komputer dan Internet. Melalui alatan canggih inilah, munculnya pelbagai produk siber yang kuat dibantu oleh software yang canggih dalam poenghasilan karya kreatif siber, misalnya sajak siber dengan dibantu alatan canggih, mudah mendapat tempat dan perhatian khalayak siber. Kita lihat di alam siber yang disediakan oleh e-Sastera.com (kini esastera2u.com) muncul sajak-sajak siber tulen yang dikomposisikan oleh penyair siber, misalnya penyair Curasimanjakini dengan sajaknya “Musim Cinta II” (19 Mei 2008), “Akulah Penyair Sichuan” (18 Mei 2008), “AK-41” dan (24 Mei 2008). Sebelum itu, khalayak siber diskrinkan dengan sajak “Puisi Sengsara” (16 Mei 2008) dengan versi flash. Contoh sajak lain ialah yang dikomposisikan oleh penyair Hasimah, iaitu “Niaga Perasaan” (22 Mei 2008).
          Sastera siber adalah sastera berteknologi tinggi. Selain itu, sastera siber adalah sastera yang penuh dengan warna-warni aksara, animasi, dan audio-video. Sastera siber bukan sekadar karya atau produk karyawan siber untuk dilihat, malahan didengar, dan dihayati alunan audio-estetik video yang menyentuh jiwa khalayak siber.
          Saya juga mengesan proses kreatif karyawan siber bagi karya siber berbeza daripada proses kreatif karyawan konvensional. Karya konvensional bermula dari idea, dikembangkan di atas kertas, kemudian dicetak, dan dibaca pembaca. Kita dapati karya dan karyawan tidak berinteraksi dengan khalayak secara pantas dan spontan. Namun, karyawan siber, kreativitinya menjangkau jauh. Idea karya dikembangkan di atas skrin komputer, dikomposisikan dengan pelbagai unsur multimedia, iaitu teks, warna, audio-video, animasi, interaktiviti dan tautan (link). Karya siber itu dinikmati dengan indera mata, dan telinga. Segala unsur dalam karya siber meskipun jika sekadar kosmetik estetik, dapat mengusik jiwa. Mungkin sastera siber nanti, misalnya genre sajak, aksara di skrin boleh disentuh untuk menghasilkan pelbagai pergerakan, pelbagai warna, dan audio-video. Segalanya terletak di tangan dan di minda karyawan siber dalam menghasilkan pelbagai karya siber tulen yang dapat  dinikmati oleh khalayak siber.
          Dalam seminar atau bengkel  sastera siber  yang diadakan boleh menjadi medan untuk membina, mencari teori sastera siber, dan meneliti karya siber dalam pelbagai genre. Selain itu, karyawan siber memikirkan dengan alatan bantu dan software yang dihasilkan, memungkinkan pelbagai karya siber yang kreatif yang mampu menggugah minda khalayak siber.

Azmi Rahman
TAMAN PANCAINDERA
http://mohazrahman.blogspot.com




TOPIK 4 (IV) GURINDAM
MENGHAYATI “GURINDAM DUA BELAS,” MEMBENIH ILHAM MENGARANG “GURINDAM 99 NAMA ALLAH”
Puisi merupakan suatu pengucapan dalam susunan yang istimewa yang dimanifestasikan dalam bentuk lisan, tulisan, dan elektronik selari dengan perkembangan teknologi terkini.  Puisi Melayu tradisional adalah sebahagian daripada puisi tradisional Nusantara yang mempunyai bentuk, isi, dan fungsi tersendiri. Genre puisi Melayu tradisional masih belum dapat dikonkritkan dengan jelas. Persoalan genre puisi Melayu tradisional masih diperdebat dalam kalangan sarjana. Namun begitu, dalam 34 senarai genre puisi Melayu tradisional, gurindam merupakan satu daripada puisi yang dinyatakan itu (Harun Mat Piah, 1989).
Gurindam sudah dikenali sejak zaman Hindu lagi. Istilah gurindam dikatakan berasal daripada bahasa Tamil, kirandam yang bermaksud perumpamaan. Za’ba (dalam Aripin Said, 1994) menyatakan bahawa gurindam adalah sejenis syair  yang tidak teratur rangkap-rangkap, dan suku katanya tidak tetap. Gurindam dikatakan sebagai sejenis puisi lama sama ada berbentuk terikat atau tidak terikat. Gurindam yang berbentuk terikat terbentuk oleh dua baris serangkap dengan a,a rima hujung baris. Bahasa gurindam pula bernas dan serius. Manakala isi gurindam mengandungi nasihat, didaktik, dan pengajaran moral (Safian Hussain, et al. 1988).
Jika diteliti, pelbagai pendapat tentang gurindam dikemukakan. Namun model gurindam yang dijadikan panduan bagi penciptaan dan penggubahan “Gurindam 99 Nama Allah” adalah “Gurindam Dua Belas” karya Raja Ali Haji. Istilah gurindam sebagai suatu istilah yang diterima umum adalah berdasarkan “Gurindam Dua Belas” karya Raja Ali Haji yang dikarang sekitar tahun 1846 (Harun Mat Piah, 1989). Menurut Raja Ali Haji, gurindam gurindam terbentuk  dua baris yang sejajar atau berpasangan ; baris pertama dianggap syarat (protasis), dan baris kedua sebagai jawab (apodosis).Antara ciri-ciri khusus gurindam, adalah: a. bentuknya bebas, dan tidak terikat dari segi rangkap atau tidak, b. bentuk yang terikat dengan mengambil kira model “Gurindam Dua Belas” yang berskema rima sama hujung baris, c. mempunyai ciri-ciri puisi tradisional, misalnya rima antara baris-baris sejajar atau terdapat unsur  aliterasi atau asonansi dalam setiap baris, d. isi gurindam terungkap hal  yang benar, serius atau perasaan yang berat, d. fungsi gurindam bukan dalam maksud bercerita seperti dalam prosa, seloka, mantera, dan teka-teki (Harun Mat Piah, 1989).
Semasa mengambil subjek kesusasteraan Melayu di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan (STP), saya membaca “Gurindam Dua Belas” karya Raja Ali Haji. Kemudian, semasa mengikuti kursus sastera tradisional Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), saya pernah mendalami dan mengkaji gurindam sebagai satu daripada genre puisi Melayu tradisional.  Kemudian apabila saya mengajar subjek kesusasteraan Melayu sebagai kursus minor Bahasa Melayu di Universiti Utara Malaysia,  “Gurindam Dua Belas” menjadi antara bahan kajian pelajar dari aspek bahasa dan pemikiran.  Saya kagum dengan isi dan bahasa gurindam itu apabila mengkaji setiap fasa atau fasa demi fasa; Fasa yang pertama  hingga fasa yang kedua belas. Seterusnya apabila saya bersama dengan eSastera sebagai medan sastera siber yang membuka, dan memberi ruang untuk pelbagai genre karya sastera siber, saya mengarang dan menggubah gurindam siber di komuniti/ seksyen puisi Melayu tradisional.
Kembara sastera siber saya berterusan. Saya menyimpan semangat dan azam dalam hati mahu mengarang gurindam panjang yang terilham daripada “Gurindam Dua Belas.” Saya memikirkan subjek untuk gurindam siber yang paling hampir dalam diri saya adalah 99 nama Allah SWT.  Saya memikirkan banyak nama Allah SWT yang sekian lama saya jadikan amalan. Sejak sekolah menengah atas, pernah ustaz yang mengajar subjek sejarah Islam, ustaz Abdullah Al-Qari (2012) berpesan kepada anak-anak muridnya bacalah dengan yakin nama Allah, Ya Nur supaya Allah memberi  ingatan yang kuat, dan tidak mudah lupa kerana Allah Yang Maha Bercahaya.  Nama-nama Allah SWT yang memang sebati menjadi amalan saya, antaranya  adalah Ya Allah, Ya Rahman, Ya Awwal, Ya Rahim, Ya Waliy, Ya Sobur, Ya Musawwir, Ya Razzaq, Ya Mutakabbir, Ya Salam, Ya Karim, Ya Raqib, dan Ya Muhyi. Setiap nama Allah SWT ini ada fadilat tersendiri. Hanya Allah SWT Yang Maha Mengetahui. Seterusnya, saya masih menghayati, dan menyelami rahsia 99 nama Allah SWT yang tidak terjangkau akal manusia. Allah berfirman, bermaksud; “Allah SWT memiliki nama-nama yang indah, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyeru nama-Nya itu.” (Surah al-A’raf: ayat 180). 
Benarlah pernyataan bahawa Asma’al Husna merupakan nama-nama Allah Yang Maha Indah yang hanya milik Allah SWT. Nama-nama Allah bukan sekadar nama tetapi mempunyai khasiat atau fadilat yang menjadi amalan (Akmal Muhammad Zain, 2010). Saya masih lagi mentelaah buku-buku baru tentang Asma’ al Husna; misalnya selepas selesai mengarang “Gurindam 99 Nama Allah” saya  mentelaah pula buku kajian oleh Akmal Muhammad Zain (2010), Adil Akhya (2010),  Mohd Fauzi Hamat & Mohd Hasrul Shuhari (2011), dan Hassan Mia (2012). Insya-Allah “Gurindam 99 Nama Allah” kehadiran yang asalnya dalam bentuk siber, dijelmakan pula dalam bentuk cetak, menyegarkan, dan menyemarakkan khazanah genre puisi Melayu tradisional.

Azmi Rahman
UUM Sintok.

Rujukan
Ab. Rahman Ab. Rashid, Harun Jaafar, Mohd. Rosli Saludin & Talib Samat. (2003). Kamus teras sastera. Petaling Jaya: Pearson Malaysia Sdn. Bhd.
Abdullah Al-Qari B. Hj. Salleh (‘A.Q.HA.S). (2012). Atasi sakit anda dengan 63 penyembuhan sampingan. Batu Caves: Al-Hidayah Publication.
Arifin Nur. (1971). Kesusasteraan lama Melayu. Kota Bharu: Pustaka Aman Press.
Arifin Said. (1994). Puisi warisan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Harun Mat Piah. (1989). Puisi Melayu tradisional: Satu pembicaraan genre dan fungsi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus dewan edisi keempat. (2005). Kuala Lumpur: Dewana Bahasa dan Pustaka.
Rahman Shaari. (2001). Bimbingan istilah sastera. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Safian Hussain, Mohd Thani Ahmad, Zakaria Ariffin, Ahmad Kamal Abdullah & Suhaimi Hj. Muhamad. (1988). Glosari istilah kesusasteraan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rujukan tambahan Asma’ al Husna
Adil Akhya. (2010). Kuasa ajaib Asma Husna. Johor Bharu: Pustaka Azhar.
Akmal Muhammad Zain. (2010). Zikir Asma’al Husna & fadhilahnya. Cetakan keempat. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publications.
Hassan Mia. (2012). Zikir Asma ul Husna: 99 nama Allah cahaya penawar, pelindung & pencapai hasrat keperluan harian. Cetakan keenam. Kuala Lumpur: Darul Nu’man.
Mohd Fauzi Hamat & Mohd Hasrul Shuhari. (2011). Asma’ al husna dan modal insan. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.



6 April 2016




SLAID 4 MIDAS

1.  Blog saya E-Sasterawan.Net sebelum blog TAMAN PANCAINDERA sudah dilawati lebih 180,000 pengunjung. Blog ilmu, sastera dan interaksi.
2.  Konsep UNIVERSITI DI MANA-MANA dan DI MANA-MANA UNIVERSITI terlaksana; interaksi maya.
Sekian, terima kasih.

Azmi Rahman
Sintok
April 2016

SLAID 3 MIDAS 

Kelebihan dan Cadangan Penggunaan Blog PdP:

1.  Praktikal kerana pelajar sudah mesra dengan teknologi media baharu dan alatan komunikasi canggih terutamanya telefon pintar yang dibawa ke mana-mana.
2.  Blog PdP dilinkkan dengan UUM Online Learning. Blog yang dimaksudkan bukanlah blog sifatnya peribadi tetapi blog untuk sebarkan ilmu.
3.  Pelajar lebih selesa dan memudahkan mereka dalam PdP di kelas maya. Respons pelajar dengan memberi skor markah 100%) dalam Ecevas (TG151, KH141, KH143, A131, A142 (99.59), A151 (98.80)







SLAID 2 MIDAS
KAEDAH BLOG PdP
 2.1 Bahan-bahan dimasukkan di blog mengikut topik  dari semasa ke  semasa termasuk juga senarai rujukan, laman web yang boleh dilawati dan soalan ulangkaji.
2.2 PANDUAN TERARAH UNTUK PELAJAR diedarkan                       kepada pelajar (lihat edaran)
2.3 Pelajar mentelaah lebih awal pada bila-bila masa dan di               mana-mana berada.
2.4 Pelajar ke kuliah hanya membawa telefon pintar dan ke blog merujuk topik yang ditetapkan atau mahu   dibincangkan.
2.5  Contoh-contoh berkenaan topik dipaparkan di blog,                      misalnya pantun, dikir, gurindam, syair, puisi siber dan entri blog.







SLAID 1

MINDA DI ALAM SIBER (MIDAS)
SLAID 1 MIDAS

MUKADIMAH
1.  Dinamakan Blog PdP
2.  Bahan PdP terhimpun di blog bernama TAMAN PANCAINDERA untuk:
2.1      Kursus SBLM2033 Kesusasteraan Melayu (A152)
2.2      Kursus Penulisan : ilmiah, kreatif (pelbagai genre) dan           popular
2.3      Kursus Bahasa dan Pemikiran Kesusasteraan (peringkat Sarjana)
2.4      Interaksi ilmu dengan warga dunia di alam siber











ENTRI (2) 7 APRIL 2016

TAHU, PANDAI, BIJAK DAN GENIUS

Empat kata ini berbeza makna. Makna kata ini saya mahu kaitkan dengan gelagat anak-anak dan pelajar di universiti. Ramai yang tahu macam-macam apatah lagi yang berkaitan teknologi. Tanyalah anak-anak sekarang yang berumur semuda tiga tahun tentang permainan (game) dalam komputer atau telefon pintar. Cekap mereka bermain dan tahu pula cara mengoperasikan telefon dan permainan itu. Cekap juga mereka membuka laman web di Internet. Pernah kawan saya bercerita anaknya berusia tiga tahun menonton youtube melalui telefon pintarnya, sampai bil RM200.00. Anak-anak itu tahu tentang itu. Ada kes kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun melahirkan anak. Kanak-kanak itu tahu untuk “bersama” dengan lelaki berdasarkan apa yang ditonton dan dibaca di Internet. Namun, kanak-kanak itu tidak pandai menguruskan diri sebagai ibu dan rumah tangga. Apatah lagi mereka tidak bijak lantaran membuat keputusan untuk melakukan perbuatan terkutuk itu. Mereka fikir untuk seronok sahaja, kemudian lepas tangan. Proses membina diri adalah proses seseorang itu tahu, pandai, dan bijak dalam segenap segi. Genius adalah kebolehan luar biasa seseorang dalam akademik atau sesuatu ilmu, misalnya matematik. Pernah negara digemparkan dengan kegeniusan Adi Putera, Sofea, dan Amalina. Namun, perkembangan terkini manusia genius Melayu ini, kita pun tidak tahu. Pernah saya bertemu seorang anak murid saya di UUM, anak perempuannya yang berumur 4 tahun sudah pandai membaca surat khabar dan buku cerita dengan lancar. Anaknya tidak seronok berada di tadika kerana jemu. Apa yang diajar oleh guru di tadika, anaknya sudah tahu. Anak murid saya itu mahu anaknya membesar mengikut nature  seorang kanak-kanak; bermain-main, mengaji al-Quran dan banyak masa bersama keluarga. Dalam kes pelajar universiti pun sama. Yang tahu pelbagai maklumat memang ramai. Macam-macam infomasi mereka tahu daripada Internet; dengan IG, blog, whatsapp, youtube, twitter, dan facebook. Bagaimana mereka hendak menggunakan segala maklumat itu, perlukan kepandaian dan kebijaksanaan dalam penulisan ilmiah terutamanya dan perbincangan ilmu. Yang kurang juga mereka kurang membaca bahan ilmiah daripada sumber primer dan berwibawa. Yang kurang juga mereka sudah tidak tahu hal-hal alamiah; tentang pokok, berenang-renang di sungai, melastik burung, memanjat pokok, membina pondok, menangkap ikan di sawah, berlaga ikan, menanam pokok serai, kunyit, halia, lengkuas, pandan, cabai, terung, kacang panjang, mengenali pelbagai jenis ikan darat; sepat, puyu, keli, haruan, belut, lampam, dan macam-macam lain.    

Azmi Rahman