29 April 2015


SERAMAI 216,048 (56%) GRADUAN UNIVERSITI MENGANGGUR DARIPADA 385,800 PENGANGGUR DI MALAYSIA. APAKAH PUNCA & MASALAHNYA?
Berpelajaran tetapi tiada jawatan kosong dan pekerjaan. Itulah ungkapan yang sesuai dengan nasib para graduan yang keluar berpuluh ribu saban tahun. Yang mana pencapaian agak serdahana, keluar sahaja tempoh pengajian selama lebih 3 tahun dan ke atas contohnya, keluar-keluar sahaja sudah memikul hutang sekurang RM15,000 dan ke atas berdasarkan kos di tempat pengajian masing-masing yang mereka pernah turunkan tandatangan akur janji sebelum ini.
Malangnya, “mimpi indah” yang diharapkan kalangan anak muda dan graduan universiti bagi mengisi jawatan kosong secepat mungkin, sebenarnya tidak semudah yang mereka sangkakan.
Punca Graduan Universiti Susah Isi Jawatan Kosong Sekarang?
Walaubagaimanapun, hasil kajian yang dihasilkan oleh Jobstreet menunjukkan terdapat beberapa faktor menyebabkan ramai graduan universiti yang masih menganggur. Antara puncanya ialah :
1.      Masalah penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah : 56%
2.      Masalah sikap dalam diri yang teruk : 37%
3.      Mengharapkan gaji yang tidak realistik : 33%
4.      Kemahiran yang ada tidak berpadanan dengan kehendak pasaran : 30%
5.      Terlalu memilih kerja dan syarikat : 28%
6.      Tiada kemahiran menyelesaikan masalah : 26%
7.      Tahap pengetahuan yang lemah : 24%
Sedangkan majikan hari ini melihat dan menilai calon-calon yang dapat memenuhi kriteria seperti di bawah ini berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Manpower Inc. pada tahun 2008, antara lainnya ialah :
1.      Ada intergriti dan jujur
2.      Mampu memberikan hasil kerja dan kualiti perkhidmatan yang terbaik
3.      Berkebolehan berkomunikasi dengan efektif
4.      Dapat memastikan kepuasan pelanggan syarikat ditahap yang terbaik
5.      Memiliki motivasi yang tinggi
6.      Mampu melakukan kerja dan tugasan yang diberikan tanpa terlalu bergantung harap dengan orang lain
Punca Graduan Universiti Tidak Capai Kehendak Pasaran Pekerjaan & Jawatan Kosong di Malaysia?
Melihatkan kepada faktor masalah graduan universiti menganggur yang semakin bertambah saban tahun ditambah dengan kehendak majikan hari ini, terdapat masalah yang terus bernanah yang masih belum mampu dirawati sehingga ke hari ini kepada kalangan anak muda. Semuanya apabila Berita Semasa melihat kepada laporan International Student Assessment (PISA) yang menilai kepada kemahiran dan kekreatifan menyelesaikan sesuatu masalah pada tahun 2012 yang meletakkan :
·         Malaysia di tangga ke 39 daripada 44 negara
·         Anak muda di Malaysia dilihat tidak disediakan persekitaran yang kondusif dan juga tidak dilatih kemahiran yang benar-benar diperlukan di tempat kerja kelak
·         Daripada 100 anak muda di Malaysia, hanya 1 orang sahaja yang mampu menyelesaikan masalah yang paling kompleks berbanding 1 daripada 5 anak muda dari Singapore. Jepun dan juga Korea Selatan
Malah Kementerian Pengajian Tinggi sebelum ini telah mengariskan beberapa masalah yang perlu diselesaikan segera bagi meningkat tahap mutu pendidikan di Malaysia antaranya : 50% daripada pengajaran hanya memfokuskan kepada pemahaman kandungan yang agak minimum berbanding mengalakkan anak murid berfikir secara kritis
Dan Berita Semasa ambil contoh dalam industri ICT, hasilnya amat menyedihkan merujuk kepada kajian yang dilakukan oleh PIKOM dan juta Portal Jobstreet pada Jun 2014 mendedahkan berlakunya jurang gaji dan pendapatan yang besar melibatkan profesional ICT di Malaysia berbanding negara-negara lain seperti China, Hong Kong, Vietnam, Singapura, Thailand.
Hakikatnya, profesional Malaysia dibayar pada gaji dan pendapatan yang rendah dibandingkan negara-negara Asia Pasifik yang lain pada paras antara 10% – 30% lebih rendah berbanding negara-negara jiran serantau kita.
Dalam hal ini, apa pendapat anda dan bagaimana jalan penyelesaian masalah ini?



28 April 2015


 CINTA SI TUKANG KASUT

Suatu petang, saya ke suatu sudut di luar pasar raya berjumpa kawan lama, seorang tukang kasut. Lama saya tidak berjumpa dan bersembang-sembang dengannya. Selalu saya mengajaknya minum di warung berdekatan. Kami bersembang-sembang tentang macam-macam. Saya juga bertanya tentang seorang puterinya hasil perkahwinan selama 14 tahun dengan bekas isterinya. Anaknya dijaga oleh bekas isterinya. Namun, dia ingin dapatkan semula kerana tidak mahu anaknya dijaga oleh nenek bekas isterinya.
         
Tragedi yang menimpa dirinya menyebabkan bekas isterinya memohon dia dilepaskan. Selama hampir setahun dia merengkuk dalam penjara atas kesalahan kes jenayah. Terlalu negatif pandangan bekas isterinya dan keluarga bekas isterinya terhadap manusia bergelar banduan. Sebagai lelaki/ suami, dia terima hakikat itu. Itu suatu lumrah hidup.
         
Dia ada prinsip sebagai seorang lelaki. Dia tidak ego. Katanya, “Jika orang tidak suka saya, apakan daya. Lepaskan saja. Dia ada pilihan baru yang lebih baik daripada saya. Itu pilihannya dan setakat itu jodoh kami. Saya tidak mahu mengada-ngada kembali kepadanya. Saya tidak mahu mengungkit tentang diri saya atau dia yang lepas-lepas. Hanya saya terkilan, inilah balasan yang saya terima, kesusahan saya bekerja sebagai tukang kasut selama lebih 14 tahun. Ini yang saya mampu lakukan. Tuhan Maha Adil dan Maha Mengetahui.”
         
Dia setia dan tekun dengan kerjayanya sebagai tukang kasut. Dia tidak akan beralih kerjaya yang lain. Apa-apapun pandangan orang sekeliling terhadap diri sebagai bekas banduan, dia terima dengan reda. Dia ingin melupakan tragedi lalu, dan kembali ke pangkuan masyarakat.
         
Kini dia sudah menemui cinta barunya, seorang pelajar tahun akhir di kampus Sintok. Tanya saya, “Hang serius ke dengan pelajar itu? Dia tahu latar belakang hang dan boleh terima?” Jelasnya, “Setakat ini ok. Saya dah jumpa keluarga perempuan itu. Kalau depa terima, terimalah. Saya tak kisah. Ada jodoh, saya kahwin dengannya.” Dengan tenang saya berkata, “Inilah dikatakan bahawa cinta itu buta. Dan pencinta pula tidak teraba-raba mencari titik keindahan cinta.” Selamat!





BERPANTUN PULA ...


JOM KITA BERPANTUN

Pantun merupakan genre puisi Melayu tradisional milik orang Melayu. Pantun muncul dalam tamadun Melayu secara lisan, kemudian berkembang dan diwarisi dari zaman berzaman. Pantun mempunyai pelbagai bentuk fizikal, bermuzikal dalam kata-kata dan baris-barisnya, dan fungsinya dalam masyarakat Melayu tradisional sebagai alat pengajaran/ teladan moral, nasihat dan hiburan/ meredakan tekanan perasaan.

Pantun berikut saya cipta tentang bangsa, bahasa, budaya, sastera, dan pemikiran Melayu. Saya rasa terpanggil sebagai anak Melayu untuk menggarap tentang dunia Melayu. Kemudian, saya coretkan pula pantun berkait tentang tahun Hijrah 1430; itulah tahun kita yang penuh makna. Tahun bermula hijrah diri dan hijrah iman.

(1) Pantun Fikir Rasa Melayu

Bertiup bayu arah tertuju,
Melanda hebat takkan rebah;
Bangsa Melayu hendaklah bersatu,
Tanda kuat pertahan maruah.

Rasa bayu mesra kata,
Rasa berada masa bertepi;
Bahasa Melayu bahasa kita,
Bahasa ibunda bahasa mimpi.

Sutera ungu cerah di mata,
Pintal kukuh anggun diadun;
Sastera Melayu khazanah bangsa,
Kekal utuh membangun tamadun.

Buah berguguran tali temali,
Ukir sauh hala jalan mara;
Usah berfikiran diri sendiri,
Fikir jauh masa depan negara.

(2)   Pantun Berkait Semangat Hijrah

Pohon ru rapat malam,
Suara deruan kuat terjah;
Tahun baru umat Islam,
Kita rayakan semangat hijrah.

Suara deruan kuat terjah,
Membelah laluan tahan sisi;
Kita rayakan semangat hijrah,
Hijrah iman kukuhkan diri.


Membelah laluan tahan sisi,
Perlahan malam makin dekat;
Hijrah iman kukuhkan diri,
Persaudaraan Islam makin rapat.

Perlahan malam makin dekat,
Resah lumat diamkan cinta;
Persaudaraan Islam makin rapat,
Hijrah umat amankan dunia.

Resah lumat diamkan cinta,
Hangat cinta kelam sunyi;
Hijrah umat amankan dunia,
Semangat bersama dalam diri.

Hangat cinta kelam sunyi,
Pasrah akur tiada kalah;
Semangat bersama dalam diri,
Hijrah syukur kepada Allah.

Nota:
Saudara pun boleh berpantun tentang Melayu dan semangat hijrah 1430. Tahun Hijrah adalah milik kita sebagai hamba Allah. Jom kita berpantun. Coretkan serangkap pantun karya saudara di ruangan komen. Terima kasih.

Salam ilmu.

 AzmiRahman
Kota Bharu-Sintok






27 April 2015

KERTEH DALAM NOSTALGIA BERMAKNA ...


KERTEH, SETELAH LEBIH EMPAT  DEKAD DITINGGALKAN …
Setelah menulis nostalgia  Kerteh (1) dan (2), saya memikirkan entah bila pula akan saya tulis tentang Kerteh dalam siri seterusnya. Di dalam diri, Kerteh kuat melekat dalam ingatan kerana zaman-zaman kanak-kanak, zaman kanak-kanak tanpa pendidikan formal/tadika, sekolah rendah yang beratap nipah, berdinding kayu dan berlantaikan tanah - berdekatan laut pula.
Setiap bulan sepanjang 2013, saya ke UniSZA, Kuala Terengganu mengajar pelajar Program Pengsiswazahan Guru Sekolah Rendah (PPGSR). Kekangan masa, tiada waktu untuk saya ke Kerteh. Hanya pada 31 Januari 2014 (Khamis), saya dan isteri, Nor berangkat dari Jitra ke Kuala Terengganu – melalui Lebuh Raya Timur-Barat - melintasi jalan pantai ke Kuala Terangganu – luas pantai saujana mata memandang. Selalu kami singgah di Mengabang Tengah, membeli keropok lekor yang baharu direbus dan yang digoreng panas-panas. Menikmati keropok lekor di sini, terasa enaknya kerana banyak isi ikan. Tidak seperti keropok lekor di tempat lain (di luar Terengganu), tidak terasa ikan kerana tepung/ kanji dicampurkan lebih. Kemudian kami bermalam di Batu Buruk Beach Resort. Di sini kami selalu bermalam jika di Kuala Terengganu – suasana pantai yang nyaman, riuh rendah pengunjung, dan gelagat pengunjung menaiki kereta kuda di pantai. Apabila malam, suasana lagilah meriah. Ada ketikanya kami bersiar-siar di tepi pantai menikmati angin segar pantai. Pada siangnya, kadangkala kami singgah ke Pasar Payang – membeli keropok keping.
Pagi 1  Februari 2014 (Jumaat), kami bertolak dari Kuala Terengganu menuju ke Bukit Mentuk, Kemaman – menghadiri kenduri kahwin anak saudara, nama Mizi di Taman Perumahan Bukit Mentuk, Kemaman. Kawasan ini dilanda banjir besar – tenggelam seluruh kawasan perumahan.
Kami bertolak jam 9 pagi dari Batu Buruk Beach Resort dan sempat bersolat Jumaat di sebuah masjid di Bandar Kemaman. Kami tiba di rumah adik perempuan saya lebih kurang jam 4 petang. Tiba di kawasan perumahan itu, saya dapati banyak rumah yang rosak dan ditinggalkan kosong.  Dahsyat juga banjir melanda di kawasan yang bernama “Bukit” Mentuk.
Dalam perjalanan ke Bukit Mentuk, Kemaman – kami melalui Kerteh – tertera Bandar Baru Kerteh. Kerteh – terbayang wajahnya ketika sebuah perkampungan nelayan yang terpencil dan mundur. Namun wajah terpencil dan kekampungannya sudah berubah setelah ditemui hasil petroleum di dasar laut Kerteh.
Hanya yang saya perasan ialah Sungai Kerteh – nostalgia saya dan kawan-kawan sebaya berenang-renang di sungai, memancing ikan, mandi-manda, dan berperahu menyeberangi sungai. Dahulu ada perkampungan Cina di tepi sungai itu. Balai Polis Kerteh pula tidak jauh dari Sungai Kerteh. Namun saya sudah tidak mengenali lagi wajah Kerteh seperti 40 tahun dahulu. Saya sudah menjadi tetamu asing di Kerteh.
Di dalam hati saya bertanya, “Di mana sekolah rendah saya, sejak darjah satu hingga darjah lima?” Barangkali sudah didirikan bangunan tinggi di atas kawasan itu.  Yang kelihatan deretan rumah kedai, dan rumah-rumah mewah tersergam indah sepanjang jalan di Kerteh.  Pada saya, Kerteh, sudah tidak lagi sebuah kampung seperti 40 tahun lalu. Kerteh sudah menjadi sebuah bandar; Bandar  Kerteh, dan muncul pula Bandar Baru Kerteh.  

26 April 2015

KENAPA MENJADI ASING?

Judul blog baharu aku ini MENJADI ASING. Kenapa judulnya MENJADI ASING? Tidak TERASING atau DIASINGKAN? Asalnya aku ingin namakan blog aku DI DALAM DIRI: Mencari Diri.Memaknakan Diri. Judul ini kelihatan lebih menarik dan mempunyai makna tersendiri. Namun, MENJADI ASING, asalnya sebuah puisi yang aku hasilkan setelah lebih 40 tahun meninggalkan kampung bernama Kerteh, di Kemaman, Terengganu - amat bermakna judul dan isi puisi itu. Aku fikir mahu kekalkan nama blog aku ini. Ya. Setelah blog azmirahman.esasterawan.net ditutup, aku mencari ruang lain untuk berkarya dan meluahkan fikir rasa aku. Maka, di ruang MENJADI ASING, aku terus melontarkan aksara bermakna.
MENJADI ASING - frasa yang mengungkapkan banyak makna kepada aku. Aku memikirkan bahawa aku sering menjadi asing; di Wakaf Bharu, Tumpat - tanah kelahiran aku, aku kini dan sudah sekian lama menjadi asing. Tiada siapa mengenali aku lagi. Di Tendong, Pasir Mas - bumi kelahiran ayah aku dan ibu aku menetap kini, pun menjadi asing kepada aku. Orang di situ tidak mengenali aku. Aku pulang ke Tendong, sekali sekala sahaja. Pulang menjenguk ibu aku yang sudah tua namun dia masih sihat walafiat.
Kalau aku kembali ke Bangi, tempat aku belajar sehingga aku memperolehi Sarjana Persuratan Melayu, aku lagilah menjadi asing. Para guru aku sudah tiada di situ. Mereka, ada yang sudah kembali ke rahmatullah, dan sudah bersara. Barangkali, yang masih tinggal di UKM Bangi adalah pelangi nostalgia 1980-an aku terutamanya semasa menyertai Grupemuisi UKM. Lagilah menjadi asing aku, kalau aku ke Manchester, tempat pernah aku belajar ilmu bahasa dan bahasa Inggeris di sana. Di situ, lagilah aku menjadi teramat asing.
Di kawasan perumahan aku kini, di Jitra - pun sama. Aku menjadi asing kerana masing-masing membawa diri dan sibuk dengan urusan sendiri. Jiran di kiri, di kanan, di depan dan di belakang rumah tiada waktu aku bersembang-sembang. Hanya ada ketikanya, aku bertembung di jalan taman. Hanya membunyikan hon kereta, angkat tangan dan memberi salam. Itu sahaja.
Di tempat kerja, sudah lebih 25 tahun aku menjadi cikgu di universiti, pun aku menjadi asing. Apabila warga kerja dan warga kampus semakin bertambah, aku menjadi asing. Orang lain pun barangkali sama - menjadi asing. Aku memikirkan juga tiada siapa pun pedulikan sesiapa kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya - menulis, mengajar, membuat penyelidikan, menghadiri seminar, berceramah, dan sebagainya. O, betapa sibuknya dunia cikgu di universiti. Pernah juga aku memikirkan bahawa apa yang dibuat itu hanya untuk pangkat, jawatan, dan gelaran yang memberikan ganjaran wang yang banyak.
Aku mencari dunia yang tidak lagi aku menjadi asing - sebuah ruang yang aku tenang, ramah mesra, manusia yang tidak ada kepentingan peribadi, manusia yang tidak terlalu sangat mengejar dunia yang bakal ditinggalkan ini, dan dunia yang dihuni manusia yang hormati menghormati sesama manusia.



3 April 2015

SATUNMANSA DI TAMAN HARMONI

*SATUNMANSA DI TAMAN HARMONI
Di taman harmoni
bunga-bunga segar mengharum
wanginya semerbak mengalir di ruang watan
kita menghidu kita menghembuskan
udara yang sama.
Di taman harmoni
tumbuh teguh pohon kedamaian
tanah subur yang dibajakan
disirami air cinta mengakar mimpi pelangi.
Luka sedikit tidaklah terasa,
Disapu setitik minyak gamat;
Harmoni hidup pelbagai bangsa;
Aman damai adalah nikmat.
Kain diletak di atas pepara,
Mahu dijemur sebab basah;
Jangan timbulkan huru-hara,
Kelak semua hadapi susah.
Buah manggis di dalam guni,
Diangkut orang dengan kereta;
Kita rakyat hidup harmoni,
Di sinilah lahir sebuah cinta.
Hei, lihatlah sang kumbang yang terbang
mahu menghisap madu bunga-bunga di taman harmoni
kita bunuh kita buang sang kumbang itu
madu adalah milik kita.

Hei, lihatlah sang helang dari negeri hitam
mahu membinasakan taman harmoni kita
kita halang kita tentang
taman ini adalah milik kita.

Serumpun bagai serai
seliang bagai tebu
hidup subur serai dan tebu di taman harmoni
samalah juga seikat bagai sirih
serangkap bak lembing
di taman harmoni, warna bunga berbeza
wanginya tidak sama
kita hayati dalam satu nafas
benarlah seiring bertukar jalan
sekandang tidak sebau
seia bertukar sebut
di taman harmoni adalah milik kita
jangan kita bagai enau dalam belukar
melepaskan pucuk masing-masing
jangan kita beraja di mata, bersultan di hati
jangan biarkan bunga-bunga milik kita layu di taman
wanginya hilang dibawa pawana.

Azmi Rahman
Jitra –Sintok
Mac 2015
*SATUNMANSA – akronim untuk SAJAK + PANTUN + MANTERA + PERIBAHASA

2 April 2015

MENJADI ASING
Kerteh; setelah 40 tahun, aku kembali ke dadamu, ke jantungmu, ke saraf hidupmu. Kerteh; di dasar lautmu terpendam mewah harga petroleum – lalu bertiup deras angin pembangunan – menjelma bandar gah – bandar petroleum. Kerteh; nostalgia membiruku – kampung terpencil – jalan tanah berdebu dan becak - sekolah kampung beratapkan nipah – lantai tanah – musim hujan memberat - tengkujuh berlabuh – aku tak ke sekolah – ulang alik ke sekolah berjalan kaki. Kerteh; – kenal aku aksara - tahu membaca – menulis dan mengira – tanpa memacak tiang cita-cita – tanpa penilaian sekolah rendah – tanpa apa-apa – hanya ke sekolah mengenal a b c … dan belajar bercucuk tanam. Kerteh; alam bersih sungai, tenang paya, rimbun hutan dan gelora laut – aku menjadi pemberani – tiada nota tentang ‘mati’ – bermain-main akrab di liku-liku alam. Kerteh; masih mengalir nostalgia jernih air sungaimu – mencari lokan – menyerkup ikan dan udang - melastik burung – berenang-renang riang di sungaimu dan di lautmu – masih di atas peta nostalgiaku – terhampar di dadamu – berdenyut-denyut di jantungku – mengalir di saraf hidupku. Kerteh; aku kini menjadi asing di bumimu.
Azmi Rahman
31 Januari 2014 – 3 Februari 2014.