5 Januari 2016


UJIAN ALLAH

Saya selalu menonton program TV “Bersamamu.” Ceritanya selalu tentang orang atau keluarga susah, miskin, sakit, dan derita. Ada suami yang menderita pelbagai penyakit, isteri sakit atau uzur menjaga anak-anak OKU, ibu tunggal yang terpaksa menjaga ibu tua yang uzur  dan anak-anak pula kategori OKU serta pelbagai kisah duka insan yang daif. Terfikir juga saya, orang senang dan kaya raya jarang menghadapi laluan derita sebegini. Orang kaya raya dan senang lenang sering tidak diuji Allah. Kenapa? Barangkali ujian tersiratnya adalah ujian kekayaan, kesihatan dan kesenangannya. Kita tidak tahu apa masalah yang dihadapi oleh mereka ini. Apa-apa pun yang daif atau miskin diuji Allah dengan pelbagai ujian berat hinggakan tidak tertanggung oleh kita. Allah memilih mereka untuk menguji keimanan mereka. Allah sayang mereka. Allah menguji kesabaran mereka dalam menempuh perjalanan hidup singkat ini. Dalam hal ini, jika kita fikir dan renung, kita bersyukur kerana ujian Allah kepada kita tidaklah seberat seperti yang ditanggung mereka. Penghujungnya pasti ada hikmah di sebalik segala ujian Allah itu. Kita reda akan apa juga ujian Allah.

Azmi Rahman  



tahun baru, ular

365 helaian hari telah ditelan ular diri tahun lama. telah kenyang atau masih kepalaran ular diri? di penjuru hidup lain, merayap-rayap ular. baharu dibuka kelopak-kelopak hari. biarlah ular mati, kayu tiada patah. kayu patah, ular yang menang. ular yang telah kenyang akan malas bergerak. ular berlingkar di gulungan tikar hendaklah berhati-hati. di dalam diri yang hitam menyamar diri dalam diri yang putih. di dalam diri ular, biarlah ular mati. tanah jangan lekuk dan buluh jangan patah. ular diri tahun lama mati tetapi buluh tidak patah. jangan ditangkap ular di ekornya. tengoklah juga kepala dan perut ular. mahu dipastikan juga ular bercampur belut, takkan hilang bisanya. jika ular bukan, ikan pun bukan, ular yang makan ikan. tahun baru, jangan ular lama menelan ular baru atau ular baru pula menelan ular lama.

azmi rahman
sintok
januari 2016




 

4 Januari 2016



TOK LONG DAN KISAH JEPUN

Di Batu 8, sebuah perkampungan di Baling, tinggal seorang tua dikenali Tok Long berusia lebih 80 tahun. Dia masih kuat dan aktif melakukan kerja kampung; memotong getah, menebang kayu dan buluh. Suatu pagi, Tok Long bercerita zaman budak-budaknya semasa zaman Jepun di Merbok. Dia memberitahu Jepun memang jahat dan ganas. Anak dara di kampung dibawa lari dan dijadikan pemuas nafsu. Kalau perempuan yang sudah berkahwin, Jepun tidak mengacaunya. Maka, anak dara di kampung, cepat-cepat berkahwin dalam keadaan apa cara sekalipun. Tentera Jepun juga merampas makanan (beras) dan hasil tanaman orang kampung. Beras terpaksalah disembunyikan dalam tanah supaya Jepun tidak nampak. Suatu hari tentera Jepun nampak buah pinang masak berwarna merah. Jepun suruh seorang pemuda kampung itu memanjat pokok pinang. Pemuda itu tidak tahu memanjat pokok pinang. Namun Jepun memaksa juga pemuda itu memanjatnya. Jepun menghunus benet (bayonet) di punggung pemuda itu. Jika pemuda itu tidak panjat dan memetik buah pinang itu, dia akan ditikam dengan benet. Buah pinang merah itu dibelah oleh Jepun. Isinya keras. Jepun ingatkan buah itu boleh dimakan begitu saja. Kecewa sungguh Jepun itu. Nasib baik Jepun tak bunuh pemuda itu.



MULA BERSEKOLAH

Jambu bernama jambu batu,
Dipetik dara mahu dimakan;
Mula bersekolah tahun satu,
Gelagat kanak-kanak melucukan.


Ikan duri ikan kelah,
Ikan gelama ikan cencaru;
Ada yang seronok ke sekolah,
Dapat jumpa kawan baru.


Sudah diambil sebatang galah,
Mahu dijolok buah kelapa;
Ada yang menangis di sekolah,
Berpisah dengan ibu bapa.


Malam hari pasang pelita,
Bakar sedikit kayu gaharu;
Bila ditanya cita-cita,
Ada mahu jadi guru.


Mahu dibasuh pakaian kotor,
Basuh di sungai atas rakit;
Ada ingin  jadi doktor,
Mahu ubati emak sakit.


Asam pedas ikan kelah,
Nasi pula beras malinja;
Bila anak mula sekolah,
Banyak wang habis belanja.

Azmi Rahman
Sintok
3 Januari 2016



3 Januari 2016



UNGKAPAN TAHUN BARU

Pisang batu di tepi beluru,
Pisang  masak dibuat pengat;
Ucapan “Selamat Tahun Baru,”
Azam baru penuh semangat.

Budak-budak bermain di baruh,
Sawah bendang ditabur benih;
Buanglah air yang keruh;
Ambillah air yang jernih.

Pokok mempelam berbuah lebat,
Lebat juga buah cempedak;
Azam pula hebat-hebat,
Entah tertunai entah tidak.

Sorong papan tarik papan,
Buah keranji di tepi beranda;
Azam lepas dibawa ke depan,
Jadi azam berganda-ganda.

Ikan belacak ikan belanak,
Ikan keli ikan kelah;
Seronok pula kanak-kanak,
Semangat hendak pergi sekolah.


Azmi Rahman
Sintok
1 Januari 2016



1 Disember 2015





CINTA, MATA DUITAN


Jalan-jalan jumpa biawak,
Biawak lari menuju ke padang;
Hina saya di mata awak,
Emas tetap awak pandang.


Ikan siakap ikan bawal,
Ikan toman ikan kelah;
Awak sudah cakap awal,
Tiada duit boleh belah.


Pagi-pagi ke kedai nyonya,
Di tepi kedai pokok sena;
Awak cakap wang segalanya,
Tiada wang menjadi hina.


Masak gulai dalam kawah,
Bubuh sedikit serbuk lada;
Awak cakap mahu mewah,
Saya ini apalah ada.


Banyak paku sudah berselerakan,
Paku pula paku berkarat;
Dengan mudah saya ditinggalkan,
Saya miskin hidup melarat.


Hujung petang pasang pelita,
Hari pula amat redup;
Hiduplah awak dengan harta,
Moga awak bahagia hidup.



Azmi Rahman
Sintok
2122015







CINTA, ‘MADU TIGA’(Ilham daripada filem ‘Madu Tiga’)


Waktu malam tuju ke telaga,
Ke telaga berhati-hati melangkah;
Lawak cinta ‘Madu Tiga,’
Suami bohong mahu nikah.


Ayam jantan sudah diserkup,
Nanti dilepaskan awal pagi;
Seorang isteri tak cukup,
Mahu nikah seorang lagi.


Arah utara ada petunjuk,
Bergerak segera awal pagi;
Kalau dua-dua merajuk,
‘Ana’ kahwin seorang lagi.


Setiap pagi makan jamu,
Jamu dicampur jus kurma;
Bila tiga isteri bertemu,
Barulah pecah tembelang lama.


Terbang rendah rama-rama,
Rama-rama berwarna-warni;
Bapak dan anak sama,
Sama-sama galak berbini.


Sudah masak buah lonang,
Dicuba makan dengan keju;
Dara dulu bila dipinang,
Kalau diam tanda setuju.

Terbang tinggi layang-layang,
Tiba-tiba tali diputuskan;
Galak berbini gila bayang,
Bini tua pula dilupakan.


Pisang diisi dalam raga,
Pisang bernama pisang berangan;
Kalut juga berbini tiga,
Kenalah pandai buat pusingan.

Tali panjang sudah dililit,
Dililit pada ros berduri;
Suami asyik suka berbelit,
Akhirnya kena perangkap isteri.


Sebiji kelapa dalam raga,
Kelapa pula tebal sabut;
Nama saja ‘Madu Tiga,’
Tapi hidup fikiran serabut.


AzmiRahman
Sintok
01122015