1 Disember 2015





puitanju (1)

rasionalisasi, katamu. tidak rasional 1mdb gadai aset negara, edra energy, semakin terbeban hutang. tppa di bawah telunjuk amerika syarikat (as), suara rakyat ‘against tppa.’ laman web kita, kedaulatan kita ikut telunjuk as. eksploitasi kita lemah dan kalah. gst kian menekan rakyat marhaen. subsidi minyak masak dihapuskan. harga barang naik (bn). skandal demi skandal menjalar. taring dan kuku prokera sembunyi dan terlindung. tidak bersuara. salah guna kuasa, wang, dan peluang para pemimpin. siapa kalah? siapa menang? cakap islam. benar salah hukum hakam. dengan wang hati gelap. mata malap. siapa tumbang, kecundang. siapa menang, terbang. tunggu dan lihat. siapa benar, siapa onar. 
 
azmirahman
sintok
01122015


Nota: puitanju = puisi tanpa judul

30 November 2015





CINTA,  APA BUKTINYA?

Malam hari pasang pelita,
Pelita digantung di batang jati;
Awak kata setia  bercinta,
Boleh awak berikan bukti?


Sudah ditebang pokok jati,
Habis disebut habis riwayat;
Bukti bukan sebarang bukti,
Bukti cinta ke akhir hayat.


Menu pagi pelbagai roti,
Dihidang juga buah lonang;
Susah juga bicara hati,
Kalau cakap memang senang.


Leka sungguh nenek bercerita,
Cerita hantu menggigit bahu;
Memang seronok masa bercinta,
Hidup bersama baharu tahu.



AzmiRahman
Sintok
November 2015




 

17 November 2015


CATDEK (5)


Suatu pagi saya ke Hospital Jitra menemani isteri untuk temu janji dengan doktor. Di luar hospital, saya berborak-borak dengan seorang pak cik yang usianya sudah melebihi 60 tahun. Dia bercerita sudah tidak kuat dan tiada daya untuk mengusahakan bendang padi dan menoreh getah. Kesihatannya sudah tidak seperti dia muda-muda dahulu. Dia selalu sakit; darah tinggi, kencing manis dan kaki serta tangannya kebas-kebas. Hanya di hospital kerajaan, dia mampu mendapatkan rawatan kerana kosnya terlalu rendah RM1.00. Dia menyatakan bahawa kos dan harga barangan dan perkhidmatan semua telah naik; upah membajak, membaja dan meracun. Hasilnya pula tidaklah seberapa. Harga getah sekerap hanya RM2.20 sekilo. Kalau RM3.00 sekilo, kira oklah juga katanya. Dia mahu terus menoreh getah meskipun harganya masih rendah kerana mahu meneruskan kelangsungan hidup. Kalau tiada wang, susahlah dia dan keluarganya mahu hidup. Apatah lagi harga ikan, ayam dan daging pun mahal. Itupun masih ada anak-anaknya mahu meneruskan kerja membuat bendang dan menoreh getah. Dia juga menceritakan, jika anak-anak yang malas atau tidak larat mengusahakan kerja itu, habislah bendang dan ladang getah dijual bagi mendapatkan wang segera.

28 Oktober 2015



CATDEK (4)

SABAR SEORANG ISTERI

Suatu pagi, di depan sebuah bank di Jitra: Si suami memarahi dan menengking-nengking si isteri. Saya dan orang yang berada di luar bank itu tidak tahu sebab si suami berbuat begitu. Si suami pula memaki-maki si isteri. Namun, si isteri kelihatan berjalan tenang dan bersabar – tidak memberi respons kepada si suami. Peristiwa itu, pada pandangan saya tidak patut dilakukan oleh si suami, tambahan pula di depan khalayak ramai. Pastinya si isteri berasa malu dan maruahnya hilang diperlakukan begitu oleh si suami. Semarah mana pun akan perbuatan si isteri, marahlah di tempat sesuai dan cara berhemah.
 



CATDEK (3)
GRADUAN HOLISTIK

Pesta Konvo UUM, sempena Majlis Konvokesyen ke-28 UUM, bertema “Graduan Holistik Teras Kecemerlangan.” Menarik tema yang ditetapkan itu. Kata ‘holistik’ menarik minat saya mengulas dan memberi maknanya. Kata holistik bermaksud menyeluruh, iaitu bersifat saling berkait antara satu sama lain sebagai suatu bersepadu yang menyeluruh; bukan menyentuh aspek tertentu sahaja (Kamus Dewan edisi keempat, 2005, h. 543). Jika seseorang itu bersifat dan berjiwa holistik, dia akan lebih cemerlang daripada individu lain yang tidak sebegitu. Sifat holistik, jika merujuk kes graduan IPTA di Malaysia, akan membantunya cemerlang bukan sahaja dalam akademik, malahan bukan akademik. Jika graduan hanya cemerlang dalam bidang akademik, belum tentu dia/ mereka mudah mendapat pekerjaan. Benarlah dikatakan bahawa persaingan untuk mendapatkan pekerjaan kini agak sengit. Aspek yang bukan akademik yang diambil kira oleh pihak yang memilih pekerjanya, antaranya ialah kebolehan dan kecekapan berkomunikasi (lisan dan tulisan/ elektronik), ketrampilan diri, berkebolehan memimpin, ketahanan mental, semangat berkerjasama, berintegriti, berperibadi mulia, dan berilmu pengetahuan. Pada pandangan saya, aspek bukan akademik ini diperoleh dan dikuasai sebaik mungkin semasa di universiti atau di kolej. Manusia yang bersifat dan berjiwa holistik adalah manusia yang berjaya dan cemerlang dalam hidupnya.

21 Oktober 2015


CATDEK 2


Iktibar khutbah Jumaat: Ceritanya tentang seorang doktor perempuan berbangsa India (bukan beragama Islam) berhenti kerja meskipun gajinya sudah melebihi RM80,000 sebulan. Apabila dia melihat ramai ibu/ bapa dibuang oleh anak-anak, tersentuh hatinya mahu membantu mereka. Dia menjadikan rumah mewahnya yang bernilai jutaan ringgit sebagai rumah kebajikan orang tua yang ditinggalkan atau dibuang oleh anak-anak atau keluarganya. Rumah itu didiami 30 orang; 28 orang adalah beragama Islam. Penghuni yang beragama Islam sering diberikan takzirah oleh ustaz atau ustazah yang dijemput ke rumah itu. Doktor itu memberitahu kepada ustaz (khatib khutbah Jumaat) bahawa dia sendiri mengusung seorang ibu tua yang sudah terlalu uzur ke bilik air dan membasuh najis ibu itu dengan tangannya. Betapa terkejutnya ustaz itu mendengar cerita doktor itu. Ustaz itu pula dalam khutbahnya bertanya, “Berapa ramai yang hadir solat Jumaat ini yang sanggup membasuh najis ibu atau bapanya yang uzur?” Cerita khatib lagi tentang seorang ibu di rumah jagaan itu, sering bertanya “Bilakah anak-anaknya akan datang menjenguknya?” Ibu itu mempunyai enam orang anak yang berjaya dalam hidupnya.  Anak-anaknya telah membuang ibunya di rumah jagaan itu. Apabila si ibu bertanyakan tentang itu, si doktor itu berusaha menjejaki anak-anaknya. Si doktor itu dapat berhubung dengan seorang daripada anak-anak si ibu malang yang penuh berharap mahu berjumpa dengan anak-anaknya. Si anak itu menyatakan bahawa dia akan berjumpa dengan ibunya pada hari lahir ibunya. Betapa gembira si ibu apabila mendengar perkhabaran itu. Lalu si ibu selalulah melihat kalendar dan tanda hari-hari yang berlalu sehinggalah tiba hari lahirnya. Pada hari lahir si ibu, dia sudah bersiap sedia dengan pakaian cantik dan awal pagi selepas solat Subuh, dia sudah menunggu di pintu masuk rumah jagaan itu. Hari berlalu begitu pantas, si anak tidak juga menjelma dan si ibu tetap menanti sampailah malam. Apabila kawan-kawannya bertanya, “Bagaimana, anak datang ke?” Si ibu dengan senyum menyatakan bahawa anaknya sibuk, dan akan datang esok pagi meskipun si ibu tidak pasti si anak akan datang atau tidak. Si ibu tetap menunggu si anak. Pada hari yang berikut, setelah solat Subuh, si ibu dijemput Allah, kembali ke rahmatullah. Akhir khutbah, khatib menyatakan bahawa “Jika si ibu tidak reda atas perbuatan anak-anaknya, maka ke nerakalah si anak-anaknya.” Hanya Allah SWT Yang Maha Mengetahui dan Maha Mengatur perjalanan hidup setiap hamba-Nya.

20 Oktober 2015


CATDEK

(1)

Saya namakan siri catatan pendek ini, singkatannya ‘catdek.’ Banyak catdek yang  ingin saya kongsikan dengan khalayak, juga warga dunia yang menjadi sumber ilham catdek ini. Saya mulakan dengan suatu kisah semasa singgah di sebuah sekolah di Terengganu. Seorang bergelar ‘ustazah’ menghampiri dan berada dalam kumpulan lima orang pelajar perempuan. Ketika itu saya berdiri tidak jauh daripada kumpulan pelajar tersebut. Ustazah itu bertanya kepada para pelajar itu, “Mu ni dok kelas mana?” Jawab seorang daripada pelajar, “Dok kelas 5C ustazah.” Kemudian ustazah itu mengatakan, “Mu ni dok kelas bodo. Kelas budok-budok benok. Mu tengok anok-anok saya, semua berjaya masuk universiti. Panda-panda semua.” Senyap sepi budak-budak itu. Saya tak tahulah apa yang difikirkan oleh mereka. Apabila ustazah itu berlalu, saya menghampiri budak-budak itu. Kata saya, “Takpa dik, jangan dok fikir sangat apa yang ustazah itu cakap. Adik-adik pun boleh berjaya bukan sahaja dalam bidang akademik, malahan bidang bukan akademik. Orang yang cemerlang dan berjaya, bukan hanya dilihat pada akademik atau kelulusan. Banyak lagi aspek kejayaan  dan kecemerlangan yang jadi ukuran. Yang penting adik-adik bersemangat mahu menjadi orang cemerlang.” Kemudian, saya berlalu mahu menuju ke Kuala Terengganu. Dalam perjalanan, saya memikirkan bahawa itulah bahananya jika diwujudkan kelas mengikut abjad A, B, C, D dan sebagainya. Abjad-abjad ini menunjukkan perbezaan ketara pencapaian pelajar dalam bidang akademik. Pihak sekolah sepatutnya memikirkan nama kelas berdasarkan, misalnya bunga, tokoh atau warna.