29 Mac 2016


TOPIK 4 (VIII b) CONTOH DIKIR (PUISI TRADISIONAL BERBENTUK PUISI)

ROYAT TENTANG UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
Assalamualaikum, Salam Sejahtera tuan-tuan dan puan-puan,
Hamba hendak royat tentang UUM jadi tumpuan.

Salam juga Salam 1Malaysia,
Ini dikir buat Universiti Utara Malaysia.

Apa khabar semua warga Sintok yang hamba kasihi?
Moga kalian semua sihat dan murahlah rezeki.

16 Februari 1984, UUM ditubuhkan,
Jadi IPTA keenam, kerajaan isytiharkan.

Idea asal UUM daripada Tun Dr Mahathir, bekas Perdana Menteri,
UUM, tumpuan jadi universiti pengurusan nama diberi.

Kampus sementara UUM di Tanah Merah,
Kemudian bertukar nama Bandar Darulaman, di Kedah.

Bila ditubuh UUM, pekan berdekatan jadi meriah,
Semakin hari semakin maju, ekonomi pun bertambah.

Sintok jadi lokasi kampus tetap Universiti Utara Malaysia,
Asal kawasan hitam, kawasan memang bahaya.

Pada peringkat awal kampus Sintok serba kekurangan,
Namun warga Sintok berani hadapi cabaran.

Kampus UUM di Sintok semakin lama semakin mantap,
Segala kemudahan sudah tersedia serba lengkap.

Tan Sri Awang Had Salleh, Naib Canselor pertama,
Letak asas UUM jadi universiti ternama.


Kini UUM dipimpin oleh Dato’ Seri Profesor Mustafa Ishak,
UUM menuju ke depan, terus bergerak ke puncak.

Dengan slogan Universiti Pengurusan Terkemuka,
UUM berbangga, terus mengukir nama.

UUM melebarkan sayapnya ke luar negara,
Ramailah datang pelajar antarabangsa.

16 Februari Hari Pengasasan UUM, kita sambut,
Universiti Pengurusan Terkemuka kita sebut.

‘Ilmu, Budi, Bakti’ moto hebat Universiti Utara Malaysia,
Cemerlang UUM mencipta nama di persada dunia.

Semua warga UUM mesti bekerja keras,
Menjulang nama UUM teratas.

UUM mahu jadi universiti terhebat,
Itu agenda jadi matlamat tersemat.

Hebat UUM dalam bidang pengajaran,
Siswazah keluar laris laku dalam pasaran.

Hebat UUM dalam bidang penyelidikan,
Hasil penyelidikan banyak jadi panduan.

Hebat UUM dalam bidang penerbitan,
Karya diterbit hasil daripada penyelidikan.

Hebat UUM dalam bidang perundingan,
Ramai pakar di UUM jadi tumpuan rujukan.

Para pemimpin UUM, tokoh hebat-hebat,
Tekun bekerja, kental semangat kuat.

Hendak royat UUM  banyak anugerah diterima,
Bukti iltizam bersungguh atas semangat kerjasama.

Dato’ Seri Mustafa, Naib Canselor jauh wawasan,
UUM fokus utama dalam bidang pengurusan.

Para pensyarah dan pentadbir seiring sejalan,
Mahu UUM cemerlang sepanjang zaman.

UUM, universiti kita, tempat kita mencari rezeki,
Kenalah bekerja, niat suci untuk berbakti.

Kita mesti kasih, mesti sayang kepada Universiti,
Kerja mesti ikhlas, tersemat teguh di hati.

Usah bertanya UUM beri kepada kita apa?
Tanyalah diri telah beri kepada UUM apa?

UUM masih jauh perjalanan ke depan,
Arah tuju di atas landasan wawasan.

Kita berdoa UUM jadi universiti terbilang,
Semangat bekerja warga UUM pula cemerlang.

UUM, universiti kita tersemat dalam hati,
Bina masa depan gemilang, kita sepakati.
Selamat datang ke UUM tuan-tuan dan puan-puan,
Banyak yang menarik di sini jadi tumpuan.
Kampus cantik menarik flora dan fauna,
Rasa tenang aman damai meresapi minda.
Ada taman rusa, ada juga burung unta,
Rehat diri keliling kampus naik kereta kuda.

Cerita perjalanan UUM adalah cerita panjang,
Kalau hendak dicerita pasti berkajang-kajang.
Hamba mohon izin berhenti dahulu,
Nak bari lagi tapi tak boleh melulu.

Azmi Rahman
Jitra-Sintok
 

SOALAN ULANG KAJI SBLM2033
(TOPIK 1 HINGGA 9)

Arahan: Anda hendaklah merangka isi jawapan bagi soalan-soalan di bawah.

1.     Huraikan berserta contoh-contoh bersesuaian bagi konsep genre, puisi, cerita binatang, dan penglipur lara.
2.     Huraikan LIMA ciri pantun Melayu berserta contoh.
3.     Huraikan tema “Gurindam Dua Belas” karya Raja Ali Haji.

4.     Teka-teki mempunyai makna tersurat dan tersirat. Jelaskan penyataan ini berserta contoh-contoh bersesuaian.
5.     Apakah tema kemanusiaan dalam HHT?
6.     Anda hendaklah mengaitkan kandungan dalam Sejarah Melayu dengan situasi semasa di Malaysia. Huraikan tentang faktor kegemilangan dan keruntuhan kerajaan Melayu.
7.     Bentang LIMA ciri sastera siber yang berbeza daripada sastera konvensional.
8.     Apakah tema dan persoalan utama dalam cerpen Melayu selepas Perang Dunia Kedua?
9.     Apakah tema dan persoalan dalam puisi atau sajak Melayu pada 1960-an hingga 1970-an?
10.                        Apakah tema dan persoalan dalam novel Melayu pada 1990-an?
11.                        Kenal pasti seorang Sasterawan Negara, bincangkan tema dan gaya bahasa dalam SEBUAH kumpulan sajaknya.
12.                        Kenal pasti SEBUAH novel SASTERAWAN NEGARA, bincang tema dan gaya bahasa novel tersebut.
13.                        Apakah makna sastera siber?
14.                        Bincangkan makna tersirat dalam TIGA buah cerita binatang yang and abaca.
15.                        Huraikan plot cerita penglipur lara Melayu.







RUJUKAN (2) AZMI RAHMAN

Rujukan Tambahan karya AZMI RAHMAN:

1. Kesusasteraan Melayu: Dimensi Pemikiran dan Bahasa (Penerbit UUM, 2007)
2. Taman Ilmu Di Rimba Hijau (Pantun) (UUM Press, 2015)
3. Aksara Tersurat & Tersirat (Pantun Peribahasa) (UUM Press, 2015).
4. Horizon Pancaindera (Pantun Rencaman Tema) (UUM Press, 2016)
5. Sastera Siber: Penciptaan & Apresiasi Puisi (UUM Press, 2016)



RUJUKAN (3) INTERNET (Bacaan dan Rujukan)





TOPIK 4  (VIII a) SASTERA TRADISIONAL BERBENTUK PUISI (DIKIR)

NOTA RINGKAS TENTANG DIKIR

Masyarakat Melayu tradisional kaya dengan pelbagai khazanah genre puisi tradisional, misalnya pantun, syair, gurindam, dikir, seloka, peribahasa dan nazam.  Jika diperincikan, setiap
genre puisi itu mempunyai fungi, asal usul kemunculan, bentuk, fungsi dan keistimewaannya yang tersendiri. Khazanah yang berharga ini dan diwarisi dari generasi ke generasi sepatutnya diterjemahkan ke dalam masyarakat kini sama ada dalam bentuk bercetak atau elektronik. Jika tidak dikembangkan, khazanah puisi ini akan pupus dan tidak dikenali lagi oleh generasi akan datang. Jika genre puisi itu dipaparkan di media baharu, setidak-tidaknya ia muncul juga untuk tatapan khalayak siber. Dalam hal ini, kajian Helmi Hussin (2007) mendapati puisi dikir laba kian pupus di negeri-negeri Pantai Timur – Kelantan dan Terengganu.

Buku puisi Melayu tradisional berjudul Mencerna Pancaindera: Gugusan Gurindam, Syair dan Dikir  merupakan koleksi karya yang pernah diterbitkan dalam media elektronik eSastera. com (kini eSastera2u. com).  Penghasilan puisi Melayu tradisional – genra gurindam, syair dan dikir  adalah atas kesedaran bahawa genre puisi ini kian tidak mendapat tempat dalam kalangan generasi siber kini.  Selain itu, persoalan kontemporari  disuratkan dan disiratkan dalam genre puisi tersebut selari perkembangan dan peristiwa yang berlaku.

Menurut Harun Mat Piah (1989 ), dikir ialah puisi yang tidak  tentu bentuknya. Dikir mengandungi baris-baris yang berturutan baik berangkap atau tidak.  Dikir mempunyai  baris-baris berangkap.  Selain itu,   dikir tidak tentu jumlah rangkap dan jumlah kata dalam sebaris.
Pada asasnya bentuk dikir ada persamaan dengan talibun, nazam, dan bahasa berirama.
Harun Mat Piah (1989 ) menyatakan bahawa dikir merangkumi permainan kesenian asalnya tetapi unsur-unsur keagamaan telah dihilangkan; tidak lagi seperti isi nazam dan masnawi.

Dikir yang masih popular dan bertahan mengikut peredaran zaman ialah dikir barat.
Dikir barat merupakan satu persembahan negeri Kelantan yang disampaikan secara berkumpulan. Setiap kumpulan biasanya diketuai oleh seorang Tukang karut dan Tok Juara. Tukang karut dan Tok Juara akan mendahului nyanyian sambil berbalas-balas pantun dan diikuti oleh awak-awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang.
Dikir barat merupakan permainan tradisional yang paling digemari oleh masyarakat Melayu di Kelantan dan di Selatan Thailand. Dikir barat wujud dalam kalangan masyarakat biasa di kampung  dan di pinggir bandar.  Dikir barat ini boleh dipersembahkan sebagai hiburan atau pun dipertandingkan. Tradisi berdikir biasanya dipersembahkan oleh masyarakat pada musim menuai padi,  di majlis perkahwinan dan kenduri atau diadakan pertandingan dikir barat.  
Perkataan dikir ialah hasil dari dua cantuman seni persembahan dan sastera iaitu dikir dan genre pantun atau syair (Dikir Barat, t. t). Lirik-lirik dilagukan berupa pantun dua atau empat kerat atau berbentuk syair  yang skema rima hujung baris /aaaa/. Ada ketika bentuk lirik bergabung; pantun dan syair. Dalam konteks dikir sebagai puisi Melayu tradisional yang dipersembahkan ini, Mencerna Pancaindera: Gugusan Gurindam, Syair dan Dikir -  bentuknya pantun dua kerat dengan skema rima hujung baris /aa/. Namun jumlah barisnya tidaklah seperti dalam pantun dua atau empat kerat, iaitu biasanya empat perkataan dalam satu baris. Persoalan dalam dikir pula pelbagai yang menyentuh isu-isu kontemporari, misalnya Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai Universiti Pengurusan, pelbagai isu pembuangan, patriotisme dan kemerdekaan. Selain itu, dikir yang dalam buku ini, boleh dipersembahkan dengan melagukannya di majlis-majlis yang bersesuaian. Insya-Allah, puisi dikir ini ada manfaat untuk seni, sastera, budaya dan mesej buat para peminat, penggiat, pengarang dan pengkaji sastera-budaya Melayu. Al-Alim (Allah Yang Maha Mengetahui).
Rujukan
Dikir barat. (t. t). Dicapai daripada http://tanahmerah.webs.com/dikirbarat.htm
Harun Mat Piah. (1989). Puisi Melayu tradisional: Pembicaraan genre dan fungsi. Kuala   Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Helmi Bin Hussin. (2007). Dikir Laba: Konsep, asal usul, sejarah perkembangan dan falsafah.       Kertas projek ijazah Sarjana Pendidikan, Fakulti Bahasa. Tanjong Malim: Universiti         Pendidikan Sultan Idris.


TOPIK 7 (a) PROSA MELAYU MODEN (NOVEL)
INTERLOK: TERJEMAHAN MANIFESTASI REALITI SOSIAL YANG  DIPOLITIKKAN

Oleh: AzmiRahman
Mukadimah
INTERLOK terhasil daripada Sayembara Menulis Novel 10 Tahun Merdeka (1967). INTERLOK pertama kali diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1971 menjuruskan kepada tema perpaduan bangsa; Melayu, Cina dan India yang dijajah Inggeris. Dengan dasar ‘pecah dan perintah” Inggeris berjaya memisahkan ketiga-tiga bangsa utama di Tanah Melayu. INTERLOK terhasil berusaha mahu melahirkan perpaduan bangsa di Tanah Melayu. Mereka terpisah; orang Cina tinggal di bandar atau pekan – berniaga dan melombong. Orang Melayu di kampung bekerja sebagai petani, nelayan dan bersekolah Melayu. Manakala orang India tinggal di estet atau di ladang, bekerja sebagai buruh kasar atau kuli.
Jelmaan INTERLOK
INTERLOK dibina jelmaannya dalam susunan yang kelihatan terpisah-pisah. Buku satu;  bab Melayu yang dinamakan Keluarga Seman.  Buku dua; bab Cina yang dinamakan Keluarga Cing Huat.  Buku tiga; bab India yang dinamakan Keluarga Maniam. Manakala Buku empat  – bab  “Interlok” yang merumuskan bahawa ..”tembok polarisasi itu cuba dipecahkan melalui alat universal, bahasa; bahasa Melayu.” (Abdullah Hussain, 2010, hal. 109).
          Kontroversi INTERLOK telah menjadi fokus idea dan tulisan pengarang sama ada dalam media cetak atau elektronik dan persatuan penulis nasional, misalnya; Johan Jaafar, ‘Give a fair hearing to Abdullah’s Interlok’ (New Straits Times, 22 January 2011), Ku Seman Ku Hussain, ‘Nilai Interlok di pasaran politik’ (Utusan Malaysia, 7 Februari 2011), Mohamad Daud Mohamad ‘Interlok: kemenangan Murugiah kekalahan Muhyiddin Yassin’ (Siasah, 25 Februari – 3 Mac 2011), dan menjadi isu/ berita di akhbar; misalnya muka depan Utusan Malaysia (28 Januari 2011), Sinar Harian (16 dan 17 Januari 2011, dan 29 Januari 2011), Kosmo (13 Januari 2011).
          Berhubung dengan kontroversi INTERLOK, Persatuan Aktivis E-Sastera Malaysia (E-Sastera) telah bermesyuarat pada 4 Januari 2011 dan berpendirian; 1.  Dalam mengambil sesuatu keputusan yang melibatkan pendidikan negara, Kerajaan hendaklah sentiasa peka terhadap hal-hal yang boleh menimbulkan keresahan sesuatu suku kaum di Malaysia. 2.        Rakyat Malaysia harus bersikap matang dan menghormati karya sastera penulis tempatan mahupun antarabangsa. Kebebasan ekspresi penulis haruslah sentiasa dihormati.  Penapisan tidak seharusnya dipaksakan atau dilakukan secara wewenang terhadap mana-mana karya sastera. 3.          Perbincangan tentang novel Interlok dan kesesuaiannya dijadikan teks pengajaran sastera di sekolah haruslah dibincangkan secara intelektual di peringkat yang sesuai dan tidak harus dijadikan modal politik jalanan atau murahan (http://esastera.com/komuniti/terkini).

Manifestasi realiti sosial
Jika kita mengambil kerangka teori sosiologi sastera – karya sastera adalah refleksi atau cerminan masyarakat, dan rakaman sosiobudaya masyarakat. (baca Umar Junus, 1986, Sosiologi Sastera: Persoalan Teori dan Metode). Dalam INTERLOK, tergambar realiti sosial orang/bangsa Melayu; dengan penyataan bahawa bangsa Melayu malas dan bodoh. Seman digambarkan sebagai orang Melayu yang buta huruf dan malas. Begitu juga dengan orang India yang rendah tahap pendidikan dan bekerja pula sebagai kuli. Namun, orang Cina digambarkan sebagai orang yang rajin, bekerja keras, dan pentingkan pendidikan supaya anak-anaknya celik huruf. Orang Cina pula seperti watak Cing Huat digambarkan sebagai penipu dan pemeras harta orang Melayu. Gambaran realiti sosial oleh Abdullah Hussain 40 tahun lepas, masih terakam realiti semasa di Malaysia. Realitinya orang Cina menguasai ekonomi dan membeli seberapa banyak hartanah milik orang Melayu. Akhirnya orang Melayu terusir di bumi sendiri.

Isu dipolitikkan kaum India
Buku tiga; keluarga Maniam tentang bab orang India. Menyingkap sejarah migrasi orang India ke Tanah Melayu, sekitar 1910 (Abdullah Hussain, 2010, hal. 210 - 211) dengan kisah kedatangan kira-kira 120 orang India dari pelbagai daerah; Pondicerry, Pulikat, Madras dan Malabar menuju ke Pulau Pinang.  
          Apa yang terungkap dalam INTERLOK (hal. 211) begitu menyentuh sensitiviti segelintir orang India di Malaysia. Mereka memprotes, berdemonstrasi dan membakar INTERLOK, juga gambar Abdullah Hussain. Mereka mendesak INTERLOK ditarik balik sebagai teks KOMSAS. Mereka mendesak hal-hal yang sensitif dibuang. Mereka mahu INTERLOK diubah suai dengan memadamkan dialog ini dan hal keburukan orang India, misalnya perwatakan Maniam.
“Suatu perkara besar yang membuatkan mereka senang bergaul adalah kerana mereka tergolong dalam satu kasta Paria. Mereka tidak perlu takut akan mengotori sesiapa kalau bersentuhan. Mereka juga bebas bergaul. Tempat di dalam kapal itu tidak teratur. Mereka berasak-asak seperti kambing.” (hal. 211).
          Kisah Maniam berpoligami dengan cara menipu; sedangan dia sudah berkahwin dengan Ambika – keluarganya di India. Kemudian di Tanah Melayu, Maniam berkahwin pula dengan Malini. Namun Maniam dibayangi ketakutan dan kembimbangan lantaran tindakannya itu. “Dia takut kalau-kalau ada orang dari desanya yang sampai ke situ dan membuka tembelangnya. Dalam diam-diam dia berdoa supaya orang dari desanya tidak sampai ke situ.” (hal. 229).

Isu yang tidak dipolitikkan?
Jika ungkapan Paria,  macam kambing dan penipuan watak Maniam dalam INTERLOK dipolitikkan, maka jadi riuhlah isu itu, dan dicampurkan pula dengan politik, jadilah isu politik dan perkauman. Khalayak hairan kerana bab Melayu dan Cina didiamkan sahaja, dan tidak diriuhkan, apatah pula dipolitikkan, misalnya; Seman dan ibunya, Mak Limah disuruh keluar dari rumahnya oleh Cina Panjang (Cing Huat) – pura-pura baik dengan Pak Musa. Akhirnya tanah, bendang, dan rumah Pak Musa tergadai kepada Cing Huat. Begitu juga tertera dalam INTERLOK – Cina Panjang membuka kedua-dua tangannya seperti berkata masa bodoh lu punya fasal…(hal. 89).
          Tidak menjadi isu dan tidak emosional pun orang Melayu apabila Lazim menjurus fikirannya kepada rasa marah dan kesal akan bangsa Melayu yang miskin, bodoh dan diperbodohkan oleh Cina Panjang (bangsa Cina). “…Mereka hidup dalam kemiskinan dan kebodohan. Bangsanya terus miskin dan bodoh kalau tidak mahu berubah sikap…” Oleh sebab kebodohan Pak Musa telah bekerja mati-matian sewaktu hidupnya dengan Cina Panjang, tanpa mendapat balasan yang setimpal. “ Kemudian setelah Pak Musa meninggal dunia, Seman dan Mak Limah diusir oleh Cina Panjang.(hal. 94).
Estetik karya versus amarah politik
Estetik karya sastera adalah subjektif sifatnya. Pengalaman estetik pembaca apabila membaca INTERLOK berbeza-beza. Begitu juga analisis estetik struktur INTERLOK akan menemui estetik yang berbeza-beza juga. Dimensi estetik INTERLOK – kehidupan terpisah ketiga-tiga bangsa utama di Tanah Melayu, berbeza budaya dan bahasa, cara berfikir, agama kemudian mereka bertemu di titik perpaduan – suatu yang indah dalam sebuah makna kehidupan harmoni.   Tidak lagi terungkap nilai estetik INTERLOK, jika pembaca yang tidak faham teks sastera atau kreatif, membaca dan mentafsir dengan suara beremosi dan prejudis – merosakkan nilai estetik INTERLOK dan menghancurkan segala makna kreativiti pengarang dan keharmonian bangsa dalam INTERLOK.  Karya sastera adalah karya sastera. Tekanan dek amarah politik apa jua pun tidak akan/ boleh mengubah isi dan mesej karya/ teks. Jika diubah kandungan, INTERLOK asal yang lahir dari buah pena Abdullah Hussain, bukanlah lagi INTERLOK namanya.
          INTERLOK adalah soal maruah dan hak kreativiti pengarang. Persoalan timbul; kenapa  tafsiran Buku tiga; Keluarga Maniam yang diisupolitikkan setelah lebih 40 tahun? Pastinya ada agenda tersembunyi di sebalik tekanan dan demonstrasi. Namun, benarlah pandangan bersama Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh, Shahnon Ahmad, dan Nordin Hassan; tetap mempertahankan bahawa INTERLOK tidak boleh diubah apa ayat atau bahagian sekali pun. INTERLOK hendaklah kekal seperti asalnya.
Penamatnya…

INTERLOK
 sebagai sebuah karya kreatif dan fiksyen adalah sebuah novel yang memaparkan manifestasi realiti sosial-budaya masyakarat pelbagai bangsa di Tanah Melayu pada sekitar era 1900-an hingga 1957; era kemerdekaan. INTERLOK  merupakan helaian dokumentasi fakta sejarah migrasi bangsa Cina dan India ke Tanah Melayu. Realiti sosial tersebut tidak boleh dipadamkan oleh pemadam atau api politik yang membara sekuat mana pun.  Realiti sosial bangsa Melayu, Cina dan India menyerlahkan realiti falsafah dan pemikiran terpisah-pisah, namun akhirnya ke arah pembentukan satu bangsa yang berpadu. (hal. 417-418). 

Rujukan
Abdullah Hussain. (2010). INTERLOK. Edisi murid. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdullah Hussain. (2010). Proses kreatif Abdullah Hussain: satu pengalaman rohani. Kuala     Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Baha Zain. (2011). Sastera politik: mempolitikkan sastera. Dlm. Dewan Sastera. Mac 2011, hal.5-6.
http://esastera.com
http://esastera.com/komuniti/terkini
Umar Junus. (1986). Sosiologi sastera: persoalan teori dan metode. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.






TOPIK 4 (II) SASTERA TRADISIONAL BERBENTUK PUISI (PANTUN                                  MELAYU)


MANIFESTASI NILAI CINTA DALAM PANTUN MELAYU
Pantun merupakan satu daripada genre puisi tradisional yang popular dalam tradisi lisan orang-orang Melayu. Mohd Yusuf Md. Nor dan Abd. Rahman Kaeh (dalam Mohamad Azmi Ab. Rahman, 2008) mentakrifkan pantun sebagai, “satu yang teratur sama ada ucapan, pimpinan, didikan atau kesopanan. Dalam pantun-pantun Melayu, terkumpul suatu khazanah perasaan kolektif di Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan Thailand. Dalamnya dicatat atau dibayangkan pelbagai jalur perasaan gundah, duka, pilu dan rawan. Sejumlah besar daripada bait pantun  menyanyikan lagu kecewa, cinta tidak berbalas, kematian, penolakan dan cukup sering pula, pemangsaan (Muhammad Haji Salleh, 2000).
Safian  Hussain  et al. (1988) dalam Glosari Istilah Kesusasteraan menyatakan pantun sebagai puisi tradisi tulen milik orang Melayu semenjak mereka belum tahu membaca dan menulis. Sebagai puisi milik mutlak orang Melayu yang ditradisikan dari satu generasi ke satu generasi , pantun merupakan cerminan sebenar hati nurani dan budi orang-orang Melayu yang terkandung dalamnya pelbagai nilai murni dan pengajaran. Hal ini turut diakui oleh Wilkinson dan Winstedt (dalam Mohamad Azmi Ab. Rahman, 2008, h. 2). Mereka menyatakan bahawa “orang asing yang belum mengenal pantun, boleh dikatakan orang itu belum mengenal rohani dan jalan fikiran orang Melayu yang sebenar”. Manakala menurut Za,ba ”pantun adalah kaedah rangkapan yang tertua dan memang asal orang Melayu betul. Dari semenjak tatkala orang Melayu belum tahu surat menyurat dahulu pun mereka telah pandai berpantun dan biasa berbalas pantun antara sama sendiri” (dalam Noriah Mohamad, 2007).
Pantun yang baik mempunyai nilai rasa yang baik sama ada dari segi makna, irama, moral, alunan kata, mahupun yang sesebuah rangkap pantun akan bertambah indah apabila dijaga nilai rasanya bukan sahaja dari segi keindahan susunan bahasa dan rima, tetapi juga dari segi pendidikan nasihat dan nilai murninya (Amat Juhari Moain, 2008).
Kasih sayang merupakan ciri universal  yang terungkap dalam pantun Melayu. Nilai kasih sayang yang ditandai dengan emosi cinta, kasih, setia, rindu, cemburu, puas, gagal dan kecewa adalah perasaan yang dirasai bersama oleh semua kelompok dalam semua budaya, dan dalam semua zaman. Winstedt berpendapat “lebih mudah mengenali bahasa Melayu itu melalui pantun-pantunnya”, (dalam Rogayah A. Hamid & Mariyam Salim, 2007).
Nilai kasih sayang yang berputik dalam jiwa digambarkan dengan harapan yang berbunga untuk saling mengenali agar hubungan yang lebih akrab benar-benar terjalin seperti yang tergambar dalam pantun berikut:
Apa guna pasang pelita,
            Jika tidak dengan sumbunya;
Apa guna bermain mata,
            Kalau tidak dengan sungguhnya.
                               (Harun Mat Piah, 2001, h. 258)
Masyarakat Melayu tradisional amat tebal dengan sikap malu. Kasih sayang yang dihulurkan tidak begitu mudah untuk diterima. Gadis Melayu yang mempunyai maruah dan harga diri yang tinggi akan menolak lamaran pertama untuk menguji sejauh mana kebenaran kasih sayang yang diucapkan seperti rangkap pantun berikut:
          Api-api di atas gunung,
            Cempedak tangkainya kundis;
   Laki-laki sahaja pembohong,
            Jikalau hendak mulutnya manis.
                               (Harun Mat Piah, 2001, h. 258)
Jika kasih sayang sudah terjalin, timbul pula rasa risau, bimbang hubungan diketahui orang. Hal ini kerana masyarakat Melayu klasik amat menjaga maruah anak-anak perempuan mereka. Kasih sayang antara teruna dara amat dilarang kerana dibatasi oleh agama dan adat. Maka pasangan yang berkasih sayang akan mengungkapkan pantun di bawah:
Ambil dian pasang pelita,
            Anak Dewa makan dikarang;
Biar pandai bermain mata,
            Jangan ketahuan di mata orang.
                               (Harun Mat Piah, 2001, h. 279)
Adat orang berkasih sayang biasanya merasakan kekasihnya adalah pilihan yang terbaik untuknya. Oleh sebab kasih sayang tidak terbatas kepada keelokan paras rupa dan tidak juga pada tingkah laku, maka apa yang jelek dan hodoh di mata orang lain tetap elok dan manis di mata si kekasih, seperti yang tergambar dalam pantun ini:
Anak beruk di kayu rendang,
            Turun mandi di dalam paya;
Hodoh buruk di mata orang,
            Cantik manis di mata saya.
                               (Harun Mat Piah, 2001, h. 280)
Adat berkasih sayang menanggung rindu. Sifat santun dan pemalu dalam masyarakat Melayu tradisional menyebabkan pasangan kekasih meluahkan perasaan melalui pantun yang lebih terkesan di hati kerana pemilihan kata yang indah digunakan untuk melunakkan hati orang yang dikasihi. Contoh pantun tersebut ialah:
Anak Islam main pedati,
            Burung merak hinggap di jati;
Kalau sungguh cinta di hati,
            Sampai di kubur saya menanti.
                               (Harun Mat Piah, 2001, h. 281)
Kasih sayang menuntut banyak pengorbanan dan kerelaan untuk berkorban demi orang yang dikasihi telah terpahat dalam janji-janji yang diuntaikan dengan pantun, contohnya:
          Air serbat di dalam cangkir,
            Sampai ke Jawa saya curahkan;
Haram taubat saya tak mungkir,
            Badan dan nyawa saya serahkan.
                               (Harun Mat Piah, 2001, h. 277)
Kasih sayang adakalanya benar-benar menguji perasaan sehingga timbul rasa curiga dan bimbang. Si kekasih yang sudah banyak berkorban dibayangi kebimbangan kalau-kalau hubungan yang terjalin putus ditengah jalan. Kerisauan dan kebimbangan tersebut diungkapkan dalam pantun ini:
  Ambil kain dibuat sumbu,
            Nasi santan dibuang-buang;
Jangan dibuat sebagai tebu,
            Air ditelan hampas dibuang.
                               (Harun Mat Piah, 2001, h. 279)
Namun keraguan dan kebimbang itu akhirnya terlerai dengan sumpah setia si buah hati untuk sama-sama menghadapi segala kemungkinan dalam hidup demi memastikan hubungan kasih sayang itu berakhir ke jinjang pelamin seolah-olah hanya kematian sahaja yang dapat memisahkan mereka. Contoh pantun yang biasa diungkapkan ialah:
Besar ombak lautan Mesir,
            Ombak memecah menengah tiang;
Demi Allah tidak kumungkiri,
            Bersukat darah bertimbang tulang.
                               (dikutip dalam Harun Mat Piah, 2001, h. 294)
Nilai kasih sayang dalam pantun Melayu tidak terbatas kepada kasih sayang teruna kepada dara pujaan tetapi lebih bersifat universal; kasih pada tanah air, kasih pada keluarga dan kampung halaman turut diabadikan dalam pantun. Pantun pula amat berkait rapat dengan kepintaran, kecerdasan, hati budi orang-orang Melayu dalam mengungkapkan getar rasa naluri. Justeru, pantun adalah wahana perhubungan yang tetap ampuh untuk digunakan sebagai medium penyerapan nilai-nilai murni dalam masyarakat Melayu.
Rujukan
Amat Juhari Moain .(2008). Pemilihan kata dalam pantun Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Harun Mat Piah. (2001). Pantun Melayu bingkisan permata. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan.
Mohamad Azmi b. Ab. Rahman .(2008). Wajah diri pantun Melayu, 2008. Diakses daripada http://www.esasterawan.net
Muhammad Haji Salleh. (2000). Puitika sastera Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Noriah Mohamed .(2006). Sentuhan rasa dan fikir dalam puisi Melayu tradisional. Bangi: Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Rogayah A. Hamid & Mariyam Salim .(2007). Pandangan semesta Melayu mantera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Safiah Hussain, Mohd. Thani Ahmad, Zakaria Ariffin, Ahmad Kamal Abdullah & Suhaimi Hj. Muhamad. (1988). Glosari istilah kesusasteraan . Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Disediakan oleh Azmi Rahman