21 Februari 2016


JAWATAN


Adalah keinginan mahu menjadi air mengalir ke kuala, memasuki laut biru yang luas. Adalah kuasa mahu berada di puncak gunung.  Adalah mencipta nama di negeri langit. Adalah perintah hanya  yang menurut perintah.  Adalah ikutan selalunya hanya  yang benar, yang ikhlas  dan yang berharap.  Adalah (ketikanya) penjawat menjadi pelupa. Adalah lupa warna asal diri yang dipijak  adalah tanah yang akan menutupi diri. Adalah kawan-kawan menjadi musuh nyata  di barisan hadapan atau tiba-tiba muncul dari belakang. Adalah musuh-musuh yang  menyembunyikan wajah diri  di sebalik topeng. Adalah kawan membaham kawan. Adalah percaturan  nafsu. Adalah keinginan tercantas di akar atau di dahan atau di ranting impian. Adalah apabila tidak lagi berjawatan, kembali pada titik sedar. Adalah akal ditewaskan oleh permainan kesementaraan. Adalah mahu mencari kawan-kawan. Adalah menghitung jumlah musuh. Adalah kehilangan adalah kesementaraan. Adalah siapa pula di atas. Siapa pula di bawah. Adalah penjawat hakiki sebagai hamba hanya menurut perintah-Nya.

Azmi Rahman
Jitra-Sintok


20 Februari 2016




MONOLOG SANG KERBAU


”Aku jelongak rampung
di sekeliling aku sudah terjual kebodohan
aku runcing tanduk, panjang tanduk,
tiada menanduk orang pun
sebenarnya siapa yang berada dalam gelap?
kau telah meminjam tanduk aku.

Aku sering dikejutkan gongmu
kau sengaja bermain gong di telingaku
aku kenal rumput dan lumpur
kenapa kau lulutkan jebat padaku?
lumpur adalah hadiah bermakna buatku
atau rumput kau letakkan di depanku.

Bermain-main denganku
terkena ekorku di mukamu
aku sudah lama berkawan dengan lumpur
bukan berkawan denganmu
tidak rugi aku berkawan dengan sesiapa
jangan panjangkan tanduk aku
tanduk aku sudah sedia panjang
kau yang masih tidak bertanduk.

Aku dipegang pada tali
kau dipegang pada mulut
siapa yang lebih menepati janji?
aku sudah pulang ke rumah mimpiku
bila diajak tuanku hanya dengan suara
kau masih leka membiarkan aku kelaparan
aku sekawan sukar kau kawal
kau seorang tiada dapat dimaklumi
ideologi aku bersatu, ideologi lumpur dan rumput
itulah kehidupan panjang aku
kau terlalu pandai dan tanpa tali di hidung
ideologimu berpelangi.

Aku di kandang, emas kau berpura
selamat aku di kandang
selamat harta kau
rumput hijauku di luar kandangku
aku di kandang, tiada kau peduli
aku bertanduk, dan rotan beronak
tanduk adalah kekuatanku
kau takut pada tandukku.

Jangan kau beri aku pelana
berikan aku lumpur, tali dan rumput
tali di hidungku
kata-kata pula di lidahmu
jangan kau putuskan taliku
jangan kau lumatkan kata-katamu
jangan kau maling aku
jangan kau musangi ayam
kau tariklah taliku
kau kurunglah ayammu di reban
aku akan menandukmu
aku akan pergi.

Jangan kau hukum aku
jangan kau putuskan taliku
aku bukan pembulang tali
kau yang berikan tali
kau cucuk hidung aku
tiada suara kukhabarkan deritaku
kau jadikan susuku darah dagingmu
kau namakan sang sapi
aku sakit tanpa bersuara
sang sapi bersuara senang atas kesakitanku.

Aku sekandang kau handal gembalanya
kenapa kau seorang tiada terjaga?
aku faham bahasa kerbauku
kau masih kabur bahasa manusiamu
bahasamu bukan bahasa lumpur dan rumput
aku dan rumput hijau adalah kehidupan lamaku
aku sudah faham makna memakan rumput
aku sudah faham makna bermandikan lumpur.

Kau lihat langau di ekorku
kau lihat debu di atas tunggul
kau adalah debu dan langau itu
datang dan pergi dalam dunia kecil aku.

Aku tidak membenci kubangku
kubangku adalah dunia pengalamanku
ideologiku adalah lumpur dan rumput
sesekali kau berkubang denganku
kau mencari aku di padang atau di kubang
jangan, mataku tajam bila kau memilih-milih aku.

Jangan kau hambat aku melabuh
kau dibeliti tali hidungku
kau terhumban ke rumputku
kau berkubang dalam lumpurku
kau menolong aku ditangkap harimau
harimau itu membaham kau
aku masih di kubang
di kubangku, bukan gelanggang sang harimau.

Kau pegang pada taliku
kau tarik aku ke kandang
aku pegang pada kata-katamu
jangan racuni kata-katamu
seekor aku berkubang
sekandang kena luluknya
seekor aku membawa lumpur
sekandang mercik dan terpalit lumpurnya
mengapa aku dengan palitan lumpur?
mengapa kau tidak dengan gelumang dosa?
setitik dosa, rosak pahala kehidupanmu
tidak terpalit dosa pada orang lain.

Kau katakan aku dicucuk hidung
hidungmu tidak dicucuk
hatimu telah dirantai
lidahmu telah dipenggal
langkahanmu mengikut arah
jangan kau menanduk anak bukan dengan hujungnya
seperti aku menanduk lumpur dan rumput.

Jangan kau menjadi aku tersepit leher
dihela tanduk sudah panjang
dilalukan badan sudah besar
kau masih boleh berhenti bernafas
menundukkan tanduk panjangmu
aku menjadi semakin kecil.

Tandukku bercerita tentang aku
kau mahu mengambil tandukku
menjadi hiasan dinding rumahmu.

Jangan kau berkerbau seperempat ekor
berkandang sebagai orang
biarlah aku di kandang
biarlah kau di kandang rumahmu
sesekali jangan kau asyik mendongak langit
pandanglah rumput hidup aku yang kau pijak
fahamilah kubang adalah tanah
tanah adalah asal dirimu.”

AzmiRahman

Nota:
1.    Sajak ‘Monolog Sang Kerbau’ terhasil berdasarkan penelitian 35 ungkapan peribahasa Melayu dalam Abdullah Hussain, (1982). Kamus Istimewa Peribahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kamus Dewan Edisi Keempat, (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, dan Kamus Besar Utusan, (1995). Kuala Lumpur: Utusan Melayu Publications.





































Menyempurnakan Lukisan

Mentari terpecah sinarnya. Mencakar-cakar siang. Bertaburan daunan kering. Marah aku kepada mentari. Dinding malam pun pecah. Panas mendekati kulit aku. Lukisan orang berdosa. Terbakar oleh api neraka. Aku tidak memarahi diri aku. Aku tidak memarahi sesiapa. Aku mencari helaian pemisah antara siang dan malam. Aku tidak terdaya menolak malam untuk bersatu dengan siang. Tiba-tiba aku berada dalam rumah malam. Tanpa diundang. Aku mencari helaian pemisah antara cinta dan benci. Aku mahu melukis garis pemisah itu. Cinta datang membuang benci. Benci yang tak bernama. Datang membuang cinta.  

Azmi Rahman
Jitra
Februari 2016




NOSTALGIA SALAM SARJANA DARI KELANTAN


Lama juga saya tidak memasukkan entri terbaru di ruang blog esastera. Saya terima SMS dan e-mel terutamanya daripada para pelajar Sarjana di Kota Bharu, bertanyakan masalah blog saya itu. Hal ini disebabkan ada masalah yang dihadapi oleh ruang maya esasterawan ini. Maka dibiarkan saja ruang itu tanpa apa-apa dan tidak boleh dilawati oleh para pelawat siber. Ketidakkinian entri disebabkan juga saya terlibat dengan promosi program Sarjana Pengajian Bahasa Melayu Kontemporari, dan Bahasa Inggeris (Applied Linguistics) bagi bidang Kemanusiaan, Kolej Sastera dan Sains (CAS), UUM di Kelantan/ Kota Bharu. Bersama saya ialah Profesor Madya Dr. Nuraini Yusoff (lebih mesra dengan panggilan Kak Ani), pengerusi bidang Kemanusiaan selaku ketua delegasi, Dr. Nor Hashimah, mewakili bahagian program Sarjana Applied Linguistics, Cik Rohizah Halim dan saya, mewakili bahagian Bahasa Melayu dan Dr. Rosli Mohamad bagi program Sarjana Komunikasi Kepengurusan. Kami menginap di Renaissance Hotel. Hotel ini selesa, dan berada di lokasi yang strategik. Bermula dari 15 hingga 18 Februari 2009, kami berada di Kelantan bagi tujuan promosi ilmu yang kami namakan Program Pembangunan Ilmu Sepanjang Hayat. Bertemu dengan para pelajar Sarjana di Kota Bharu, sungguh menyeronokkan dan menggembirakan hati saya. Saya kagum dengan semangat dan kesungguhan mereka menjadi sang pemburu ilmu, bukan untuk kenaikan pangkat atau jawatan (buat masa kini). Pada masa mendatang, memiliki ijazah Sarjana bagi guru-guru barangkali suatu keperluan. Maka mereka bersedia lebih awal sebelum apa-apa dasar baru dunia perguruan diimplementasikan khasnya ijazah kedua, perjawatan dan soal gaji. Namun, bila berbicang-bincang dengan mereka, bukanlah soal material menjadi harapan mereka. Mereka lebih mahukan ilmu kerana sekian lama mereka tinggalkan alam ilmu setelah meninggalkan kampus universiti. Saya pun selalu memberi semangat kepada meraka supaya berterusan memburu ilmu hinggalah ke tahap ijazah Doktor Falsafah. Selain itu, dunia ilmu penuh cabaran dan tiada jalan pintas bagi mencapai impian murni sebagai seorang sarjana dan pakar bidang. Sebarang halangan semasa memburu ilmu, hadapilah dengan tenang dan sabar. Jangan terlalu menekan dan tertekan sehingga mengganggu emosi.   Malam 16 Februari 2009, kami bertemu di New Horizon Restaurant, Kota Bharu. Kami bertemu dan meraikan calon-calon sarjana Pengajian Bahasa Melayu Kontemporari dan Apllied Linguistics. Inilah cara kami dari Bidang Kemanusiaan, CAS meraikan, sekaligus mencipta hubungan silaturahim dalam dunia ilmu tanpa sempadan dan sepanjang hayat. Bukanlah jamuan yang tidak seberapa itu oleh kami tetapi apreasiasi kami terhadap minat dan kesungguhan calon-calon sarjana dari Kelantan menjadi pemburu ilmu adalah fokusnya. Di majlis penuh makna pertemuan dan perjuangan ini, saya bacakan sebuah sajak yang terilham sepanjang perjalanan merentasi lebuh raya Timur-Barat, memerhatikan warna-warni bunga-bungaan dan kehijauan alam, perjalanan di Kota Bharu, dan berakhir aksara terakhir di New Horizon Restaurant. Inilah sajaknya yang asal:

BELAJAR MENTAFSIR JALUR KEHIDUPAN DI ATAS CERMIN MAKNA

Kehidupan adalah seekor burung
terbang, terbang
singgah di ranting pengalaman.

Seekor burung itu belajar pula
mentafsir makna awan dan langit
awan menghimpunkan makna kejernihan
langit mencantumkan makna kembara panjang.

Ya, siapa mentafsir makna bunga sejarah?
tidak padam di padang perjuangan.
ya, apa makna jalur kehidupan masa silam?
bukan salam yang sarat dengan rindu kosong
dan air mata kedukaan..

Ah, biar hidup memaknakan air
dari puncak gunung
ruang diri tidak terbiar di pinggir mimpi.

Perhatikan cermin
ada wajah yang ditinggalkan sepi
ada wajah yang diukirkan
masa depan yang indah
wajah yang satu.

Biar kecil cermin makna
namun besar makna kehidupan
terbanglah sang burung

Di ruang hidup
hadapilah
terang cermin makna.

New Horizon Restaurant
Kota Bharu
16 februari 2009. 


Tiga hari, tiga malam di Kota Bharu, bagi program promosi pengajian sarjana dan sepanjang hayat warga Kelantan, ada hal lain yang menarik dan mengesankan untuk dinotakan di ruang ini. Pertama, jaringan kerjasama antara UUM CAS, terutamanya bidang Kemanusiaan terjalin. Kami mengenali ramai kawan yang dapat dijadikan ‘duta kecil’ bagi menjayakan program ilmu ini. Jaringan ilmu dan persahabatan ini penting dalam usaha merapatkan hubungan antara UUM dengan warga Kelantan, terutamanya institusi pendidikan. Kedua, saya secara peribadi bertemu dengan kenalan sesekolah dan sekuliah yang telah lama terpisah. Setelah tamat persekolahan dan kuliah di universiti, kami membawa diri masing-masing, berkeluarga dan membina kerjaya. Namun, kunjungan ilmu ke Kelantan telah mempertemukan saya dengan Ramli Che Soh, kawan lama, kini Pegawai Daerah Bachok, Zulkifli, guru di Sekolah Menengah Tendong dan saudara-mara yang berasal daripada Tendong, kampung arwah ayah saya. Bila berjumpa, kami tetap seperti dulu, masih mesra dan bernostalgia zaman di sekolah dan di universiti. Selain itu, saya bertanya khabar mengenai kawan-kawan lain. Ada yang sudah berjawatan tinggi, dan ada yang sudah kembali ke rahmatullah.  Pulang ke Jitra pada 18 Februari 2009, melalui Gua Musang kerana Kak Ani hendak ke Cameron Highland kerana urusan penyelidikan. Perjalanan ke Gua Musang, berjalan lancar dengan menaiki MPV Hyundai Starex yang dipandu oleh pemandu kami yang berpengalaman, Abang Man namanya. Hanya sebelum memasuki Cameron Highland, selepas Lojing, kenderaan kami terhalang oleh trailer yang terbabas di selekoh. Namun, kami berjaya melepasi halangan itu meskipun dalam kesulitan laluan. Inilah pertama kali saya melalui kawasan perbukitan Lojing yang sejuk, dan dipenuhi tumbuhan dan sayuran yang menghijau. Luas juga kawasan pertanian kekal di Lojing. Namun, di sebalik kehijauan itu, ada unsure penodaan terhadap alam sekitar yang menghijau. Kawasan bukit di Lojing diterokai sewenang-wenang, seolah-olah tiada kawalan oleh pihak-pihak bertanggung jawab. Bukit sudah ditarah, demi kehendak kebendaan. Pada saya, ungkapan ‘sayang seribu kali sayang’ saya terhadap alam sekitar yang harmoni, sudah tidak harmoni lagi.Lihatlah bukan sekadar bukit digondolkan, malahan sungai juga tercemar. Dari kejauhan, saya nampak air sungai tercemar. Memikirkan lebih jauh, apa terjadi kepada hidupan dalam sungai? Hidupkah mereka atau sukarnya mereka bernafas? Bila melintasi perkampungan orang Asli, sepanjang jalan raya, terfikir saya, bagaimana mereka mahu mencari rezeki di sungai jika sungai sudah tercemar? Si peneroka alam sekitar dan penceroroh alam sekita, tidak memikirkan alam yang selama ini harmoni dengan orang Asli, kini sudah tercemar dek tanah dan racun. Semacam saya tidak percaya akan apa yang terjadi di Lojing, juga di Cameron Highland. Laporan media elektronik yang saya baca dan tonton sebelum ini, menjadi kenyataan. Saya bertanya.”Situasi ini akan semakin pulih atau semakin parah?” Jika manusia asyik dan leka dengan nafsu dan kebendaan, tanpa memikirkan masa depan generasi akan datang, membiarkan alam sekitar musnah, maka akan kita terima padahnya. Apa maknanya kita laungkan slogan, “Cintailah Alam Sekitar Kita” jika kita sendiri yang memusnahkan alam sekitar kita. 16 Februari 2009, adalah Ulang tahun ke-25 UUM. Sambutannya di kampus Sintok cukup meriah. Pada malam 15 Februari 2009, ada persembahan pantomin di Sintok. Ada slot baca sajak oleh saya. Namun, pada malam itu, saya di Kota Bharu. Justeru, slot tersebut ditiadakan. Kecewa juga saya kerana tidak berkesempatan membaca sajak demi UUM, universiti yang saya cintai. Sintok, ada cerita sejarah tersendiri yang pernah saya rakamkan dalam antologi sajak Gema Lembah. Sajak ini adalah sajak terbaru sempena UUM berusia 25 tahun, pada sambutan Jubli Perak. Inilah sajak yang sepatutnya saya baca pada malam 15 Februari 2009 untuk tatapan semua.

DI LAMAN WARISAN PERJUANGAN

Bunga ketenangan tumbuh di laman bersama
Wangi keamanan merebak di ruang berzaman
Membuah kebahagiaan yang sukar dirampas
Jiwa hidup dan membesar di tanah pusaka
Bermimpi pelangi menggenggam warisan bangsa.

Tidak lama awan berkawan dengan mentari
Angin ganas membawa titik-titik bergolak
Tangan-tangan hitam merampas kebahagiaan
Mengecaikan kuntuman di laman damai
Ruang bumi warisan diselaputi kabut
Darah dan darah tumpah
Di laman warisan menebal benteng perjuangan
Di wajah berani, tiada ruang petualang menconteng arang.

Diri bangkit dengan semangat berani
Bumi warisan adalah milik kami
Kami pertahankan
Memancung tangan-tangan hitam
Menjernihkan ruang diselaputi awan hitam
Darah juang membasahi bumi warisan.

Jangan dinyalakan api perjuangan
Kami akan bakar tangan-tangan hitam
Biar menjadi debu sejarah
Dihanyutkan di sungai kehidupan.

Jangan dihidangkan air semangat
Kami akan simbah api ganas membara
Terpadamlah niat berapi di padang terbuka
Rebah satu persatu petualang di tangan pejuang

Jangan dihadiahkan piala kekalahan
Kami hanya kenal kemenangan
Terpasak di hati hadiah perjuangan
Sebuah piala bersalutkan darah
Diletakkan di peterana bangsa
Mulianya warisan perjuangan
Tiada penamat di helaian sejarah watan.

AzmiRahman
UUM CAS
Januari 2009.


1 Februari 2016


PEMIMPIN DAN RAKYAT

Pancing ikan di tasik lombong,
Umpan cacing ikan makan;
Jika pemimpin cakap sombong,
Tunggu nanti rakyat tumbangkan.

Ikan sepat ikan puyu,
Dinamakan orang ikan darat;
Ini politik pokok kayu,
Ikut suka mahu dikerat.

Gadis manis pakai kebaya,
Kebaya dibasuh guna berus;
Berpakat undi tidak percaya,
Nasib pemimpin dibuang terus.

Main sorok di bawah meja,
Sorok-sorok kena cermat;
Masa kaya boros belanja,
Ekonomi meleset fikir jimat.

Kayu api masih membara,
Dinyalakan orang di tepi reban;
Pemimpin gagal urus negara,
Rakyat susah tanggung beban.

AzmiRahman
Sintok
1 Februari 2016


24 Januari 2016



hantu

hantu – ciptaan khalayak yang menakutkan dan menggerunkan. perasaan sengaja diciptakan atau menjadi permainan kotor dan jijik. hantu; di sungai, di laut, di bukit, di kota, di kampung, di hutan dan di mana-mana. hantu. burung hantu kesiangan. tunggu malam, burung hantu mengumpul daya. pengundi hantu menggerunkan parti lawan. lori hantu, hairan bergerak bebas di jalan raya. pemandu hantu. tauke lori hantu. penguat kuasa hantu. orang menjadi hantu. menjaga hantu. menutup dan membuka pintu rumah hantu.  


azmirahman

sintok
januari 2016


19 Januari 2016




TUMBUK

Tumbuk rusuk. Bukan sebarang tumbuk. Tumbuk tidak sakit di rusuk. Tumbuk bukan sekali. Berkali-kali menumbuk dan ditumbuk rusuk. Ingat, tumbuk itu bukan tuah anjing tetapi celaka kuda. Ya. Tuah kalian sebesar bukit tetapi celaka kalian sebesar gunung. Rusuk kalian akan pecah!

AzmiRahman
Sintok
Januari 2016