18 Mei 2015




Salam semua,
Beginilah luahan hati sebuah kasih yang tidak menjadi. Apa-apa pun redalah kerana yang terjadi adalah ketentuan Allah SWT. Barangkali setiap apa yang terjadi tersurat dan tersirat hikmah bermakna.

TERSEKSA AKU MELUPAKANMU
Sekian lama kita bercinta
bicara manis yang kau ukirkan di taman hatiku
aku terima penuh gembira
aku sematkan di kamar percayaku.

Sukarnya aku melupakanmu
betapa kuat ikatan janjimu
mahu hidup bersamaku
namun semuanya hanyalah sandiwaramu
mudahnya kau tinggalkan aku
kau musnahkan janjimu
kau hancurkan hidupku.
terseksa jiwaku melupakan tindakanmu itu.

Korus:

Oh, Tuhanku
apa jua yang terjadi
aku reda tempuhi hidup ini
tanpa kau di sisiku
aku tabah melalui perjalanan hidup terseksa ini.

Lirik: Azmi Rahman
Lagu:
Penyanyi:



13 Mei 2015


SETIAP KALI KAU TIBA, 16 MEI


Setiap kali kau tiba, 16 Mei
Adalah detik disuratkan budi
Subur  di laman didik
Berakar di tanah ajar
Adalah detik jasa dikenang abadi
Seluas langit nilai mulia hati yang suci
Berguru daripada  guru
Ilmu membenih di tanah usia.


Setiap kali kau tiba, 16 Mei
Adalah detik disuratkan ilmu
Sabar guru membijaksanakan suara
Tenang menukangi rumah matang anak murid
Tekun menganyam pengalaman
Terbentanglah  kemenangan berzaman
Generasi pewaris nusa-bangsa.


Setiap kali kau tiba, 16 Mei
Kalian adalah guru pernah menjadi anak murid
Kalian anak murid pula menjadi guru
Bergurulah kita di mana-mana ruang marcapada.


Setiap kali kau tiba, 16 Mei
Hadiah bermakna daripada anak murid
Kertas mulia hati membaluti bungkusan hadiah “terima kasih cikgu”
Kepingan kad  “bakti cikgu abadi dalam ingatan”
Tersusun kemas aksara sanjungan di dalam sampul minda.


Setiap kali kau tiba, 16 Mei
Adalah Hari Guru
Adalah makna berguru daripada guru
Mengenali huruf-huruf ilmu
Mengira angka-angka bijaksana.
Menulis bahasa berjiwa.



Azmi Rahman
Sintok


 

 

12 Mei 2015


RIBUT


RIBUT sudah muncul di segenap ruang resah marhaen. Ribut suara berapi di lidah melanda puncak kuasa. Ribut amarah bicara hati yang sekian lama terpendam melanda pula padang berdebu. Ribut sudah melanda di mana-mana. Tidak terhenti ribut. Ribut berpusing-pusing menjadi puting beliung  ---  menggulungkan para perakus kuasa dan meranapkan konkrit hipokrit!

Azmi Rahman
Sintok
Mei 2015

11 Mei 2015


Salam buat semua,

Sayangilah ibu kita semasa dia masih hidup. Buatlah yang terbaik untuk ibu kita. Jika ibu kita telah kembali ke rahmatullah, doakan kebaikan, rohnya berada dalam kalangan roh hamba-Nya yang beriman. Amin.

PANTUN BUAT IBU
(Setiap detik adalah Hari Ibu)
Burung tempua membuat sarang,
Membuat sarang di dahan jati;
Ibu kita hanyalah seorang,
Hilang dia tiadalah pengganti.

Waktu senja nampak redup,
Nampak cerah di sebelah barat;
Kasihlah ibu semasa hidup,
Bermakna hidup dunia akhirat.

Tanam serai di tepi telaga,
Ditanam juga sederet tebu;
Kasihnya ibu membawa ke syurga,
Kasihnya anak membahagiakan ibu.

Sudah masak buah duku,
Pokok duku milik nyonya;
Betapa besar jasa ibuku,
Akan kucurahkan bakti buatnya.

Enak sungguh makan capati,
Minum pula sirap selasih;
Jasa ibu sungguh bererti,
Mendidik anak membelai kasih.
 Manis sungguh air tebu,
Manis juga rasa halwa;
Besar sungguh pengorbanan ibu,
Demi anak berkorban nyawa.

Azmi Rahman
Mei 2015




29 April 2015


SERAMAI 216,048 (56%) GRADUAN UNIVERSITI MENGANGGUR DARIPADA 385,800 PENGANGGUR DI MALAYSIA. APAKAH PUNCA & MASALAHNYA?
Berpelajaran tetapi tiada jawatan kosong dan pekerjaan. Itulah ungkapan yang sesuai dengan nasib para graduan yang keluar berpuluh ribu saban tahun. Yang mana pencapaian agak serdahana, keluar sahaja tempoh pengajian selama lebih 3 tahun dan ke atas contohnya, keluar-keluar sahaja sudah memikul hutang sekurang RM15,000 dan ke atas berdasarkan kos di tempat pengajian masing-masing yang mereka pernah turunkan tandatangan akur janji sebelum ini.
Malangnya, “mimpi indah” yang diharapkan kalangan anak muda dan graduan universiti bagi mengisi jawatan kosong secepat mungkin, sebenarnya tidak semudah yang mereka sangkakan.
Punca Graduan Universiti Susah Isi Jawatan Kosong Sekarang?
Walaubagaimanapun, hasil kajian yang dihasilkan oleh Jobstreet menunjukkan terdapat beberapa faktor menyebabkan ramai graduan universiti yang masih menganggur. Antara puncanya ialah :
1.      Masalah penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah : 56%
2.      Masalah sikap dalam diri yang teruk : 37%
3.      Mengharapkan gaji yang tidak realistik : 33%
4.      Kemahiran yang ada tidak berpadanan dengan kehendak pasaran : 30%
5.      Terlalu memilih kerja dan syarikat : 28%
6.      Tiada kemahiran menyelesaikan masalah : 26%
7.      Tahap pengetahuan yang lemah : 24%
Sedangkan majikan hari ini melihat dan menilai calon-calon yang dapat memenuhi kriteria seperti di bawah ini berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Manpower Inc. pada tahun 2008, antara lainnya ialah :
1.      Ada intergriti dan jujur
2.      Mampu memberikan hasil kerja dan kualiti perkhidmatan yang terbaik
3.      Berkebolehan berkomunikasi dengan efektif
4.      Dapat memastikan kepuasan pelanggan syarikat ditahap yang terbaik
5.      Memiliki motivasi yang tinggi
6.      Mampu melakukan kerja dan tugasan yang diberikan tanpa terlalu bergantung harap dengan orang lain
Punca Graduan Universiti Tidak Capai Kehendak Pasaran Pekerjaan & Jawatan Kosong di Malaysia?
Melihatkan kepada faktor masalah graduan universiti menganggur yang semakin bertambah saban tahun ditambah dengan kehendak majikan hari ini, terdapat masalah yang terus bernanah yang masih belum mampu dirawati sehingga ke hari ini kepada kalangan anak muda. Semuanya apabila Berita Semasa melihat kepada laporan International Student Assessment (PISA) yang menilai kepada kemahiran dan kekreatifan menyelesaikan sesuatu masalah pada tahun 2012 yang meletakkan :
·         Malaysia di tangga ke 39 daripada 44 negara
·         Anak muda di Malaysia dilihat tidak disediakan persekitaran yang kondusif dan juga tidak dilatih kemahiran yang benar-benar diperlukan di tempat kerja kelak
·         Daripada 100 anak muda di Malaysia, hanya 1 orang sahaja yang mampu menyelesaikan masalah yang paling kompleks berbanding 1 daripada 5 anak muda dari Singapore. Jepun dan juga Korea Selatan
Malah Kementerian Pengajian Tinggi sebelum ini telah mengariskan beberapa masalah yang perlu diselesaikan segera bagi meningkat tahap mutu pendidikan di Malaysia antaranya : 50% daripada pengajaran hanya memfokuskan kepada pemahaman kandungan yang agak minimum berbanding mengalakkan anak murid berfikir secara kritis
Dan Berita Semasa ambil contoh dalam industri ICT, hasilnya amat menyedihkan merujuk kepada kajian yang dilakukan oleh PIKOM dan juta Portal Jobstreet pada Jun 2014 mendedahkan berlakunya jurang gaji dan pendapatan yang besar melibatkan profesional ICT di Malaysia berbanding negara-negara lain seperti China, Hong Kong, Vietnam, Singapura, Thailand.
Hakikatnya, profesional Malaysia dibayar pada gaji dan pendapatan yang rendah dibandingkan negara-negara Asia Pasifik yang lain pada paras antara 10% – 30% lebih rendah berbanding negara-negara jiran serantau kita.
Dalam hal ini, apa pendapat anda dan bagaimana jalan penyelesaian masalah ini?



28 April 2015


 CINTA SI TUKANG KASUT

Suatu petang, saya ke suatu sudut di luar pasar raya berjumpa kawan lama, seorang tukang kasut. Lama saya tidak berjumpa dan bersembang-sembang dengannya. Selalu saya mengajaknya minum di warung berdekatan. Kami bersembang-sembang tentang macam-macam. Saya juga bertanya tentang seorang puterinya hasil perkahwinan selama 14 tahun dengan bekas isterinya. Anaknya dijaga oleh bekas isterinya. Namun, dia ingin dapatkan semula kerana tidak mahu anaknya dijaga oleh nenek bekas isterinya.
         
Tragedi yang menimpa dirinya menyebabkan bekas isterinya memohon dia dilepaskan. Selama hampir setahun dia merengkuk dalam penjara atas kesalahan kes jenayah. Terlalu negatif pandangan bekas isterinya dan keluarga bekas isterinya terhadap manusia bergelar banduan. Sebagai lelaki/ suami, dia terima hakikat itu. Itu suatu lumrah hidup.
         
Dia ada prinsip sebagai seorang lelaki. Dia tidak ego. Katanya, “Jika orang tidak suka saya, apakan daya. Lepaskan saja. Dia ada pilihan baru yang lebih baik daripada saya. Itu pilihannya dan setakat itu jodoh kami. Saya tidak mahu mengada-ngada kembali kepadanya. Saya tidak mahu mengungkit tentang diri saya atau dia yang lepas-lepas. Hanya saya terkilan, inilah balasan yang saya terima, kesusahan saya bekerja sebagai tukang kasut selama lebih 14 tahun. Ini yang saya mampu lakukan. Tuhan Maha Adil dan Maha Mengetahui.”
         
Dia setia dan tekun dengan kerjayanya sebagai tukang kasut. Dia tidak akan beralih kerjaya yang lain. Apa-apapun pandangan orang sekeliling terhadap diri sebagai bekas banduan, dia terima dengan reda. Dia ingin melupakan tragedi lalu, dan kembali ke pangkuan masyarakat.
         
Kini dia sudah menemui cinta barunya, seorang pelajar tahun akhir di kampus Sintok. Tanya saya, “Hang serius ke dengan pelajar itu? Dia tahu latar belakang hang dan boleh terima?” Jelasnya, “Setakat ini ok. Saya dah jumpa keluarga perempuan itu. Kalau depa terima, terimalah. Saya tak kisah. Ada jodoh, saya kahwin dengannya.” Dengan tenang saya berkata, “Inilah dikatakan bahawa cinta itu buta. Dan pencinta pula tidak teraba-raba mencari titik keindahan cinta.” Selamat!





BERPANTUN PULA ...


JOM KITA BERPANTUN

Pantun merupakan genre puisi Melayu tradisional milik orang Melayu. Pantun muncul dalam tamadun Melayu secara lisan, kemudian berkembang dan diwarisi dari zaman berzaman. Pantun mempunyai pelbagai bentuk fizikal, bermuzikal dalam kata-kata dan baris-barisnya, dan fungsinya dalam masyarakat Melayu tradisional sebagai alat pengajaran/ teladan moral, nasihat dan hiburan/ meredakan tekanan perasaan.

Pantun berikut saya cipta tentang bangsa, bahasa, budaya, sastera, dan pemikiran Melayu. Saya rasa terpanggil sebagai anak Melayu untuk menggarap tentang dunia Melayu. Kemudian, saya coretkan pula pantun berkait tentang tahun Hijrah 1430; itulah tahun kita yang penuh makna. Tahun bermula hijrah diri dan hijrah iman.

(1) Pantun Fikir Rasa Melayu

Bertiup bayu arah tertuju,
Melanda hebat takkan rebah;
Bangsa Melayu hendaklah bersatu,
Tanda kuat pertahan maruah.

Rasa bayu mesra kata,
Rasa berada masa bertepi;
Bahasa Melayu bahasa kita,
Bahasa ibunda bahasa mimpi.

Sutera ungu cerah di mata,
Pintal kukuh anggun diadun;
Sastera Melayu khazanah bangsa,
Kekal utuh membangun tamadun.

Buah berguguran tali temali,
Ukir sauh hala jalan mara;
Usah berfikiran diri sendiri,
Fikir jauh masa depan negara.

(2)   Pantun Berkait Semangat Hijrah

Pohon ru rapat malam,
Suara deruan kuat terjah;
Tahun baru umat Islam,
Kita rayakan semangat hijrah.

Suara deruan kuat terjah,
Membelah laluan tahan sisi;
Kita rayakan semangat hijrah,
Hijrah iman kukuhkan diri.


Membelah laluan tahan sisi,
Perlahan malam makin dekat;
Hijrah iman kukuhkan diri,
Persaudaraan Islam makin rapat.

Perlahan malam makin dekat,
Resah lumat diamkan cinta;
Persaudaraan Islam makin rapat,
Hijrah umat amankan dunia.

Resah lumat diamkan cinta,
Hangat cinta kelam sunyi;
Hijrah umat amankan dunia,
Semangat bersama dalam diri.

Hangat cinta kelam sunyi,
Pasrah akur tiada kalah;
Semangat bersama dalam diri,
Hijrah syukur kepada Allah.

Nota:
Saudara pun boleh berpantun tentang Melayu dan semangat hijrah 1430. Tahun Hijrah adalah milik kita sebagai hamba Allah. Jom kita berpantun. Coretkan serangkap pantun karya saudara di ruangan komen. Terima kasih.

Salam ilmu.

 AzmiRahman
Kota Bharu-Sintok