18 Februari 2017


SCIM1043  TOPIK 1: MAKNA PEMIKIRAN

Pemikiran adalah proses minda (10 M):

-         Mencari kebenaran seperti ahli falsafah atau filsuf. Kebenaran yang dicari adalah kebenaran tentang kehidupan, sebab manusia hidup, tentang kematian dan hidup selepas mati.

-         Membuat keputusan. Dalam hidup, sesuatu keputusan hendaklah dibuat sama ada ia memberi imlikasi positif atau negatif.

-         Menyelesaikan masalah. Setiap manusia menghadapi masalah dan perlu diselesaikan masalah itu; masalah diri, keluarga, organisasi dan negara.

-         Menciptakan pelbagai benda baharu yang bermanfaat untuk orang tertentu atau semua; berkaitan produk teknologi.

-         Meneroka pelbagai idea, teori dan model; teori ekonomi, teori pengurusan dan model pengajaran.

-         Memberi refleksi atau maklum balas terhadap sesuatu; forum pembaca.

-         Membuat pertimbangan terhadap sesuatu sama ada baik atau buruk.

-         Menyatakan pendapat atau pandangan terhadap sesuatu hal atau isu.

-         Membandingkan sesuatu – mencari persamaan atau perbezaan.

-         Menilaikan sesuatu sama ada daripada pandangan sendiri atau orang lain atau kumpulan lain.

Cuba anda fikirkan contoh bagi setiap proses minda itu.


Selamat berfikir. 

14 Februari 2017



PEMIKIRAN S.I.N.T.O.K

S = Sistematik. Menurut sistem atau peraturan.

   = Segar. Idea segar untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan                           yang baharu.


I = Ilmu. Ilmu pemikiran dan ilmu lain diperlukan untuk aktiviti                                berfikir.
  = Intelektual. Taraf ilmu tinggi yang berkemampuan untuk berfikir.

N = Nalar. Pemikiran untuk menilai sesuatu sama ada baik atau buruk.     

   = Nanang. Berfikir-fikir sedalam-dalamnya.


T= Tekal. Tekal bermaksud tidak berubah-ubah, tetap atau konsisten.

   = Transformasi. Melakukan perubahan daripada idea kepada bentuk                                     yang baharu.


O = Organisasi. Kesatuan yang dibina untuk tujuan tertentu.

    = Output. Hasil yang diperolehi hendaklah dapat dimanfaatkan oleh                            orang ramai atau organisasi atau negara.


K = Kritis. Pemikiran yang berpaksikan logik dan kebenaran.

    = Kreatif. Pemikiran untuk menghasilkan, menciptakan dan                                          mengembangkan sesuatu yang baharu dan asli,        misalnya  idea, produk dan perkhidmatan.



Dicetuskan oleh Azmi Rahman

SCIMPA, UUM CAS 2017


KASIH


Datanglah dengan kasih
tidak cemas dan tidak marah
bukan untuk melawannya
bukan untuk melukakannya
seekor harimau pun terdiam!



Azmi Rahman
Sintok
Disember 2016

NOTA S.I.N.T.O.K

Nota ini buat pelajar BCIM dan para pemburu ilmu di UUM Sintok. Anda sebagai pelajar dalam bidang industri kreatif dan seni persembahan (IKSP), anda nanti adalah pemain, penggiat dan pengurus IKSP negara, falsafah S.I.N.T.O.K hendaklah meresapi di dalam diri anda:

S = SEMANGAT. Semangat tinggi dan bersungguh hendaklah ditanam di dalam diri untuk menggapai impian memiliki ijazah BCIM (Hons.). Semangat juga anda tanam untuk mempelajari dan menguasai ilmu IKSP serta apa jua ilmu demi kerjaya pada masa akan datang. Selain itu, semangat anda untuk terus menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi (MA dan PhD.).

I = IDEA. Idea baharu hendaklah selalu muncul daripada minda anda. Idea yang kreatif dan kritis adalah digalakkan demi perubahan yang lebih baik dan positif dalam hidup.

N = NAWAITU/ NIAT. Niat hendaklah tulus dan ikhlas dalam pencarian ilmu. Kalau yang muslim, niat apa jua tindakan adalah kerana Allah SWT.

T = TRANSFORMASI. Setiap apa yang dipelajari hendaklah anda TRANSFORMASI kepada bentuk yang bermanfaat, misalnya ilmu dan pengalaman, anda TRANSFORMASI kepada bentuk yang kreatif (lagu, buku, lakonan, filem, animasi dan sebagainya).

O = ORGANISASI. Organisasi bermaksud susunan yang teratur dan sistematik, biasanya daripada IDEA dijelmakan kepada suatu banda fizikal atau berwajah. Setiap apa yang kreatif yang dihasilkan, ada ORGANISASInya, misalnya skrip drama dan filem serta lirik.

K = KARYA. Karya adalah apa yang dihasilkan oleh seseorang. Dalam hal ini, karya dimaksudkan sebagai karya kreatif sama ada dalam bentuk bercetak atau elektronik, misalnya puisi siber, novel, skrip, dan buku kreatif.

Selamat berjuang dan menyumbang untuk IKSP negara.

Salam hormat.


Azmi Rahman

SCIMPA


12 Februari 2017


TANDAS MASJID O TANDA MASJID!


Apabila singgah di masjid untuk bersolat, biasanya saya akan ke tandas. Pengalaman saya singgah di masjid dan menjenguk tandas, ada ketikanya tidak sanggup saya masuk ke tandas. Bau tandas busuk dan keadaan tandas terlalu kotor. Pernah saya ke sebuah masjid di Perlis, ditulis di semua tiga pintu tandas ‘ROSAK. HARAP JANGAN GUNA. TERIMA KASIH.’ Sudahlah tandas tersumbat dan terlalu kotor pula. Sekitar kawasan masjid pula tidak bersih. Entahlah, terfikir saya apa tugas dan dilakukan oleh ahli jawatankuasa masjid? Kalau pihak pengurusan masjid adakan aktiviti gotong royong bersihkan masjid, dapatlah diselesaikan masalah itu. Ada yang saya perhatikan duit sedekah dan tabungan masjid mencecah puluhan ribu sebulan. Namun, banyak duit digunakan untuk bayaran kepada penceramah mingguan. Saya fikir cukuplah kalau sebulan sekali ceramah. Yang penting ialah impak ceramah itu kepada masyarakat sekitarnya. Hal-hal kebersihan masjid penting juga. Pernah saya dengar khutbah Jumaat tentang ‘kebersihan adalah separuh daripada iman tetapi implementasinya, bagaimanakah? Inilah yang dikatakan ‘cakap tidak serupa bikin.’ Berbeza pengalaman saya ketika di England, tandas di sana bersih dan sentiasa kering. Tandas masjid pun begitu juga. Entahlah, pengguna tandas masjid pun tiada disiplin juga. Pernah saya singgah ke sebuah masjid di Kedah, masuk ke tandas, didapati berselerak puntung rokok dan ditinggalkan pula pampers yang sudah digunakan. Kesedaran tandas masjid hendaklah bersih, perlu tersemat di hati setiap individu Islam. Jangan kita fikir, tandas itu bukan tandas kita, jadi biarlah hal kebersihan dipedulikan oleh pihak pengurusan masjid.

Azmi Rahman
Februari 2017







BERMULA TAHUN 2017


“Selamat Tahun Baru 2017.” Sambutan  tahun baru 2017 tidak meriah. Hal ini ada kaitan dengan wajah ekonomi dunia dan Malaysia yang dilanda kesuraman. Ya, 2017 tahun rakyat Malaysia terpaksa berdepan kesuraman dengan jatuhnya nilai RM berbanding USD (Januari RM4.5 bersamaan USD1). Rakyat juga berdepan dengan kenaikan harga barangan harian dan perkhidmatan. Harga gula, tepung, petrol, ikan, sayuran dan lain-lain naik. Kenaikan harga, misalnya petrol dan gula memberi implikasi terhadap kenaikan harga makanan sedangkan gaji pekerja tidak dinaikkan. Justeru, apa yang perlu dilakukan oleh rakyat Malaysia ialah berjimat cermat terutamanya membeli barangan yang perlu sahaja. Biasa selalu setiap kali bermula tahun baru, maka bertukarlah, misalnya perabot rumah, barangan kemas dan kereta. Saya sendiri terasa dengan kenaikan harga barangan keperluan harian. Kalau membawa RM50.00 ke pasaraya, apa yang boleh dibeli? Hanya cukup untuk membeli beras 10kg, gula, tepung dan susu. Itu belum lagi diambil kira mengisi petrol, membayar tol, membeli sayuran, duit belanja anak sekolah dan lain-lain. Saya fikir kalau bawa RM300.00, sekali belanja sudah habis. Entahlah, di pihak kerajaan apa tindakan dalam menangani isu ini? Cukupkah dengan pemberian BR1M dan bantuan lain untuk mereka berpendapatan rendah dan sederhana? Kita juga memikirkan sampai bilakah ekonomi Malaysia akan pulih dan kembali  stabil? Hal lain yang saya fikirkan ialah pemotongan bajet untuk institusi atau organisasi kerajaan. Pemotongan bajet ini sedikit sebanyak menjejaskan perjalanan pengurusan institusi atau organisasi itu. Sebelum ini, mewah kita berbelanja dengan makan dan pelbagai hadiah. Kini, setiap kali mesyuarat hanya dijamu air kosong dan kuih muih. Ada ketikanya, kalau mahu lebih sedikit, kenalah ahli-ahli mesyuarat menaja makanan  dan minuman. Apa-apa pun, kita hadapi realiti ini dengan tabah dan tenang. 


Azmi Rahman
Januari 2017

10 Disember 2016





PANTUN SELAMATKAN ROHINGYA


Makan nasi di tepi paya,
Lauk ikan ditambah ulam;
Kita berpuisi selamatkan Rohingya,
Kita selamatkan juga Islam.



Batang bidara mahu dipahat,
Dalam kelam cuaca redup;
Junta tentera Myanmar jahat,
Rohingya Islam diseksa hidup.



Beli sepatu waktu malam,
Beli butang baju sulaman;
Kita bersatu kerana Islam,
Kita tentang segala kezaliman.


Banyak jenis dinamakan batu,

Batu jadian berbentuk sawa;
Apa jenis manusia itu?
Tiada perasaan tiada jiwa.

Waktu malam bakar jerami,
Jerami dibakar menjadi baja;
Orang Islam Rohingya dizalimi,
Janganlah  kita membisu saja.


Sudah kering air di paya,
Paya ditambun jadikan taman;

Kita laungkan “Selamatkan Rohingya,
Aman dunia tanpa kekejaman.”



Azmi Rahman
UUM Sintok
Kedah