21 Julai 2015


HILANG


Hilang MH. Misteri Hilang. Besi terbang. Hilang yang tidak pulang-pulang. Hilang masih mengharap MH pulang. Terbang. Masih melayang. Hilang lagi. Lagi-lagi hilang. Hilang wang. Terbang ke lorong-lorong misteri. Ada wang. Hilang terbang. Hilang di pulau-pulau misteri. Suara sarat dan berat. “Mana wang dan ke mana wang hilang?” Cerita baru timbul. Hilang misteri itu. Hilang. Timbul pula cerita misteri baru. Hilang.  Tenggelam hilang. Hilang dan terbang. MH = Maruah Hilang. Hilang. Suara pun diam. Terpendam. Banyak yang hilang. Mari kita bilang yang hilang. Hilang!
 
Azmi Rahman
Jitra
Julai 2015

13 Julai 2015


SEMPADAN


Sempadan aku terentang garisan penghalang. Engkau tidak boleh melintasi sempadan aku. Sempadan aku adalah sempadan harga diri dan maruah diri yang mahal. Penceroboh! Jika engkau berjaya melintasi dan bersatu diri di sempadan aku, maknanya aku telah ditewaskan oleh nafsu. ! Mata aku melihat tetapi tidak berkelip. Tangan aku berkuasa tetapi tidak berdaya menahannya. Hati aku berbisik tetapi tidak tergerak bertindak. Lidah aku pun sudah tidak bersuara lagi. Gelap! Begitulah sempadan berdaulat tanah air aku mudah dilintasi. Penceroboh! Mata, tangan, lidah dan hati. Bisu dan membisu di kiri dan di kanan. Di belakang dan di hadapan sempadan.

Azmi Rahman
Jitra
Julai 2015

12 Julai 2015


SALAM AIDILFITRI


Sudah malam tiba di pekan,
          Sempat lagi menggunting rambut;
Ramadan bakal kita tinggalkan,
          Syawal menjelma kita sambut.

Tanam serai tanam halia,
          Tanam juga cabai merah;
Aidilfitri hari yang mulia,
          Kemenangan kembali pada fitrah.


Tinggi-tinggi pokok sena,
          Dari jauh asap berkepul;
Aidilfitri disambut penuh makna,
          Ahli keluarga gembira berkumpul.


Malam raya pasang pelita,
          Pelita baru beli di pekan;
Ampun maaf hamba pinta,
          Salah silap hamba lakukan.

Sudah dibeli pelbagai tepung,
          Dicampur-campur jadikan adunan;
Cuti raya pulang ke kampung,
          Doa hamba selamat perjalanan.

Hari kian menuju malam,
          Emak di dapur masak ketupat;
Yang jauh berkirim salam,
          Yang dekat semakin rapat.


Membeli satar di Kuala Kemaman,
          Makan banyak tidaklah jemu;
Aidilfitri tanda kemenangan iman,
          Fitrah manusia kembali kepada-Mu.


Ikan tamban ikan belanak,
          Ikan semilang ikan duri;
Riang ria kanak-kanak,
          Berpakaian baru pada Aidilfitri.


Masam-manis buah bidara,
          Dibeli dara di pinggir pekan;
Bersyukur kita dapat bergembira,
          Insan susah janganlah dilupakan.


Keropok tersohor dari Losong,
          Makan petang dengan laksa;
Ungkapan bermakna “kosong, kosong,”
          Hidup bersih tanpa dosa.

Ketupat rendang enak dijamu,
          Pelbagai kuih sedap dirasa;
Nanti kita dapat bertemu,
          Kuatkan hubungan ikatan mesra.


Azmi Rahman
Jitra
29 Jun 2015 bersamaan 12 Ramadan 1436 H








1 Julai 2015


HARGA PETROL NAIK LAGI…

Terkejut juga aku apabila harga petrol naik lagi mulai 1 Julai 2015. Dalam senyap, tanpa tanda yang jelas, harga petrol naik; RON95 naik 10 sen menjadi RM2.05 dan RON97 naik 20 sen menjadi RM2.55. Manakala harga diesel kekal RM2.05. Entahlah ramai yang tidak berpuas hati dan marah-marah kepada kerajaan kerana menaikkan harga petrol menjelang 15 hari sambutan Aidilfitri. Kenaikan harga petrol ini memberi kesan/ implikasi terhadap kenaikan harga barangan terutamanya untuk keperluan Aidilfitri, misalnya ayam, daging, tepung, gula dan minyak meskipun pihak kerajaan menyatakan bahawa barangan kawalan itu tidak naik harga. Aku kurang bersetuju tentang itu kerana apa yang berlaku di pasaran, pihak kerajaan tidak dapat mengawal harga barangan. Apabila dilaksanakan GST, ada usaha mengawal harga tetapi kini para peniaga meletakkan harga sewenang-wenang (sudah dinyatakan termasuk GST). Aku pun tidak pasti tentang itu. Adakah harga dinaikkan oleh para peniaga? Ada pula kedai yang belum melaksanakan GST tetapi menaikkan harga barangan. Tentang harga barangan semakin naik ini, kesianlah kepada mereka yang berpendapatan rendah (B40). Mereka mahu terus hidup dan melalui hidup ini dengan penuh cabaran. Mereka yang bekerja dengan kerajaan, dapat bonus RM500 untuk Aidilfitri tetapi kenaikan harga petrol, seterusnya kenaikan harga barangan untuk beraya seolah-olah tiada makna.

Aku memikirkan bilalah pula harga petrol diturunkan dan harga barangan diturunkan. Nampaknya harga terus naik, dan naik ….

BERBUKA PUASA DI KUALA PERLIS


Pada Ramadan ke-11, aku dan isteri bercadang untuk berbuka puasa di Kuala Perlis. Aku mahu berbuka puasa dengan ikan siapa bakar kunyit, tom yam dan ulam-ulaman yang isteri aku bawa dari rumah. Terbayangkan ikan siakap bakar, sudah menambah selera untuk ke sana. Lagi pun sudah lama aku tidak berkunjung ke Kuala Perlis. Aku selalu singgah ke sana, menikmati udara laut yang segar.

Jam 6.30 petang, kami bertolak dari Sintok ke Kuala Perlis. Kami tiba jam 7.15 malam. Kami diberitahu oleh orang Masjid Al Hussain ada juadah berbuka puasa. Apabila tiba waktu Maghrib, kami pun berbuka puasa bersama-sama tetamu lain ke singgah di masjid itu. Menu berbuka puasa hanyalah kurma, bihun, bubur, dan kuih-muih. Selepas berbuka, kami menunaikan solat Maghrib. Selepas solat Maghrib, kami bercadang untuk menikmati ikan siakap bakar. Ada pula nasi disediakan di masjid; lauk ikan goreng, pajeri terung dan nenas serta sambal belacan.  Dalam hati aku berkata, “Sedap juga kalau makan nasi ini.” Kami pun makanlah nasi di masjid.

Setelah bersolat Isyak, kami teruskan bersolat Terawih. Di Masjid Al Hussain, solat Terawih hanya 8 lapan rakaat dengan solat Witir 3 rakaat. Kalau solat Terawih di Kedah, 20 rakaat, dengan solat Terawih 2 campur 1 rakaat. Setiap 4 rakaat, diselitkan bacaan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan dibacakan doa. Di Masjid Al Hussain (di Perlis), solat Terawih dilakukan terus menerus 8 rakaat tanpa apa-apa bacaan selawat dan doa. Tempoh solat Terawih pula cepat selesai; kira-kira 30 minit sahaja.

Selesai solat Witir 3 rakaat, tanpa doa, kami pulang ke Jitra. Perut sudah kenyang dan tidak boleh diisi lagi dengan nasi dan ikan bakar siakap.

Begitulah sebuah perjalanan hidup ringkas kita yang ditentukan oleh Allah SWT. Kita hanya mampu merancang tetapi Allah SWT Penentu Segala-galanya. Ya Baari.


23 Jun 2015


EPISOD RAMADAN : BERBUKA PUASA DAN BERSOLAT JUMAAT

Pada 1 Ramadan, aku dan isteri berbuka puasa di Batu 8, Baling bersama keluarga adik isteri aku dan bapa mentua serta tok (nenek isteri). Banyak juadah berbuka dihidangkan. Menu utama ialah nasi kerabu yang disediakan oleh isteri aku. Nasi kerabu berwarna biru menggunakan pewarna asli bunga telang yang aku tanam di halaman rumah. Enak juga rasanya kerana dimakan bersama sambal kelapa + ikan, ikan celup tepung goreng, ayam goreng, dan sambal lada. Isteri aku menyatakan nasi kerabu yang dijual di pasar-pasar malam kurang enak dan tidak memenuhi cita rasanya. Masak sendiri, dia puas hati. Alhamdulillah.
Pada 2 Ramadan (19 Jun 2015/ Jumaat),  aku pulang ke Jitra. Aku singgah bersolat Jumaat di sebuah masjid di Cepir, Sik. Masjid ini kelihatan teratur dan sistematik pengurusannya – terdapat pelbagai panduan ibadat, peta masjid di Internet, penyata kewangan yang lengkap, sejarah masjid, dan segala aktiviti sepanjang bulan pada 2014 dan 2015. Mereka yang singgah di masjid ini, pastinya mendapat banyak maklumat tentang segala aktiviti pelaksana masjid.
Di mana-mana masjid pun aku singgah untuk bersolat Jumaat, semasa khatib membaca khutbah, ramai pula yang hadir ‘berkhutbah’ di bawah tempat letak kereta, di kedai makan, di dalam masjid atau pun di perhentian bas berdekatan masjid. Pada hal, sebelum khutbah bilal telah membaca hadis menyatakana sia-sialah sesiapa yang bercakap-cakap ketika khatib membaca khutbah.  Mereka yang berkenaan itu tidak mempedulikan hal itu.
Apabila tiba waktu solat Jumaat, perhatikan ramai yang tidak bersolat. Kedengaran mereka bersembang-sembang di tangga, di bawah tempat letak kereta, dan di wakaf yang disediakan oleh pihak masjid. Sebaik sahaja salam terakhir diucapkan, mereka pun ‘belah’ tanpa bersolat Jumaat. Kalau seorang dua, aku boleh terima tetapi yang tidak bersolat Jumaat, jumlahnya ramai. Barangkali pihak pengurusan masjid tidak mengetahui hal ini atau malas untuk mengambil tahu dan tidak mahu bertindak.
Ironinya di masjid terpampang peringatan “Sesiapa yang tidak menunaikan solat Jumaat tiga kali berturut-turut akan dikenakan hukuman denda RM1000 dan penjara maksimum enam bulan.” Dalam hal ini pihak pengurusan masjid perlu ada suatu mekanisme untuk menangani mereka ke masjid tetapi tidak bersolat Jumaat.

20 Jun 2015


DI WAKAF CHE YEH
(episod  dilarang berjual beli)
Anda pernah ke Wakaf Che Yeh, di Kota Bharu, Kelantan? Pastinya tidak sah kalau kunjungan anda ke Kota Bharu, tidak singgah ke Wakaf Che Yeh – bazar jualan pelbagai barangan pakaian dan barangan sama ada asli (ori) atau tiruan (tidak ori). Selalunya musim cuti sekolah atau cuti perayaan, Wakaf Che Yeh sesak dengan manusia. Entahlah hairan juga aku apa yang mereka beli di sana? Barangkali pengunjung membeli kain pasang, tudung dan baju batik yang dikatakan murah. Kalau produk gajet, tidaklah murah meski pun bukan yang asli.
Anda pernah singgah di Wakaf Che Yeh pada waktu maghrib? Apabila azan Maghrib bergema, siren dibunyikan oleh tukang siren menandakan jual beli ‘diharamkan’ atau dilarang sehinggalah selesai solat Maghrib (sekitar jam 7.45 malam) atau apabila siren kedua dibunyikan. Sepanjang waktu solat Maghrib, kelihatan penguat kuasa mengawasi gelagat penjual – jika mereka berjual beli dalam tempoh itu, mereka akan dikenakan denda. Aku bertanya kepada penjual di situ, “Berapa dendanya?” Jawabnya, “Ratus rial (ringgit) juga…”
Aku hairan, kelihatan para peniaga (anak-anak muda) yang tidak berbaju sibuk memasang khemah dan menyusun barangan jualan. Di dalam hati aku berbisik, “Ini boleh pula. Kenapa tak kerahkan semua peniaga di situ, bersolat maghrib?” Makcik yang menjual nasi lemak dan Pakcik yang menjual air di tepi jalan, dengan sinis menyatakan, “Yang bunyikan siren pun tak pergi solat.” Aku hanya menyatakan, “Ya ke? Taka pa pula dan tidak diambil tindakan.”
Dalam kes ini, aku pun tak faham hukum apa yang pihak berkenaan pakai. Kalau di Mekah, jelas sebarang aktiviti jual beli dilarang semasa azan solat. Hal ini diberitahu oleh kawan saya yang baharu pulang menunaikan Haji dan Umrah. Saya fikir pihak yang mencadangkan implementasi peraturan/ undang-undang dilarang jual beli semasa solat Maghrib (dan Isyak) hendaklah turun padang mengalami dan melihat sendiri apa yang berlaku di Wakaf Che Yeh.
Aku tersenyum apabila membaca papan tanda “Kota Bharu Bandar Raya Islam.”