30 November 2015





CINTA,  APA BUKTINYA?

Malam hari pasang pelita,
Pelita digantung di batang jati;
Awak kata setia  bercinta,
Boleh awak berikan bukti?


Sudah ditebang pokok jati,
Habis disebut habis riwayat;
Bukti bukan sebarang bukti,
Bukti cinta ke akhir hayat.


Menu pagi pelbagai roti,
Dihidang juga buah lonang;
Susah juga bicara hati,
Kalau cakap memang senang.


Leka sungguh nenek bercerita,
Cerita hantu menggigit bahu;
Memang seronok masa bercinta,
Hidup bersama baharu tahu.



AzmiRahman
Sintok
November 2015




 

17 November 2015


CATDEK (5)


Suatu pagi saya ke Hospital Jitra menemani isteri untuk temu janji dengan doktor. Di luar hospital, saya berborak-borak dengan seorang pak cik yang usianya sudah melebihi 60 tahun. Dia bercerita sudah tidak kuat dan tiada daya untuk mengusahakan bendang padi dan menoreh getah. Kesihatannya sudah tidak seperti dia muda-muda dahulu. Dia selalu sakit; darah tinggi, kencing manis dan kaki serta tangannya kebas-kebas. Hanya di hospital kerajaan, dia mampu mendapatkan rawatan kerana kosnya terlalu rendah RM1.00. Dia menyatakan bahawa kos dan harga barangan dan perkhidmatan semua telah naik; upah membajak, membaja dan meracun. Hasilnya pula tidaklah seberapa. Harga getah sekerap hanya RM2.20 sekilo. Kalau RM3.00 sekilo, kira oklah juga katanya. Dia mahu terus menoreh getah meskipun harganya masih rendah kerana mahu meneruskan kelangsungan hidup. Kalau tiada wang, susahlah dia dan keluarganya mahu hidup. Apatah lagi harga ikan, ayam dan daging pun mahal. Itupun masih ada anak-anaknya mahu meneruskan kerja membuat bendang dan menoreh getah. Dia juga menceritakan, jika anak-anak yang malas atau tidak larat mengusahakan kerja itu, habislah bendang dan ladang getah dijual bagi mendapatkan wang segera.

28 Oktober 2015



CATDEK (4)

SABAR SEORANG ISTERI

Suatu pagi, di depan sebuah bank di Jitra: Si suami memarahi dan menengking-nengking si isteri. Saya dan orang yang berada di luar bank itu tidak tahu sebab si suami berbuat begitu. Si suami pula memaki-maki si isteri. Namun, si isteri kelihatan berjalan tenang dan bersabar – tidak memberi respons kepada si suami. Peristiwa itu, pada pandangan saya tidak patut dilakukan oleh si suami, tambahan pula di depan khalayak ramai. Pastinya si isteri berasa malu dan maruahnya hilang diperlakukan begitu oleh si suami. Semarah mana pun akan perbuatan si isteri, marahlah di tempat sesuai dan cara berhemah.
 



CATDEK (3)
GRADUAN HOLISTIK

Pesta Konvo UUM, sempena Majlis Konvokesyen ke-28 UUM, bertema “Graduan Holistik Teras Kecemerlangan.” Menarik tema yang ditetapkan itu. Kata ‘holistik’ menarik minat saya mengulas dan memberi maknanya. Kata holistik bermaksud menyeluruh, iaitu bersifat saling berkait antara satu sama lain sebagai suatu bersepadu yang menyeluruh; bukan menyentuh aspek tertentu sahaja (Kamus Dewan edisi keempat, 2005, h. 543). Jika seseorang itu bersifat dan berjiwa holistik, dia akan lebih cemerlang daripada individu lain yang tidak sebegitu. Sifat holistik, jika merujuk kes graduan IPTA di Malaysia, akan membantunya cemerlang bukan sahaja dalam akademik, malahan bukan akademik. Jika graduan hanya cemerlang dalam bidang akademik, belum tentu dia/ mereka mudah mendapat pekerjaan. Benarlah dikatakan bahawa persaingan untuk mendapatkan pekerjaan kini agak sengit. Aspek yang bukan akademik yang diambil kira oleh pihak yang memilih pekerjanya, antaranya ialah kebolehan dan kecekapan berkomunikasi (lisan dan tulisan/ elektronik), ketrampilan diri, berkebolehan memimpin, ketahanan mental, semangat berkerjasama, berintegriti, berperibadi mulia, dan berilmu pengetahuan. Pada pandangan saya, aspek bukan akademik ini diperoleh dan dikuasai sebaik mungkin semasa di universiti atau di kolej. Manusia yang bersifat dan berjiwa holistik adalah manusia yang berjaya dan cemerlang dalam hidupnya.

21 Oktober 2015


CATDEK 2


Iktibar khutbah Jumaat: Ceritanya tentang seorang doktor perempuan berbangsa India (bukan beragama Islam) berhenti kerja meskipun gajinya sudah melebihi RM80,000 sebulan. Apabila dia melihat ramai ibu/ bapa dibuang oleh anak-anak, tersentuh hatinya mahu membantu mereka. Dia menjadikan rumah mewahnya yang bernilai jutaan ringgit sebagai rumah kebajikan orang tua yang ditinggalkan atau dibuang oleh anak-anak atau keluarganya. Rumah itu didiami 30 orang; 28 orang adalah beragama Islam. Penghuni yang beragama Islam sering diberikan takzirah oleh ustaz atau ustazah yang dijemput ke rumah itu. Doktor itu memberitahu kepada ustaz (khatib khutbah Jumaat) bahawa dia sendiri mengusung seorang ibu tua yang sudah terlalu uzur ke bilik air dan membasuh najis ibu itu dengan tangannya. Betapa terkejutnya ustaz itu mendengar cerita doktor itu. Ustaz itu pula dalam khutbahnya bertanya, “Berapa ramai yang hadir solat Jumaat ini yang sanggup membasuh najis ibu atau bapanya yang uzur?” Cerita khatib lagi tentang seorang ibu di rumah jagaan itu, sering bertanya “Bilakah anak-anaknya akan datang menjenguknya?” Ibu itu mempunyai enam orang anak yang berjaya dalam hidupnya.  Anak-anaknya telah membuang ibunya di rumah jagaan itu. Apabila si ibu bertanyakan tentang itu, si doktor itu berusaha menjejaki anak-anaknya. Si doktor itu dapat berhubung dengan seorang daripada anak-anak si ibu malang yang penuh berharap mahu berjumpa dengan anak-anaknya. Si anak itu menyatakan bahawa dia akan berjumpa dengan ibunya pada hari lahir ibunya. Betapa gembira si ibu apabila mendengar perkhabaran itu. Lalu si ibu selalulah melihat kalendar dan tanda hari-hari yang berlalu sehinggalah tiba hari lahirnya. Pada hari lahir si ibu, dia sudah bersiap sedia dengan pakaian cantik dan awal pagi selepas solat Subuh, dia sudah menunggu di pintu masuk rumah jagaan itu. Hari berlalu begitu pantas, si anak tidak juga menjelma dan si ibu tetap menanti sampailah malam. Apabila kawan-kawannya bertanya, “Bagaimana, anak datang ke?” Si ibu dengan senyum menyatakan bahawa anaknya sibuk, dan akan datang esok pagi meskipun si ibu tidak pasti si anak akan datang atau tidak. Si ibu tetap menunggu si anak. Pada hari yang berikut, setelah solat Subuh, si ibu dijemput Allah, kembali ke rahmatullah. Akhir khutbah, khatib menyatakan bahawa “Jika si ibu tidak reda atas perbuatan anak-anaknya, maka ke nerakalah si anak-anaknya.” Hanya Allah SWT Yang Maha Mengetahui dan Maha Mengatur perjalanan hidup setiap hamba-Nya.

20 Oktober 2015


CATDEK

(1)

Saya namakan siri catatan pendek ini, singkatannya ‘catdek.’ Banyak catdek yang  ingin saya kongsikan dengan khalayak, juga warga dunia yang menjadi sumber ilham catdek ini. Saya mulakan dengan suatu kisah semasa singgah di sebuah sekolah di Terengganu. Seorang bergelar ‘ustazah’ menghampiri dan berada dalam kumpulan lima orang pelajar perempuan. Ketika itu saya berdiri tidak jauh daripada kumpulan pelajar tersebut. Ustazah itu bertanya kepada para pelajar itu, “Mu ni dok kelas mana?” Jawab seorang daripada pelajar, “Dok kelas 5C ustazah.” Kemudian ustazah itu mengatakan, “Mu ni dok kelas bodo. Kelas budok-budok benok. Mu tengok anok-anok saya, semua berjaya masuk universiti. Panda-panda semua.” Senyap sepi budak-budak itu. Saya tak tahulah apa yang difikirkan oleh mereka. Apabila ustazah itu berlalu, saya menghampiri budak-budak itu. Kata saya, “Takpa dik, jangan dok fikir sangat apa yang ustazah itu cakap. Adik-adik pun boleh berjaya bukan sahaja dalam bidang akademik, malahan bidang bukan akademik. Orang yang cemerlang dan berjaya, bukan hanya dilihat pada akademik atau kelulusan. Banyak lagi aspek kejayaan  dan kecemerlangan yang jadi ukuran. Yang penting adik-adik bersemangat mahu menjadi orang cemerlang.” Kemudian, saya berlalu mahu menuju ke Kuala Terengganu. Dalam perjalanan, saya memikirkan bahawa itulah bahananya jika diwujudkan kelas mengikut abjad A, B, C, D dan sebagainya. Abjad-abjad ini menunjukkan perbezaan ketara pencapaian pelajar dalam bidang akademik. Pihak sekolah sepatutnya memikirkan nama kelas berdasarkan, misalnya bunga, tokoh atau warna.

29 September 2015


ADAB SYARAT PENTING CARI ILMU, BERGURU DALAM ISLAM

Ditulis oleh Wan Roslili Bt. Abd. Majid. Posted in Berita Harian
GURU atau pendidik disanjung dan dimuliakan kerana ilmunya. Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: "Kelebihan orang yang berilmu berbanding abid samalah seperti kelebihan bulan purnama berbanding segala bintang."(Sunan Abu Daud dan at-Tirmizi)

Kelebihan dinyatakan Rasulullah itu ternyata disebabkan manfaat ilmu disampaikan oleh orang berilmu. Dalam konteks perbincangan kita, golongan guru khususnya.

Kelebihan guru dan pendidik sering dibicarakan hingga pujangga turut mengibaratkan guru seperti bintang di langit yang menerangi kegelapan di laut dan di darat. Justeru, seseorang pengembara dikatakan akan tersesat jalan apabila bintang menghilang.

Demikian juga ibaratnya kehidupan manusia tanpa bimbingan guru yang akan kehilangan arah panduan. Lalu, akhirnya tersesat jalan.

Secara ringkas, antara sebab guru wajib dimuliakan kerana;

Pertama, guru ialah insan mulia dan tinggi kedudukannya. Sebagai orang berilmu yang dijamin Allah ketinggian kedudukannya seperti yang disebutkan dalam satu ayat-Nya, guru tentu memiliki kemuliaan yang perlu dipertahankan. Bahkan, dalam satu ayat-Nya, Allah menggandingkan orang berilmu dengan malaikat. (Maksud surah Ali Imran, ayat 18)

Kedua, yang mewajibkan kita menghormati guru kerana mereka memiliki kebijaksanaan. Seperti dimaklumkan, manusia dapat mengendalikan hidupnya dengan sempurna berdasarkan keimanan dan kebijaksanaan. Begitu dengan guru.

Dengan kebijaksanaannya, guru berupaya membentuk dan mengembangkan daya keilmuan serta kebijaksanaan dalam diri muridnya. Perkara ini tentu dapat melahirkan generasi yang cemerlang akhlak dan peribadinya.

Ketiga, guru menyumbang bakti yang sangat besar. Jasa guru terlalu besar hingga tidak terungkap oleh kata-kata.

Bayangkanlah betapa besarnya jasa guru membimbing hidup manusia seluruhnya dengan ilmu yang diajarnya. Hidup tanpa ilmu sama seperti hidup dalam kegelapan. Ibarat nur, ilmu menerangi hidup manusia. Umpama lilin, guru membakar diri, menerangi kegelapan.

Sejarah membuktikan bahawa manusia berjaya mencapai kegemilangan menerusi ilmu dan kebijaksanaan. Demikian seterusnya dengan teknologi baru hari ini yang dicipta berdasarkan kedua-dua elemen itu, di samping kemahiran yang dimiliki.

Kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir yang dirakamkan dalam al-Quran menerusi surah al-Kahfi ayat 66-82 menunjukkan adab dalam menuntut ilmu.

Suatu perkara yang dapat dilihat dalam pertemuan antara Nabi Musa dan Khidir adalah bagaimana tawaduk dan rendah hatinya Nabi Musa sebagai seorang 'murid' yang mahu mempelajari sesuatu ilmu daripada gurunya. Tutur katanya penuh adab dan tingkah lakunya penuh sopan, syarat yang amat penting bagi sesiapa saja yang mahu menuntut ilmu.

Meneliti kisah Nabi Musa dan Khidir juga membolehkan kita membuat kesimpulan iaitu mereka secara tidak langsung menggariskan beberapa adab penting dalam mencari ilmu, khususnya dalam berguru.

Pertama, ilmu adalah kurniaan Allah. Tidak ada seorang manusia pun yang boleh mendakwa bahawa dia lebih berilmu berbanding orang lain, kerana ada juga ilmu yang juga anugerah Allah tanpa mempelajarinya (ilmu ladunni iaitu ilmu yang dikhususkan untuk hamba Allah yang salih dan terpilih saja).

Kedua, perlu bersabar dan tidak terburu-buru serta mengutamakan kebijaksanaan pada setiap ketika.

Ketiga, seseorang pelajar perlu memelihara adab dengan gurunya.

Antara adabnya adalah seseorang pelajar mesti bersedia untuk mendengar penjelasan daripada guru dari awal hingga akhir, sebelum bertindak dengan mengabaikan perintah guru.

Selain memuliakan guru, kita bertanggungjawab untuk menunaikan hak mereka.

Antara hak guru yang perlu ditunaikan adalah:-
·         Merendah diri terhadap guru.
·         Memandang guru dengan penuh hormat dan meyakini bahawa keperibadian mereka adalah lebih sempurna.
·         Panggillah guru dengan gelaran mulia sebagai tanda menghormati mereka.
·         Mengiktiraf hak guru terhadap diri kita.
·         Mendoakan untuk guru sepanjang hayat mereka.
·         Berkelakuan penuh sopan ketika mengikuti pembelajaran.
·         Meminta izin guru sebelum memasuki kelas, rumah atau tempat yang khusus seperti bilik guru.
·         Mendengar isi pengajaran dengan tekun walaupun topik perbincangan telah diketahui.
·         Tidak mengemukakan pertanyaan bagi sesuatu masalah yang telah pun diketahui jawapannya.

Imam Al-Syafie pernah mengungkap: "Bersabarlah kamu dalam perjalanan jauh demi menemui gurumu, sesungguhnya lautan ilmu itu diperoleh menerusi perjalanan kamu menemuinya. Sesiapa yang tidak berasa kepahitan menuntut ilmu sedetik, ia pasti menelan kehinaan dek kejahilan sepanjang hayatnya."
Sumber:
http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/berita-harian/7224-adab-syarat-penting-cari-ilmu-berguru-dalam-islam