12 September 2015


TETAMU DI LEMBAH SINTOK :
BERMULALAH DETIK PERJALANAN BARU
Selalunya apabila bermula semester pertama bagi sesi pengajian baharu, lebuh raya Utara-Selatan, menghala ke Kedah/ Perlis sangat sesak dengan kenderaan. Almaklumlah, pendaftaran ribuan pelajar baharu di kampus UUM Sintok dan UniMAP di Perlis. Pagi-pagi lagi para pelajar bersama keluarga datang ke kampus, dan pulang pada waktu petang. Biasanya dalam situasi begini, saya ke Sintok, selepas jam 11.00 pagi kerana jangkaan saya jalan raya tidak sesak dengan kenderaan. Begitulah bila bermula sesi pengajian baharu, kampus akan penuh sesak dengan pelajar dan keluarga pelajar. Laluan dalam kampus sesak dan terpaksa dikawal oleh pihak keselamatan Universiti.
Seronok para pelajar sekarang. Datang ke kampus bersama keluarga. Tidak semasa saya dahulu, dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur, saya redah saja sendirian. Dengan berbekalkan dua pasang pakaian, saya menaiki bas ke Pudu Raya. Dengan duit dalam poket hanya RM100.00. Kalau sekarang, duit sebanyak itu mana cukup. Anak-anak sekarang, masuk universiti sebulan belanjanya lebih kurang RM200.00 sebulan atau lebih. Anak kawan saya, belanja RM500.00 sebulan. Ada kereta dan telefon pintar pula. Semasa saya belajar di universiti, belum ada lagi alat komunikasi itu. Komputer pun masih  guna software yang tidak secanggih sekarang. Saya hanya memiliki mesin taip buruk untuk menaip tugasan. Sekarang, kalau pelajar tidak memiliki telefon bimbit atau telefon pintar dan notebook/ tablet, tidaklah  lengkap sebagai pelajar universiti.
Semasa saya belajar dulu, berbatu-batu jalan kaki pagi, petang dan malam. Nostalgia silam yang perit, mengajar saya menjadi manusia yang tabah dan tahan diuji oleh-Nya. Bila diingati lagi, makan sajalah apa yang ada. Pernah saya makan mi segera selama sebulan kerana kehabisan wang sementara menunggu duit biasiswa JPA masuk. Kalau hendak makan mewah, hanya dalam mimpi saja. Itu pun kalau mimpi begitu menjelma. Bila saya terfikir 4 tahun belajar di peringkat ijazah sarjana muda dan 2 tahun di peringkat sarjana, pada tahun 1980-an, saya tidak terfikir mahu menghubungi ayah, ibu atau adik-adik di kampung. Sesekali bila saya pulang bercuti, baharulah berjumpa dengan mereka. Saya pula tidak kerap  pulang bercuti kerana masa cuti panjang, saya selalu sertai aktiviti sastera dan membaca puisi di dalam negara dan di luar negara. Berbaloi masa belajar, saya dapat melawati seluruh pelosok bumi Malaysia, dan ke luar negara; Thailand, Brunei, Indonesia, dan Singapura, kemudian mengembara ke negara orang putih (UK). Bila kita keluar, dan melihat negara orang, banyak kita dapat belajar tentang bahasa, budaya dan sosial mereka. Kita jadi lebih prihatin dan luas dimensi pemikiran.
Para pelajar Universiti yang masih belum bekeluarga hendaklah mengambil peluang untuk meluaskan horizon minda. Selama empat tahun di kampus, pejam celik pejam celik selesai pengajian; dapat ijazah, kemudian bekerja, dan bekeluarga. Begitulah rutin hidup manusia.  Yang baru menjadi pelajar dan bergelar pemburu ilmu, carilah ilmu dan pengalaman yang sedikit atau sekelumit di mayapada ini buat bekalan di dunia dan di akhirat nanti. Moga kalian berjaya tempuhi segala cabaran yang mendepani. Apa-apapun kalian maafkan segala sejarah lepas yang melusuhkan nafas hidup, dan beri laluan bersemangat kepada masa mendatang. Tidak lupa saya kepada para calon sarjana Pengajian Bahasa Melayu Kontemporari di Kota Bharu, di Kuala Terengganu, di UUMKL, dan di kampus UUM Sintok. Tidak lupa juga kepada para pemburu ilmu peringkat Sarjana Muda di Sintok. Janganlah berdendam kepada sejarah duka tetapi padamkan sejarah itu, lalu bangkitlah dengan semangat diri yang baru.
Azmi Rahman
Jitra - Sintok

  


8 September 2015





MISTIK WANGI DAN DURI

Sekuntum ros wangi, batangnya berduri. Aku lena tidur di bawah kelopak matamu. Keinginan kerasku mahu menyentuhmu. Ros itu bukanlah kekasihku yang setia tumbuh di dalam pasu cinta. Hanya sesiapa saja yang berani dan gila menggenggam batang ros berduri demi aura wangi tubuh ros. Darah yang menitis dari tapak tangan hanyalah manisnya fantasi. Ros yang lain pun sama, mistiknya adalah wangi  dan duri. Aku mahu menjadi lelaki hebat; berjaya mencium wangimu dan melukakan jemari paksaku.

Azmi Rahman
September 2015
Jitra

6 September 2015


MELAYU BERMINDA ‘HANTU’
Kata ‘hantu’ merupakan kata yang lumrah melekat di minda orang Melayu. Hantu dijelmakan dalam tradisi lisan, karya sastera, drama dan  filem Melayu. Malahan dalam budaya dan kepercayaan orang Melayu,  sinonim penyakit misteri dikaitkan dengan perbuatan atau terkena gangguan atau rasukan hantu. Kata ‘hantu’ dalam bahasa Melayu bermaksud "ciptaan khayalan manusia yang menakutkan atau menggerunkan atau menyeramkan" (Kamus Dewan edisi keempat, 2005, h. 511). Dalam bahasa Inggeris disebut ghost bermaksud "spirit of a dead person appearing to somebody who is still living – roh orang mati yang muncul di hadapan seseorang yang masih hidup" (A S Hornby, 2001, Oxford Fajar Advance Learners’s English-Malay Dictionary, h. 766). Kata /hantu/ jika diterbalikkan menjadi kata /tuhan/. Bila percaya kepada hantu dengan penuh taksubnya, maka sebati dalam minda, hantulah menjadi tuhan bertakhta dalam diri. Dengan yakin mereka percaya seolah-olah hantu berkuasa segala-galanya; memberi nyawa, memberi penyakit, dapat menambah rezeki menjadi kaya, malahan hantu boleh membunuh seseorang. Hantu adalah ciptaan orang Melayu  untuk hiburan, meraih material, mainan kosong, dan mengacau fikir rasa manusia. Kepercayaan begini yang sebati di minda orang Melayu, akhirnya merosakkan jiwa, malahan boleh memesongkan akidah.

Wow, banyaknya nama hantu dalam kepercayaan orang Melayu. Dalam buku 33 HANTU (2007), disenaraikan 99 jenis hantu (h. 21-22). Hantu tersebut adalah hantu: air, amukan, anak gua batu, apu, bajang, bandan, bangkit, bawan, balung bidai, batu, beruk, bisa, bota, uri, budak, bujang sembelih, bukit, bungkus, bunian, buta, cika, daguk, dapur, denai, doman, gaharu, galah, genderuwo, golek, gulung, gunung, hala, halimunan, harimau, jadian, hutan, jamuan, jembalang tanah, jerambang, jerangkung, jepun, jin Islam, jin bukan Islam, jinjang, kayung, kemang, kembung, kengkeng, ketumbuhan, kopek, kuang, kubur, kuda, kum kum, laut, langut, lelembut, lembaga hitam, lembong, lenong, lubang, mambang hitam, mambang kuning, mambang putih, mambang tali arus, mati anak, orang mati dibunuh, mati anak, pari, pari-pari, pancur, pelesit, pelak, pemburu, penanggal, penunggu, pusaka, penyakit, pisang, pontianak, puaka, puteri, raya, rimba, saka, saka haiwan, sang kelembai, songkei, sungai, tangga, tenggelung, tepok, tindih, tinggi, dan toyol. Barangkali ada lagi jenis-jenis hantu Melayu yang tidak termasuk dalam senarai 99 jenis hantu ini. Anda boleh namakan hantu-hantu lain itu.

Dalam Islam, tiada hantu. Yang Allah SWT ciptakan adalah manusia, jin, dan malaikat. Jin yang tidak taat kepada Allah SWT adalah hantu (syaitan atau iblis) atau manusia manusia yang mengikut telunjuk hantu adalah pengikut hantu. Keyakinan dan kepercayaan seseorang Islam tidak boleh berubah. Allah SWT adalah segala-galanya – memberi penyakit dan menyembuh penyakit. Kemunculan hantu – wujudnya bomoh atau pawang atau dukun – pelbagai kepakaran;  sakit patah, urut, pengasih, buaya, seri muka, pemikat, pembenci, susuk, tenaga batin, mata, kulit, dan kebal.
 
Anda teliti sebuah puisi yang saya hasilkan yang diterbitkan di eSastera.com berkenaan hantu. Saya mentafsir hantu dalam konteks yang lebih luas dimensinya.

HANTU DI NEGERI WAILOL*
Di negeri wailol;  engkau adalah hantu di rumah hantu bikinan manusia. Diperbodoh oleh para pembikin hantu. Ketakutan dan keseraman palsu. Bikinan para pencari wang dan menebalkan keseronokan. Bodohnya kalian menjerit-jerit dan ketakutan di rumah hantu.

Di negeri wailol; engkau di rumah marhaen; hanya terpampang gah tanda nama dan wajah; sedang engkau tanpa suara. Bayang pun menghilang. Jika ada pun, bayang diam di bawah kerusi bisu. Jika bersuara pun, hanya suara mengiyakan yang engkau tiada kenal punca dan hujung hujah.

Di negeri wailol; hantu bertopeng menjelma di mana-mana. Di dalam panggung wayang dan di panggung rumah nafsu, ada hantu Melayu bikinan para pelakon. Marhaen mangli dengan hantu lakonan; hantu glamor dengan gosip longkang dan skandal kangkang .

Di negeri wailol;  ada hantu politik yang meneguk darah kuasa. Yang bertaringkan ego. Yang mendarah daging wang.

Di negeri wailol; hantu berkeliaran di rostrum suara. Panjang lidahnya menjelirkan hipokrasi. Menyuntik kuman rakus ke tubuh marhaen. Engkau mahu semua jadi hantu.

Di negeri wailol; negeri yang berduri. Para hantu berani membakar kertas undang-undang. Abunya dihanyutkan ke  sungai tanpa perasaan.

* WAILOL – bahasa Perlis bermaksud bodoh atau bahlul (Kamus Dewan edisi keempat, 2005, hal. 1794)

HANTU YANG DIKOMERSIALKAN                                          

Cerita hantu pula dikomersilkan melalui filem. Malahan lambakan filem hantu dalam industri hiburan telah menjadi isu nasional. Muka depan Berita Harian 3 Oktober 2011 bertajuk ‘Filem Hantu Cetus Debat.’ Dikatakan filem hantu menurut mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak membantu membina masyarakat produktif. Malahan cerita hantu member nilai negatif dan merosakkan minda orang Melayu dengan unsur karut marut dan kurafat.
Apa ada pada nilai seram, gerun, ngeri dan takut dalam filem hantu. Cerita pula tentang hantu yang ganas; mengacau dan mengganas membalas dendam. Akhirnya tewas sama ada oleh kuasa yang lebih kuat atau ayat-ayat al-Quran yang dibacakan oleh ustaz atau watak-watak alim dalam cerita hantu tersebut.

Apa-apa alasan yang diberikan oleh pihak produksi yang menerbitkan filem hantu mengarah kepada aspek keuntungan material dan hiburan semata-mata. Kalau dikatakan filem hantu mahu mendidik masyarakat supaya jangan percaya kepada hantu, sukar kita menerimanya.

Jika diperhati filem hantu mendapat sambutan penonton dan kutipannya pula mencecah jutaan ringgit. Misalnya filem ‘Jangan Tegur’ (RM3.4 juta), ‘Jangan Pandang Belakang Congkak’ (RM6.1 juta), ‘’Ngangkung’ (RM8.2 juta), ‘Khurafat’ (RM8 juta), ‘Karak’ (RM4.3 juta), dan ‘Hantu Bonceng’ (RM8.5 juta).

Tidak ke mana kita dengan filem hantu. Tidak maju kita dengan filem hantu. Tidak naik taraf filem Melayu dengan cerita-cerita hantu. Tidak ada nilai estetik pun filem hantu. Nilai yang ditonjolkan adalah nilai jiwa kacau!

Sintok





1 September 2015


GURINDAM TENTANG PEMIMPIN


Inilah gurindam tentang pemimpin kita,
Dikhabarkan rakyat macam-macam cerita.


Jika pemimpin berimankan Allah,
Itulah jalan selesai segala masalah.


Jika pemimpin mengikut nafsu,
Lama kelamaan kepimpinan lesu.


Jika pemimpin boros belanja,
Usahlah suruh rakyat rajin bekerja.


Jika pemimpin cakap berbelit-belit,
Rakyat nanti hadapi sulit.


Jika pemimpin cakap sombong,
Itulah pemimpin mulutnya macam serombong.


Jika pemimpin membangsatkan Melayu,
Bertambahlah Melayu jadi layu.


Jika pemimpin tidak bersih,
Rakyat pula tidakkan kasih.


Jika pemimpin tidak cekap,
Eloklah pemimpin itu ditangkap.


Jika pemimpin tidak amanah,
Dalam diri pemimpin sudah bernanah.


Jika pemimpin pentingkan diri,
Sebenarnya pemimpin ditusuk duri.


Jika pemimpin berlagak kaya,
Usah biarkan rakyat papa kedana.


Jika pemimpin salah guna kuasa,
Turunkan pemimpin secara paksa.


Jika pemimpin berperangai mendukacitakan,
Nanti pemimpin senang digulingkan.


Jika pemimpin sudah lemah,
Habislah negara akan dimamah.


Jika pemimpin sembunyikan kejahatan,
Zaman siber segalanya pantas diviralkan.


Jika pemimpin berperibadi tinggi,
Rakyat sanjung tanpa berbelah bahagi.


Jika pemimpin keras kepala,
Nanti rakyat ditimpa bala.


Sekian gurindam hamba karang,
Jangan pemimpin muka diconteng arang.


Azmi Rahman
Jitra - Sintok
1 September 2015


 

31 Ogos 2015


ARKIB : 11/12/2008

TELITI  ISU BAHASA MELAYU HINGGA KE AKAR UMBI
DR. SHARIFUDIN LUBIS

Pensyarah Kanan,Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.
Isu cabaran dan penghinaan yang dihadapi bahasa Melayu nampaknya tidak pernah reda. Lepas satu isu, satu isu yang lain pula akan muncul. Setiap kali pula media tidak jemu memaparkannya apatah lagi apabila membabitkan kenyataan dan ulasan oleh para pemimpin negara.
Ada dua isu bahasa Melayu yang timbul setakat beberapa hari ini. Satu ialah berkenaan penggunaan bahasa Melayu di mahkamah dan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan para peguam. Satu lagi ialah berkaitan papan tanda kawasan perumahan dan nama jalan sebuah taman perumahan di Ipoh.
Pada pendapat saya, kedua-dua isu terbaru ini dan isu-isu lain yang berkaitan dengan status bahasa Melayu boleh diselesaikan dengan mendiagnosis akar puncanya. Saya menarik perhatian kepada asas pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara seperti yang tercatat dalam Perlembagaan Negara, Fasal 152.
Masyarakat sering dikhabarkan bahawa kedudukan bahasa Melayu dijamin oleh Perlembagaan. Namun demikian ada sebahagian fasal tersebut yang dengan jelas menyebutkan bahawa bahasa-bahasa lain tidak boleh dilarang daripada digunakan, malah boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja terutama penutur jati masing- masing.
Walaupun banyak pihak (termasuk Datuk Azian Osman - seorang peguam, Senator, Pengerusi Syarikat Perumahan Negara dan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timur yang mempertikaikan papan tanda pelbagai bahasa di kawasannya) yang menyangka bahawa Fasal 152 itu begitu luhur dan dapat menjamin kedudukan bahasa Melayu, tetapi hakikatnya ialah bahasa Melayu terpaksa juga bersaing dengan bahasa-bahasa lain.
Dalam era dunia yang sangat dikuasai kapitalis, bahasa Melayu langsung tidak berdaya saing dari segi ekonomi dan menjadikannya bahasa yang tidak berkuasa apa-apa, walaupun seolah-olah selamat dalam Perlembagaan.
Keadaan menjadi bertambah buruk apabila kuasa politik orang Melayu merudum semenjak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) yang lalu. Ternampak jelas perkaitannya; apabila kuasa politik Melayu terjejas, daulat bahasa Melayu turut terheret ke lembah penghinaan.
Tiada sesiapa lagi yang peduli akan nasib bahasa ini kerana 'sudahlah miskin, hina pula'!
Sebelum kita menuding jari kepada pihak lain untuk dipersalahkan, saya fikir elok jika kita sendiri bermuhasabah diri. Kedudukan bahasa Melayu menjadi begitu goyah kerana akarnya tidak kemas. Akar yang dimaksudkan di sini ialah dari segi kedudukan sebenarnya dalam Perlembagaan. Fasal 152 itu menjadi rujukan asas kepada pelbagai dasar bahasa yang terbit kemudian.
Pelbagai pindaan dangkal (terutama beralaskan agenda politik) dibuat dan akhirnya menjadikan status bahasa Melayu tidak ubah seperti 'raja tanpa kuasa'. Jika kita benar-benar mahu memartabatkan bahasa Melayu, perkemaskan intipati fasal tersebut dan buat pindaan terhadap setiap perkataan, ungkapan atau ayat yang boleh menggugat status bahasa Melayu.
Secara sedar atau tidak, syarat yang dikenakan dalam fasal itu membolehkan sekolah beraliran jenis kebangsaan ditubuhkan. Para pemimpin pula tidak wajib menggunakan bahasa Melayu dalam majlis-majlis rasmi. Banyak situasi majlis rasmi sama ada peringkat kebangsaan atau antarabangsa (yang dihadiri oleh hanya seorang dua orang asing) yang memperlihatkan para pemimpin tertinggi negara tidak menggunakan bahasa Melayu.
Masih ramai pula peguam (rakyat Malaysia dan menerima pendidikan bidang guaman sepenuhnya di Malaysia) tidak menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam perbicaraan di mahkamah. Kesemua mereka tidak boleh disabitkan sebagai melanggar Perlembagaan kerana Perlembagaan membolehkan bahasa lain selain bahasa Melayu digunakan.
Tidak cukup dengan itu, status bahasa Melayu sebagai akar perpaduan rakyat negara ini juga tidak dipedulikan, terutamanya yang membabitkan dasar-dasar sosial termasuk pendidikan.
Dalam keadaan yang goyah, diperkenalkan pula dasar PPSMI yang menjadikan bahasa Melayu terus terpinggir kerana kehilangan peranannya sebagai bahasa pengantar dominan dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Sekali lagi para pemimpin tidak bersikap 'kepimpinan melalui teladan'. Bagaimanakah komunikasi antara rakyat berbilang kaum dapat 'dinyah prejudis' jika bahasa pertuturan mereka berlainan? Jurang komunikasi inilah yang menjadikan isu perpaduan kaum semakin parah.
Satu sahaja jalan bagi menyelesaikan kemelut ini iaitu menerusi jalan politik. Sementara kerajaan yang ada masih mempunyai kuasa majoriti, para pemimpin yang telah diberi mandat haruslah meneliti isu bahasa Melayu ini sehingga ke akar umbinya.
Janganlah bermain retorika politik lagi. Pilihlah; sama ada ikhlas untuk mendaulatkan bahasa Melayu atau 'alang-alang menyeluk pekasam' biarkan kita menjadi seperti Singapura.
Kami para pencinta bahasa Melayu sudah jemu bermain dengan perasaan; seperti kata pantun:
Apa diharap padi seberang,
entah berbuah entahkan tidak,
entah dimakan pipit melayang;
apa diharap bahasa tersayang,
entah bertuah entahkan tidak,
entah semakin bertambah hilang!
Kongsi Konten di :


Sumber Artikel Penuh:


APA NASIB BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU? - DR MOHAMAD TAJUDDIN
Published: 9 October 2013 8:09 PM | Updated: 10 October 2013 4:09 AM
Saya ingin berkongsi pengalaman berdebat dengan seorang ahli politik bukan Melayu.
Isunya adalah beliau ingin menyarankan bahawa negara ini perlu mewujudkan dua aliran pendidikan nasional, satu dalam Bahasa Melayu dan satu lagi dalam Bahasa Inggeris.
Kami berdebat di sebuah restoran dan kami berdebat dengan menggunakan Bahasa Inggeris. Walaupun saya fasih dalam Bahasa Inggeris tetapi saya mempertegakkan pegangan bahawa kita harus menghormati keputusan ahli-ahli poitik negarawan yang lampau yang telah mengambil keputusan untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Resmi dan Bahasa Ilmu.
Dewan Bahasa dan Pustaka dan Universiti Kebangsaan Malaysia telah diwujudkan, kalau tak salah saya, untuk mengembangkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu. Sepanjang perdebatan kami, saya menyatakan bahawa saya bukan seorang patriot Melayu dan bukan mempertahankan martabat bahasa itu kerana saya seorang Melayu.
Buktinya, saya bersekolah dari aliran Inggeris, berpendidikan di Amerika Syarikat selama enam tahun dan di Scotland selama tiga tahun. Saya membaca 10 kali ganda buku cerita Inggeris dari buku cerita Melayu. Keputusan Bahasa Inggeris saya adalah A1 dan A2 untuk English 121.
Bahasa Melayu saya dapat C5! Jadi saya bukan pencinta Bahasa Melayu.
Kenapa saya memperjuangkan penggunaan Bahasa Melayu dalam pendidikan tanpa mengabaikan perkembangan sihat Bahasa Inggeris?
Dua sebab. Pertama, ini adalah keputusan bapa-bapa kemerdekaan kita dan saya menghormati hasil sejarah dan warisan kita.
Kedua, saya bersetuju dengan beberapa orang profesor yang berpendapat bahawa ketamadunan hakiki tidak akan wujud pada sesuatu bangsa jika ilmu tidak dikembangkan dalam bahasa ibunda.
Negara Cina, Jepun, Korea menunjukkan kemajuan ketamadunan dalam bahasa masing-masing. Dengan sikap begini, saya telah memulakan kerjaya saya di UTM, Johor dengan bersyarah dalam Bahasa Melayu dan menulis dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.
Pada ketika itu ramai pensyarah masih lagi berkuliah dalam Bahasa Inggeris kerana itulah bahasa pendidikan mereka dan mereka tidak mempunyai sikap pembinaan ketamadunan Nusantara.
Apa yang saya ingin bangkitkan adalah terdapat kecelaruan dalam polisi pendidikan dalam negara kita masa kini. Saya dah jadi keliru dan tidak yakin dengan apa yang berlaku terhadap nasib Bahasa Melayu.
Anak-anak kita di sekolah rendah dan menengah kini kembali mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu/Malaysia. Tetapi apabila mereka sampai di Universiti Teknologi Malaysia dan UiTM, mereka semua terpaksa mendengar kuliah dalam Bahasa Inggeris!
Di Jabatan Senibina, UTM, tempat saya, kesemua pelajar dikerah menulis tugasan dan papan pameran lukisan dalam Bahasa Inggeris! Kecuali tugasan dan kerja studio saya, saya kerahkan dalam Bahasa Melayu. Apakah alasan UTM bertindak demikian?
Jawapannya;  Pengantarbangsaan! Dalam kelas saya, dari 70 orang pelajar, ada 2 pelajar dari Iran yang Bahasa Inggeris mereka pun tunggang-langgang.
Sebelum pengantarabangsaan, apabila Tun Mahathir menukar pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, UTM mengarahkan semua pensyarah menukar bahasa kuliah.
Saya menolak perintah tersebut di atas alasan subjek Falasah dan Studio Senibina harus diajar dalam Bahasa Melayu dan Malaysia kerana ia adalah sukar untuk diberi kefahaman yang sempurna kerana ia banyak berbentuk pemikiran.
Tetapi saya terpaksa menukar bahasa kuliah saya apabila satu atau dua orang pelajar Iran atau Jordan atau Syria menjelma dalam kelas saya. Dalam subjek dissertasi atau karangan panjang, ramai pelajar Cina dan nada juga segelintir Melayu memohon untuk tulis dalam Bahasa Inggeris.
Kenapa? Mudah “download”, ciplak daripada  Internet! Sukar saya nak ceritakan tentang betapa banyaknya budaya “download” berleluasa dalam tugasan, dissertasi dan papan pameran senibina.
Saya cuba menyakinkan jabatan bahawa dengan menggunakan Bahasa Melayu maka pembelajaran sempurna lebih berkesan kerana pelajar tidak ada sumber untuk “download” dan terpaksa memerah otak sendiri.
Tetapi acapkali perbahasan saya dipatahkan dengan satu perkataan… pengantarbangsaan. Walaupun saya mencelah mengatakan bahawa mengikut Prof Dr Sham Sani, pengantarabangsaan bukan bermaksud penginggerisian tetapi sesuatu institusi itu mempunyai ilmu yang boleh dikongsi bersama dengan kaum serta tamadun lain.
Bukan semata-mata menukar kuliah dan tugasan ke dalam Bahasa Inggeris. Pernah seorang pelajar saya tahun akhir membentangkan Ide Rekabentuknya dalam Bahasa Melayu dan pelajar tersebut telah diberi Gred A oleh empat ahli panel pemeriksa tetapi digagalkan oleh seorang panel dari Itali kerana tidak membentangkannya dalam Bahasa Inggeris.
Sebagai Pengerusi Panel Pemeriksa, saya telah meringkaskan penerangan reka bentuk tersebut dan lakaran bangunan pun mudah dibaca tetapi panel tersebut bongkak menegakkan keputusannya.
Saya telah bertanya pihak Fakulti, adakah saya ditugaskan mengajar Senibina atau Bahasa Inggeris? Kalau senibina, pelajar itu jelas cemerlang.
Sekarang pun beliau menjadi seorang Arkitek yang berjaya dengan projek dalam dan luar negara. Tak ada masalah. Ringkasnya, apa nak jadi dengan Bahasa Melayu jika UTM dan UITM kemaruk dengan isu pengantarabangsaan dan meminggirkan pengajaran dalam bahasa ibunda? Saya memang keliru dalam hal ini.
Isu kedua adalah penulisan buku dan jurnal dalam Bahasa Melayu. Kebanyakan IPTA seperti UTM kini giat mempastikan bahawa kesemua pensyarah menulis kertas akademik dalam Jurnal Antarabangsa dan semestinya ia dalam Bahasa Inggeris.
Kenapa? Pengantarabangsaan! Ranking Universiti Dunia! Bila saya bangkitkan persoalan, siapa nak didik rakyat Malaysia, siapa nak bangunkan ilmu dalam Nusantara… suara saya tenggelam dan tidak diendahkan.
Pernah saya cuba usahakan sebuah buku alam bina dalam bahasa Melayu dan menjemput rakan-rakan akademik menulis bab-bab di dalamnya. Projek buku saya tidak dipedulikan langsung.
Kenapa? Penulisan dalam Bahasa Melayu tidak dapat markah tinggi “high impact writing” dan penerbit tempatan tidak tinggi markahnya dari penerbitan luar negara. Saya tak mahu lah nak cerita tentang berita-berita yang saya dengar tentang penerbitan jurnal yang memerlukan pembayaran dan juga yang “cokia” kerana saya tidak mementingkan penulisan jurnal sebegini.
Saya hanya tulis dalam jurnal antarabangsa jika dijemput sahaja dan untuk memimpin pelajar PhD dari luar negara di bawah penyeliaan saya. Begitu juga dengan seminar.
Seminar antarabangsa semacam diutamakan dari seminar kebangsaan. Pendek kata kalau nak buat projek nak bodek orang atas universiti mesti antarabangsa, projek tempatan semacam tak laku. Bagi saya, ini suatu bencana kepada pembangunan ketamadunan.
Isu ketiga adalah keberkesanan penerbit buku tempatan. Saya berpengalaman menerbit buku dengan UTM, Dewan dan penerbit luar. Yang banyak dulu dengan UTM dan kini lebih banyak dengan Dewan.
Sebelum itu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak UTM dan Dewan yang sudi menerima dan menerbitkan buku-buku saya. Tujuan kritikan yang akan saya buat adalah bukan untuk memburukkan tetapi menjelaskan keadaan sebenar demi kepentingan memartabatkan Bahasa Melayu di Nusantara.
Dari sudut jangka masa penerbitan buku, terus terang, saya cakapkan, Penerbit UTM mengambil masa purata dua hingga tiga tahun untuk menerbit buku-buku saya. Lainlah kalau buku yang ditulis oleh VC.
Setahun satu dua boleh keluar dengan pantas. Maklumlah. Tiga buku terakhir saya dengan UTM dah hampir masuk tahun ketiga. Tak keluar-keluar lagi.
Dengan Dewan, kebanyakan buku-buku saya telah mengambil masa empat tahun untuk diterbitkan! Mungkin pengurusan Dewan tidak boleh dipersalahkan sahaja kerana Dewan terikat dengan monopoli Syarikat DAWAMA yang menguruskan percetakan dan atur huruf serta penjualan.
Pengalaman pendek saya dengan pihak DAWAMA ini, ia tidak lah suatu syarikat yang mempunyai pengurusan yang efisien. Contohnya saya gagal menjumpai buku-buku saya dalam web site mereka walaupun dah berbulan-bulan keluar cetakan.
Kualiti atur huruf pun amat mengecewakan sekali. Ringkasnya, bagaimana nak mengembangkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu kalau purata empat tahun nak dikeluarkan?
Pihak Dewan pun pernah mengeluh untuk mencari penulis buku ilmiah dalam Bahasa Melayu kerana ramai yang lebih cenderung untuk tulis dalam Bahasa Inggeris, walaupun penulis-penulis ini dari bangsa Melayu!
Berbalik kita pada isu nasib Bahasa Melayu, bagaimana ia hendak dimartabatkan kalau universiti tempatan kurang memberi penekanan kepada Bahasa Melayu?
Universiti swasta dah tentu tak kisah langsung pasal memartabatkan Bahasa Melayu. Nak cari buku terbitan dalam Bahasa Melayu dari Taylors University, UCSI University, Sunway University atau Lim Kok Wing dan yang lain-lain memang susahlah.
Jadi, apabila UTM dan UiTM mengutamakan pengajaran dan penulisan dalam Bahasa Inggeris, saya pun makin keliru arah tuju negara ini dalam isu Bahasa Melayu. Betulkah kita ni nak memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu?
Pandang-pandang pendek dan panjang saya… macam tak aje! Kalau dah orang cerdik pandai (kononnya) para profesor dan Dr-Dr semua lebih senang dan suka berbahasa Inggeris dalam kuliah, seminar dan kertas jurnal… ayuh mari kita tukar polisi bapa-bapa kemerdekaan.
Mari kita tukar terus ke Bahasa Inggeris. Dalam hal ini tak payah ada dua aliran pendidikan nasional. Satu cukup. Bahasa Inggeris. Lagipun... kalau budak-budak sekolah sampai UTM dan UiTM senang mereka belajar… semua dalam Bahasa Inggeris.
Yang tinggal minit mesyuarat Fakulti dan Senat dalam Bahasa Melayu! Itu pun entah berapa lama. Minit mesyurat Jabatan Senibina dalam Bahasa Inggeris kerana terdapat pensyarah “antarabangsa”.
Cuma yang kelakar panggilan mesyuarat untuk semua pensyarah masih dalam Bahasa Melayu! Jadi… Bahasa Melayu tak lama lagi di universiti tinggal untuk tulis surat dan minit mesyuarat.
Tujuan utama saya menulis artikel ini adalah untuk menyoal para pemimpin politik di negara ini. Masih relevankah Bahasa Melayu di Malaysia?
Kalau relevan, tolong cakapkan pada pucuk pimpinan UTM dan UiTM supaya tidak menganiayakan anak-anak kita yang penat belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu.
Tolong cakapkan pada penerbit-penerbit buku... cepat sikit terbit buku-buku tu. Dan tolong cakapkan kepada pengurusan universiti supaya jangan pinggirkan Jurnal-Jurnal dan seminar kebangsaan dengan pemberian markah yang kurang dari jurnal antarabangsa.
Kalau Bahasa Inggeris dirasakan amat penting bagi perkembangan ketamadunan Tanah Melayu dan Nusantara dan Bahasa Melayu dinampakkan tidak berwibawa… ayuh kita UBAH!
Let us read, speak and write in English. Let the Malay Language be merely an ethnic curiosity (Mari kita baca, bertutur dan menulis dalam Bahasa Inggeris. Biar Bahasa Melayu menjadi hanya ilmu tentang satu kaum sahaja). – Oktober 9, 2013.
* Dr Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi is Professor at the Department of Architecture, Faculty of Built Environment at the Universiti Teknologi Malaysia.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Sumber:
http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/apa-nasib-bahasa-melayu-sebagai-bahasa-ilmu-dr-mohamad-tajuddin

27 Ogos 2015






ULAR


Ular berbisa menyusur  akar di taman. Bisanya tidak hilang. Ular tetap berbisa. TETAPI. Ini jenis ular apa – Kepalanya ular. Takkan ekornya belut. HANYA. Ular menelan belut. Belut menelan cacing. TETAPI. Berhati-hati cacing menelan naga.


Rotan tua berbelit-belit,
Di batang pokok rumah belatuk;
Orang cakap berbelit-belit,
Ular dibiar, orang dikatuk.



Berhati-hati dengan ular. Burung menjadi mangsanya.


Azmi Rahman
Sintok
Ogos 2015