29 Mac 2016


TOPIK 5 (a) PROSA MELAYU KLASIK : TEKS EPIK MELAYU

HIKAYAT HANG TUAH
(HHT) : DIMENSI PEMIKIRAN MELAYU

Oleh: Azmi Rahman
Adikarya Melayu
¨ HHT menjadi adikarya (masterpiece) Melayu, seperti juga Sejarah Melayu – menjadi dokumen sejarah dan pemikiran Melayu dahulu hinggalah Melayu masih wujud.
¨ Pemikiran Melayu dalam HHT: animisme, mitos, agama, bahasa, kemanusiaan, modal insan  (modal moral mengikut Hassan Ahmad), kepimpinan, dan sejarah (fakta, realiti dan fantasi).
 Binaan Bab HHT
¨ HHT terbina oleh 28 bab: Bermula dengan cerita Sang Perta Dewa yang berasal dari kayangan turun ke dunia kerana ingin berburu di Pulau Biram Dewa – berkahwin dengan Puteri Kemala Ratna Pelinggam, anak raja kayangan. Hasil perkahwinan, lahirlah putera bernama Sang Sapurba. Beliau menjadi raja di Bukit Siguntang Mahabiru. Ketika berburu, beliau berjumpa dengan seekor lembu putih, jelmaan dewa dari langit. Lembu itu memuntahkan seorang puteri cantik. Sang Sapurba berkahwin dengan puteri, lahirlah 4 putera: Sang Maniaka, Sang Jaya Nantaka, Sang Saniaka dan Sang Satiaka. Sang Maniaka menjadi raja di Bentan, negeri yang makmur.
 Kemunculan HT
¨ Dalam bab 2, muncul watak Hang Tuah (HT) bersama bapanya, Hang Mahmud dan ibunya, Dang Merdu. Mereka berpindah dari Sungai Duyung ke Bentan. Bapa HT bermimpi cahaya bulan menerangi kepala HT.
¨ HT belajar al-Quran, bahasa Jawa, Cina, Siam, India, dan Arab. Kawan-kawan HT; Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Dalam bab 2, diceritakan HT berjaya membunuh pengamuk, ketika berusia 10 tahun. Kelima-lima sahabat dilantik menjadi pengawal istana.
 Bab-bab seterusnya…
¨ Bab-bab seterusnya bergerak tentang hubungan Majapahit dengan Melaka, cubaan membunuh HT semasa di Majapahit menjadi pengawal peribadi Raja Melaka tetapi gagal, berjaya mengalahkan Taming Sari, pahlawan Jawa. HT bergelar Laksamana bersama keris Taming Sari, perkahwinan Raja Melaka dengan Raden Emas Ayu, HT sahabat-sahabatnya berguru dengan Sang Persata Nala di Gunung Wirana Pura, di Jawa.
 Pesan guru HT
¨ Pesan guru HT : HT akan jadi wira Melaka dan Hang Jebat akan mati dibunuh. Jangan ajar ilmu yang dipelajari kepada sesiapapun.
¨ HT difitnah kerana berlaku sumbang dengan perempuan istana – dihukum bunuh tetapi disembunyikan di Inderapura oleh Bendahara (Bab 9). HT berjaya melarikan Tun Teja yang telah bertunang dengan Megat Panji Alam (Megat Terengganu). HT telah menggunakan ubat guna-guna (pengasih) sehingga Tun Teja tunduk dan jatuh hati kepada HT. Tun Teja dipersembahkan kepada Raja Melaka, namun Tun Teja tidak jatuh hati, hanya mahukan HT sahaja. HT mengenakan ilmu antikasih, berjaya kahwin dengan Raja Melaka (Bab 10).
 Keperwiraan HT
¨ Kehebatan HT digambarkan dalam HHT; berjaya mengalahkan 200 pahlawan Majapahit, banyak cubaan membunuhnya tetapi gagal (keris Taming Sari dicuri, pakaiannya dicuri untuk fitnah, 7000 pahlawan Jawa mengepung HT, menombak HT tetapi tidak cedera), 6 bulan di Majapahit. (bab 13).


 HT dalam buangan
¨ Semasa dalam buangan, HT belajar agama dengan Syeikh Mansur. Difitnah lagi kerana berlaku sumbang dengan dayang istana – dihukum bunuh. Disembunyikan oleh Bendahara di hulu Melaka. Hang Jebat ganti Hang Tuah, bergelar Paduka Raja, bersama keris Taming Sari. Hang Jebat mabuk kuasa – menderhaka kerana membela HT yang dihukum tanpa usul periksa.
 Hang Jebat mengamuk
¨ Hang Jebat (HJ) mengamuk di istana, membunuh 700 orang yang tak berdosa tetapi tiada siapa berjaya kalahkan kerana ada bersamanya keris Taming Sari. HT dipanggil semula untuk mendamaikan amukan HJ tetapi HT tiada kekuatan keris Taming Sari. HJ berpesan kepada HT, jaga anak hasil hubungan sulitnya dengan Dang Baru. Jika lelaki, jadikan anaknya sebagai pegawai Tun Nadim, anak HT.
 HT dan keris Taming Sari
¨ HT berjaya merampas keris Taming Sari daripada HJ-- berjaya menikam HJ, dia luka. HJ terus mengamuk, membunuh ribuan orang. Setelah 3 hari HT berkhalwat, HT mendapatkan HJ dan memangku HJ – mati di pangkuan HT. Mayat HJ, selama 7 hari diletakkan di tengah jalanraya supaya ditatapi orang ramai. Selepas itu, mayat digantung pula di tengah jalan raya. Anak Dang Baru, Hang Kadim diperintahkan oleh Raja Melaka dibuang ke laut tetapi HT selamatkan, diserahkan kepada Bendahara Seri Buana, negeri Inderapura. (Bab 17).
 Inderapura dilanggar todak
¨ Hubungan politik Melaka dengan Majapahit diteruskan, juga hubungan dengan Benua India, China dan Siam dijalinkan, HT jadi duta (orang kuat istana Melaka). HT mempamerkan kehebatannya sebagai wira Melaka.
¨ Bab 23 mengisahkan Inderapura diserang oleh ikan todak. Hang Kadim, anak Hang Jebat mencadangkan supaya rakyat Inderapura berkubukan batang pisang – bergelar Orang Kaya Sang Setu – difitnah kerana bermukah dengan dayang istana, Sang Setia. Sang Setu mati dihukum bunuh. HT diarahkan menyerang Inderapura. Mereka yang terlibat dengan pembunuhan Hang Kadim dibawa ke Melaka untuk menerima hukuman Raja Melaka. (Bab 23).
 HT ikut perintah raja
¨ Semasa bersama rombongan Raja Melaka di Singapura, HT cuba menyelamat mahkota Raja dari terjatuh ke laut, keris HT disambar oleh seekor buaya putih – mahkota dan keris Taming Sari hilang. HT menjadi kurang sihat. Semasa Feringgi serang Melaka, HT kurang sihat tetapi tetap berjuang. HT tidak cedera. Angkatan Feringgi belum dapat kalahkan angkatan Melaka.
¨ HT diperintah oleh Raja Melaka ke Rom membeli meriam. HT singgah di Acheh, Madinah, Mesir dan Judah (Jeddah), tunaikan haji, bertemu dengan Nabi Khaidir. Baginda menyapu cembul pada mulut dan telinga HT – dia boleh faham dan bercakap sebarang bahasa. (Bab 25).
 HT dan Puteri Gunung Ledang
¨ Hang Tuah dapat bertemu dengan Raja Rom – berjaya membeli bedil dari Rom.
¨ Puteri Gunung Ledang dinobatkan sebagai Raja Melaka. Diceritakan pula Raja Melaka menawarkan hadiah lumayan kepada rakyat yang mahu ditanam hidup-hidup untuk mengetahui keadaan orang telah mati.
 HT dan Feringgi
¨ HT melakukan perbuatan itu. Setelah keluar dari kubur, HT ceritakan kepada Raja, Bendahara, Temenggung dan Laksamana. Mereka insaf dan taubat, kembali kepada Allah. Bendahara ke Tanjung Keling, Temenggung ke Tanjung Tuan dan Laksamana ke Tanjung Jugara. Raja Melaka pun turun takhta. Mereka dikatakan ghaib (Bab 27).
¨ Mudah bagi Feringgi (Portugis) menyerang Melaka. Puteri Gunung Ledang tewas, lari ke negeri Batak. Feringgi membina kota di Melaka. HT dikatakan tidak mati, tinggal di hulu Sungai Perak, jadi raja orang Sakai. (Bab 28).
 Akhir kalam HHT
¨ HHT selesai dikarang pada 27 Jumadil Akhir, Ahad, jam 4 petang, 1295H. Tidak diketahui pengarang kerana HHT menjadi milik dan hak bersama masyarakat.
¨ Sejarah Melayu dan HHT ada persamaan dan perbezaan; ada pengaruh mempengaruhi dari segi isi dan cerita. Sejarah Melayu mengangkat keturunan dan teladan raja-raja Melayu, manakala HHT mengangkat ketokohan Hang Tuah sebagai wira Melayu, di samping teladan dan modal moral untuk generasi manusia kini serta akan datang.
PEMIKIRAN KEMANUSIAAN DALAM HHT
¨ Apa itu kemanusiaan? 
¨ Sifat semula jadi manusia yang terserlah dan dijelmakan melalui perbuatan manusia berlandaskan akal fikiran (minda). Perlakuan itu sama ada rasional atau tidak mengikut pertimbangan individu, masyarakat, budaya atau agama.
¨ Pemikiran kemanusiaan boleh diteliti sama ada dari dimensi murni/ positif/ mulia atau  tidak murni/ negatif.
 


 Nilai menjadi padi…
¨ Nilai “jadilah seperti padi, makin berisi makin tunduk” dan kesantunan – HT dan rakan-rakan senantiasa merendah diri dan hormat kepada guru dan orang yang lebih tua daripadanya. Contoh: semasa bertemu dengan gurunya, Sang Aria Putera di Bukit Pancasula. Tradisi Melayu menghormati guru dan tidak sombong kepada guru kecuali apabila berdepan dengan musuh. Justeru, HT disenangi oleh kawan-kawan, orang istana dan Raja. Bendahara Seri Buana dan Raja Kisna Rayan (India) mengakui tentang ketinggian budi bahasa dan ketertiban peribadi HT.
 Taat setia demi pemerintah
¨ Taat setia kepada pemerintah/ ketua – Kesetiaan HT kepada raja/ pemerintah tidak berbelah bagi. HT melakukan apa sahaja asalkan untuk raja/ istana. Contoh: melarikan Tun Teja, tunang Megat Panji Alam; membunuh kawan baiknya, Hang Jebat (HJ) yang derhaka kepada raja; terjun ke dalam lubang najis kerana menyelamatkan kuda permainan anak Raja Melaka; panjat pokok kelapa yang genting di tengah-tengahnya, ambil buah kelapa demi santapan permaisuri Raja Melaka yang hamil; ditanam hidup-hidup di dalam kubur; ke China, Siam, Rom, Majapahit, Judah, dan India atas perintah Raja Melaka.
 Nilai sumbangan dan ganjaran
¨ Sumbangan, ganjaran dan anugerah – Raja/ pihak istana memberi ganjaran dan anugerah kepada anak buahnya yang banyak berjasa berupa pakaian persalinan, emas, perak, harta benda, tanah, dan pangkat. Misalnya HT pernah dianugerahkan pangkat Laksamana, keris Taming Sari, tiga buah anak sungai, dan mak inang yang membantu HT untuk melarikan Tun Teja dianugerahkan gelaran Paduka Maha Dewi dan berpuluh-puluh kati emas dan perak. HT bukan manusia kedekut kerana yang diperolehi itu diberikan kepada rakyat.
Nilai kebaikan dan kemaafan
¨ Bersifat lembut, pemaaf – HT bukanlah manusia yang menyimpan dendam terhadap musuhnya, apatah lagi Raja Melaka. HT pernah difitnah, dan dikenakan hukuman bunuh – masih taat dan tidak berdendam kepada raja dan pemfitnahnya; angkatan anak Raja Brunei, Adipati Solok yang ditewaskan oleh HT – Adipati Solok diberi rumah, dijaga makan-minum tanpa ada rasa dendam, dihantar pulang ke Brunei, nama Raja Melaka tersohor kerana kebaikannya.
 Destinasi keinsafan
¨ Kehidupan dilalui, dinilai dan menemukan titik keinsafan – Sesuatu yang telah dilakukan, berlalu. Kemudian, apabila dipertimbang dan dinilai, terdetiklah keinsafan demi kebaikan. Contoh: Raja Melaka insaf apabila HT menceritakan pengalamannya berada di dalam kubur. Baginda ingin jadi fakir, insaf dan ingin beramal ibadat; Raja Melaka sedekahkan segala hartanya kepada rakyat, turun dari takhta, rakyat Melaka menjadi kaya raya. Baginda mengembara jadi fakir miskin. 
Kecekapan pemerintah
¨ Pemikiran politik dan pentadbiran – kombinasi/ team jentera kerajaan yang cekap perlu ada. Contoh: Raja Melaka, bersama Laksamana, Bendahara dan Temenggung yang bekerja keras dan penuh taat setia. Semasa pemerintahan Puteri Gunung Ledang, kerajaan Melaka runtuh.
 Serakah nafsu
¨ Pemikiran negatif/ tidak murni – kerakusan dan kebuasan nafsu manusia demi kuasa dan nama. Contoh: peristiwa HJ dan Hang Kasturi membunuh Megat Terengganu kerana mencabar Raja Melaka; merampas Tun Teja, tunang Megat Panji Alam demi nafsu Raja Melaka; demi fitnah dan menamatkan riwayat hidup HT, banyak nyawa terkorban – peristiwa Betara Majapahit dan menterinya, Patih Gajah Mada hendak membunuh HT; mengorbankan rakyat yang tak berdosa, menjadi benteng serangan ikan todak oleh Raja Inderapura; Raja Terengganu mengcungkil kedua-dua biji mata Pak Si Mulung angkara Raja Terengganu kalah dalam persabungan ayam dengan Raja Culan – Raja Terengganu tukar ayam dengan ayam Raja Culan atas firasat Pak Si Mulung.
 Muslihat demi kemenangan
¨ Menipu untuk mencapai matlamat hidup – HT pernah menipu Taming Sari untuk mendapatkan keris Taming Sari – berpakat menyerang Betara Majapahit, dan akan melantik Taming Sari menjadi Betara. Bertukar keris, terus bertarung dan berjaya membunuh Taming Sari; peristiwa HT menipu Tun Teja untuk berkahwin – membawa lari TT tetapi sebenarnya untuk nafsu Raja Melaka. HT disanjung oleh Raja Melaka atas perbuatan dan jasa tersebut. 
Membara api fitnah
¨ Budaya fitnah dan dengki demi kuasa dan pengaruh. Misalnya, fitnah golongan istana terhadap adik Raja Melaka, Sang Jaya Nantaka yang dikatakan hendak merampas kuasa – dilucutkan jawatan Raja Muda; peristiwa menabur fitnah terhadap HT oleh pembesar istana, Patih Kerma Wijaya – HT skandal dengan dayang istana, dihukum bunuh tapi diselamatkan oleh Bendahara Paduka Raja, dan fitnah yang sama kerana melihat HT disayangi oleh Raja Melaka, dikenakan hukuman bunuh – diselamatkan oleh Bendahara – sembunyi di hulu Melaka; Semasa inilah HJ berkuasa dan mengamuk/ menderhaka. HT menjadi penyelamat; fitnah Temenggung dan pembesar istana terhadap anak Hang Jebat, Hang Kadim ingin merampas kuasa – dihukum bunuh.
Akhir bicara hamba…
Baju Melayu dijahit sepadan,
Butang baju daripada gangsa;
Karya agung sarat teladan,
Tinggi nilai budaya bangsa.

Azmi Rahman
SEML, UUM CAS




TOPIK 4 (II & V) TRADISI LISAN BENTUK PUISI (PANTUN DAN PERIBAHASA MELAYU)
PEMIKIRAN DALAM PANTUN DAN PERIBAHASA MELAYU
 Premis – Genre puisi Melayu tradisional; pantun dan peribahasa Melayu
2. Aplikasi teori: Teori SP/SPB 4L (Sistem Pemikiran Bersepadu 4L: Luhur, Lahir, Logik dan Lateral) yang diperkenalkan oleh Mohd. Yusof Hasan sekitar 1990-an, diperakukan sebagai teori sastera Melayu lokal pada 2004.
Komunikasi-pemikiran: Gabungan dua kata abstrak yang belum menemui makna konkrit. Ruang/ dimensi komunikasi-pemikiran terlalu luas.
Komunikasi adalah interaksi antara manusia-diri-manusia-alam-benda bernyawa-benda mati-Tuhan
Pemikiran diterjemahkan sama ada dalam bentuk lisan, tulisan atau gestur kepada khalayak/ pembaca
SP4L/ SPB4L terpancar pola komunikasi secara vertikal dan horizontal. Maksud firman Allah (Surah A-Li ‘Imraan, ayat 112):
  “Ditimpa kehinaan kepada mereka di manapun mereka berada, selain daripada mereka yang menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia…”
Dapat dikesan aspek komunikasi-pemikiran dalam genre pantun dan peribahasa Melayu berdasarkan SPB4L.  Pemikiran luhur – pemikiran keagamaan; mengenai keimanan, ketauhidan, ajaran di dalam Al-Quran, Rasul, syurga-neraka dan akhirat.
Pemikiran luhur dalam pantun dan peribahasa Melayu:
Maksud pantun “Banyak Tuhan perkara Tuhan /Tidak semulia Tuhan Yang Esa/ Banyak nabi antara nabi/ Tidak semulia Nabi Muhammad//Dunia ini pinjam-pinjaman/ Ahkirat juga akan sungguhnya.”


Peribahasa pula:
Adat memakai syarak mengata “Kita semua mati tapi kubur masing-masing/ Ditetak belah, dipalu belah, tembikar juga akan jadinya (h. 6)/ Adat yang menurun, syarak yang mendaki” (Abdullah Hussain, h. 4).
Pemikiran lahir
Pemikiran mengenai prakelahiran manusia (persenyawaan benih di dalam kandungan), dan pascakelahiran sehinggalah manusia berumur 6 tahun.
Fokus pemikiran lahir ialah minda dan potensi minda manusia.
Tidak ditemui pemikiran lahir yang khusus dalam genre pantun dan peribahasa Melayu. Namun dapat dikesan adanya pemikiran lahir yang terungkap di sebalik kata-kata.
Pemikiran lahir dalam pantun dan peribahasa Melayu:
Maksud pantun “Kalau asal benih yang baik/ Jatuh ke laut menjadi pulau” (Zainal Abidin Bakar, h. 161), “Kecil-kecil ditimang ibu/ Sudah besar ditimang gelombang” (Zainal Abidin Bakar, h. 163)
Peribahasa pemikiran lahir:
-         “Tatkala rebung tiada dilentur, ketika sudah menjadi aur apa guna lagi”
-         “Kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau”
Kerangka pemikiran lahir masyarakat Melayu tradisional dan moden, nilai budi dipaksikan pada minda Melayu.
-         Medan makna budi: akal, kebijaksanaan, dan segala kebaikan.
-         Nilai budi terhasil daripada komunikasi murni dan kolektif, tertanam dan sebati di minda.
-         Budi disemai, ditanam dan dibaja sebelum/semasa ‘manusia rebung’ menjadi ‘manusia aur.’

Contoh pemikiran lahir dalam maksud pantun dan peribahasa:
-         “Yang kurik kundi, yang merah saga/ Yang baik budi, yang indah bahasa”
-         “Di sana budi di sini budi/ Barulah sempurna bernama orang”
-         “Hancur badan dikandung tanah/ Budi yang baik dikenang juga”
-         “Hina besi kerana karat/ Hina manusia tidak berbudi”
Budi dalam peribahasa:
-         “Kurang budi teraba-raba, tidak ilmu suluh padam”
-         “Sebab budi boleh kedapatan”
-         “Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa”
Pemikiran logik
-         Komunikasi manusia: penulisan, pertuturan, pembacaan atau pendengaran memerlukan pemikiran logik.
-         Logik – proses penaakulan berdasarkan bukti dan hujah jelas dan konkrit.
Konsep asas logik:
-         Premis
-         Silogisme
-         Penyataan umum dan khusus
-         Induksi dan deduksi
-         Falasi
-         Dalam pantun dan peribahasa ada premis dan kesimpulan.
-         Maksud pantun “Kerana gula semut mati/ Kerana semut gula terbuang/ dan /Kalau takut dilambung ombak/ jangan berumah di tepi pantai”
-         Peribahasa pula  “Lekuk batu dititik air selalu/ Usul-usul asal-asal, asal jangan ditinggalkan” (h. 9).
-         Pemikiran lateral
-         - Pemikiran yang memberi fokus kepada aspek kreativiti dan imaginasi.
-         - Memberi ruang mencari alternatif, bukannya mengikut “pemikiran batu” tetapi “pemikiran air.”
-         - Antara alat pemikiran lateral ialah CoRT1- 6.  Fokus CoRT1 sebagai asas pemikiran lateral.
CoRT1
-         PMI (Plus, Minus, Interesting)
-         CAF (Consider All Factors)
-         C&S (Consequence and Sequel)
-         AGO (Aims, Goals, Objectives)
-         FIP (First Important Priorities)
-         APC (Alternatives, Possibilities, Choices)
-         OPV (Other Point of View)
-         RULES, PLANNING, DECISIONS
Genre pantun dan peribahasa Melayu:
-         Kreatif dan imaginatif dari segi wajah fizikal dan dalaman
-         Kemerduan bunyi/ rima dan seimbang bentuk dan suku kata (pantun)
-         Wajah bahasa sarat dengan citra, simbol, metafora, kiasan dan ironi.
-         Ketaksaan makna di sebalik wajah kata.
 
Pemikiran lateral dalam pantun dan peribahasa:
-         Maksud pantun “Cubalah tabur padi segenggam / barulah tahu mana jadinya” (h. 12)
-         “Sambil menyelam minum air, menyerodok galas lalu” (h. 12)
-         “Awak tikus, hendak menampar kucing” (h.12).
-         “Baik-baik berjagung sementara padi masak” (h. 12)
-         “Belakang parang lagi kalau diasah nescaya tajam” (h.12)
-         Maksud peribahasa dan pantun boleh diaplikasikan mana-mana alat pemikiran lateral CoRT1 yang sesuai.
-         “Baik-baik berjagung sementara padi masak” (h. 12) aplikasinya boleh PMI,CAF, APC dan DECISIONS.
-         Teori SP4L/ SPB4L bukanlah teori   besar apatah lagi tersohor.
-           Teori ini muncul, digarap dan  mencari titik pemurniaan di persada jutaan teori.
-           Teori ini ada manfaat kepada khalayak   ilmu – harus mencari/ada pengikut dan diaplikasikan.
-           Teori ini hasilan sarjana tempatan tetapi bersifat global dari segi pemikiran.




16 Mac 2016


TOPIK 8 PERKEMBANGAN SAJAK MELAYU

(Bacaan Tambahan)


*“YANG DIMAKAN RASA YANG DILIHAT RUPA YANG DIDENGAR BUNYI YANG HAMPA BIAR TERBANG YANG BERNAS BIAR TINGGAL”

Oleh
Azmi Rahman, UUM

Mukadimah
Banyak sayembara, hadiah dan anugerah sastera diwujudkan di peringkat antarabangsa, misalnya Hadiah Nobel dalam bidang kesusasteraan yang menyaksikan  28 penyair sehingga 2006 dari 17 buah negara dinobatkan sebagai pemenang sejak Hadiah berprestij itu diperkenalkan pada 1901. Antara penyair tersohor dunia yang pernah menerima Hadiah Nobel ialah Rabindranath Tagore, Iqbal, Yeats, Pablo Neruda dan  Czeslaw Milosz (Mohd. Azhar Abd. Hamid, Muhammed Fauzi Othman, Mohd. Koharuddin Mohd. Balwi dan Zulkifli Khair, 2008). Manakala di peringkat Asia Tenggara, diwujudkan Anugerah Penulis Asia Tenggara (S.E.A Write Award). Di Malaysia pula, anugerah dan pengiktirafan tertinggi buat sasterawan, diwujudkan Anugerah Sasterawan Negara untuk menyemarakkan dunia sastera dan mengangkat martabat sastera Melayu, tidak dapat dinafikan bahawa sastera di Malaysia, antara penyumbangnya adalah sayembara (Rasdan Ahmad, 13 Disember 2015; Nisah Haji Haron, September 2015), pelbagai hadiah dan anugerah yang diwujudkan sama ada oleh badan penulis, organisasi swasta atau organisasi yang terlibat secara khusus dalam perkembangan dan pembangunan sastera Melayu. Hal ini pernah menjadi isu dan fokus Dewan Sastera (Mac 2008) “Hadiah Sastera di Malaysia,” antaranya ialah Sayembara Mengarang 50 Tahun Merdeka, HesCom (Hadiah E-Sastera.com), Hadiah Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), Anugerah Sastera Negeri Sarawak, Hadiah Sastera Sabah, Hadiah Sastera Darul Takzim dan Anugerah Sastera Negeri Sembilan. Anugerah-anugerah sastera ini turut melibatkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penganjur. Hadiah sastera yang lain ialah Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil (HSKU),  Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP dan Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH. Melalui sayembara, hadiah atau anugerah yang diwujudkan ini, melahirkan karya sastera dalam pelbagai genre; puisi, cerpen, novel dan kritikan sastera yang bermutu dan hebat yang mendapat pengiktirafan para juri.
Judul makalah ini mengambil peribahasa “Yang dimakan rasa yang dilihat rupa yang didengar bunyi yang hampa biar terbang yang bernas biar tinggal(Abdullah Hussain, 1982, h. 224; Abdullah Hassan dan Ainon Mohd. 2011, h. 485). Peribahasa ini bermaksud tiap-tiap suatu pekerjaan itu hendaklah sempurna baik rupa atau bentuk, pendengaran, fikiran dan perasaan. Yang tidak elok itu biarlah hilang dan tinggal. Untuk tujuan itu, kesatu, makalah ringkas ini sekadar membentangkan genre puisi yang dikatakan hebat dan memenangi hadiah atau sayembara sastera di Malaysia dan di Indonesia. Keduanya, makalah kecil ini merupakan perkongsian pengetahuan dan pengalaman lama para penyair yang ‘berbisa’ yang mencipta puisi dan menjadi pemenang kategori puisi. Ketiga, sebagai panduan dan bukan mengajar khalayak mencipta puisi yang bermutu dan hebat yang diangkat sebagai pemenang utama. Kemudian puisi-puisi yang menang itu dibukukan menjadi khazanah sastera yang berharga. Namun begitu, batasan makalah ini hanyalah beberapa puisi terpilih yang dikatakan terbaik yang pernah memenangi hadiah, anugerah atau sayembara sastera sama ada di Malaysia atau di Indonesia.

Dalam ruang yang tersedia ini, saya akan menyelitkan puisi dalam kelompok puisi indie (Independent) yang wujud dalam ruang sastera dunia, misalnya dalam laman web Poetry Soup. Malahan puisi indie turut deras melanda arus sastera kontemporari di Malaysia, misalnya muncul kumpulan puisi Cerita Cinta Bohongan (Mimi Morticia, 2015), Puisi Tepi Jalan (Fynn Jamal, 2014), Melankolia Bisu (Sefa, 2014) dan Seksi Ovari (Fazleena Hishamudin, 2014). Berdasarkan pengamatan awal, saya dapati puisi-puisi ini bersifat santai, mudah dan terus sampai maknanya kepada pembaca, bentuk yang tidak menentu; ada stanza dan dalam satu stanza dan banyak pelanggaran bahasa, percampuran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris serta struktur puisi yang di luar kebiasaan seperti yang difahami penyair atau panel juri puisi (Lampiran A). Dalam hal ini ada kebenaran bahawa “Memahami makna puisi atau sajak tidaklah mudah kerana puisi makin kompleks dan aneh….” (Rachmat Djoko Pradopo, h. 278). Begitu juga pandangan Riffaterre (1978, h. 1) yang menyatakan bahawa “Puisi selalu berubah-ubah sesuai dengan evolusi dan perubahan konsep estetiknya.”

Menjengah Dunia Puisi

Dalam kesusasteraan sebagai suatu disiplin ilmu, terdapat genre puisi dan prosa. Kata puisi diberikan pelbagai makna oleh para sarjana atau penyair. Penyair-penyair Barat misalnya Edgar Allan Poe menyatakan puisi adalah ciptaan tentang sesuatu keindahan dalam bentuk berirama. Bagi William Wordsworth puiai adalah pengucapan imaginatif daripada perasaan yang mendalam dalam bentuk berirama. Mathew Arnold menulis puisi adalah kritikan tentang kehidupan mengikut keadaan tertentu melalui peraturan keindahan dan puitis. Andrew Bradley menyatakan bahawa puisi adalah rangkaian pengalaman tentang bunyi, imej, pemikiran dan emosi. Manakala Edwin Arlington menyatakan bahawa puisi merupakan bahasa yang menyampaikan reaksi emosi (dalam Glosari Istilah Kesusasteraan, 1988). Samuel Taylor Coleridge pula mengungkapkan puisi adalah “kata-kata terbaik dalam susunan terbaik” (the best words in their best order) (dalam Muhammad Haji Salleh, 1984, h. 4).
Manakala Za’ba (1965) dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu menyatakan “… puisi khasnya dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah, dan melukiskan kecantikan bahasa. Maka dengan gambaran yang cantik ini perkara yang dikatakan itu bertambah menarik kepada hati orang mendengarnya” (h. 28). Muhammad Haji Salleh (1984) dalam bukunya Pengalaman Puisi menyatakan bahawa puisi adalah suatu genre sastera atau bentuk sastera yang menggunakan banyak unsur bahasa. Unsur binaan puisi pula adalah bentuk, bahasa dan tema. Manakala Glosari Istilah Kesusasteraan (1988) menulis puisi adalah pelbagai bentuk pengucapan yang berirama yang terhasil daripada imaginasi dan tanggapan penyair (Safian Hussain, Mohd Thani Ahmad, Zakaria Ariffin, Ahmad Kamal Abdullah & Suhaimi Hj. Muhammad, 1988).
Wajah Diri Puisi
Boulton (dalam M.Atar Semi, 1988) menyatakan bahawa bentuk puisi terbahagi kepada dua, iaitu bentuk fizikal dan mental. Bentuk fizikal adalah irama, intonasi, dan perulangan. Manakala bentuk mental adalah tema, urutan idea, satuan makna, imej dan emosi. Bentuk fizikal dan bentuk mental bergabung membentuk kesatuan; bunyi iaitu irama dimaksudkan sebagai rentetan bunyi; rima iaitu irama tetap di hujung baris seperti dalam pantun, gurindam dan syair. Ritma pula adalah perulangan bunyi khusus atau suku kata yang ditekankan atau tidak ditekankan.
Diksi adalah pemilihan kata. Kata-kata pula bermakna bagi menyampaikan pengalaman rohani atau jiwa atau spiritual penyair. Penyair pula bijak menggunakan dan menyusunkan  diksi bahasa dan sensitif terhadap bahasa karyanya. Namun puisi Sutardji Calzoum Bachri dikatakan sebagai puisi antikata (M. Atar Semi, 1988). Puisi Sutardji menggunakan sedikit kata tetapi mempunyai pelbagai kemungkinan makna. Kepercayaan biasa dalam sesebuah puisi bahawa kata-kata sedikit tidak bermakna atau kurang bermakna. Pemilihan kata adalah kerja yang sukar bagi penyair kerana dia atau mereka menjadi pemilih yang terbaik. Benarlah kata-kata Coleridge bahawa puisi adalah “the best words in their best order.”
Pemilihan kata atau diksi  dapatlah dijelaskan sebagai (a) kata-kata yang berfungsi; bukan sebagai penghias puisi, (b) kata-kata mempunyai rasa; bukan sekadar makna. (c) bukan kata-kata biasa atau bahasa harian, (d) perlukisan perasaan jiwa atau batin penyair yang bermaksud kata-kata yang berjiwa, (e) kata-kata yang memukau khalayak pembaca, dan (f) efek atau kesan estetik yang puitis.
Terdapat beberapa jenis kata yang digunakan  oleh penyair dalam puisi. Antara  diksi yang lumrah digunakan oleh penyair ialah (a) paralelisme iaitu kata-kata yang sama makna, misalnya kasih sayang, benci meluat, cantik ayu, (b) paradoks bermakna bertentangan; siang malam, terang gelap, putih hitam, (c) metafora ialah perbandingan tanpa kata banding, (d) simile ialah perbandingan langsung yang ditandai kata banding; bak, laksana, umpama, bagai, seperti, persis, dan macam, (e) personifikasi pula bermaksud memberi sifat atau perlakuan manusia kepada benda atau hal abstrak yang tidak bernyawa, dan (f) perulangan; antaranya ialah aliterasi, asonansi, kata, frasa (penuh atau separa). Tujuan atau kesan perulangan adalah untuk menghasilkan kesan estetik atau indah, pancaran emosi dalam puisi atau penyair, magis (ritual dalam mantera), dan ketinggian idea dan intelek.
Imejan dimaksudkan sebagai (a) pemanfaatan bahasa; ada kaitan erat dengan diksi, (b) imaginasi penyair terhadap objek-objek alam dan hal-hal abstrak, (c) imaginasi yang terpancar dalam puisi, kemudian dikonkritkan oleh penyair dalam puisi, (d) pengalaman jiwa penyair yang dapat dihayati dan dinikmati khalayak pembaca. Imejan pula terhasil daripada daya imaginasi penyair dengan penggabungan kata dan perulangan dalam larik dan rangkap puisi.
Simbol atau lambang merupakan kata atau frasa yang mempunyai makna di sebaliknya atau makna tersirat. Kategori simbol ialah abstrak, objek, tumbuhan, binatang, alam fizikal, cakerawala, warna, dan manusia, misalnya merah, batu, paku, bunga, kemboja, ular, kumbang, laut, angin, Hang Tuah dan Hang Jebat.
Inversi  atau songsang atau membalikkan subjek dan predikat atau membalikkan pola susunan kata dalam frasa. Contoh “Ini nasi yang kusuap,” “lain padang lain belalang,” dan “telah kuatur langkahan ini.”
Tipografi  bermaksud ukiran bentuk; tatanan larik atau baris, rangkap, frasa, kata dan bunyi yang kelihatan bentuk fizikal atau luaran. Tipografi berbeza mengikut tema puisi. Selain itu, diksi dan tekanan kata dan ekspresi jiwa penyair turut menghasilkan tipografi berbeza.
Membaca buku The Norton Introduction to Poetry, karangan J.Paul Hunter (1986), Profesor Emeritus di University of Chicago, Amerika Syarikat banyak memberi manfaat kepada penyair dan pengkritik genre puisi. Buku ini sudah memasuki edisi ketiga dengan penambahbaikan dan pengemaskinian dengan data puisi pilihan penyair Amerika Syarikat.

Puisi sebagai sebuah genre sastera moden, luas skop pembicaraan dan binaan unsur sama ada luaran atau dalaman sesebuah puisi. Sesebuah puisi berdasarkan pembicaraan Hunter mempunyai subjek, tema, nada, penyair, situasi dan latar, perkataan, bahasa figuratif, metafora dan konteks; diri pengalaman penyair, konteks sejarah, tradisi sastera, mitos (dan legenda) dan budaya.

Membaca puisi adalah membaca pengalaman penyair. Ada yang menyatakan sukarnya membaca pengalaman penyair kerana terungkap pengalaman peribadi dan bahasa puisi yang ambiguiti atau ketaksaan makna . Justeru, dalam usaha memahami sesebuah puisi, pembaca atau khalayak puisi hendaklah memikirkan beberapa perkara.

Kesatu, pembaca hendaklah mengenal pasti situasi puisi – di mana dihasilkan, dan kepada siapa puisi itu ditujukan. Dalam hal ini, pembaca puisi memikirkan lokasi puisi dihasilkan oleh penyair, Ada puisi yang tertera lokasinya atau apabila membaca sesebuah puisi, pembaca dapat mengesan lokasi puisi dihasilkan dan kepada siapa puisi itu dihasilkan. Jika sempena Hari Ibu, pastinya puisi yang dicipta adalah untuk seorang ibu atau para ibu.  

Kedua, meneliti binaan frasa dan ayat dalam baris-baris puisi yang dihasilkan.  Jelaslah sebuah puisi terhasil daripada keupayaan bahasa yang dimanipulasikan oleh penyair.  Puisi siber pula adalah hasil gubahan atau komposisi dengan memaparkan unsur-unsur siber yang menarik dan berkesan. Jika binaan frasa dan ayat dalam puisi jelas, memudahkan pembaca mentafsir makna puisi atau mengesan mesej yang ingin disampaikan oleh penyair. Bahasa puisi meskipun ada yang tersurat dan tersirat tetapi susunannya dalam puisi hendaklah rapi dalam baris, kemudian membentuk rangkap.

Ketiga, apabila membaca puisi, pembaca mahu faham makna tajuk, subjek dan situasi puisi yang dihasilkan. Setiap yang melekat  pada puisi bukan hanya makna yang kosong. Setiap kata atau frasa atau imej atau unsur siber yang dipaparkan bersama puisi ada makna; bukan sekadar penyair suka-suka sahaja memaparkan semua itu. Jika penyair jelas dan teliti membina tajuk puisi, dan subjek puisi pula tidaklah terlalu jauh daripada diri penyair atau khalayak, puisi itu lebih mudah difahami.

Keempat, sesebuah puisi yang dibaca ada kalanya mengundang kejutan. Apa yang pembaca membaca di peringkat awal atau bacaan awal, membawa makna lain. Kemudian, apabila dibaca pula berikutnya, makna lain pula muncul. Justeru, benarlah sesebuah puisi dikatakan bersifat ketaksaan makna atau mempunyai makna berlapis-lapis.

Kelima, tradisi membaca dan melihat puisi tidak berubah – apa di sebalik bentuk, jenis dan pola metrikal puisi atau unsur muzikal dalam puisi. Kemudian, pembaca akan memberi tafsiran dengan bantuan ilmu sastera dan puisi yang dimilikinya. Namun, membaca puisi siber yang separa tulen atau tulen, ada kelainan di sebalik bentuk atau struktur puisi. Puisi siber memaparkan unsur multimedia yang memberi kesan estetik terhadap puisi.

Keenam, puisi muncul pada sesuatu masa dan mengikut peredaran masa. Di tangan penyair, aksara dan bahasa puisi turut berubah berdasarkan subjek puisi yang dihasilkannya. Penyair sebenarnya sebagai manusia melihat dunia dari suatu dimensi yang berbeza, dan ada pengetahuan atau maklumat untuk dikongsi bersama dengan khalayak siber khasnya.

Ketujuh, penyair menghasilkan puisi yang berdasarkan subjek yang berada sama ada jauh atau dekat dengannya. Bahasa yang digunakan pula ada ketikanya sukar difahami oleh khalayak atau pembaca. Namun, pembaca hendaklah selalu merujuk makna kata atau ungkapan yang digunakan oleh penyair. Selain itu, pembaca juga mengenal pasti latar ruang atau geografi puisi, manusia dalam puisi, unsur mitos (jika ada) dan idea dalam puisi. Jika pembaca mendapat gambaran yang jelas, maka sesebuah puisi itu dapat ditafsirkan makna. Sebagai pembaca, hendaklah selalu bertanya “Ada apa pada puisi ini?” Kemudian, pembaca mencari-cari jawapan dalam puisi.

Kelapan, ungkapan “puisi adalah puisi dan puisi bukan boleh diubah mengikut kehendak diri sendiri” adalah benar. Puisi yang dihasilkan oleh penyair terkenal, terhasil berdasarkan proses penciptaan yang lama dan matang. Jika puisi itu diterbitkan atau dipaparkan di media cetak, pembaca hanya membaca dan bukan lagi boleh mengubah puisi itu. Namun, yang berlaku di alam siber, didapati puisi-puisi yang belum matang dipaparkan. Jika ada ruang kelemahan pada puisi-puisi tersebut, penyair boleh mengubahnya dan menerbitkan semula. Alam siber menyediakan ruang terbaik kepada penyair yang mula-mula berjinak di alam siber menjadikan medan siber sebagai medan percubaan menyiarkan puisi siber.

Kesembilan, dalam sebuah puisi ada idea penyair. Penyair pula sering berhujah dengan dirinya sebelum menghasilkan puisi; misalnya idea tentang keadilan, kasih sayang, perjuangan, dan kemanusiaan.  Jika idea atau pemikiran dalam puisi tentang keadilan, penyair berhujah dan mencari makna, mentafsirkan  dan menterjemahkan keadilan. Lantas, penyair memikirkan apa yang berlaku di sekelilingnya hal-hal realiti keadilan. Penyair yang mewakili suara manusia sejagat turut terpanggil untuk menyatakan suara hatinya menyuarakan isu ketidakadilan pihak tertentu. Idea penyair dalam puisinya akan diberi respons oleh khalayak sama ada  bersetuju atau menolak pandangan penyair terhadap sesuatu idea yang dihujahkan itu.

Kesepuluh, pembaca atau khalayak mengandaikan penyair memilih diksi dengan teliti dalam puisi yang dihasilkannya. Perhatikan pandangan Hunter berkenaan penyataan ini; ‘Poets do make mistake, but in poems that show some degree of verbal control it is usually safest to assume that the poet choose each word carefully…’ (1986, hal. 6).

Pemilihan kata atau frasa atau diksi yang sesuai, tepat, bermakna dan baru penting dalam sesebuah puisi. Puisi yang lemah dari segi diksi akan menjejaskan mesej yang hendak disampaikan.



Ada Apa Pada Puisi Yang Menang?

Seterusnya bahagian ini menjelaskan beberapa kriteria dan ciri puisi yang memikat para juri yang melayakkan puisi tersebut menang hadiah utama. Berdasarkan laporan pengerusi HSKU 2014, karya yang terbaik merupakan karya yang menonjolkan pemikiran tinggi dan pelbagai. Selain itu, penggunaan bahasa puisi pula lancar, hebat kreativiti dan penggunaan metafora yang bersesuaian. Pemikiran dalam karya merupakan pemaparan pertembungan idea tempatan, Timur dan Barat, menyentuh isu politik dan agama (Rasdan Ahmad, 25 Oktober 2015). Contoh puisi yang memenangi hadiah utama, iaitu puisi “Di Padang Sarjana,” karya Tuah Sujana (Lihat Lampiran A). Puisi ini juga memenangi HASDI II 2015. Puisi ini menggunakan pendekatan bercerita, bergaya prosaik, menekankan aspek pemikiran dan idea tentang kesarjanaan dan hakikat kebenaran. Selain itu, diksi atau pemilihan kata meskipun dianggap biasa tetapi mencabar pemikiran khalayak atau pembaca (Abdul Mubin Ismail, 2015).

Puisi yang menang hadiah merupakan puisi yang dari segi idea tersusun utuh. Puisi tersebut berkesan dari sudut rasa, emosi dan mental serta memberi impak kesan visual yang imaginatif, ekspresif dan intelektual. Selain itu, puisi tersebut memancarkan nilai motivasi dan kebenaran unggul. Bahasa puisi pula sesuai, ekonomik, mempunyai kiasan, imejan dan makna yang segar. Perhatikan puisi yang memenangi hadiah utama HSKU 2005, “Al-Andalus Menangis” karya Fahd Razy (Lampiran A).

Laporan panel hakim HSKU 2007 (h. xxxvii-xxxviii) menyatakan puisi yang menerima hadiah merupakan puisi yang bernilai kreativiti dari segi pemikiran asli, luwes dan lancar sama ada secara eksplisit atau implisit, dan makna puisi berlapis. Isi puisi pula bernilai pemikiran positif, bervariasi dan avant garde (garda depan) dan berlatarkan tempatan tetapi bersifat antarabangsa. Puisi hebat dikatakan mengungkapkan pembinaan sahsiah dan akhlak insan. Manakala nilai bahasa pula indah, kreatif, imaginatif dan berkesan. Nilai keprihatinan selari dengan nilai nasional, sosial dan kemanusiaan sejagat. Selain itu, terdapat keseimbangan antara unsur instrinsik dan ekstrinsik dari segi  olahan subjek dan gabungan kesemuanya. Data puisi HSKU 2007 ialah “Menggeledah Nurani” karya Fahd Razy dan “Denyut Murba” karya Zaen Kasturi. Puisi-puisi ini membawa persoalan pemikiran tentang mencari makna dan mengenal diri. Wajah puisi ini puitis dari segi bahasa yang segar metafora, personifikasi dan imejan. Makna puisi pula tersurat dan tersirat. Selain itu, kekuatan puisi ini terletak pada kepaduan wacana yang menautkan aliran bahasa dan kesatuan idea.

Puisi “Menyisir Tirai Jendela” karya Jamaluddin D (Jamaluddin bin Darus) memenangi hadiah pertama Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP (2007) (Lampiran A). Puisi ini mempunyai kekuatan dan keutuhan dari segi suku kata, kata, ungkapan, imejan, idea, estetik bahasa, gaya, visi, misi dan mesej yang kuat. Puisi terbaik dikatakan berbicara pada waktu yang tepat dan mempunyai tujuan. Bahasa puisi pula sarat makna, bersimbol, tersirat kiasan dan sederhana muzik bahasa tetapi jujur bicaranya.

Berikutnya jika diteliti Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2010/2011 (kategori puisi), didapati sudut impak dan kesan makna, emosi, psikologi dan keintelektualan secara keseluruhan sebagai pakej yang dianggap kuat dan hebat dalam puisi. Selain itu, aspek kematangan, pengetahuan dan pengalaman sosiobudaya, kesenian dan bahasa turut menjadi ukuran utama dalam memilih puisi terbaik untuk layak diberikan hadiah. Kumpulan puisi Khazanah Segala Rimba karya Marzuki Ali (2011) yang sarat mengungkapkan pemikiran tentang alam sekitar dengan flora dan fauna. Selain itu, puisi eceran pula merupakan puisi yang puitis, bersifat kontemporari dan dramatik dalam puisi “Permainan Mimpi” karya Baha Zain. Namun begitu, puisi “Tanah Diciptakan Angin” karya S.M.Zakir dengan 30 baris tanpa noktah dinilai kekuatannya dari aspek sarat pemikiran tentang peta purba dan moden sebagai panduan hidup manusia (Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011 (Puisi).

Saya berkesempatan meneliti puisi Indonesia terbaik (100 Puisi Indonesia Terbaik 2008: Anugerah Sastra Pena Kencana). Puisi dalam kumpulan puisi terbaik ini dipilih melalui saringan ketat dan teliti oleh para juri yang diketuai oleh Sapardi Djoko Damono. Puisi terbaik ini dipilih daripada surat khabar utama Indonesia, misalnya Kompas, Tempo, Republika, Jawa Pos, Riau Pos dan Pikiran Rakyat. Puisi tersebut dikatakan mewakili suara sastera Indonesia. Berdasarkan laporan juri, puisi terbaik Indonesia 2008 memperlihatkan tiada wujud puisi konkrit yang ekstrim yang lebih menonjolkan visual dan mengalami proses yang baharu. Dari segi persoalan, 100 puisi terbaik itu tidaklah jauh bergerak persoalannya seperti zaman lampau, misalnya cinta, kekecewaan, kerinduan, kesepian dan kematian. Namun begitu, ada puisi itu berbeza cara mengungkapkan persoalan dan lari dari hakikat tradisi perubahan bentuk puisi, misalnya puisi “Rambut Ikal” karya Acep Zamzam Noor yang prosaik dalam enam rangkap. Begitu juga puisi “Lemari Tahun 1957” karya Afrizal Malna yang sifatnya bercerita dalam dua rangkap. Judul puisi “1 Meter Jalan Ke Kiri” karya Afrizal Malna kelihatan aneh yang disampaikan dalam bentuk prosaik. Manakala 60 puisi terbaik Indonesia 2009, masih berligar tentang tragedi, cinta, kesepian dan kepedihan. Namun begitu kreativiti penyair memanfaatkan genre puisi tradisional misalnya puisi “Gurindam” karya Hasan Aspahani yang terbina dalam 53 rangkap menonjolkan genre puisi tradisional gurindam dengan pengisian pemikiran yang kontemporari. Binaan subjudul di bawah pasal ditulis “Yang Sajak, Yang Kata,” “Pada Kamus, Pada Kata,” “Mana Kata, Mana Makna,” “Kenapa Sepi, Kenapa Sajak,” “Ketika Cinta, Ketika Sajak,” Bagi Sajak, Bagi Siapa,” “Cari Sajak, Hilang Sajak,” dan “Anakmu Sajak, Lepaskan Sajak.” Puisi Hasan Aspahani yang memikat para juri ialah “Di Antara Sampiran dan Isi Pantun Tua” (Dalam 100 Puisi Terbaik Indonesia 2008). Puisi ini mengambil sampiran pantun “kalau ada sumur di ladang/ boleh kita menumpang mandi,” kemudian diisi persoalan sajak sebelum diakhiri maksud pantun “kalau ada umur panjang/ boleh kita berjumpa lagi” (Lampiran A).

Membaca puisi dalam buku Belum Dalam Lukamu! karya M.Anton Sulistyo yang diangkat sebagai buku puisi terbaik Festival Hari Puisi Indonesia 2014, tentunya dapat kita mengesan kekuatan dan kehebatan puisinya. Buku puisi M. Anton Sulistyo, seorang penganalisis dan reka bentuk komputer ini merupakan buku puisi perseorangannya yang pertama. Berdasarkan catatan Cecep Syamsul Hari, dinyatakan bahawa puisi menawarkan pemahaman makna berlapis-lapis yang dikatakan suatu kebenaran sejagat. Membaca puisi M. Anton Sulistyo sebenarnya membaca dan meraikan momen atau detik yang muncul dalam kehidupan peribadinya sebagai penyair. Dalam hal ini, penyair dikatakan sebagai “aku-di luar-sajak” yang mengalami proses individualiti menjadi seorang individu yang dikatakan “aku-di dalam sajak.” Puisi dalam Belum Dalam Lukamu! sarat dengan simbol, metafora dan imejan yang segar serta bermakna dalam. Ungkapan “belum dalam lukamu” dikesan dalam puisi “Soliloqui-1” diungkapkan “Tak ada bunga barang sekuntum/ Tapi wewangian itu masih keras tercium/ Di tembok kamarmu. Kalendar sunyi/ Dan tik-tak jam mengalunkan Maskumambang,” “Sehari demi sehari/ Rembulan melenggang lewat di depan jendela/ 1000 jarum yang dihembuskan angin/ Menusuk-nusuk tulang setiap malam...” Belum dalam lukamu! – hardik kesunyian/ Sang Pencoba itu kembali melukaimu/ Sekaligus menyembuhkanmu.” Ada kebenaran falsafah keindividualiti penyair kerana puisi perjalanan psikologis ini dihasilkan di Amerika Syarikat, wilayah asing dan terasing dunia penyair (Edisi Khusus M. Anton Sulistyo … 2014).

Perhentian Sementara

Tidak dapat dinafikan bahawa puisi yang memenangi hadiah, sayembara atau anugerah sastera merupakan puisi yang hebat, kuat dan terbaik yang dinilai oleh para juri dari pelbagai aspek, iaitu kekuatan isi dan pemikiran, bentuk sama ada konvensional atau menyimpang, estetik bahasa yang berwarna-warni dengan ketelitian penyair memilih dan menyaring diksi. Selain itu, bergabung pula dengan simbol, metafora dan imejan yang segar dan baharu yang maknanya tersurat dan tersirat. Tidak dilupakan juga aspek muzik bahasa dalam kata, baris dan rangkap yang bergabung dalam kesatuan sebuah puisi. “…membaca karya hebat ialah suatu pendekatan untuk memajukan diri …” Demikianlah pesan Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh kepada Roslan Jomel (2012, h. viii) sebagai seorang daripada pengarang sastera era pascamoden yang pernah memenangi hadiah pertama Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2012. Pesan yang sama juga begitu pernah diberikan oleh Muhammad Haji Salleh, sewaktu saya berguru tentang penulisan puisi, sastera Melayu-Indonesia dan sastera Timur-Barat sekitar 1980-an.


Rujukan

Abdul Mubin Ismail. Peny. (2015). Rumah orang baju putih: Kompilasi karya eceran Hadiah           Sastera Darul Iman (HASDI II). Kuala Terengganu: Persatuan Sasterawan Terengganu
Abdullah Hassan dan Ainon Mohd. (2011). Kamus peribahasa kontemporari (edisi ketiga). Batu Caves: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Abdullah Hussain. (1982). Kamus istimewa peribahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa           dan Pustaka.
Cecap Syamsul Hari. Momen dalam puisi M. Anton Sulistyo: Catatan pengantar buku Belum           dalam lukamu! (Buku puisi terbaik Festival Hari Puisi Indonesia 2014). Dicapai daripada     http://www.sastradigital.com/edisi-khusus-anton-sulistyo.
Di tengah arus: Antologi cerpen dan puisi Pemenang Sayembara Mengarang Sempena           Perayaan Jublis Emas DBP. (2007). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Edisi khusus M. Anton Sulistyo: Sepilihan sajak dari Belum Dalam Lukamu! M. Anton Sulistyo      Buku puisi terbaik Festival Hari Puisi Indonesia 2014. Dicapai daripada           http://www.sastradigital.com/edidi-khusus-anton-sulistyo.
Fazlena Hishamudin. (2014). Seksi ovari (cetakan keduabelas). Shah Alam: Sang Freud Press.
Fynn Jamal. (2013). Puisi tepi jalan. Ipoh: Rabak-Lit.
Hadiah sastera di Malaysia. (Mac 2008). Dewan Sastera.
Hunter, J.P. (1986). The Norton introduction to poetry (second edition). New York-London:           W.W. Norton and Company.
Jasni Matlani. (2015). Kumpulan puisi dongeng perkebunan. Kuala Lumpur: ITBM, PENA &           PENA.
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011 (genre puisi). Dicapai daripada           http://mimbarkata.blogspot.my/2013/06/hadiah-sastera-perdana-malaysia.html.
Lutfi Ishak. (2015). Kumpulan puisi dondang pembukaan. Kuala Lumpur: ITBM, PENA & BH.
Marzuki Ali. (2011). Khazanah segala rimbun. Pulau Pinang: Penerbit USM.
Mimi Morticia. (2015). Cerita cinta bohongan. Shah Alam: Sang Freud Press.
Mohd. Azhar Abd. Hamid, Muhammed Fauzi Othman, Mohd. Koharuddin Mohd. Balwi dan           Zulkifli Khair. (2008). Hadiah Nobel & kreativiti sains. Skudai: Penerbit UTM.  
Muhammad Haji Salleh. (1984). Pengalaman puisi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nisah Haji Haron. (September 2015). Amanah selepas anugerah dan hadiah. Dalam Dewan           sastera, h. 10-11.
Nor Azah Abd. Aziz dan Rozlan Mohamed Noor. Peny. (2006). Kalau kita menjadi kayu:           Kategori cerpen, puisi dan rencana sastera Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU)           2006. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Nor Azah Abd. Aziz dan Rozlan Mohamed Noor. Peny. (2008). Dari suatu tikungan lorong:           Kategori cerpen, puisi dan rencana sastera Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU)           2007. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Nyoman Kutha Ratna. (2009). Stilistika: Kajian puitika bahasa, sastra dan budaya.           Yogyakarta: Pustaka Pelajar.
Poetry Soup. Dicapai daripada http://www.poetrysoup.com/poems/short/indiependent.
Rachmat Djoko Pradopo. (2012). Pengkajian puisi (cetakan ketigabelas). Yogyakarta: Gadjah           Mada University Press.
Rahimidin Zahari. (2013). Laut tujuh gelombang buih. Kuala Lumpur: ITBM & PENA.
Rasdan Ahmad. (13 Disember 2015). Sayembara semarak sastera tempatan. Mingguan Malaysia,    h. 34.
Rasdan Ahmad. (25 Oktober 2015). HSKU tiga dekad penuh bara. Mingguan Malaysia, h. 34.
Riffaterre, M. (1978). Semiotics of poetry. Bloomington and London: Indiana University Press.
Roslan Jomel. (2012). Selamat datang ke Malaywood: Kumpulan cerpen. Kuala Lumpur: ITBM          & PENA.
Rosli K. Matari. (2015). Matahari itu jauh. Kuala Lumpur: ITBM, PENA & BH.
Safian Hussain, Mohd. Thani Ahmad, Zakaria Ariffin, Ahmad Kamal Abdullah dan Suhaimi Hj.     Muhamad. Peny. (1988). Glosari istilah kesusasteraan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa  dan Pustaka.
Sefa. (2014). Melankolia bisu. Ipoh: Rabak-Lit
100 puisi terbaik Indonesia 2008: Anugerah Sastra Pena Kencana.(2008). Jakarta: Penerbit PT  Gramedia Pustaka Utama.
60 puisi Indonesia terbaik 2009: Anugerah Sastra Pena Kencana. (2009). Jakarta: Penerbit PT  Gramedia Pustaka Utama.

*Makalah untuk Dialog Puncak ASASI 2015 di Pendang Lake Resort, pada 24 hingga 26 Disember 2015.