14 September 2015


*SATU WANGSA SEHATI SEJIWA DI TAMAN HARMONI

(1) SAJAK
Di taman harmoni, bunga-bunga segar mengharum
wanginya semerbak mengalir di ruang watan
kita menghidu segar kita menghembuskan udara yang sama.
Di taman harmoni, tumbuh teguh pohon kedamaian
tanah subur yang dibajakan
disirami air cinta mengakar mimpi pelangi.

(2) PANTUN
Luka sedikit tidaklah terasa,
          Disapu setitik minyak gamat;
Harmoni hidup pelbagai bangsa;
          Aman damai adalah nikmat.
Kain diletak di atas pepara,
          Mahu dijemur sebab basah;
Jangan timbulkan huru-hara,
          Kelak semua hadapi susah.
Buah manggis di dalam guni,
          Diangkut orang dengan kereta;
Kita rakyat hidup harmoni,
          Di sinilah lahir sebuah cinta.
(3) MANTERA
Hei, lihatlah sang kumbang yang terbang bebas
mahu menghisap madu bunga-bunga di taman harmoni
kita bunuh, kita nyahkan sang kumbang itu
kerana kemanisan madu adalah milik kita.

Hei, lihatlah sang helang dari negeri gelap
mahu membinasakan taman harmoni kita
kita halang kita tentang
kerana taman harmoni ini adalah milik kita.
(4) SAJAK
Darah  semangat berakar di dalam diri
keris keramat para pejuang tersisip kejap di muzium kehidupan
kelir masih basah dengan darah
suara perjuangan bernafas di dalam saraf diri
kematian adalah hadiah perjuangan para pejuang
darah sang petualang tersembur di sebalik kelir
suara dendam terhambur, lenyap di udara.

Ah! Kematian bukanlah pengorbanan percuma
hargailah kematian itu sebagai hadiah kemenangan perjuangan
nama bukan hiasan pada batu sanjungan
nama kental keberanian itu terukir pada kelir sejarah
ingatan pada dalang hipokrasi sudah dipadamkan
nanti malam, pentas kemerdekaan akan terang benderang
meraikan kemenangan satu wangsa merdeka sehati sejiwa.
(5) GURINDAM

Ini gurindam nikmat kemerdekaan,
Dirasai jiwa bukanlah rekaan.

Jika jiwa tidak merdeka,
Kelak jiwa terasa luka.

Jika tidak sehati sejiwa,
Apa dibuat temui kecewa.

Jika tidak cintai negara,
Tiadalah makna jadi warganegara.
 Jika rakyar hidup bersatu padu,
Arah tuju negara bersama dipandu.

Jika negara dalam huru hara,
Rakyat hidup dalam sengsara.

Inilah gurindam hamba karang,
Buat Malaysia hamba sayang.

(6) PERIBAHASA
Di taman harmoni, warna bunga berbeza
wanginya tidak sama
kita hayati dalam satu nafas
benarlah seiring bertukar jalan
sekandang tidak sebau
seia bertukar sebut
di taman harmoni bunga-bunga adalah milik kita
jangan kita bagai enau dalam belukar
melepaskan pucuk masing-masing
jangan kita beraja di mata, bersultan di hati
jangan biarkan bunga-bunga milik kita layu di taman harmoni
jangan biarkan wanginya hilang dibawa pawana sasar.
(7) DIKIR
Salam Satu Malaysia buat hadirin sekalian,
Ini dikir sehati sejiwa jadi tumpuan.

Sehati sejiwa kita warga merdeka,
Cintai negara jangan timbulkan petaka.
 Ini negara, tanah tumpah darah kita,
Cinta kita sepenuh jiwa, bukan hanya pada kata.

Sehati sejiwa kita capai satu wawasan,
Bergerak kita ikhlas dalam satu barisan.

Sekian dulu dikir hamba persembahkan,
Moga sama-sama kita renungkan.

(8) SAJAK
Para pejuang bersuara atas nama kemerdekaan
laungkan sejuta kali kata azimat. Merdeka!
Jalur Gemilang, sanjungan sehati sejiwa
Jalur Gemilang sentiasa megah berkibaran di angkasa
Jalur Gemilang, sanjungan langit, awan, mentari dan bintang-bintang.

(9) PERIBAHASA
Sehati sejiwa serumpun bagai serai
seliang bagai tebu
hidup subur serai dan tebu di taman harmoni
samalah juga seikat bagai sirih
serangkap bak lembing.
Dirgahayu MALAYSIA!
Azmi Rahman
SEML, UUM CAS, Sintok, Kedah.

Julai – September 2015
*Puisi ini merupakan puisi poligenre yang menggabungkan SAJAK, PANTUN,  MANTERA, PERIBAHASA, DIKIR dan GURINDAM. Puisi ini dideklamasikan oleh 5 orang pelajar sempena Sambutan Hari Malaysia 2015 di Dewan Mu’adzam Shah, UUM Sintok pada 15 September 2015.



LUKA

Luka itu darah. Dari mata, air mata darah mengalir. Ada ketikanya tidak akan dipulangkan hak. Luka di dada tidak disembunyikan kebenaran. Tidak luka di belakang kerana tidak kelihatan luka dan darah. Luka di tangan, pisau mungkir mengguriskan. Darahnya di depan mata. Luka di hati hanya untuk diri mengerti. Darahnya tidak mengalir ke muara duka. Luka lama dan luka baru di hati, parutnya tinggal juga. Di tangan aku ini ada parut luka. Di hati aku ini ada parut kekal. Luka itu mudah. Luka itu payah sembuhnya. Ah, luka, luka lagi!

Azmi Rahman
Jitra
September 2015





DOA

Ribut pasir + hujan lebat mengganas. Mengaburkan tanah suci Mekah. Angin kencang menumbangkan kren; menimpa Masjidil Haram. Langkahan jihad yang selamat. Semua ketentuan Allah. 107 jemaah haji kembali kepada-Nya. Al-Fatihah.
Azmi Rahman
Jitra
13 September 2015

13 September 2015



TRAGEDI BOLA SEPAK MALAYSIA             

Insiden yang memalukan Malaysia. Itulah ungkapan yang dapat saya nyatakan apabila menatap berita di TV dan membaca berita di akhbar  cetak serta elektronik tentang perlawanan antara Harimau Malaya menentang Arab Saudi dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019. Perlawanan itu diadakan di Stadium Shah Alam. Keputusan perlawanan memihak kepada Arab Saudi (2) dan Harimau Malaya (1). Namun perlawanan terpaksa dihentikan pada minit ke-87 angkara huru-hara yang dicetuskan oleh penyokong Malaysia.
 
Apa sudah jadi? Amarah Ultras Malaya yang merupakan penyokong fanatik bola sepak Malaysia memprotes terhadap prestasi terburuk pasukan bola sepak Malaysia yang kalah 10 – 0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE). Mereka membakar dan membaling suar, membakar mercun dan bom asap ke tengah padang. Sebenarnya mereka marah kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana pengurusan lemah dan tidak serius meningkatkan prestasi bola sepak Malaysia. Pemain-pemain Malaysia kelihatan tidak bermaya dan tiada pula pelapis yang berkemahiran tinggi dalam bola sepak. Yang menonjol pula ialah pemain import dalam Liga Super dan Liga Malaysia.
Dalam hal ini, kita tunggulah apa hukuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap insiden ini. Kes ini memang berat dan serius. Justeru, FIFA tidak akan berkompromi dalam menghukum pasukan bola sepak Malaysia (Harimau Malaya) dan FAM.

Azmi Rahman
September 2015





MERDEKA DARIPADA APA?
Profesor Datuk Zainal Kling  |  06 September 2015 12:47 AM
Kini kita akan lupakan "hari merdeka" walaupun ada tercatat dalam Perlembagaan. Mungkin tidak ada lagi paparan wajah YM Tunku Abdul Rahman melaungkan tujuh kali merdeka. Lambang kerjayaan perjuangan bumiputera tertindas oleh "pecah amanah" (breach of faith) penjajahan British yang berjanji "muafakat" pada 1874 mentadbir negeri-negeri Melayu, akan dilupakan.
Alhasilnya, Melayu tertindas dalam pendidikan hanya takat sekolah rendah dan orang asing mengaji hingga universiti. Melayu terpinggir dalam ekonomi kampungan hanya untuk kais pagi makan pagi, merempat sebagai the wretched of the earth. Negeri -negeri Melayu dijadikan koloni sebagai "Malayan Union", dengan pemerintahan Governor dan pendatang asing diberi kerakyatan sama rata serta sama hak dengan Melayu. Berabad mereka menimba kekayaan sepenuhnya dan menguasai ekonomi. Melayu hilang negeri dan merempat. Muncul seorang Melayu, Dato Onn Jaafar, berjuang bermati-matian untuk kembalikan hak dan kuasa politik Melayu. Disambung oleh Tunku, UMNO dan kerjasama rakan Perikatan untuk merdeka.
Merdeka tercapai kemudiannya, sebagai puncak kemenangan dari perjuangan berdarah, pengorbanan seluruh badan dan nyawa anak bangsa. Ada bangsa asing yang mahu merampas dan menghapuskan bangsa dan kedaulatan Melayu, atas nama menentang penjajahan, tetapi sebaliknya mereka mahu menakluk negeri-negeri Melayu sebagai republik komunis. Demikian, penjajahan itu ibarat keluar mulut harimau masuk mulut buaya.
Itulah yang kita raikan, sanjung dan rayakan - kemerdekaan. Suatu pembebasan jasmani dan rohani, tabii dan sosio-budaya manusia Melayu dan orang lain yang bersama, untuk menggembleng seluruh kekayaan alam dan tenaga manusia, demi kedaulatan dan kesejahteraan yang nyata dan abadi.
Nostalgia
Jadi, hanya hari kebangsaan yang akan dilangsungkan. Telah kita saksikan perayaannya, sebagai suatu catan kanvas agung pada jagat alam, pada permukaan Padang Merdeka, dengan simbahan ribuan warna-warni manusia Malaysia. Kita paparkan kepelbagaian dalam satu kesatuan, perbezaan dalam persamaan dan keberagaman dalam keseragaman.
Kita raikan kesatuan dan kesepaduan warga Malaysia, dalam rangkulan jaringan emosi "sehati sejiwa" sebagai pernyataan dan perupaan makna "kebersamaan" dalam kalangan pelbagai rasa dan jiwa etnis dan ras di seluruh negara. Laungan emosi dan rasa inilah barangkali yang menakrif erti perpaduan, yang kini tercabar oleh saranan alternatif yang dilandasi oleh teori konflik dan perlawanan.
Namun, setelah enam dekad merayakan kemerdekaan, apakah tiada lagi makna dan nostalgia dari erti keraian dan perjuangan lampau itu? Barangkali mereka yang benar-benar berjuang, sudah lama kembali ke rahmat Allah. Yang tinggal hanya kenangan. “Kami cuma tulang-tulang berserakan… diliputi debu,” nukil Khairil Anwar, penyair agung Indonesia tentang kemerdekaan dan perjuangan. Lalu kita mudah lupakan; apa lagi sekian ramai anak yang dewasa dalam ilusi "tanah jajahan" di bandar-bandar, dan merasa mewah dalam kelangsungan sejarah kolonial. Dan, mereka menjadi manusia asing dari perjuangan.
Perjuangan adalah pengorbanan dalam ruang tempat dan masa. Setiap pejuang adalah sejarawan dan sekali gus negarawan. Pembentukan "negara" dalam aliran masa yang amat panjang menjadi sendi dan tunjangan serta ilham, pendorong terkuat perwatakan dan makna perjuangan. Dan, Tanah Melayu serta Malaysia adalah pewaris "negara" Melayu sejak Kedukan Bukit di Palembang pada 682 Masihi. Pada prasasti berbahasa Melayu dan huruf Palawa, negara Melayu terbina, sebagai penguasa, wibawa, daulat dan pemerintah di rantau Alam Melayu. Lalu mereka menguasai laluan dan dagangan timur dan barat di Selat Melaka. Mereka melebarkan wibawa dan kedaulatan meliputi sebahagian besar Alam Melayu.
Dalam persinggitan kuasa dan dagang itu, mereka bertembung dan berperang dengan India Chola. Kemudian muncul wibawa China dalam kembara ke barat Laksaman Zeng He, tapi tiada taklukan seperti ditingkah oleh Mogol atau Mughal di China dan India, walaupun dicuba oleh Kublai Khan di Jawa. Melaka mewarisi kenegaraan Seriwijaya itu dan berperang selama lebih 100 tahun dengan Portugis.
Hanya pelabuhan Melaka yang alah, negeri Melayu terus kekal. Berkerjasama pula dengan Belanda tanpa kehilangan kedaulatan Melayu. Dan, masuk British dengan segala tipu-helah (deception) tetapi tidak pernah terhapus kedaulatan Melayu, meskipun Pesuruhjaya Tinggi sebagai wakil raja Brtiain, berkuasa. Perang Dunia merobah status quo, dan berjuang membela tanah air untuk bebas, merdeka dan berdaulat kembali.
Demikian iktibar perjuangan dan kemerdekaan untuk anak-anak kini. Tidak ada satu pun perjuangan yang ditempa dengan bantuan luar akan kekal bebas dan merdeka. Bantuan luar adalah perhambaan. Hapuskan anak-anak yang mahu membelot atas nama kebebasan terkini, yang dibayangi oleh sandiwara dan lang­kah catur kuasa asing.
Baik atas nama hari merdeka mahupun hari kebangsaan, sejarah adalah saksi sahih akan kejituan kebebasan, kemerdekaan dan kedaulatan bersendi perjuangan. Wallahu aa’lam.
Penulis ialah Profesor Pusat Pengajian Kerajaan Universiti Utara Malaysia (UUM).



12 September 2015



INDAHNYA DALAM ALAM PERCINTAAN

Suatu hari Sabtu, saya ke kampus kerana berkuliah dari jam 8 pagi hingga 11 pagi, kemudian sambung pula dari jam 3 hingga 6 petang. Begitulah setiap Sabtu, hari cuti, namun saya bekerja. Namun, untung juga bekerja hari Sabtu, dapatlah menjengah dan melawat teman-teman siber di eSastera, juga dapat saya berkarya. Selain itu, bekerja hari Sabtu, saya seronok kerana dapat berinteraksi dengan para pelajar yang berumur. Mereka berpengalaman sebagai pentadbir dan pegawai pendidikan atau guru. Banyak ilmu dan pengalaman yang dapat saya berkongsi dengan mereka.  Setelah kuliah, saya berehat sekejap di bilik sementara menunggu masa untuk makan tengah hari. Selalunya saya singgah ke kafeteria DPP bersendirian. Saya selalu begitu kerana senang hendak singgah ke mana yang saya suka. Maka tergerak di hati saya hendak makan di kafe DPP Perwaja. Setelah membayar di kaunter, saya mencari lokasi untuk menjamu selera. Tempat yang menghadap televisyen, penuh diduduki penghuni Dewan Penginapan Pelajar (DPP).  Di suatu sudut, di sebalik tiang kafe, ada tempat duduk. Saya pun duduklah dengan senang hati. Di depan saya, ada dua pasangan. Saya fikir  mereka ini  dalam alam percintaan. Mereka membelakangi saya. Mereka duduk begitu rapat. Sambil menjamu selera, mata saya memerhatikan gelagat mereka terutamanya pasangan yang betul-betul berada di depan mata saya. Saya sudah habis makan tapi mereka perlahan-lahan menghabiskan makanan. Mereka berkongsi air. Air yang berbaki si perempuan itu, dihabiskan oleh si lelaki. Sambil menghabiskan air, saya masih memerhatikan gelagat mereka. Si lelaki itu pula menghabiskan makanan berbaki dalam pinggan si perempuan, juga lauknya. Sambil makan, mereka berbisik-bisik seolah-olah mereka tidak sedar saya berada di belakang mereka. Begitu sekali gelagat mereka bila dalam alam percintaan. Romantik sekali. Semasa memandu, pulang ke bilik pejabat, terfikir saya alangkah bahagianya mereka bila hidup bersama sebagai suami isteri. Mungkin pengalaman  bercinta dan bersama di kampus memberi makna kehidupan ‘kebersamaan’ kepada mereka. Mungkin juga semua itu hanyalah lakonan. Bila bersama, terpancarlah realiti yang jauh, tidaklah seperti pengalaman bersama dan bercinta di kampus. Sukar juga saya hendak menjawab kerana saya tiada pengalaman bercinta di kampus. Apa-apapun bercinta di kampus, semasa jadi pelajar, ada keseronokan dan dukacaritanya.

Azmi Rahman
Sintok 





DI LANGIT CINTA

Di tanah langit, tumbuh sepohon cinta. Membenih pula sekuntum kejora. Rindu mengalir pada sinar ke wajah malam. Cinta adalah tetamu malam yang  singgah di rumah perasaan. Cinta berakar di tanah pengalaman menumbuhkan bunga yang mengerti makna wangi.

Cinta hadir dalam kekosongan diri. Kesepian diterjemahkan dengan aksara pelangi di langit cinta. Kau menghadiahkan wangi bunga  buat seorang lelaki yang telah kehilangan cinta. Dia menerimanya dalam kepastian kristal aksara cinta tersusun indah.

Cinta bukanlah mahu ditafsir semula di langit jelas bahasa sejuta bintang yang jauh mendekatkan sinar cinta. Kaulah sinar kejora itu menjadi milik aku.

Pasrahkan aksara cinta di langit;  di ruang kosong seorang lelaki. Apa lagi yang kau ingin miliki? Album cinta silam dihanyutkan ke laut lupa.
Cinta baru ini adalah cinta yang dipilih-pilih dari sebuah album cinta silam.


Cinta baru ini adalah cinta tanpa dusta. Cinta baru ini adalah cinta tanpa rahsia. Bukan cinta hipokrasi.  Bukan cinta boneka. Di langit cinta ini adalah destinasi cinta ke akhir hayat.


Jitra
4.00 pagi