29 September 2015



MEMBUANG ADAB


Ketika guru mengajar, kau membelek-belek telefon. Kau membaca dan membalas mesej, facebook, dan whatsapp. Kau berwechat. Kau pula menjawab panggilan telefon. Penting sangatkah segalanya itu sedang guru mengajar? Adab apa yang bersarang di hatimu? Kurang ajarkah kau tentang adab berguru? Kau nanti menjadi atau memang guru, isteri, suami atau bos. Jangan marah atau memaki-maki  anak-anak buahmu berbuat sama seperti kau buat semasa berguru. Janganlah kau berkhutbah tentang adab ketika mengajar atau berceramah atau berkhutbah. Jangan kau ungkapkan anak derhaka atau suami derhaka atau isteri derhaka atau tidak beradab ketika kau bercakap mereka pula berfacebook atau bermesej atau berwhatsapp atau bercakap-cakap di telefon pula. Kau berpalinglah pada sejarah. Kau pun pernah membuang dan biasa membuang adab. Kau masih bertabiat membuang adab. Kau pula memang tidak peduli adab. Kau tidak boleh membezakan antara adab dengan bebal.

Jangan berkhutbah tentang adab kerana kau hipokrit.

Sintok
September 2015



BAHASA JIWA BANGSA,
BANGSA RASA BAHASA

Berenang-renang anak angsa,
          Anak angsa makan padi;
Bahasa itu jiwa bangsa,
          Lebih cantik ditambah budi.

Pekat sungguh kuah laksa,
          Makan laksa tengah hari;
Kita berbahasa, kita merasa,
          Kita berbudi, kita memberi.
Bunga kantan di tepi perigi,
          Dimasuk dalam kuah laksa;
Bahasa dan bunga nilai tinggi,
          Hilang bahasa lenyap bangsa.
Sudah malam masih di rimba,
          Singgah bermalam di pondok papan;
Kurang budi teraba-raba,
          Kurang bahasa tidak sopan.
Cincin emas cincin suasa,
          Hadiah hari jadi diraikan;
Bangsa kita rasa bahasa,
          Kita rasa kita martabatkan.
Azmi Rahman
UUM Sintok
14 September 2015


20 September 2015



ALAM DAN MAKNA KEHIDUPAN

Pagi-pagi alam berkabus,
Tinggi bukit di depan mata;
Banyak dosa tidak tertebus,
Dosa lalu tidak terkata.

Anak bernama anak Bajau,
Panjat pokok asam Jawa;
Keliling pandangan alam hijau,
Rasa tenang menusuk jiwa.

Terdengar burung berkicau-kicauan,
Lagu asyik sapa menyapa;
Lama berpisah rindu-rinduan,
Hilang rindu bila berjumpa.

Pokok durian keliling rumah,
Pokok rambutan di tepi sungai;
Hidup hendaklah ramah tamah,
Berbudi bahasa elok perangai.

Rasa manis isi manggis,
Isi durian kuat baunya;
Cik adik janganlah menangis,
Abang pergi tidaklah lama.

Ayam hutan sukar dikepung,
Tidur malam mudah terjaga;
Tenang berada di alam kampung,
Lari dari kesibukan kerja.

Daun pandan batang serai,
Daun kunyit isi lengkuas;
Jangan fikir mahu bercerai,
Biar hidup sampai puas.

Anak itik berenang-renang,
Berenang-renang di sebalik batu;
Biarkan sungai mengalir tenang,
Biarkan hutan hijau begitu.


Waktu petang makan lemang,
Apabila malam tanak pulut;
Kesunyian cipta diri tenang,
Kesibukan jadi diri kalut.

Budak-budak masih di baruh,
Hari petang kian kelam;
Air sungai menjadi keruh,
Angkara manusia rosakkan alam.

Sudah diambil kain bebat,
Buat membalut jari berdarah;
Buah durian tidak lebat,
Angkara tupai rosakkan buah.

Masuk hutan mencari buluh,
Buluh mahu dibakar  lemang;
Bila malam hendaklah bersuluh,
Jangan diri mengamang-amang.

Di tepi sungai ada taman,
Di sungai berenang anak angsa;
Nikmat makan ulam-ulaman,
Nikmat buahan pelbagai rasa.

Buah duku buah langsat,
Pokok durian sudah tinggi;
Tanpa guru kita sesat,
Hendaklah kita mengaji lagi.

Pucuk salam pucuk samak,
Pucuk putat pucuk ubi;
Jangan hidup amalkan tamak,
Nanti hidup orang benci.

Mandi di kolam guna pelampung,
Asyik mandi menjadi leka;
Bila berada di alam kampung,
Kerja pejabat lupa seketika.

Sekeliling banyak pokok salak,
Di tengah-tengah pokok sena;
Ihsan jadi induk akhlak,
Perlakuan insan Muslim sempurna.

Perkampungan Bt. 8
Baling, Kedah.
Jun 2015

14 September 2015


*SATU WANGSA SEHATI SEJIWA DI TAMAN HARMONI

(1) SAJAK
Di taman harmoni, bunga-bunga segar mengharum
wanginya semerbak mengalir di ruang watan
kita menghidu segar kita menghembuskan udara yang sama.
Di taman harmoni, tumbuh teguh pohon kedamaian
tanah subur yang dibajakan
disirami air cinta mengakar mimpi pelangi.

(2) PANTUN
Luka sedikit tidaklah terasa,
          Disapu setitik minyak gamat;
Harmoni hidup pelbagai bangsa;
          Aman damai adalah nikmat.
Kain diletak di atas pepara,
          Mahu dijemur sebab basah;
Jangan timbulkan huru-hara,
          Kelak semua hadapi susah.
Buah manggis di dalam guni,
          Diangkut orang dengan kereta;
Kita rakyat hidup harmoni,
          Di sinilah lahir sebuah cinta.
(3) MANTERA
Hei, lihatlah sang kumbang yang terbang bebas
mahu menghisap madu bunga-bunga di taman harmoni
kita bunuh, kita nyahkan sang kumbang itu
kerana kemanisan madu adalah milik kita.

Hei, lihatlah sang helang dari negeri gelap
mahu membinasakan taman harmoni kita
kita halang kita tentang
kerana taman harmoni ini adalah milik kita.
(4) SAJAK
Darah  semangat berakar di dalam diri
keris keramat para pejuang tersisip kejap di muzium kehidupan
kelir masih basah dengan darah
suara perjuangan bernafas di dalam saraf diri
kematian adalah hadiah perjuangan para pejuang
darah sang petualang tersembur di sebalik kelir
suara dendam terhambur, lenyap di udara.

Ah! Kematian bukanlah pengorbanan percuma
hargailah kematian itu sebagai hadiah kemenangan perjuangan
nama bukan hiasan pada batu sanjungan
nama kental keberanian itu terukir pada kelir sejarah
ingatan pada dalang hipokrasi sudah dipadamkan
nanti malam, pentas kemerdekaan akan terang benderang
meraikan kemenangan satu wangsa merdeka sehati sejiwa.
(5) GURINDAM

Ini gurindam nikmat kemerdekaan,
Dirasai jiwa bukanlah rekaan.

Jika jiwa tidak merdeka,
Kelak jiwa terasa luka.

Jika tidak sehati sejiwa,
Apa dibuat temui kecewa.

Jika tidak cintai negara,
Tiadalah makna jadi warganegara.
 Jika rakyar hidup bersatu padu,
Arah tuju negara bersama dipandu.

Jika negara dalam huru hara,
Rakyat hidup dalam sengsara.

Inilah gurindam hamba karang,
Buat Malaysia hamba sayang.

(6) PERIBAHASA
Di taman harmoni, warna bunga berbeza
wanginya tidak sama
kita hayati dalam satu nafas
benarlah seiring bertukar jalan
sekandang tidak sebau
seia bertukar sebut
di taman harmoni bunga-bunga adalah milik kita
jangan kita bagai enau dalam belukar
melepaskan pucuk masing-masing
jangan kita beraja di mata, bersultan di hati
jangan biarkan bunga-bunga milik kita layu di taman harmoni
jangan biarkan wanginya hilang dibawa pawana sasar.
(7) DIKIR
Salam Satu Malaysia buat hadirin sekalian,
Ini dikir sehati sejiwa jadi tumpuan.

Sehati sejiwa kita warga merdeka,
Cintai negara jangan timbulkan petaka.
 Ini negara, tanah tumpah darah kita,
Cinta kita sepenuh jiwa, bukan hanya pada kata.

Sehati sejiwa kita capai satu wawasan,
Bergerak kita ikhlas dalam satu barisan.

Sekian dulu dikir hamba persembahkan,
Moga sama-sama kita renungkan.

(8) SAJAK
Para pejuang bersuara atas nama kemerdekaan
laungkan sejuta kali kata azimat. Merdeka!
Jalur Gemilang, sanjungan sehati sejiwa
Jalur Gemilang sentiasa megah berkibaran di angkasa
Jalur Gemilang, sanjungan langit, awan, mentari dan bintang-bintang.

(9) PERIBAHASA
Sehati sejiwa serumpun bagai serai
seliang bagai tebu
hidup subur serai dan tebu di taman harmoni
samalah juga seikat bagai sirih
serangkap bak lembing.
Dirgahayu MALAYSIA!
Azmi Rahman
SEML, UUM CAS, Sintok, Kedah.

Julai – September 2015
*Puisi ini merupakan puisi poligenre yang menggabungkan SAJAK, PANTUN,  MANTERA, PERIBAHASA, DIKIR dan GURINDAM. Puisi ini dideklamasikan oleh 5 orang pelajar sempena Sambutan Hari Malaysia 2015 di Dewan Mu’adzam Shah, UUM Sintok pada 15 September 2015.



LUKA

Luka itu darah. Dari mata, air mata darah mengalir. Ada ketikanya tidak akan dipulangkan hak. Luka di dada tidak disembunyikan kebenaran. Tidak luka di belakang kerana tidak kelihatan luka dan darah. Luka di tangan, pisau mungkir mengguriskan. Darahnya di depan mata. Luka di hati hanya untuk diri mengerti. Darahnya tidak mengalir ke muara duka. Luka lama dan luka baru di hati, parutnya tinggal juga. Di tangan aku ini ada parut luka. Di hati aku ini ada parut kekal. Luka itu mudah. Luka itu payah sembuhnya. Ah, luka, luka lagi!

Azmi Rahman
Jitra
September 2015





DOA

Ribut pasir + hujan lebat mengganas. Mengaburkan tanah suci Mekah. Angin kencang menumbangkan kren; menimpa Masjidil Haram. Langkahan jihad yang selamat. Semua ketentuan Allah. 107 jemaah haji kembali kepada-Nya. Al-Fatihah.
Azmi Rahman
Jitra
13 September 2015

13 September 2015



TRAGEDI BOLA SEPAK MALAYSIA             

Insiden yang memalukan Malaysia. Itulah ungkapan yang dapat saya nyatakan apabila menatap berita di TV dan membaca berita di akhbar  cetak serta elektronik tentang perlawanan antara Harimau Malaya menentang Arab Saudi dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019. Perlawanan itu diadakan di Stadium Shah Alam. Keputusan perlawanan memihak kepada Arab Saudi (2) dan Harimau Malaya (1). Namun perlawanan terpaksa dihentikan pada minit ke-87 angkara huru-hara yang dicetuskan oleh penyokong Malaysia.
 
Apa sudah jadi? Amarah Ultras Malaya yang merupakan penyokong fanatik bola sepak Malaysia memprotes terhadap prestasi terburuk pasukan bola sepak Malaysia yang kalah 10 – 0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE). Mereka membakar dan membaling suar, membakar mercun dan bom asap ke tengah padang. Sebenarnya mereka marah kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana pengurusan lemah dan tidak serius meningkatkan prestasi bola sepak Malaysia. Pemain-pemain Malaysia kelihatan tidak bermaya dan tiada pula pelapis yang berkemahiran tinggi dalam bola sepak. Yang menonjol pula ialah pemain import dalam Liga Super dan Liga Malaysia.
Dalam hal ini, kita tunggulah apa hukuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap insiden ini. Kes ini memang berat dan serius. Justeru, FIFA tidak akan berkompromi dalam menghukum pasukan bola sepak Malaysia (Harimau Malaya) dan FAM.

Azmi Rahman
September 2015